? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Monday, August 23, 2010

Sheikh Hamza Yusuf Hanson merupakan pengasas Kolej Zaituna yang ditubuhkan pada 1996 di Berkeley California, Amerika Syarikat.


SHEIKH Hamza Yusuf, 50, merupakan seorang ulama kulit putih yang sewajarnya dikenali oleh seluruh umat Islam.

Mengapa pula? Sedangkan beliau yang lahir sebagai bukan Islam, mampu akhirnya menjadi seorang yang memperjuangkan Islam, sangat mencintai Islam, yang sanggup melakukan apa sahaja untuk Islam, yang hidup dan matinya kerana Islam, bagaimana pula kita yang dilahirkan sebagai Islam, yang sebaik sahaja keluar dari alam rahim, telinga kita diperdengarkan azan dan iqamat?

Begitupun kisah hidupnya banyak menyisipkan pengajaran buat kita semua.

Malah sebaik berlakunya tragedi tragedi 11 September 2001, Hamza atau nama sebelum Islamnya, Mark Hanson adalah orang Islam pertama yang segera ke Rumah Putih bertemu Presiden George W.Bush.

Semata-mata bagi memastikan presiden itu tidak mempunyai sebarang ilham yang bukan-bukan untuk terus menuduh umat Islam yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Hamza seperti yang dilaporkan dalam laman web The Guardian, begitu bertegas di hadapan Bush, apabila pentadbirannya melancarkan satu Operasi yang dikenali Operation Infinate Justice ekoran serangan itu.

Dalam operasi itu Bush menggunakan terminologi militer yang dikaitkan secara langsung dengan umat Islam.

Tentu sahaja terminologi itu sangat menyakitkan hati umat Islam tanpa mengira bangsa dan warna kulit, termasuk Hamza sendiri.

"Saya amat kesal dengan polisi Pentagon yang langsung tidak memikirkan perasaan umat Islam yang turut kesal dengan kejadian itu.

"Tetapi mungkin kerana Pentagon kurang memahami masalah ini kerana tidak mempunyai kakitangan dan pegawai yang memahami isu-isu agama," kata Hamza.

Hamza juga dikenali sebagai Imam Hamza Yusuf, sememangnya bukan sebarangan orang di AS.

Di AS, beliau merupakan seorang cendekiawan dan tokoh Muslim yang sangat disegani termasuk peranannya sebagai sumber rujukan atau ulama itu sendiri.

Tidak sahaja mengukir nama dalam bidang agama, malah dalam dunia pendidikan dan sosial kemasyarakatan, beliau begitu dikenali oleh seluruh masyarakat AS. Inilah yang membuatkan pemerintah AS memilihnya untuk mewakili umat Islam dan bertemu dengan Presiden AS bagi perkara-perkara berkaitan dengan Islam.

Beliau berpendapat, serangan yang turut menghancur dan merosakkan imej AS itu tidak wajar diperangi semula atas nama agama dan kekerasan.

Malah kepada umat Islam itu sendiri, beliau meminta agar mereka memahami Islam dengan baik, kembali kepada akidah yang murni serta menjauhi jalan-jalan kekerasan dan kebencian terhadap mana-mana pihak.

"Sekalipun kita menetap di negara kafir (non-Muslim) yang kerap mengalami diskriminasi tetapi kita mesti tunjukkan bahawa Islam itu adalah agama yang ramah, bertoleransi dan sangat cintakan keamanan dan kedamaian," katanya.

Dari aspek keluarga, Hamza dilahirkan daripada keluarga Kristian (datuk sebelah ibunya merupakan Presiden Gereja Ortodoks di Marin County) yang terkenal dengan latar belakang akademik yang kuat namun bersikap sangat terbuka.

Ini apabila kedua-dua ibu bapanya merupakan professor di bidang falsafah, maka tidak menghairankan jika Hamza sendiri seorang yang berfikiran kritis, berpandangan jauh, matang dan sangat cintakan ilmu.

Bahasa dan kekeliruan fahaman

Dalam memahami agama, kita tidak dapat mengelak daripada berurusan dengan bahasa sebagai perantaraan menyampaikan makna.

Kadang-kadang suatu istilah atau ungkapan boleh membawa lebih daripada satu makna. Memilih makna yang salah akan membawa salah faham dalam agama.

Inilah tabiat semula jadi bahasa-bahasa dunia termasuklah Bahasa Arab sebagai bahasa utama Islam.

Menyedari hal ini, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi al-Maliki turut membahaskan aspek ini dalam kitab Mafahim yang menjadi sumber siri tulisan ini.

Antara ciri Bahasa Arab yang penting difahami adalah ciri Majaz iaitu pemindahan makna lafaz atau kata daripada maknanya yang asli, kepada makna yang lain. Tidak diragui lagi, bahawa majaz 'aqli sering digunakan, baik dalam al-Quran mahupun hadis. Contohnya, firman Allah SWT: Dan Yaghuth dan Ya'uuq serta Nasr (nama-nama berhala). Dan sesungguhnya mereka itu telah menyesatkan kebanyakan (daripada umat manusia). (Nuh: 23-24).

Menyandarkan kesesatan kepada berhala-berhala itu adalah majaz 'aqli dalam ayat ini kerana berhala-berhala hanyalah menjadi sebab bagi sesatnya manusia. Sementara, yang memberikan hidayah atau menyesatkan sebenarnya hanyalah Allah SWT.

Dalam hadis Nabi SAW juga banyak ungkapan yang mengandungi majaz 'aqli, yang hanya dapat diketahui oleh orang yang ahli dalam ilmu Balaghah. Bagi orang yang mengerti ungkapan haqiqi (asli) dan majazi (kiasan), tentu tidak memerlukan penjelasan yang panjang lebar berkenaan dengan masalah ini.

Sebaliknya, mereka yang tidak berkemahiran atau dikelabui oleh kecenderungan yang sesat akan hanya berpegang dengan makna zahir atau makna yang sesuai dengan kecenderungan mereka.

Sebagai contoh, ada yang beranggapan bahawa al-Quran itu makhluk (diciptakan) dengan berpegang kepada zahir ayat: Sesungguhnya Kami jadikan kitab itu sebagai al-Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab. (al-Zukhruf:3)

Ada pula yang menyatakan bahawa manusia itu mempunyai kekuasaan (qudrat) sendiri dalam menentukan nasibnya, dengan bersandarkan ayat: Maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan dosa). (al-Syura: 30)

Begitu juga, ada yang berkeyakinan bahawa manusia itu dipaksa (majbur) oleh Allah SWT melakukan perbuatannya, dengan dalil: Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu! (al-Saaffaat: 96)

Inilah antara salah faham aliran-aliran menyeleweng Mu'tazilah, Qadariyah dan Jabbariyyah.

Aliran yang benar, Ahlus Sunnah wal Jama'ah memahami nas-nas ini dengan mengambil kira sifat majazi bahasa.

Berbeza dengan golongan Qadariyah yang beranggapan bahawa perbuatan manusia itu adalah hasil perbuatannya sendiri - Ahlus Sunnah meyakini bahawa perbuatan manusia itu dicipta oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya dalam surah (al-Saaffaat: 96) di atas. Meskipun demikian, manusia juga boleh disifatkan dengan kekuasaan atau kemampuan untuk berbuat; yang disebut sebagai iktisab (berusaha menentukan pilihan), sebagaimana firman Allah: Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (al-Baqarah: 286)

Serta ayat-ayat lain yang jelas menunjukkan penyandaran kasab (usaha) kepada hamba Allah, iaitu ayat yang menegaskan bahawa manusia pun mempunyai bahagian dalam perbuatannya. Ini berbeza dengan fahaman golongan Jabbariyyah.

Kesimpulan yang boleh diambil ialah orang yang menyekutukan Allah SWT dengan yang lain dalam mencipta dan memberikan kesan kepada sesuatu, maka dia adalah musyrik, sama ada yang disekutukannya itu benda mati atau pun hidup, seorang nabi atau selainnya.

Tetapi, sesiapa mempercayai bahawa makhluk itu hanya sebagai sebab, Allah sahajalah yang menciptakan penyebab itu untuk terciptanya akibat, dan hanya Allah Pembuatnya yang sebenar tanpa ada sekutu bagi-Nya, maka dia adalah Mukmin, sekalipun dia tersalah pada sangkaannya bahawa suatu yang bukan sebab (perantara) diakuinya sebagai sebab kerana kekeliruannya hanya pada sebab, bukan pada penyebab; Yang Mencipta dan Mengatur, hanyalah Allah SWT.

Memahami isu ini, marilah kita bersikap lebih sensitif terhadap pelbagai makna dan maksud di sebalik kata-kata dan ungkapan yang boleh menatijahkan hukum yang berbeza. Menentukan persoalan ini pula memerlukan kepakaran dan pengkhususan yang bukan sedikit. Biarkanlah urusan ini di tangan para ahlinya dari kalangan ulama muktabar kerana mereka yang tidak berkeahlian tidak akan dipertanggungjawabkan oleh Tuhan melebihi tahap kemampuan mereka.

Amar syahid di medan Uhud



Amar bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad. Beliau berasal daripada Bani Asyahali. Salah seorang daripada tokoh terkenal dalam kaumnya ialah Saad bin Muaz yang memeluk Islam sebelum Amar.

Amar sangat berpegang teguh kepada agama nenek moyangnya. Hal itu menyebabkan beliau sukar menerima agama Islam.

Malah, Amar pernah berkata kepada salah seorang yang sudah memeluk Islam: "Apakah kebenaran dalam agama kamu? Tunjukkan kepada saya mengenai kebenaran itu. Saya tidak teragak-agak mengikutinya."

Ketika ramai daripada kaumnya sudah menerima Islam, pintu hati Amar tetap tertutup.

Sehingga pada suatu hari, semasa Nabi Muhammad bersiap untuk pergi ke medan Perang Uhud, Amar t datang berjumpa.

Kata Amar: "Wahai Nabi Muhammad, saya mahu memeluk agama Islam."

Nabi Muhammad terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Amar. Tindakan Amar menyebabkan Nabi kehairanan. Sebelum ini, Amar adalah seorang yang angkuh dan enggan menerima sedikit pun ajaran Islam.

Kemudian Nabi Muhammad bertanya: "Benarkah apa yang kamu katakan itu Amar?"

"Benar," jawab Amar.

"Ini adalah satu keajaiban dari Allah," kata Nabi Muhammad.

"Saya mahu memeluk agama Islam," kata Amar dengan tegas.

Kemudian Amar berkata lagi: "Saya juga mahu bersama-sama menyertai angkatan perang Islam ke Perang Uhud."

"Saya sudah bersedia dengan pedang saya," Amar berkata sambil menunjukkan pedang yang sudah siap ada di tangannya.

Selepas mendengar berita baik dari Amar itu, Nabi Muhammad gembira.

"Syukur kepada Allah. Akhirnya terbuka juga pintu hati Amar memeluk agama Islam," kata Nabi Muhammad sendirian.

Mulai pada hari itu, Amar sah menjadi orang Islam selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

Berita keislaman Amar tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Nabi Muhammad. Selepas sah menjadi orang Islam, Amar bangkit menuju ke medan perang Uhud mengikuti Nabi Muhammad.

Peperangan yang berlaku dengan pihak musuh sangat sengit. Di situ Amar menunjukkan keberanian dan kepahlawanannya. Dalam kumpulan tentera Islam itu, ada yang hairan dengan kehadiran Amar.

Salah seorang daripada tentera Islam itu berkata kepada Amar: "Buat apa kamu ikut kami berperang?"

Amar tidak peduli dengan pertanyaan orang itu, beliau terus sahaja mara ke hadapan menentang musuh Islam.

"Kamu bukan orang Islam. Kamu sengaja mahu mempersendakan kami dengan kekuatan kamu itu," kata salah seorang tentera Islam itu lagi.

Pada masa itu, badan Amar berlumuran darah. Beliau bergelut dengan pihak musuh bagi menegakkan Islam. Akhirnya beliau jatuh ke bumi. Sebelum Amar menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau sempat menjawab pertanyaan orang itu tadi.

Kata Amar: "Saya sudah beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad. Saya adalah orang Islam seperti kamu. Saya sudah melawan musuh sedaya upaya saya. Semoga Allah memberkati saya."

"Betulkah apa yang kamu katakan itu?" tanya orang itu kepada Amar. Orang itu terkejut mendengar berita ke-Islaman Amar.

Amar gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid. Berita kematian Amar sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad berkata, "Amar masuk syurga kelak."

Tentera Islam lain terkejut dengan berita itu. Mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa Amar sudah memeluk Islam semasa berperang. Mereka juga terharu dengan semangat Amar yang tinggi semasa melawan musuh.

Pernah dilaporkan oleh Abu Hurairah dari hadis Nabi Muhammad bahawa salah seorang yang layak masuk syurga tanpa bersembahyang, berpuasa dan lain-lain ialah Amar bin Sabit.

Begitulah kisah sahabat Nabi Muhammad yang ikhlas menegakkan agama Islam.

Orang yang mengaku bahawa dirinya Islam sanggup mati demi membela agama Islam. Orang yang baik sentiasa diredai Allah.

Thursday, August 12, 2010

Membentuk jantung sihat

ADAKAH jantung anda berkeadaan baik ? Soalan itu perlu difikirkan setiap wanita, apabila penyakit jantung menjadi pembunuh nombor satu wanita di Malaysia - malah lebih berbahaya daripada kesemua penyakit kanser secara keseluruhan. Dari 1990 sehingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita telah meningkat sebanyak 135 peratus. Pada 2006, 23 peratus kematian wanita disebabkan penyakit jantung.

Soalan tersebut memerlukan satu tindakan yang segera. Jadi, sesihat manakah jantung anda? Di sini beberapa cara untuk memberitahu anda.

Risiko pinggang besar

Adakah anda tahu, lemak di sekeliling pinggang dan kawasan perut (lemak abdomen) membawa risiko lebih besar berbanding lemak di dalam sebahagian bawah tubuh badan? Ini bermakna wanita yang mempunyai bentuk badan buah 'epal' iaitu lemak tertumpu di dalam perut berbanding punggungnya mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih besar daripada wanita yang mempunyai bentuk badan 'pear', wanita yang mempunyai punggung yang lebih besar dan pinggul yang kecil.

Anda juga boleh mengetahui berapa banyak lemak abdomen yang anda miliki dengan mengukur lilitan pinggang anda. Letakkan satu pita ukur di sekeliling perut anda di atas pusat. Ukuran melebihi 32 inci (80 sentimeter) menandakan anda obes dan mempunyai risiko besar untuk mendapat sakit dada, sakit jantung ataupun strok dan diabetes.

Indek Jisim Tubuh (IJT)

Indeks Jisim Tubuh anda menunjukkan hubungan antara berat dan ketinggian, iaitu berkait rapat dengan lemak badan dan risiko kesihatan. Bahagi berat anda dalam kilogram dengan dua kali ketinggian anda dalam meter (kilogram / m2). Indeks jisim tubuh 25.0 hingga 29.9 adalah berlebihan berat badan dan lebih daripada 30 adalah obes.

Berlebihan berat badan atau obes menjadikan fungsi metabolik anda dalam satu keadaan huru-hara dan membawa kolesterol darah yang tinggi, glukosa darah yang tinggi dan tekanan darah tinggi - tiga faktor utama kepada penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi masing-masing. Paling teruk apabila anda mempunyai salah satu daripadanya, ia mengambil masa yang tidak lama untuk mendapatkan dua yang lain.

Kolesterol

Paras kolesterol anda juga dapat menentukan samada anda berisiko mendapat penyakit jantung.

Penyakit jantung merupakan ancaman serius dan kita perlu mengambil langkah-langkah untuk melindungi jantung dan kesihatan kita hari ini. Di sini, tedapat beberapa tip berguna.

1. Rendah & Tinggi yang betul

Langkah pertama adalah mengamalkan diet yang memastikan jantung anda sihat dan berkeadaan baik. Dua prinsip mudah untuk anda ingat: rendah lemak, tinggi serat

Kurangkan makanan berlemak dan cuba dapatkan makanan yang dikukus, direbus, dibakar atau digril. Pada masa yang sama, buat pilihan makanan yang tinggi serat. Mulakan mengambil sayur-sayuran yang dimasak sedikit, mengambil buah-buahan dengan kulit mereka, memilih bijirin dan roti gandum penuh. Dan adakah anda tahu, satu sumber makanan yang kaya dengan serat? Ia adalah oat! Di sini diterangkan mengapa.

2. Faktor oat

Oat adalah 100 peratus makanan semula jadi yang boleh membuat satu perubahan yang besar untuk kesihatan jantung anda. Menurut Pentadbiran Makanan Dan Pentadbiran Ubat-Ubatan AS (FDA), 'Diet yang tinggi dengan bijirin oat atau bran oat serta diet rendah lemak dan kolesterol dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.'

Oat adalah makanan yang kaya dengan serat larut (beta glukan), sejenis serat yang telah terbukti secara klinikal dapat mengurangkan kolesterol dalam darah. Ia akan mengikat bendalir hempedu yang sarat dengan kolesterol di dalam perut anda dan menghalang kolesterol daripada memasuki aliran darah, menurunkan kolesterol darah serta mengurangkan risiko penyakit jantung.

Selain merendahkan paras kolesterol anda, oat membantu dalam mengurangkan berat badan juga. Sebagai satu sumber tenaga yang rendah lemak, oat memerlukan masa lebih panjang untuk dihadamkan. Bermaksud anda akan berasa kenyang untuk jangka masa yang panjang dan tidak akan menyebabkan anda makan secara berlebihan.

3. Nutrien lengkap

Memandangkan serat larut oat adalah amat penting, terdapat tiga nutrien lain yang harus di ambil oleh wanita sebagai keperluan harian mereka. Nutrien ini adalah kalsium, zat besi dan asid folik.

Zat besi membantu dalam pembentukan sel darah merah dan peredaran darah yang sihat. Asid folik merupakan satu kemestian untuk semua wanita di peringkat usia subur. Asid folik bukan sahaja boleh menyokong penghasilan sel darah merah dan menghalang kekurangan darah, ia juga dapat mengurangkan risiko mendapat bayi anda dengan satu kecacatan tiub neuron. Jadi jangan tunggu sehingga anda mengandung untuk mula mengambil Asid Folik sebaliknya mulakan hari ini.

Walau berapa pun umur anda, tidak pernah terlambat untuk mula berfikir tentang jantung anda. Mulakan sedikit langkah dan berusaha.

n Artikel ini adalah sumbangan daripada Quaker Smart Heart Programme.

Panduan ibu hamil di bulan Ramadan

KALAU tiada aral melintang, esok, umat Islam di seluruh dunia sudah mula menjalani ibadat puasa.

Ada di kalangan ibu-ibu hamil yang pasti berasa khuatir untuk berpuasa dalam keadaan bayi di dalam kandungan yang amat memerlukan kadar nutrisi yang diperlukan bagi memastikan perkembangan janin.

Jika anda hamil dan ingin berpuasa, pastikan keadaan kesihatan anda amat stabil kerana ibu-ibu hamil juga sebenarnya dibolehkan untuk berpuasa, tetapi menerusi syarat-syarat tertentu.

Apa pun pastikan kandungan dan kesihatan nutrisi yang dibekalkan ibu menerusi plasenta kepada janin.

Salah satu daripadanya ialah memastikan makanan yang dimakan itu mengandungi nutrisi yang diperlukan termasuk protein, zat pemakanan yang diperlukan ibu dan bayi di dalam kandungan.

Komposisi yang harus dipenuhi ibu-ibu hamil bagi zat pemakanan tersebut ialah karbohidrat 50 peratus, protein (30 peratus) dan lemak sekitar 10 hingga 20 peratus.

Biarpun begitu, ada beberapa faktor yang harus diperhatikan oleh si ibu andainya dia hamil dan ingin meneruskan berpuasa.

Sekiranya si ibu hamil tersebut menghidap penyakit kencing manis atau diabetes, maka ibu tersebut tidak disaran untuk berpuasa.

Sekiranya ibu yang hamil itu menderita penyakit darah tinggi atau hipertensi kerana ibu-ibu ini memerlukan aturan memakan ubat yang berterusan secara teratur dia juga disaran untuk membuka puasanya.

Tekanan darah tinggi juga harus dihindari selama hamil kerana ia boleh menyebabkan kematian mengejut bagi si ibu mahupun bayi dalam kandungan.

Selanjutnya adalah faktor perdarahan. Jika ini berlaku, ibu yang hamil dinasihat tidak berpuasa kerana khuatir kesihatan janin di dalam kandungan.

Dehidrasi atau kekurangan cairan akibat muntah selama hamil akibat mabuk atau morning sickness atau sebagainya juga diminta untuk tidak meneruskan puasa dan minum sebanyak mana air yang diperlukan.

Jika tidak, sebaliknya akan berlaku kerana dehidrasi ini berkemungkinan akan menyebabkan pitam, pening, rasa berpinar dan seram sejuk yang boleh menyebabkan keadaan ibu hamil ini menjadi lebih teruk dan pengsan.

Cerita perempuan di bulan Ramadan

Ramadan bulan baraqah

Tuntut ibadah penuh di dada

Kuatkan iman, gandakan sedekah

Semoga pahala berlipat ganda

Selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa saya ucapkan. Semoga hari-hari yang dilalui sepanjang bulan ini memberi kita lebih ketakwaan dan keimanan.

Ramadan bulan untuk menyempurnakan ibadah puasa dan meningkatkan amal ibadah, bersolat, terawih, bersedekah, membantu mereka yang memerlukan antara perkara baik-baik yang dilakukan sepanjang bulan ini.

Kedatangan Ramadan juga menambah tanggungjawab kaum wanita. Bagi yang bekerja tentunya merasakan beban tanggungjawab semakin bertambah.

Di rumah tumpuan diperlukan untuk menyediakan makanan untuk dua perkara utama, berbuka dan bersahur di samping tugas hakiki.

Untung mereka yang menjadi suri rumah sepenuh masa kerana dapat berehat setelah penat mengurus rumah tangga.

Tetapi bagi mereka yang bekerja, bukan alasan untuk tidak melakukan yang terbaik buat keluarga pada bulan Ramadan ini.

Segala-galanya terletak kepada pengurusan masa sebagai isteri dan ibu juga pekerja.

Saya percaya wanita yang bijak boleh mengimbangi waktu untuk segala urusan penting itu termasuk tugas di pejabat dan di rumah.

Ada isteri merungut tidak cukup tidur, terpaksa bangun awal untuk memasak makanan sahur kemudian menguruskan anak-anak ke sekolah dan terus ke pejabat.

Sampai di pejabat wajah tidak ceria, asyik menguap dan sesekali muka tersengguk-sengguk ke meja kerana mengantuk.

Seperti yang saya katakan tadi, pengurusan masa itu penting. Jika tidak kerana bulan Ramadan, sebagai isteri dan ibu kita juga perlu bangun awal untuk bersolat dan uruskan anak-anak ke sekolah.

Saya tidak nampak ada masalah di situ. Pokok pangkalnya terletak kepada hati dan usaha seseorang itu untuk melakukan yang terbaik tanpa menyalahkan sesiapa.

Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih. Bulan Ramadan bulan menghimpun segala pahala yang dilakukan. Bertadarus, terawih, bersedekah, menjamu fakir miskin makan antara perbuatan baik yang perlu dilipatgandakan sepanjang bulan ini.

Buat seketika tinggalkan aktiviti-aktiviti yang selalu dilakukan pada hari-hari biasa bagi menghormati bulan mulia ini. Fokus kepada satu perkara, berbual amal sebanyak mungkin untuk menambah pahala.

Pembaca budiman

Saya percaya ramai di kalangan wanita telah berkira-kira tentang apa yang akan mereka lakukan sepanjang Ramadan ini selain daripada mengurus rumah tangga.

Bagi yang bekerja kebanyakannya memilih untuk buat kerja sambilan mencari duit raya. Jual kuih, tudung, pakaian, aksesori menjadi fenomena biasa di kalangan wanita bekerja.

Sebulan sebelum puasa, contoh aneka biskut raya, kerepek dan manisan tersusun di atas meja untuk di jamah dan di rasa oleh kawan-kawan. Siap bertulis harga dan tarikh akhir tempahan sekali.

Di surau pula, setiap sudut dipenuhi pelbagai beg yang sarat dengan tudung, pakaian dan aksesori.

Sekali pandang surau sudah menjadi seperti stor menyimpan barang. Setiap orang yang masuk bersolat, jika teringin boleh menjamu mata, tiada siapa melarang. Jika berkenan boleh terus diambil.

Pada waktu Zuhur biasanya sesetengah surau pejabat mengadakan tadarus atau ceramah agama yang dibawakan oleh ustaz atau ustazah yang dijemput khas.

Malangnya yang datang boleh dikira dengan jari selebihnya entah ke mana menghilang.

Tapi peliknya bila tidak ada ceramah, muncul pula jemaah yang ramai tapi bukan untuk bersolat tetapi melayan mata.

Lalu jadilah surau itu seperti bilik tidur. Bagi mereka "uzur" tanpa segan silu menjamu selera sambil berborak-borak dengan teman yang juga tidak berpuasa.

Suasana akan menjadi lebih meriah apabila tiba hari Jumaat kerana waktu makan tengah harinya agak lama, lebih kurang 2 jam. Panjang sikit langkah dan banyak masa untuk membuat tinjauan membeli-belah.

Balik pejabat badan sudah letih, mood nak kerja juga hilang. Menunggu waktu pulang pukul 5 petang terasa memeritkan, tetapi digagah juga.

Dalam perjalanan pulang mula merangka apa yang hendak dimasak untuk berbuka. Mengenangkan badan sudah letih, singgah pasar Ramadan pilihan terbaik, beli makanan apa yang patut dan bawa pulang, dalam perjalanan telefon bibik minta masakkan nasi.

Sampai waktu berbuka makan apa yang ada walaupun anak-anak mencemik. Lepas makan badan makin letih, akhirnya tertidur kerana mengantuk... sembahyang waktu terlepas, terawih juga tidak sempat.

Sedar-sedar sudah pukul 12 tengah malam - lalu pesan pada suami dan anak-anak, siapa nak bersahur bangun sendiri, sebab mama dah penat. Suruh bibik kejutkan ya!

Begitulah antara senarionya. Apakah situasi ini akan berulang lagi tahun ini? Harap-harap tidak. Mengingatkan diri saya dan anda juga, marilah kita muhasabah diri dan ubah sikap. Buang tabiat yang melalaikan, ambil positif sesuatu perkara boleh menginsafkan, semoga kita diberi petunjuk untuk menjadi yang lebih baik terutama dalam perjalanan mencari pahala berganda sepanjang Ramadan kali ini.

Menutup kata, kebahagiaan orang yang beriman adalah dengan mencintai Allah kerana cinta kepada Allah adalah kebahagiaan yang dasarnya sangat dalam melebihi semua yang dalam di dunia ini. Hanya yang sungguh-sungguh beriman dapat merasakannya dan perasaan itu tidak mungkin ditukar ganti dan tiada tandingannya.

Salam

Rawatan segera atasi hiperaktif

DUDUK diam! Jangan nakal-nakal!'' Mungkin itu adalah ayat biasa yang diungkapkan oleh seorang ibu kepada anak-anak yang sedang 'mengganas'.

Bayangkan mainan yang bersepah di serata ceruk rumah serta tabiat suka melompat dari meja atau sofa selalunya membuatkan si ibu mudah 'naik hantu'.

Jika itu yang sering dilakukan oleh anak-anak, tidak perlu khuatir kerana ia adalah sebahagian daripada proses normal bagi seorang kanak-kanak aktif dan cergas yang sedang membesar.

Jika si kecil gagal memberi tumpuan serta tidak fokus apatah lagi jika mereka juga hiperaktif, cuai, gagal menguruskan apa sahaja, mudah terganggu serta tidak boleh bermain atau melakukan sesuatu dengan senyap, ibu bapa perlu beri perhatian.

Malah bukan sekadar itu, dia juga sering bercakap sendirian, kurang fokus serta kurang sabar dalam menyelesaikan masalah.

Jika anak-anak mengalami simptom- simptom tersebut segeralah berjumpa doktor, kata Perunding Psikiatrik Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh

Menurut beliau, simptom itu sebenarnya dipanggil ADHD atau Gangguan Hiperaktiviti dan Kurang Daya Tumpuan yang merupakan satu masalah tidak normal pada bahagian otak yang membuatkan kanak-kanak bersikap terlampau aktif sejak lahir lagi.

Kanak-kanak yang mempunyai gejala ADHD, lebih mudah terganggu dengan bunyi-bunyian dan benda-benda di sekeliling mereka.

Lazimnya, mereka tidak boleh memberi tumpuan untuk tempoh jangka panjang. Ini kerana mereka mudah berasa bosan dan gelisah sekiranya berada dalam keadaan senyap atau tidak melakukan sebarang aktiviti

''Keadaan ini sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal lagi kerana mereka akan berkelakuan mengikut gerak hati sendiri,'' ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun tegas Dr. Nor Hamidah, simptom tersebut tidak mudah didiagnosis disebabkan tidak boleh dibezakan seperti penyakit-penyakit lain.

''Jika anda meletakkan 10 budak nakal dan 10 kanak-kanak ADHD dalam satu kumpulan, anda masih tidak nampak perbezaannya. Bagi kanak-kanak nakal biasa, mereka masih boleh dikawal manakala ADHD amat susah dikendalikan sehinggakan kita menyangka mereka menghadapi masalah tingkah laku," ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, dalam permasalahan itu, tiada punca utama ditemui berkaitan sindrom tersebut walaupun faktor genetik dan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak mungkin menyumbang kepada terjadinya masalah itu.

Bagaimanapun, jika tidak diberi rawatan lebih awal, 60 peratus daripada individu ini akan membesar sebagai orang dewasa yang bermasalah sehingga mendorong melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Terang Dr. Nor Hamidah lagi, disebabkan ADHD mempengaruhi genetik, seseorang bapa boleh mewariskan sindrom ini kepada anak lelaki mereka.

''Keadaan ini juga menjadikan kanak-kanak lelaki lebih cenderung mengalami ADHD sebanyak tiga kali ganda berbanding kanak-kanak perempuan,'' ujarnya lagi.

Satu kajian ke atas kanak-kanak Malaysia berumur di antara 5 - 15 tahun menunjukkan seramai 4.3 peratus mempunyai ciri-ciri ADHD.

Kebanyakannya dihidapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Katanya, masalah itu boleh dipanggil penyakit yang tidak nampak kerana secara realiti, mereka sihat malah kebanyakan mempunyai tahap setara individu biasa dan lebih menakjubkan sebilangan besar mempunyai kebolehan serta bakat seni luar biasa.

''Kanak-kanak ini sebenarnya tidak sakit. Mereka hanya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro di dalam otak menjadikan mereka sukar mengawal diri. Penyakit ini juga bukan berpunca daripada pemakanan, pengambilan gula berlebihan, alahan atau terpengaruh dengan televisyen.

Bagaimanapun katanya, ADHD perlu dirawat segera sebaik disedari kerana ia menyebabkan beberapa masalah sampingan seperti perasaan rendah diri, kurang yakin dan lemah pencapaian akademik.

''Dalam situasi ini, ibu bapa seharusnya tidak kecewa jika anak mereka didapati mengalami masalah ini, bawalah mereka bertemu pakar supaya tingkahlaku ini tidak terbawa-bawa ke alam dewasa dan mereka sebenarnya masih berpotensi menjalani hidup normal seperti individu lain," katanya.

Dalam keadaan ini, tegas Dr Nor Hamidah, ada beberapa teknik yang boleh diguna pakai oleh ibu bapa ketika di rumah untuk dipraktikkan.

'' Berikan arahan satu persatu dengan jelas supaya mereka memahami arahan tersebut dan menjelaskan padanya kesan dan akibatnya.

Sekiranya mereka membuatkan sesuatu dengan baik berikan pujian supaya menaikkan rasa harga diri.

Bagaimanapun, biasakan mereka untuk melakukan kerja-kerja asas dirumah bagi membiasakan mereka.

Malah terang Dr. Nor Hamidah lagi, tidak salah jika sebagai ibu bapa wujudkan satu sistem memberi hadiah untuk menggalakkan mereka berkelakuan dengan baik.

Apabila disekolah minta bantuan guru supaya tempatkan mereka dengan kedudukan di hadapan kelas.

Masalah persepsi pada remaja

PERSOALAN persepsi adalah isu yang amat berkait dengan etika. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pertemuan dengan para penulis blog di persidangan sulung penulis blog dan media sosial Asia, baru-baru ini berpandangan bahawa isu etika amat penting bagi menentukan benar tidaknya sesuatu maklumat. Ini juga kata beliau, demi kebaikan masyarakat dan supaya blog lebih dihormati.

"Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang atau membetulkan kita, kerana kita yang berkuasa (kerana) kitalah penulis, penyunting dan juga penerbit.

"Apabila memiliki senjata, jangan gunakannya sesuka hati. Penulis blog mesti berupaya menahan diri dan mengelak daripada menyatakan perkara yang tidak benar serta boleh melukakan hati orang lain," kata Dr. Mahathir.

Menulis dalam blog, forum atau jaringan sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dunia maya.

Maklumat yang diambil daripada tulisan para penulis blog amat rapat hubungannya dengan binaan persepsi.

Persepsi boleh menyebabkan salah faham dan juga kesimpulan terhadap sesuatu secara tidak tepat.

Dalam tradisi Islam persepsi perlu didukung dengan ilmu, data serta fakta yang benar. Tanpa asas itu, persepsi akan lebih bersifat sensasi. Isu persepsi di zaman teknologi maklumat amat penting didukung dengan etika yang murni.

Sebelum seorang penulis memberi reaksi terhadap sesuatu tulisan atau pendapat, ia harus memiliki daya analitis yang tinggi supaya manfaat analisisnya menyumbang kepada agama, pemikiran dan ilmu.

Bayangkan maklum balas yang diberikan berasaskan emosi yang melulu dan sensasi yang tinggi. Ia bakal menjadi sampah sarap yang tidak boleh meningkat akal budi insan. Kecenderungan ini semakin popular di kalangan sesetengah penulis blog yang tidak beretika dan menyebabkan tulisan dalam blog tidak semua dapat dipertanggungjawabkan.

Etika yang tinggi bermaksud pendapat yang diutarakan tidak sahaja bernas, tepat, tetapi dalam masa yang sama diolah dengan bahasa yang beradab. Pentingnya persepsi diperkukuhkan dengan maklumat benar kerana terdapat pelayar-pelayar blog mula membentuk pendapat awam dan menarik perhatian mereka untuk mengambil sikap serupa. Kalau persepsi itu tidak benar, hanya berasaskan khabar angin. Maka mereka terlibat sama dalam melakukan fitnah terhadap orang lain.

Adalah menjadi lumrah manusia untuk memberi tindak balas terhadap sesuatu isu.

Namun begitu, sesuatu luahan ataupun pendapat perlulah disampaikan secara bijaksana dan berhemah.

Malah blog juga menjadi medan dakwah yang sangat berkesan dan bermanfaat sekiranya maklumat disampaikan secara berilmiah dan beretika.

Blog yang dipenuhi dengan perkataan maki hamun, kutukan dan sindiran hanya akan mengundang rasa benci dan tidak dihormati oleh pelayar-pelayar blog. Ilmu tidak bercambah, dosa pula bertambah.

Justeru para remaja yang berkecimpung dalam dunia blog harus teliti dan berhati-hati apabila menulis dan memberi pendapat mahupun mengulas pandangan orang lain.

Jangan ikut sedap rasa kerana akibatnya bakal merosakkan khazanah maklumat yang tersebar di seluruh maya.

Jadilah penulis blog yang menyumbang terhadap khazanah ilmu dan sumber tamadun supaya salah guna maklumat tidak berlaku dan fitnah juga tidak tersebar.

Etikalah yang seharusnya menjadi pedoman dan rasa ketuhananlah yang seharusnya dijadikan panduan.

TAJUK-TAJUK BERITA

Al-Quran ubah Dobson


PERISTIWA serangan 11 September 2001 terhadap bangunan-bangunan utama di Amerika Syarikat (AS), secara tidak langsung telah mengubah wajah agama Islam dan kaum Muslimin di seluruh penjuru dunia.

Di sebalik ramai yang membenci Islam ekroan tragedi itu, tetapi tidak kurang ramai juga yang memilih jalan Islam termasuk mereka di bumi Inggeris.

Malah dikatakan sejak kejadian itu sehingga kini terdapat 14,000 penduduk kulit putih di negara itu memeluk Islam dengan kerelaan hati mereka sendiri.

Bertambah menarik, Islam dianuti tanpa mengira latar belakang malah para pemimpin, tokoh-tokoh pelbagai bidang, artis selebriti, ahli sukan dan ramai lagi.

Salah seorang daripada mereka yang agak mencetuskan sedikit kejutan ialah anak lelaki kepada mantan Menteri Kesihatan Britain, Frank Dobson, 35, yang memeluk Islam pada 1998 dan menukar nama kepada Joe Ahmad Dobson.

Meskipun dilahirkan dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga penganut Kristian yang taat, namun memasuki usia remaja Dobson lebih senang untuk tidak terikat dengan mana-mana agama.

Namun pemikiran seperti itu mula berubah apabila seorang rakannya menghadiahkan senaskhah al-Quran terjemahan dalam bahasa Inggeris.

"Sekalipun sekadar terjemahan, namun membaca terjemahan itu sahaja bagaikan saya mendapat wahyu. Persepsi saya selama ini mengenai Islam berubah kerana antara ajarannya yang terbaik apabila Islam membenarkan lelaki mahupun perempuan menuntut ilmu selama mereka masih hidup.

"Ini kerana semakin tinggi seseorang itu menuntut ilmu maka semakin merendah dirinya terhadap tuhan," katanya seperti yang dilaporkan oleh telegraph.co.uk.

Namun yang lebih menarik perhatian Dobson, dia mendapati al-Quran memberikan jawapan atas semua jenis pertanyaan, iaitu jawapan yang tidak akan mampu diberikan oleh mana-mana kitab agama sebelum ini.

"Islam mampu menjawab pertanyaan 'mengapa', seperti mengapa kita mesti menganggap setiap orang adalah seperti saudara, mengapa kita mesti menghormati dan menghargai kaum wanita kita, mengapa mesti kita melakukan hanya perkara-perkara yang terbaik untuk diri dan mereka yang disekeliling kita, sesama manusia.

"Apa juga aspek dalam kehidupan termasuk ekonomi, segala-galanya terjawab dalam al-Quran dan saya sangat mengagumi kata-kata Allah itu, kerana Dia yang menciptakan manusia dan Dia jugalah yang tahu apa yang dikehendaki oleh manusia dalam hidup ini," katanya.

Namun pengalamannya berada lama di Indonesia pada 1992 memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak muda itu.

Walaupun ada senario jelik dan tidak enak dilihat seperti soal kemiskinan dan sebagainya namun negara itu sebenarnya mampu memberikan pemandangan yang unik dan terbaik mengenai Islam.

Pemerhatian dan berinteraksi secara langsung dengan umat Islam di sana menjadikan Dobson semakin tertarik dan mengagumi Islam.

"Seringkali saya terkesima melihatkan cara beribadat dalam Islam, bersih daripada sebarang unsur pemujaan yang berlebihan.

"Tidak ada ukiran patung atau manusia yang diangkat sebagai orang tengah antara penganut dengan tuhan. Umat Islam bebas untuk terus 'berbicara' langsung dengan tuhannya," katanya.

Segala pengalaman di Indonesia itu menjadikan Dobson semakin ghairah untuk mendalami Islam malah semua itu menjadi sebahagian daripada rutinnya ketika menyambung pengajian di Universiti Manchester. Ini apabila Dobson mengambil peluang sepenuhnya berkawan dengan rakan sekuliah yang terdiri dari kalangan Muslim.

"Daripada mereka saya sering bertanyakan pelbagai persoalan mengenai Islam. Malah tanpa saya bertanya saya belajar pula daripada cara kehidupan mereka yang begitu mematuhi ajaran Islam.

"Tidak cukup itu saya sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya di perpustakaan universiti, kerana di situ terdapat banyak bahan bacaan mengenai Islam dan saya setiap kali membacanya, saya menjadi begitu bermotivasi.

"Saya tidak sekadar membaca untuk memberikan pengetahuan tetapi saya mengambil pengajaran secara langsung untuk diterapkan dalam kehidupan." katanya.

Akhirnya, Dobson ingin merasai sendiri kemanisan beriman dan beribadat kepada Allah. Maka pada Januari 1998, tanpa sebarang paksaan malah penuh kerelaan dalam hatinya, dia mengucapkan syahadah, di hadapan jemaah di sebuah masjid di utara Kota London.

Rasmilah kini Dobson yang ingin mengikat iktikadnya kepada Islam walaupun ia bakal mengundang pelbagai perubahan yang besar dan juga risiko itu sendiri.

Lebih-lebih bapanya sedang menjawat jawatan penting dalam kerajaan British lalu tindakan si anak akan menyebabkan beban terhadap si ayah, di saat kalangan warga Barat masih tidak selesa dengan kehadiran dan perkembangan Islam yang pesat itu.

"Mungkin adalah tidak adil meletakkan beban pengislaman saya untuk ditanggung oleh ayah kerana masyarakat Barat masih mempunyai prejudis yang kuat dan tidak bersikap terbuka terhadap Islam.

"Berita saya masuk Islam dengan mudah akan membuatkan kedudukan ayah saya tergugat.

"Akhirnya saya memutuskan untuk tidak memberitahu kepada sesiapa terutama keluarga saya sendiri sehinggalah masing-masing bersedia untuk menerima hakikat penukaran agama itu walaupun pahit, mungkin apa yang diperlukan adalah sedikit masa," katanya yang memiliki sarjana dalam bidang Pengurusan dan Polisi Awam dari Universiti Metropolitan London.

Jangan jadi manusia rugi

SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.

Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.

Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.

Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadhan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.

Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran dengan 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, berterawih.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang subuh supaya cepat khatam.

Memang diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega sales dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya, Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega sales dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan daripada berkatnya Ramdaan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba hasil larisnya jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan ia sebagai pesta juadah sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha. Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah dan jika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diberi juga pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.

Thursday, August 5, 2010

ayat ruqyah

Dan tuhan kamu berfirman:"Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagi kamu. Sesungguhnya orang-orang yang meyombongkan diri dari menyembahKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." -(Surah al-Mukmin :Ayat 60)

Setiap penyakit ada penawarnya. Apabila bertemu dengan kaedah rawatan yang betul dan sesuai serta tepat penawarnya, Insya Allah akan sembuh segala derita sakit samada jasmani mahu pun rohani. Allah s.w.t. menurunkan penyakit dan di samping penyakit itu juga disertakan penawarnya. Terpulang kepada manusia untuk mencari kaedah rawatan yang sesuai dan mengolah segala isi alam ini untuk menjadikannya penawar bagi penyakit yang dideritai.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setiap penyakit ada ubat penawarnya dan apabila suatu ubat itu sesuai dengan jenis penyakitnya, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah." - maksud hadis riwayat Muslim

Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya telah menggunakan Al-Quran dan doa-doa untuk mengubati berbagai macam penyakit, baik disebabkan oleh tukang sihir seperti guna-guna dan lain-lainnya atau disebabkan oleh gangguan jin seperti kerasukan dan penyakit-penyakit aneh lainnya atau terkena gigitan binatang berbisa seperti kala-jengking, ular dan sebagainya. Rasulullah SAW juga menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa untuk penjagaan dan perlindungan diri.

Insya Allah jika di CD kan ayat Ruqyah boleh dijadikan bantuan rawatan bagi pelbagai masalah yang sering melanda masyarakat! Dapatkan Sekarang!

Masalah-masalah yang sering berlaku di dalam masyarakat:

Gangguan Jin Sihir saka

1. Gangguan Jin
Gejala yang mungkin berlaku:

histeria
kerasukan/tidak sedarkan diri
rasa rendah diri
rasa ketakutan
hilang daya tumpuan untuk melakukan pekerjaan
diganggu semasa beribadat hingga sukar melaksanakan solat,zikir dan sebagainya
terdengar bisikan/suara

2. Gangguan Sihir
Gejala yang mungkin berlaku:

terdapat lebam-lebam pada badan
terdapat kesan gigitan pada badan
tidak mampu bangun untuk menjalankan aktiviti harian
hilang keyakinan diri
rasa rendah diri
premis perniagaan tiada pelanggan (pelanggan tidak nampak)
gangguan ketika beribadah
hubungan keluarga tiba-tiba dingin dan hambar
terkena penyakit kronik seperti kanser dan sebagainya

3. Gangguan Saka
Gejala yang mungkin berlaku:

mimpi harimau, ular,buaya dan lain-lain
histeria
teringatkan orang yang sudah meninggal dunia
ketakutan
terdengar bisikan yang mengarahkan melakukan sesuatu
pelbagai masalah lain yang tidak dapat dirawat dengan kaedah moden

Selain masalah di atas, CD Ruqyah ini juga boleh terbukti mampu (dengan izin Allah s.w.t.) mencegah dan menyembuhkan masalah-maslah berikut:


santau
susuk
pukau
anak-anak degil dan bermasalah
perniagaan/premis perniagaan yang disihir
pebalahan suami-isteri
pendarahan yang berterusan (istihadhah)
anak-anak menangis di waktu malam
masalah kejiwaan dan konflik rohani serta fizikal
pelbagai masalah lain

Ruqyah syariah bermaksud ayat-ayat di dalam Al-Quran yang dibacakan kepada seseorang untuk mengubati penyakit, menghilangkan gangguan jin atau sihir, perlindungan diri/harta benda atau sebagainya. Ayat-ayat Al-Quran ini berasaskan daripada doa dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang dapat difahami maknanya selama tidak mengandungi unsur-unsur kesyirikan.

Yakinlah bahawa tidak ada yang mampu menyembuhkan sesuatu penyakit melainkan hanya Allah SWT. Maka di antara cara yang paling efektif untuk menghilangkan sesuatu penyakit adalah dengan memfungsikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pengubatan. Al-Quran telah menjelaskan hal itu secara terang :

Katakanlah, "Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman."
( QS. Fushshilat : 44 )
"Dan kami turunkan dari Al-Quran ( ada ) sesuatu yang menjadi ubat penawar dan menjadi rahmat bagi orang yang beriman."
( QS. Al-Isra' : 82 )


Oleh itu, di sini saya sertakan beberapa potong ayat ruqyah sebagai ikhtiar penyembuhan dari pelbagai penyakit. Ayat tersebut hanyalah sebagai ikhtiar dalam rawatan dan doa. Marilah kita beriktikad bahawa kesembuhan yang hakiki datangnya dari Allah SWT jua. Allah berkuasa makhluk tiada kuasa.

1) Surah al-Fatihah
2) Surah al-Baqarah (Ayat 1-5)
3) Surah al-Baqarah (Ayat 102) ulang beberapa kali.
4) Surah al-Baqarah (Ayat 163-164)
5) Surah al-Baqarah (Ayat 255)
6) Surah al-Baqarah (Ayat 285-286)
7) Surah Ali Imran (Ayat 18-19)
8) Surah al-A'raf (Ayat 54-56)
9) Surah al-A'raf (Ayat 117-122)
10) Surah Yunus (Ayat 81-82)
11) Surah Toha (Ayat 69)
12) Surah al-Mu'minun (Ayat 115-118)
13) Surah as Shoffat (Ayat 1-10)
14) Surah al-Ahqof (Ayat 29-32)
15) Surah ar Rahman (Ayat 33-36)
16) Surah al Hasyr (Ayat 21-24)
17) Surah al-Jin (Ayat 1-9)
18) Surah al Ikhlas
19) Surah al Falaq
20) Surah an Nas


download di sini : http://search.4shared.com/q/1/ayat%20ruqyah
http://www.4shared.com/audio/YNxnw-6J/Ayat_Ruqyah.htm

Monday, August 2, 2010

Kopi baik atau buruk?

Adakah kopi baik atau buruk untuk kesihatan? Hakikatnya ia terpulang kepada pilihan kita.

Menambah tenaga

Kopi dikatakan berguna untuk menambah tenaga dan membuatkan orang terjaga daripada ngantuk. Kandungan utama dalam kopi adalah kafein, yang berfungsi sebagai perangsang susunan saraf pusat (otak), sistem pernafasan, serta sistem pembuluh darah dan jantung. Sebab itu tidak hairan setiap kali kita minum kopi dalam jumlah yang sederhana (1 - 3 cawan), tubuh kita terasa segar, daya berfikir lebih cepat, tidak mudah penat dan mengantuk.

Ubat sakit kepala

Kafein sering kali dijadikan salah satu bahan pelengkap ubat sakit kepala. Ini kerana kafein memiliki kemampuan menyempitkan pembuluh darah ke otak sehingga pelebaran pembuluh darah di daerah otak yang merupakan penyebab sakit kepala berkurangan

Mengurangkan lemak

Lebih menarik, kafein dikatakan dapat menyusutkan lemak. Secara psikologi, tubuh badan yang gemuk kurang mampu membakar lemak ketika bersukan berbanding mereka yang bertubuh normal. Hasilnya, badan akan membakar karbohidrat sebagai sumber tenaga, sehingga kadar gula darah cepat merosot. Sebab itulah orang gemuk rasa lapar berlebihan setelah bersukan atau bersenam dan akhirnya cenderung makan lebih banyak. Dengan minum tiga cawan kopi, tubuh mereka akan bertindak balas untuk membakar lebih banyak lemak. Kafein membantu memecah lemak menjadi sumber tenaga sedia guna. Perkara ini mendorong badan lebih banyak memanfaatkan lemak, sehingga pembakaran karbohidrat menjadi lebih terbatas. Yang perlu diperhatikan kandungan gula dalam kopi terkawal.

Susu ibu tidak dihargai

Susu ibu, anugerah dari Tuhan untuk anak yang mempunyai pelbagai khasiat. Ia diperlukan bagi melengkapkan tumbesaran seseorang bayi.

Setakat Julai ini, rekod budaya penyusuan ibu mencatatkan hanya 14 peratus bagi kaum ibu di Wilayah Persekutuan memberikan susu badan kepada bayi mereka dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran.

Walaupun rekod itu sedikit meningkat berbanding hanya 12 peratus pada 2007, 2008 dan 2009 di negeri sama, namun ia masih belum membanggakan.

Lebih tepat, statistik itu menyedihkan seolah-olah kebanyakan ibu tidak menghargai anugerah Tuhan itu kepada kaum ibu terutama ibu muda zaman ini.

Justeru, sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia pada 1 hingga 7 Ogos ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Penasihat Penyusuan Ibu Malaysia (PPPIM), akan membantu memupuk kesedaran dan pengetahuan di kalangan ibu yang mempunyai bayi supaya aktif memberikan susu badan.

Misinya untuk menggalakkan budaya penyusuan badan supaya ia mampu melahirkan generasi lebih sihat pada masa depan.

Seorang ahli PPPIM yang juga bekas Ketua Jururawat Hospital Pusrawi, Marjinah Badli berkata, pada zaman moden ini, budaya memberi susu badan kepada bayi sering 'dipandang sebelah mata' di kalangan ibu yang baru melahirkan anak.

Katanya, hasil kajian yang dijalankan PPPIM menunjukkan kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan atau kelebihan susu ibu adalah faktor utama mengapa seseorang tidak aktif memberikan susu badan.

Marjinah berkata, ada yang enggan memberikan susu badan kerana tidak tahan dengan cabaran seperti rasa sakit apabila menyusukan bayi dan tiada masa akibat terlalu sibuk menjalankan rutin seharian.

"Segelintirnya pula terutama di kalangan ibu muda merasa malu untuk memberikan anak mereka susu badan lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah.

"Kebanyakan klinik swasta, tempat kelahiran bayi, akan memberi promosi susu tepung bayi secara percuma untuk tempoh tiga hingga enam bulan.

"Semua ini menyebabkan ibu lebih selesa dan tertarik untuk memberikan susu tepung kepada bayi mereka walaupun susu ibu adalah imunisasi pertama paling penting yang seharusnya diterima tubuh bayi selepas dilahirkan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Marjinah, bagi menggalakkan penyusuan badan, PPPIM pada tahun ini menggunakan pendekatan baru dengan memberikan khidmat nasihat dalam soal menyebarkan maklumat mengenainya.

Jelasnya, pada tahun sebelum ini, PPPIM sering menganjurkan acara di beberapa kawasan sasaran seperti di Putrajaya untuk menghebahkan maklumat berhubung kebaikan penyusuan badan kepada masyarakat.

Pendekatan PPPIM pada tahun ini adalah menghantar ahlinya yang terlatih untuk menyertai acara yang dianjurkan pusat perubatan dan hospital kerajaan serta swasta bagi mendidik pegawai perubatan di situ mengenai soal penyusuan badan.

"Didikan kami termasuk kepentingan susu ibu, cara betul menyusu serta faedah kepada ibu dan anak.

"Ada pakar dan doktor perubatan yang mengemukakan banyak persoalan kepada kami mengenai kebaikan sebenar penyusuan ibu kerana selama ini mereka tidak mengetahuinya.

"Harapan kami, dengan usaha yang kami jalankan tahun ini, ilmu itu dapat dikongsi bersama ibu yang melahirkan anak sekali gus menggalakkan lebih ramai yang aktif memberi susu badan," katanya.

Selain itu, Marjinah menasihatkan kaum ibu yang mempunyai bayi untuk turut bersama-sama menjayakan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia bagi menggalakkan budaya berkenaan dalam masyarakat negara ini.

Fidyah ikut hari

Soalan:

Mohon penjelasan lanjut mengenai fidyah, antaranya, kewajipan membayar fidyah, siapakah yang wajib membayar fidyah?

Jawapan:

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: ...dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin...(al-Baqarah: 184).

Berdasarkan dalil di atas, fidyah puasa hukumnya wajib disempurnakan mengikut bilangan hari.

Fidyah puasa (tebusan) adalah denda ke atas orang yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu ataupun kerana sengaja melewatkan puasa qada bulan Ramadan.

Ia merupakan satu kadar tertentu yang wajib dikeluarkan sebagai suatu pemberian iaitu sebahagian daripada harta (makanan) kepada fakir miskin.

Sabda Rasulullah SAW, "Bagi orang yang meninggal dunia dan tidak berpuasa selama sebulan hendaklah dikeluarkan fidyah dan berikan kepada fakir dan miskin". (riwayat Al-Tirmizi)

Sebab seseorang dikenakan fidyah adalah seperti berikut;


•Tidak mampu berpuasa, kebiasaannya keadaan ini berlaku ke atas orang yang telah lanjut usia. Tidak semua yang mereka yang berumur mampu berpuasa. Ini kerana tua juga merupakan satu penyakit.

Ibn Abbas berpendapat bahawa ayat 184 daripada surah al-Baqarah itu adalah rukhsah (kelonggaran) kepada mereka yang telah berumur (tua).

Walaupun puasa adalah wajib, namun bagi mereka yang telah lanjut usianya yang tidak mampu berpuasa maka boleh berbuka dengan membayar fidyah setiap hari satu cupak (567 gram).


Sekiranya seseorang yang telah lanjut usianya tidak mampu berpuasa dan juga tidak mampu mengeluarkan fidyah atau membayar fidyah maka mengikut pandangan ulama tidak berdosa. Mazhab al-Hanafiyyah menyuruh orang yang tidak membayar fidyah supaya beristighfar serta memohon keampunan Allah SWT atas ketidakmampuannya membayar fidyah, sedang Allah swt berfirman yang bermaksud: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…"(al-Baqarah: 286)


•Sakit yang tidak mungkin sembuh. Mereka yang disahkan sakit dan tidak akan sembuh tidak diwajibkan puasa. Firman Allah SWT yang bermaksud: …dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…(al-Haj: 78)


•Perempuan yang hamil dengan syarat dibimbangi keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan fidyah dan juga wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan.


•Ibu yang menyusukan anak dengan syarat dia berasa bimbang puasa akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya. Maka wajib baginya mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu serta membayar fidyah.


•Orang yang telah meninggal dunia. Hutang puasa bagi mereka yang meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Bani Israel meninggalkan Mesir

BANI Israel yang hidup di bawah pemerintahan Firaun sedar dan tahu membezakan antara sesat dan benar. Mereka juga mula percaya akan rasul Allah iaitu Nabi Musa yang datang memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka.

Mereka tidak lagi mentaati Firaun sebaliknya mula mendekatkan diri kepada Nabi Musa. Firaun telah kekurangan pengaruhnya.

Firaun mahu mengalahkan Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dengan cara pembunuhan. Nabi Musa telah merancang bersama pengikut-pengikutnya akan keluar dari Mesir pada suatu malam yang telah ditetapkan.

Apabila tiba malam tersebut, berkumpullah Nabi Musa dan kaum Bani Israel di sebuah tempat. Mereka berangkat bersama-sama meninggalkan Mesir menuju ke tanah suci Palestin.

Mereka berangkat dengan berhati-hati kerana tentera Firaun telah bersiap sedia untuk menghalangi keberangkatan mereka. Mereka berjalan di atas gurun padang pasir yang kering sehingga mereka tiba di pinggir laut yang luas.

Mereka tidak tahu bagaimana cara untuk menyeberangi laut yang luas itu. Mereka takut dan masing-masing melihat maut sedang menghampiri.

Firaun dan tenteranya semakin hampir. Firaun akan memusnahkan Nabi Musa bersama pengikutnya. Sesungguhnya mereka tidak mampu melawan Firaun dan tenteranya.

Pengikut-pengikut Nabi Musa mulai marah dan geram terhadap Nabi Musa. Mereka mula mencela Nabi Musa dan berasa kesal kerana mengikutnya.

Tiba-tiba terdengarlah teriakan daripada pengikut Nabi Musa: “Firaun sudah berada di belakang kita. Dia mahu menangkap dan membunuh kita. “Ke mana harus kita pergi? Apa yang harus kami buat untuk menyelamatkan diri daripada dikejar oleh Firaun dan tenteranya?”

“Tidak, Firaun tidak akan berjaya mengejar kita, sesungguhnya Tuhanku bersamaku dan Dia akan membimbingku. Tak usahlah kamu semua khuatir, perjalanan kita ini telah diperintahkan oleh Allah kepadaku. Dialah yang akan memberi jalan keluar serta menyelamatkan kita daripada dikejar oleh Firaun yang zalim itu, Allah sentiasa membimbingku,” kata Nabi Musa kepada pengikutnya.

Pada saat yang genting itulah, tiba-tiba Allah mewahyukan kepada Nabi Musa: “Wahai Musa, pukullah tongkatmu itu ke laut.”

Dengan segera Nabi Musa memukul laut itu dengan tongkatnya. Tiba-tiba terbentanglah di atas laut itu dua belas lorong yang luas. Di pinggir jalan itu pula berdiri tembok air yang tebal. Tembok itu tidak dapat ditembusi oleh panah atau peluru.

Mereka segera berlari dengan cepat melalui jalan yang terbentang luas. Akhirnya mereka sampai di seberang dengan selamat.

Inilah mukjizat Allah SWT yang sangat besar diberikan kepada Nabi Musa.

Tajwid memelihara kesucian al-Quran

MUKJIZAT al-Quran dalam bentuk perundangan dan susunan bahasanya amat tinggi dan tidak dapat di atasi selama-lamanya walaupun jin dan manusia berkumpul bersama untuk mencabarnya.

Al-Quran dijaga oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (al-Hijr: 9)

Satu keistimewaan al-Quran yang perlu disedari bersama ialah pembaca mestilah membacanya dengan bertajwid.

Tajwid bermaksud menyebut huruf al-Quran dengan sebutan, tepat dan sahih.

Perkara ini tidak berlaku pada semua kalam atau perkataan makhluk kecuali kalam Allah SWT sahaja iaitu al-Quran.

Ulama bersepakat dalam memberi pandangan bahawa wajib membaca al-Quran secara bertajwid. Dalil dari al-Quran yang menunjukkan perkara tersebut ialah firman AllahSWT dalam surah al-Muzzamil ayat 4 bermaksud: Bacalah al-Quran secara tartil.

Ali Ibn Abi Talib r.a menafsirkan tartil bermaksud memperelok sebutan huruf dan mengetahui wakaf.

Bacaan al-Quran dari surah al-Fatihah hingga surah al-Nas iaitu 30 juzuk yang dibaca pada hari ini diterima secara bersambung sanadnya hingga kepada Rasulullah SAW.

Membaca huruf izhar secara izhar, huruf idgham diidghamkan, membaca huruf ikhfa' secara ikhfa', hukum iqlab dibaca dengan iqlab adalah bacaan yang dibaca oleh Rasulullah SAW. Begitu juga dengan hukum mad (panjang) dan hukum tajwid yang lain.

Pernah satu ketika Abdullah Ibn Masud r.a mengajar seorang membaca al-Quran. Ketika lelaki itu membaca kalimah al-Fuqara' dalam surah al-Taubah ayat 60 dengan memendekkan suaranya, Abdullah Ibn Masud menegurnya dengan berkata bukan begitu caranya Rasulullah mengajar aku membaca al-Quran.

Lelaki itu bertanya: "Bagaimana Rasulullah mengajar kamu wahai Ibn Masud?" Beliau menjawab "memanjangkanya."

Teguran Ibn Masud kepada lelaki tersebut yang membaca dengan kadar harakat yang tidak cukup pada kalimah fuqara' memberi faham kepada kita bahawa ia adalah satu perkara yang diambil perhatian oleh Rasulullah SAW ketika mengajar para sahabat membaca al-Quran.

Walaupun sebenarnya panjang dan pendek suara pada kalimah fuqara' tidak memberi kesan kepada perubahan makna.

Objektif utama ilmu tajwid ialah menjaga lidah dari membuat silap ketika membaca al-Quran. Ini menunjukkan bahawa tajwid menjaga nas al-Quran itu dibaca dengan bentuk yang tepat dan sahih semenjak ia diturunkan hinggalah ke hari kiamat.

Ibn al-Jazari menyatakan bahawa tidak syak bahawa memahami makna al-Quran dan perundanganya adalah satu ibadat. Turut dipanggil ibadat dalam berusaha memperbetulkan sebutan lafaz al-Quran dan sebutan hurufnya sebagaimana sifat yang diterima oleh imam-imam qiraat daripada Rasulullah saw.

Al-Quran yang wujud di pasaran begitu banyak, hiasan dalamannya dan bentuk khatnya amat menarik perhatian. Namun apakah kita membacanya dengan tajwid yang betul?

Jika bacaan kita menepati ilmu tajwid kita bersyukur kepada Allah SWT dan sebaliknya jika belum menepati hukum tajwid berusahalah mempelajarinya daripada guru-guru al-Quran yang berada berhampiran dengan kita.

Perbezaan maqam Khaliq dan makhluk

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu ini kita menyambung perbahasan tentang larangan mengkafirkan dan memusuhi sesama Islam ke satu tahap lagi dengan menegaskan perbezaan antara sikap kita terhadap khaliq dan makhluk.

Penjelasan ini perlu kerana sehingga hari ini ada aliran yang cenderung mempertikaikan keIslaman orang lain semata-mata kerana mereka mengagungkan dan membesarkan Nabi SAW dan para awliya'.

Aliran ini berpegang bahawa dengan melakukan hal tersebut maka kemurnian dan kesucian tauhid seseorang akan rosak. Mereka cukup taksub dalam soal-soal ini. Seolah-olah inilah kemungkaran paling besar yang harus diutamakan pembanterasannya.

Maka dalam sambungan bicaranya dalam kitab rujukan kita Mafahim Yajib an Tusohhah, Al-Allamah Dr.Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki menegaskan bahawa membezakan di antara maqam (kedudukan) Khaliq (Allah) dan makhluk ialah batas pemisah di antara keimanan dan kekufuran. Beliau menegaskan bahawa, kita mempercayai, bahawa sesiapa yang mencampuradukkan antara kedua-dua maqam ini, maka ia menjadi kafir. Semoga dilindungi Allah SAW.

Sememangnya, setiap maqam mempunyai hak-haknya yang khusus. Tetapi, terdapat dalam bab ini, berkaitan dengan peribadi Nabi Muhammad SAW dan keistimewaannya, kita juga perlu membezakan antara baginda dengan manusia yang lain dan meninggikan martabat Rasulullah SAW berbanding manusia yang lain.

Kadang kala, perkara ini mengelirukan dan samar-samar di sisi pengetahuan sebahagian manusia lantaran kesentengan akal, kelemahan fikiran, kesempitan penelitian dan kesalahan fahaman mereka.

Lantas, mereka secara terburu-buru menghukum kafir orang yang membicarakan keistimewaan dan kelebihan Rasulullah SAW kerana menganggap golongan yang melakukan perbuatan sedemikian telah mencampuradukkan antara maqam Khaliq dan makhluk dan mengangkat darjat Nabi SAW sama tarafnya dengan darjat Tuhan SWT! Sesungguhnya kami berlepas diri daripada anggapan sedemikian.

Sesungguhnya kami dengan kurniaan Allah, mengetahui apa yang wajib bagi Allah SWT dan apa yang wajib bagi Rasul-Nya SAW. Kami juga mengetahui apa yang hanya menjadi hak Allah SWT dan apa yang menjadi hak Rasulullah SAW, tanpa melampaui batas dan berlebih-lebihan hingga sampai mensifatkannya dengan sifat-sifat ketuhanan yang khusus bagi Allah; baik sebagai Tuhan yang disembah (ilah), mahupun sebagai Tuhan yang mengurus alam ini (rabb). Misalnya, sifat menghalang, mengurniakan, memberi manfaat dan kemudaratan secara sendiri bukan dengan kekuasaan Allah. Kita tidak mensifatkan Rasulullah SAW sebagai Zat yang Maha Berkuasa, Maha Kuat, Maha Menciptakan, Raja Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mentadbir Alam, Yang Maha Agung, Yang Maha Berhak disucikan dan disembah dengan pelbagai cara ibadah, dalam pelbagai keadaan dan tingkatan.

Adapun Ghuluw, jika merujuk berlebih-lebihan dalam kesungguhan mencintai Nabi Muhammad SAW, mentaatinya dan tertambat hati dengannya, adalah soal isu yang berbeza dan merupakan sikap yang disukai dan dituntut oleh Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang disebut di dalam pelbagai ayat al-Quran dan hadis dalam bab tersebut.

Mengagungkan Nabi Muhammad SAW dengan selain daripada sifat-sifat ketuhanan, sama sekali tidak mengandungi unsur-unsur kekufuran atau kesyirikan. Bahkan, perbuatan tersebut merupakan ketaatan dan pendekatan diri kepada Allah yang sangat tinggi dan agung. Demikian juga halnya, mengagungkan orang-orang yang diagungkan oleh Allah , seperti para Nabi dan Rasul AS, para malaikat, ahli siddiqin, syuhada dan orang-orang soleh.

Allah SWT berfirman: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang Mukmin. (al-Hajj:32)

Itulah yang wajib dipatuhi; dan siapa yang menghormati hukum-hukum Allah, maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. (al-Hajj:30)

Di antara syiar Allah ialah Kaabah yang diagungkan, Hajar Aswad dan Makam Ibrahim AS. Semuanya itu adalah batu-batu yang diperintahkan oleh Allah kepada kita supaya mengagungkannya, dengan cara melakukan tawaf di sekeliling Kaabah, mengusap Rukun Yamani, mencium Hajar al Aswad dan melakukan solat di belakang Makam Nabi Ibrahim AS.

Kita juga diperintahkan supaya berhenti untuk berdoa di tempat-tempat yang mustajab, di pintu Kaabah dan Multazam. Ketika melakukan semua perkara tersebut, kami tidak berniat menyembah selain Allah SWT. Bahkan, kami tidak beriktikad adanya sesuatu yang memberi kesan selain kekuasaan Allah SWT; baik dalam memberi manfaat, mahupun mudarat. Tidak ada sedikitpun daripada semuanya itu terjadi kerana pengaruh dan kekuasaan seseorang melainkan kerana kekuasaan Allah SWT.

Jika kita boleh menerima untuk melakukan semua itu terhadap benda-benda yang tidak bernyawa semata-mata kerana memenuhi perintah Allah SWT, maka apakah Nabi SAW dan para pewarisnya di kalangan para awliya' yang hakiki tidak termasuk dalam maksud syiar-syiar agama Allah yang perlu disanjung dan dibesarkan?