? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Sunday, September 14, 2008

Hadiah Terbaik Dari Isteriku

“Abang, Na nak tanya sikit ya. Abang jangan marah pula”, kata isteri saya pada suatu petang.



“Tanyalah. Kenapa abang nak marah pula?”, saya tersenyum.

“Masa abang baca pujian-pujian pembaca di ruangan komen Saifulislam.Com tu, apa perasaan abang?”, tanya isteri saya.

“Hmm… abang bosan sebenarnya. Sebab itu abang tak pernah komen atau balas mana-mana mesej yang sekadar memuji.”, saya menjawab.

“Komen macam mana yang abang prefer?”, tanya isteri saya lagi.

“Abang tak berminat dengan komen yang sekadar menyokong. Kalau boleh nyatakanlah sebab sokongan. Sejauh mana benarnya artikel abang yang disokongnya itu. Abang juga harap komen yang mengkritik. Tapi kritikan itu, biarlah membina lagi ada adab sopannya”, saya menyambung.

“Sopan macam mana?”, isteri saya menyoal.

“Islam dan adat Melayu kita bukan sahaja mengajar kita berbahasa semasa memuji, malah bersopan semasa ‘mengeji’. Maksud abang, sokong pun ada bahasanya. Tak sokong pun ada caranya”, saya menambah lagi.

“Oklah kalau macam tu”, isteri saya semacam sampai kepada suatu kesimpulan.

“Kenapa Na cakap macam tu? I mean, kenapa Na tanya soalan ni at the first place?”, saya kehairanan.

Isteri saya tersenyum.

Dia bimbang saya termakan pujian. Takut pujian-pujian itu memakan diri. Lupa pada kelemahan hingga lena tidur didodoi pujian dan sokongan.

“Na takut tengok kawan-kawan abang yang sesetengah tu. Bagi yang jadi tukang kempen parti politik tu, atau bermewah dan bermegah hasil mengubah prinsip hidup… itu satu hal. Tetapi yang sudah mewah, popular, apa peranan seorang isteri apabila suaminya duduk di puncak?”, isteri saya menampakkan kegusaran wajah.

“Entahlah… kalau isteri tidak menari rentak yang sama, tentu tertekan melihat suami berubah arah. Suami pula memandu kehidupan tanpa peduli pandangan isteri. Hmm…”, saya pun bimbang sama.

“Bukan apa, kalau dulu-dulu abang ada beberapa orang kawan yang berani menegur dan point out kesalahan abang. Sekarang ada lagi ke?”, tanya isteri saya lagi.

HIDUP DILAMBUNG KEJAYAAN DAN PUJIAN

Ya, bukan mudah hidup bertilamkan kejayaan dan berselimutkan puji-pujian. Kehidupan seperti ini amat memerlukan sahabat sejati yang sanggup menegur kesalahan diri.

Saya akui, semenjak kecil saya sering hidup dilambung puji-pujian. Semenjak hari pertama melangkah ke alam sekolah, saya sudah biasa mencapai yang terbaik. Setiap hujung tahun naik ke pentas menerima pelbagai anugerah, termasuklah kemuncaknya semasa di Darjah 6, saya menerima anugerah istimewa Dato’ Leong Ah Kau, iaitu anugerah berprestij untuk pelajar cemerlang di Ipoh. Julung-julung kali murid Melayu mendapat anugerah itu.

Semasa di sekolah menengah pun sama juga. Kejayaan demi kejayaan, naik ke pentas setiap tahun, mudah sekali untuk saya menjadi manusia yang lupa diri.

Namun syukur juga kerana Allah tidak membiarkan graf hidup saya lurus sentiasa. Saya banyak menerima ujian. Sebahagiannya tidak tergamak saya nukilkan dalam bentuk tulisan. Sekadar kenangan pahit yang rapi tersimpan.

Kepahitan-kepahitan itu amat membantu saya untuk tidak mudah lupa diri.

MENGUSAHAKAN KERENDAHAN DIRI

Malah, keputusan saya untuk bekerja membasuh pinggan dan mangkuk tandas semasa di London, adalah sebahagian usaha saya untuk belajar ‘menurunkan’ hidung dan muka dari puncak ke tanah manusia. Belajar jadi manusia dan benarkan diri dicederakan oleh realiti.

Perasaan merendah diri tidak datang sendiri. Ia mesti diasah pada jalan mujahadah.

Dan memiliki sahabat yang sanggup menegur salah, adalah kurniaan Allah agar kita kekal di jalan redha dan maghfirah.

“Entahlah Na. Sekarang ini, kawan-kawan itu sudah sibuk dengan kehidupan masing-masing. Isterilah yang kena main peranan. Jangan diiyakan sahaja semua keputusan suami”, saya tersenyum.

“Abang tak kisah kalau Na berperanan begitu?”, beliau mahukan kepastian.

“Itulah hikmah hidup ada suami ada isteri. Bukan hanya berkongsi kejayaan, malah bersama mengelak kegagalan. Lupa pada kelemahan, adalah sebuah kegagalan”, saya menyusun kata-kata dan benar-benar memaksudkannya.

Kereta meluncur laju di lebuh raya. Kami saling terdiam merenung ke hadapan. Mata di kepala membaca jalan raya dan hamparan bumi yang indah terbentang. Mata di hati menyelami tafakkur kami pada masa depan yang mendatang.

Syukur dan puji hanya untuk-Mu ya Allah.

Semoga isteri dan sahabat yang membimbing, lebih terkesan kepada hidupku, dari pujian sang manusia kepada manusia tanah sepertiku… Ameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

0 comments: