? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Wednesday, November 19, 2008

Pelayaran Mengenal Fungsi Diri - Lawat Semula

“Ustaz, sampai sekarang saya masih belum nampak saya ini sebenarnya Allah cipta untuk buat kerja apa?”, tanya Imad kepada saya, selepas Kuliah Maghrib di KTDI sebentar tadi.

“Maksudnya?”, saya cuba membantu Imad memperincikan soalannya.

“Saya sudah di hujung pengajian perubatan. Belum ada kepastian kelebihan dan kecenderungan saya di mana”, ujarnya.


Alhamdulillah. Imad yang ini bukan anak saya. Tetapi senama. Kebetulan yang menguja.

Alhamdulillah kerana buah fikiran yang saya kongsi sama ada melalui pertemuan di kolej, atau melalui tulisan yang saya lakar di saifulislam.com, Imad sudah dapat menangkap intipati mesej yang cuba saya sampaikan.

“Awak adalah orang kedua bertanyakan soalan ini kepada ustaz. Orang pertama adalah diri ustaz sendiri. Bertanya kepada diri sendiri soalan yang sama”, saya berkongsi cerita.

“Pertamanya izinkan diri untuk mengembara. Ustaz andaikan seperti sebuah kembara di lautan yang luas terbentang”, saya cuba beranalogi.

Imad dan Azhar yang menemani saya minum, terus mendengar.

Mencari jawapan kepada soalan, “saya hidup ini untuk buat kerja apa” … adalah suatu pelayaran di lautan yang luas. Jawapan kepada soalan itu memang luas.

Ya, menjadi seorang doktor… itulah karier yang menanti seorang pelajar perubatan. Tetapi lautan itu masih luas.

Doktor apa? Mahu ke medical atau surgery? Lautannya masih luas.

Itu kalau saya kecilkan soalan kepada kerjaya. Tetapi jika dibesarkan kepada soal menjadi khalifah Allah… khalifah yang bagaimana… maka lautan itu akan terus melebar.

“Habis,bila nak nampak daratannya ustaz?”, tanya Imad lagi.

“Itulah persoalannya”, tepat sekali soalan Imad kepada saya.

Jika kita berhenti berlayar, dan memilih untuk menjadi pulau kecil di tengah lautan, maka di situlah berakhirnya persoalan “hidup untuk apa” itu tadi.



MEMILIH HIDUP YANG TIDAK BERMAKNA

Melukut di tepi gantang, kata orang Melayu. Hadirnya tidak dirasai, perginya tidak disedari. Sungguh tidak bermakna. Sebutir pulau di tengah lautan bererti cukup sahaja dengan apa yang ada.

Minum air masin, tak apa. Eloklah… daripada tak ada air langsung. Makan ikan sahaja, tak apa. Eloklah… daripada tak ada makanan langsung.

Orang yang malas belayar dan mengambil keputusan untuk bercukup dengan apa yang ada, tidak akan dapat menjawab soalan “apa peranan sebenar saya hidup di dunia ini”.

Kalau seorang doktor, mungkin sehingga jadi chronic MO! Peningkatan diri hanya sekadar pada peningkatan tangga gaji kerana bertambahnya tahun perkhidmatan dengan sedikit kelulusan kursus-kursus induksi.

Tiada pengkhususan dan tidak berjaya untuk tersendiri, kerana berpada dengan apa yang ada. Berhenti belayar dan mencipta daratan sendiri, biar pun hanya sekangkang kera.

Maka kita kena terus belayar… hingga nampak daratan. Pelbagai daratan. Singgahlah di daratan itu, satu demi satu, ketahui realitinya dan bukan hanya memandang pantai dari jauh.



BELAYAR LAJU DAN HINGGA KETEMU

Kuncinya ialah, belayarlah selaju mungkin agar cepat melihat daratan, agar banyak melihat daratan, agar boleh menggunakan masa untuk turun ke daratan demi daratan, dan akhirnya memilih daratan terbaik untuk tercampak ke darat menjadi gunung.

Dalam hidup ini, buat apa pun, buat yang terbaik. Terokai habis-habisan setiap peluang yang ada. Ia seumpama belayar biar sampai jumpa daratan. Beranikan diri turun ke pantai dan ketahui realiti sebenar di pantai itu.

Dengan syarat, anda belayar laju dan optimum. Agar jangan lengah tiba ke satu daratan, kerana mungkin ada beberapa daratan lagi yang perlu dicuba.

“Ustaz harap awak tidak pening dengan analogi tadi”, saya tersenyum.

“Saya faham apa yang ustaz maksudkan. Kalau kita buat attachment contohnya, jika belajar sambil lewa, kita pun tak pasti kita berpotensi atau tidak di bidang itu. Kecuali kita buat habis-habisan, barulah kita tahu bidang itu adalah bidang kita atau tidak”, Imad cuba menyimpulkan analogi saya.

“Benar. Jika memang bidang kita, segeralah bercucuk tanam dan memakmurkan daratan kita itu. Jika bukan bidang kita, jangan berlengah untuk terus belayar dan mencuba daratan-daratan yang lain”, saya menambah.

PELAYARAN SAYA

Saya sendiri, sudah mencuba pelbagai jenis pekerjaan. Bekerja sebagai Imam, cikgu sekolah, Pengetua, Chaplain di hospital, penjara dan universiti, motivator, ustaz, ahli sejarah, cenderung kepada pelajar, cenderung kepada pekerja, cenderung kepada menyokong moral pesakit… pelbagai daratan sudah saya singgah.

Dan di setiap daratan itu saya berikan sepenuh keupayaan untuk menguji bakat, keserasian, minat dan kebolehan. Akhirnya pilihan yang pelbagai itu akan mula menonjolkan diri kita yang sebenarnya.

BAKAT SAHAJA TIDAK CUKUP

Dalam pelayaran mengenal fungsi diri, adakalanya kita ditipu oleh pujian bahawa kita berbakat dalam satu-satu kerja yang kita buat, dek satu dua kejayaan yang terhasil. Kita sangkakan bakat itulah penentu kepada tempat sauh dilabuh. Sedangkan bakat semata-mata, tidak pernah memadai. Ia hanya sebahagian daripada jawapan kita dalam pelayaran mengenal fungsi diri.

Bakat memerlukan kekuatan pada kepercayaan dan keyakinan diri.

Bakat juga berhajat kepada inisiatif untuk menjadi aktif.

Bakat perlu mendambakan fokus diri agar ia terarah.

Bakat juga memerlukan perancangan dan persiapan untuk ia mengambil posisi.

Bakat sangat memerlukan latihan untuk menajamkannya.

Bakat juga amat memerlukan istiqamah untuk terus menghidupkannya.

Bakat hanya akan terpelihara dan terus berguna apabila SIKAP yang betul mengiringinya.

Itulah pesanan John C. Maxwell di dalam bukunya “TALENT IS NEVER ENOUGH” yang amat saya galakkan buat kita semua membacanya.



Mudah-mudahan di hujung percubaan demi percubaan itu, saya, Imad dan kita semua akan bertemu dengan keunikan dan keistimewaan diri sebagai gelanggang kita yang tersendiri… khalifah Allah di muka bumi.

Allah tidak menciptakan manusia ada yang pandai ada yang bodoh. Tetapi Allah mencipta kita semua berbeza kepandaian. Carilah keistimewaan diri masing-masing

Allah tidak menciptakan manusia ada yang pandai ada yang bodoh. Tetapi Allah mencipta kita semua berbeza kepandaian. Carilah keistimewaan diri masing-masing pada kata kunci yang mudah…

Buat apa sahaja, biar sehabis baik!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
17 Mei 2007



__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih

0 comments: