? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Monday, September 15, 2008

ANTAKYA: Senasib Kashmir dan Pattani

“Çay, çay! Buyrun ağabey, çay için ya!(Teh, teh! Silakan abang, minumlah teh ni)”, tiga orang budak muncul dan begitu ramah menyambut ketibaan kami.

Tentunya pelawaan budak botak bertiga ini disambut baik oleh rakan-rakan saya. Selepas 21 jam perjalanan dari Rize ke İskenderun, tiba-tiba mereka disambut oleh kanak-kanak itu dengan secawan teh panas. Aduh, tentunya enak sekali. Badan yang lenguh di sana sini, ditambah pula dengan cuaca yang agak sejuk pagi itu, seteguk teh Turki memang seperti kurniaan terbesar dari Ilahi. Saya hanya tersenyum melihat gelagat Arief, Abdul Rashid, Sabri, Baihaqi dan Munawwar melayan çaycılar (penjual teh) bertiga itu.




Saya, Baihaqi, Sabri, Munawwar dan Arief bergambar di stesyen bas Rize sebelum bertolak ke Ä°skenderun

“Wah, betullah Hasrizal. Memang orang Turki ni baik-baik. Mana nak jumpa dalam dunia ni, tiba sahaja di stesyen bas, disambut dengan secawan teh!”, kata Baihaqi.

Saya hanya tersengih mendengar komen Baihaqi. Perjalanan dari Rize memang memenatkan. Bas yang kami naiki tidaklah begitu baik. Namun cukup selesa bagi kami yang hanya mahu menunggu bas memulakan perjalanan untuk melelapkan mata. Saya tersedar semasa bas kami melalui Kayseri, pipi saya seperti hendak beku. Rupa-rupanya di luar bas, salji masih berlonggok di sepanjang jalan. Kayseri masih belum reda dari musim sejuknya walaupun ketika itu sudah masuk bulan Mei. Kami sebenarnya dalam perjalanan ke Hatay (Antakya) iaitu bandar paling selatan di timur Turki. Namun kami perlu menukar bas di Ä°skenderun untuk ke Hatay.

“Tamam, bana elli bin ver!”, kata budak botak bertiga itu kepada rakan-rakan saya. Mereka menghulurkan tangan seperti meminta sesuatu.

“Mereka minta apa, Hasrizal?”, Munawwar kebingungan.

“Itulah kamu semua, ana memang tak nafikan yang orang Turki ni baik-baik. Tapi tidaklah sampai menyediakan teh percuma untuk semua penumpang bas yang sampai ke stesyen. Nah, sekarang bayarlah TL50 ribu kepada mereka. 50 ribu untuk setiap cawan, ya!”, saya ketawa melihat karenah rakan-rakan saya ‘ditipu’ oleh kanak-kanak tersebut.

Mujurlah secawan teh pada masa itu hanya TL50 ribu. Pada masa tersebut TL50 ribu adalah hampir menyamai 50 sen duit kita. Selepas mencubit pipi budak botak tersebut, saya mengajak rakan-rakan saya ke kaunter tiket untuk mendapatkan tiket bas ke Antakya. Di sana nanti, kami akan disambut oleh rakan saya, Abdullah Sirt. Beliau baru sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti of Jordan dan kini membantu bapanya mengendalikan operasi sekolah Tahfiz mereka.

Perjalanan dari Ä°skenderun ke Antakya hanya memakan masa 2 jam. Di sepanjang perjalanan menuju ke Antakya, mata saya terpaku melihat ombak Mediterranean di persisiran pantai. Air yang biru itu sungguh mendamaikan.Ya, akhirnya sampai juga saya ke pantai timur Mediterranean. Kawasan ini sememangnya penuh sejarah. Saya cuba membayangkan bagaimana tentera Islam di zaman Uthman bin Affan r.a. berjaya menyeberangi perairan ini untuk menawan Pulau Cyprus. Malah sebelum itu Antakya sendiri sudah jatuh ke tangan umat Islam iaitu pada tahun 638M. Antakya dicatatkan sebagai bandar pertama di mana kaum Nasrani digelar sebagai Kristian dengan terbinanya gereja pertama di situ. Ia pernah menjadi bandar ketiga terbesar di empayar Rom iaitu selepas Rome dan Iskandariah di Mesir.



Makan tembikai di pantai Iskenderun, persisiran Mediterranean

Memang banyak yang ingin saya ketahui tentang Antakya. Sebenarnya Turki lebih selesa memanggil Antakya sebagai Hatay, demi untuk menghilangkan identiti Arab pada nama Antakya itu. Paling menarik, saya difahamkan oleh Abdullah bahawa penduduk Antakya sebenarnya berbahasa Arab dengan dialek Halab, Syria. Antakya umpama anak angkat (anak tiri) Arab beribu bapakan Turki. Nantilah saya ceritakan mengenainya, Insya Allah.


Kira-kira jam 11 tengah hari, kami tiba di Antakya Otogar.

“Allah, akhirnya sampai juga kamu ke Antakya. Hoş geldiniz!”, Abdullah memeluk saya erat.

Walau pun saya dan Abdullah baru sahaja beberapa bulan berkenalan semasa di Amman, namun seperti biasa hubungan kami cepat mesra. Jika dengan sahabat-sahabat Turki, sememangnya tidak sukar untuk saya bersahabat. Tidak perlu mencari-cari, sahabat akan datang sendiri. Benarlah kata bijak pandai, “tidak perlu mencari sahabat, jadikan sahaja dirimu seorang yang mudah bersahabat, nescaya sahabat akan datang bertandang. Sahabat yang hakiki!”

“Hoş büldük”, saya menggenggam erat tangan Abdullah.

“Alhamdulillah, syukur saya kepada Allah. Bukan mudah untuk kami sampai ke sini. Sampai kena tipu dengan tiga budak botak tadi!”, saya tersenyum sinis sambil memperkenalkan Abdul Rasyid, Sabri, Arief , Baihaqi dan Munawwar kepada Abdullah.

Kami dibawa menuju ke rumah Abdullah yang terletak di dalam kawasan sekolah ayahnya. Ayah Abdullah, adalah pengetua sekolah tersebut. Saya sudah lupa nama ayahnya, tetapi saya menggelarkan beliau sebagai ‘Omar Mokhtar Turki’ kerana wajah mereka hampir serupa. Bukan Anthony Quinn, tetapi ‘Omar Mokhtar’ sebenar yang saya lihat di majalah lama, koleksi perpustakaan Universiti of Jordan, beberapa bulan yang lalu.



Kami disambut dengan penuh gembira oleh ayah Abdullah. Beliau menggenggam erat tangan setiap kami sambil merenung wajah kami dengan pandangan seorang bapa yang penyayang.

“Kamu semua adalah mujahid!”, katanya spontan.

“AMALAN MENGHAFAL AL-QURAN DI TURKI”

Pakcik ‘Omar Mokhtar Turki’ telah memperkenalkan kami kepada Selman, iaitu salah seorang pelajar di sekolah Tahfiz tersebut. Menurut beliau, Selman anak orang susah. Ibunya menghantar dia ke sekolah Tahfiz ini hampir setahun yang lalu, tanpa sebarang bekalan. Selman mencium tangan kami sambil berkata, “hurmetler!”



Bersama Pakcik Omar Mokhtar Turki kami di Lereng Bukit Antakya

“Hurmetler.”, saya membalas.

“Sudah berapa juzuk kamu menghafal, Selman?”, saya cuba meramahkan diri.

“Elhamdulillah saya sudah habis menghafal keseluruhan al-Quran!”, jawabnya sambil menundukkan kepala.

Wah, terkejut saya mendengarnya. Tidak sampai setahun, Selman, seorang anak kampung berusia 10 tahun sudah selesai menghafal al-Quran. Kata ayah Abdullah, Selman memang seorang yang cerdik. Namun, di Turki, cara kanak-kanak ini menghafal agak berbeza sebab mereka tidak boleh berbahasa Arab. Ya, ajaib bukan. Begitu ramai di dunia ini, mereka yang menghafal sebuah kitab yang bahasanya tidak dituturkan oleh si penghafal. Ini juga salah satu mukjizat al-Quran.

Di Turki, anak-anak ini lazimnya menghafal al-Quran pada usia di antara 8 ke 12 tahun. Mereka memulakan hafalan dengan menghafal muka surat pertama juzuk satu. Selepas itu mereka akan menghafal muka surat pertama juzuk dua. Kemudian, diikuti dengan muka surat pertama juzuk tiga, empat, lima dan akhirnya di juzuk ke-30. Selesai 30 muka surat, mereka akan berpatah balik dan mula menghafal muka surat terakhir juzuk satu, diikuti dengan muka surat akhir juzuk dua, tiga, empat dan hinggalah ke muka surat terakhir al-Quran. Sejurus itu, mereka akan berpatah ke belakang dan mula menghafal muka surat kedua setiap juzuk, dan kemudiannya berpindah ke muka surat kedua akhir di setiap juzuk. Akhirnya hafalan mereka menjadi lengkap di tengah-tengah setiap juzuk. Kaedah ini nampaknya pelik, namun ia menjadikan hafalan mereka begitu kuat, dan segera dihabiskan sebab anak-anak ini ghairah untuk menemukan dua bahagian yang dihafal di tengah-tengah setiap juzuk. Saya tidak pasti sama ada semua sekolah Tahfiz di Turki mengamalkan kaedah yang sama atau tidak, namun kaedah pelik ini memang menjadikan saya teruja seketika.

Menghafal al-Quran adalah perkara biasa di Turki, khususnya di bandar-bandar yang kuat Islam di timur Turki. Amat jarang kita mendengar orang bertanya, “kamu dah khatam al-Quran ke?”. Sebaliknya bagi mereka, menghafal al-Quran itulah sebenarnya yang patut dicapai oleh setiap anak muda. Memang masih banyak kampung yang boleh dikatakan semua penduduknya adalah hafiz belaka. Peladang, yang menarik kambing, yang menyapu sampah, yang menjadi kerani di Majlis Daerah, semuanya menghafal al-Quran belaka. Jangan terkejut jika saya katakan, masih ada di sesetengah kawasan, orang tua menawarkan agar kita berkahwin dengan anaknya, hanya semata-mata kerana kegembiraannya mendengar kita membaca al-Quran dengan baik. Tetapi Abdullah enggan membawa saya ke kampung itu!

Menurut Pakcik ‘Omar Mokhtar’, semasa era Atatürk orang ramai amat takut untuk membaca al-Quran secara terbuka. Malah ada yang terpaksa menanam mushaf al-Quran di dalam tanah di lantai rumah agar tidak dikesan oleh regim Atatürk. Di zaman itu, orang ramai berusaha keras untuk menghafal al-Quran kerana bimbang al-Quran pupus dari kehidupan mereka. Justeru hingga ke hari ini, menghafal al-Quran sudah sememangnya menjadi kebiasaan umat Islam di Turki. Saya fikir memang tidak ada sebuah negara yang mempunyai penghafal al-Quran seramai di Turki. Bayangkan di Istanbul sahaja ada lebih daripada 1000 buah masjid. Kebanyakan masjid mempunyai kelas Tahfiz dan setiap sekolah itu menghasilkan tidak kurang daripada 10 orang penghafal al-Quran pada setiap tahun!

“BELENGGU PEMBACA RISALAH AL-NUR AL-NURSI”

Pada musim panas, pelajar-pelajar sekolah Tahfiz ini akan dibawa ke premis sekolah di atas bukit di tepi lebuh raya Antakya – İskenderun. Perjalanan kami menaiki bukit tersebut amat menarik. Di sepanjang perjalanan, pelbagai kisah diceritakan oleh Pakcik ‘Omar Mokhtar’. Rupa-rupanya beliau adalah salah seorang anak murid Bediuzzaman Said al-Nursi yang masih hidup. Beliau menegaskan yang beliau kecewa dengan sikap kebanyakan ahli gerakan Fethüllah Gülen. Padanya, golongan ini yang lebih dikenali sebagai Nurcular, sebenarnya hanya menumpang nama Bediuzzaman Said al-Nursi tetapi tidak mengikut pengajarannya yang sebenar. Mereka asyik membaca Risalah al-Nur tetapi tidak berjihad seperti Bediuzzaman.

Saya sukar hendak menafikan komentar Pakcik ‘Omar Mokhtar’ tentang Nurcular ini. Saya mempunyai pengalaman saya sendiri dalam hal ini. Pernah semasa saya menumpang tidur di sebuah asrama milik pergerakan ini, saya hairan melihat mereka membaca Risalah al-Nur hampir 6 kali sehari sedangkan mereka tidak langsung kelihatan membaca buku-buku agama yang lain. Malah jarang benar kelihatan al-Quran disentuh. Saya cuba memberanikan diri dan bertanya kepada salah seorang daripada rakan di asrama tersebut tentang hal ini.

Katanya, “Bediuzzaman Said al-Nursi menuntut ilmu dengan ribuan Ulama untuk menulis Risalah al-Nur. Jadi, dengan kita membaca Risalah al-Nur ini, kita seakan-akan sudah menuntut ilmu dengan ribuan Ulama. Kita tidak perlu membaca buku lain sebab di dalam Risalah al-Nur ini ada jawapan kepada semua soalan yang manusia fikirkan!”

Inilah belenggu pemikiran yang menyedihkan saya.

Aduh, kepala saya memang pening mendengar kata-kata seperti ini. Saya akui, Risalah al-Nur memang hebat. Membacanya memang mengenyangkan akal dan hati, malah emosi. Namun, untuk berpuas hati dengan membaca Risalah al-Nur semata-mata, saya kira ini adalah satu sikap yang Bediuzzaman sendiri tidak merestuinya. Namun, saya tidaklah begitu mengendahkan soal tersebut kerana apa yang paling menghairankan saya ialah sikap gerakan Nurcular yang amat lantang menentang Parti Refah, senada dengan penentangan yang dibuat oleh golongan Sekular di Turki terhadap parti Islam pimpinan Necmettin Erbakan itu. Ya, jika tidak suka kepada politik, itu adalah pendirian biasa bagi sebuah gerakan Islam di mana-mana. Namun, penolakan terhadap siasah secara melukakan gerakan Islam yang lain, serta menyokong pula ahli politik seperti Mesud Yilmaz, saya memang kebingungan. Tambahan pula, saya amat meminati tulisan Fehmi Koru di akhbar Zaman. Akan tetapi, jika isu Refah, Necmettein Erbakan dan Recab Tayyib Erdogan yang dibincangkan, saya lebih suka menyelak muka surat ulasan bola sepak.

“Aku berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang terkutuk, dan daripada Siasah!” - Bediuzzaman Said al-Nursi

Nurcular hari ini suka mengulang-ulang ucapan Bediuzzaman Said al-Nursi yang masyhur itu untuk menyatakan penentangan mereka terhadap penglibatan orang Islam di dalam politik Turki. Sedangkan apa yang dimaksudkan oleh Bediuzzaman itu adalah politik Atatürk di zamannya. Kata-kata itu amat khusus konteksnya, tetapi telah diimplimentasikan oleh Nurcular kepada politik secara keseluruhannya. Itu pun, saya kira mereka menolak politik Refah sedangkan mereka selesa dengan politik Mesud Yilmaz. Memang mengelirukan…



Pemandangan di salah sebuah Yayla di kawasan Karadeniz

Akhirnya kami tiba di puncak bukit. Pemandangan di atas sana sangat indah. Ia adalah seumpama Yayla di Laut Hitam. Yayla adalah istilah yang merujuk kepada rumah atau pondok percutian di pergunungan kawasan Laut Hitam di Turki.

Di atas sana, kami memetik buah anggur, tembikai dan mengorek bawang di dalam tanah. Semuanya diangkut dan dikumpulkan di atas pangkin dan tengah hari itu, saya dan rakan-rakan menjamu selera dengan makan tengah hari yang paling unik di dalam hidup kami. Menjadi adat kebiasaan orang Turki makan tembikai bersama keju putih yang diperbuat daripada susu kambing. Rasa masam, masin dan manis itu sememangnya menyelerakan kami.

Di sebelah petang, kami diajak oleh Abdullah pergi ke air terjun di Serinyol untuk membasuh karpet sekolah. Beliau membawa saya dan rakan-rakan menaiki pick-up untuk ke Serinyol yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Antakya.Serinyol mempunyai sejarah dan latar belakangnya yang ganjil. Hari ini ia merupakan kampung penginapan golongan Syiah Alevi (Alawiyyin) aliran Nusairiyyah yang sangat melampau. Golongan Alevi ini dikatakan hidup merempat di zaman Othmaniyyah, lantaran polisi Othmaniyyah yang amat keras terhadap Syiah. Mereka sering dijadikan hamba abdi dan tidak mempunyai hak untuk memiliki harta.Namun selepas kejatuhan kerajaan Othmaniyyah, golongan Alevi ini bangkit. Malah hingga salah seorang daripada mereka berjaya menjadi Presiden Syria iaitu Hafiz al-Asad.

Semasa pick-up kami merentasi perkampungan Serinyol, saya menyedari yang semua mata tertumpu kepada kami. Saya tidak dapat membayangkan adanya hubung kait penduduk Serinyol ini dengan Islam. Mereka minum arak secara terbuka, hampir setiap kedai mempamerkan gambar orang muda yang didakwa mereka sebagai Ali r.a. Kata Abdullah, ayahnya pernah nyaris dibunuh oleh orang Alevi kerana mempertikaikan amalan 10 Muharram mereka, semasa beliau mengajar di masjid. Abdullah menceritakan kepada kami bahawa pada 10 Muharram, penduduk Serinyol akan berkumpul di dewan orang ramai untuk mengadakan upacara menyeksa diri sempena memperingati syahidnya Saidina Husin di Karbala. Dan pada sebelah malamnya, mereka akan padamkan lampu lalu berzina beramai-ramai di dalam gelap. Astaghfirullah, takut saya mendengarnya. Setakut hati saya melihat mata puak Alevi yang merenung tajam ke arah kami.

Kalau sekadar menilai pada apa yang dilihat mata, saya tidak dapat merasakan langsung yang penduduk Serinyol ada kena mengena dengan Saidina Ali r.a. dan Islam sendiri.

Setibanya kami di air terjun itu, saya, rakan-rakan dan pelajar sekolah Tahfiz yang bersama kami, mengangkut turun karpet untuk dibasuh. Abdullah memang selalu membawa anak buahnya datang ke air terjun ini kerana ia jauh dari kawasan pelancongan. Tiada maksiat, iman selamat!

Wah, sejuk betul air di situ. Malah semasa kami berendam, badan terasa geli ‘dicubit’ anak-anak ikan yang berkeliaran di celah-celah kaki.



Kenangan di jeram Serinyol

Dekat sini ada tasik kecil. Di situ, ada banyak ikan yang menjadi doktor!”, Abdullah membuka cerita.

“Jadi doktor, macam mana tu?”, Sabri bertanya untuk mendapatkan kepastian.

“Ya, di kolam tersebut ada ikan-ikan yang akan menggigit badan orang yang berendam. Bukan sebarang gigit, ia umpama kita berbekam. Tapi beberapa tahun lepas, khabarnya ada orang Eropah berpenyakit AIDS yang berendam di situ. Semua ikan di situ mati. Hmm, saya pun tak tahu betul atau tidak kejadian tersebut. Cerita orang…!”, Abdullah bercerita dengan panjang lebar.

Keesokan harinya, Abdullah membawa kami melawat perkampungan pelarian Afghan yang bekerja menanam bawang. Tapi, bukanlah bawang itu yang menjadi sasaran. Sebenarnya kami ke kampung Afghan itu untuk membeli jaket kulit. Orang Afghan memang mahir menjahit jaket kulit dan kualitinya memang bagus. Jimatlah duit kami sebab jaket-jaket itu belum dibubuh jenama. Kalau sudah berjenama, hanya elit Istanbul sahaja yang mampu membelinya!

Lawatan kami ke Antakya ini memang penting bagi saya. Kali pertama saya mendengar tentang bandar ini ialah semasa membaca Tafsir Surah Yasin.

“Dan telah datanglah seorang lelaki secara bergegas-gegas dari sebuah pekan yang jauh. Dia berkata (kepada penduduk di situ): Wahai kaumku, ikut para utusan itu!”

Kisah Habib al-Najjar yang diceritakan di dalam surah Yasin ayat 20 itu, menceritakan bahawa ‘sejauh-jauh pekan’ yang disebutkan di dalam kisah tersebut adalah bandar Antakya. Ia disebut di dalam kitab Tafsir, namun status maklumat ini tetap sebuah Israiliyyat bagi saya. Mengiyakannya pun tidak, menafikannya juga tidak perlu.

“NASIB ANTAKYA SEPERTI KASHMIR DAN PATTANI”

Bandar Antakya ini, atau yang lebih dikenali sebagai Hatay oleh orang Turki, telah menjadi wilayah Othmaniyyah pada tahun 1516 di tangan Sultan Selim I. Ia kekal menjadi wilayah Othmaniyyah sehinggalah kepada berlakunya kebangkitan Arab 1916. 1918 menyaksikan bagaimana tentera Othmaniyyah berundur dari tanah Arab dan meninggalkan Halab yang merupakan sebahagian daripada Antakya pada masa itu. Namun, bak kata pensyarah saya semasa di Jordan, Revolusi Arab adalah kemuncak kebodohan bangsa Arab di sepanjang zaman.

Keinginan untuk memerintah sendiri, keluar daripada ‘penjajahan’ Turki, telah mendorong tentera Revolusi Arab untuk bekerjasama dengan Inggeris, Perancis dan kuasa-kuasa Imperialisma barat ketika itu. Selepas kuasa ‘Turki’ Othmaniyyah berjaya disingkirkan daripada Halab dan sekitar Antakya, pada tahun yang sama, 1918, Perjanjian Mondros telah ditandatangani. Akibatnya, İskenderun, Belen dan akhirnya juga Antakya jatuh ke tangan Perancis.

Tahun 1921 menyaksikan Perjanjian Ankara termetera di antara Turki dan Perancis. Ini membawa kepada berakhirnya penguasaan Perancis terhadap Syria. Akan tetapi Antakya di İskenderun Sancak kekal di tangan Perancis dan ini menjadi nanah yang menyakitkan Atatürk. Pada Julai 1938, Wilayah Hatay telah ditubuhkan secara rasmi. Selepas persidangan dan perjanjian 7 Julai 1939, Hatay secara rasminya menjadi wilayah Republik Turki.

Akan tetapi, seperti kata Abdullah, keAraban Antakya lebih menyerlah berbanding dengan sifat Turkinya. Bagi Syria, Antakya tetap sebahagian daripada wilayahnya. Saya sering tersenyum apabila melihat segmen ramalan cuaca yang disiarkan oleh berita di TV Syria. Mereka melukis peta Syria dengan memasukkan Antakya sebagai sebahagian wilayah Syria.

Ini mengingatkan saya kepada nasib yang sama di Kashmir dan Pattani. Kashmir itu Pakistan (Islam), tetapi penjajah sengaja meletakkannya di dalam pemerintahan India. Pattani itu Melayu (Islam) tetapi sengaja diletakkan di bawah pemerintahan Thailand. Semua ini menjadi sebahagian strategi jangka panjang divide and rule Imperialisma Barat. Antakya, Kashmir dan Pattani terus kekal sebagai wilayah panas dan tidak stabil, dan ini memberi suntikan racun yang membinasakan umat Islam. Paling kurang pun, pasaran industri senjata api boleh terus berlangsung mengikut selera kuasa Barat.

Malang sekali bagi saudara-saudaraku. Menjadi patung-patung catur di papan penjajahan musuh Allah. Saya dan Abdullah termenung memikirkan hal ini. Perbualan kami di bawah teduhan pangkin lereng bukit sekolah Tahfiz itu terhenti dan hening seketika. Pandangan saya jatuh jauh ke kaki bukit, merenung lebuhraya yang lesu dan sunyi dari kenderaan. Kekuningan sinar mentari melabuhkan rasa sayu di hati kami semua. Seperti biasa, dalam kegembiraan saya mengembara di Turki, hati sering dilanda duka. Terlalu banyak tragedi dan cerita pilu yang bertamu. Semuanya hasil tinggalan kematian sebuah Khilafah, yang menjadi simbol kuasa dan maruah, umat yang sepatutnya Izzah lantaran sujud dan tunduknya, hanya kepada Allah.

Bilakah kami semua boleh keluar dari papan catur Kuffar ini ya Allah?

Buat Abdullah dan ayahanda yang dihormati…

“Jangan ucapkan selamat tinggal,
Bahkan ucaplah hingga bertemu lagi;
Seandainya tidak di bumi Tuhan,
Mudah-mudahan di syurganya nanti!”

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

10 Februari 2006 / 11 Muharram 1427H

56000 Cheras, Kuala Lumpur



__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih

0 comments: