IMAN amat penting dalam kehidupan manusia yang berpandukan agama sebagai cara hidup. Tanpa iman yang mantap, manusia mudah hanyut lantaran mengikut hawa nafsu yang pastinya mengajak manusia ke jalan yang dimurkai Allah s.w.t.. Manusia yang beriman memerlukan sesuatu yang dapat membimbing ke arah jalan yang lurus dan diredai Allah s.w.t.. Sesuatu yang amat bernilai dan menyuluh kehidupan manusia ialah ilmu. Ilmu adalah nur (cahaya) yang menerangi hati manusia. Orang-orang yang beriman dituntut supaya mencari ilmu tidak kira lelaki atau perempuan. Dengan ilmu manusia dapat membina tamadun mereka sendiri sehingga dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Sejarah telah membuktikan bahawa ilmu dalam pelbagai bidang dapat menjana satu bentuk kehidupan yang lebih baik, terancang dan efisien sehingga dipandang tinggi oleh masyarakat lain. Hasil ketinggian ilmu yang dikuasai umat Islam sejak zaman pemerintahan khalifah Abbasiyah mampu diterjemahkan dalam bentuk seni bina, perubatan, ekonomi, sistem kewangan, astronomi, pertanian dan lain-lain sehingga disegani oleh orang-orang bukan Islam pada zaman tersebut. Dalam kehidupan seseorang muslim, iman, ilmu dan amal hendaklah seiring agar matlamat untuk melahirkan ummah yang berkualiti akan tercapai. Islam menghendaki agar umatnya sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu untuk mentadbir kehidupan di dunia ini. Jika kita lihat dalam konteks pembangunan negara, umat Islam sering dilabelkan dengan kemiskinan, kelemahan dan kemunduran. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana itulah realiti pada hari ini. Tahap penguasaan umat Islam dalam pelbagai bidang ilmu masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara bukan Islam yang kebanyakannya telah diiktiraf sebagai negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun dan Jerman. Negara-negara bukan Islam maju kerana mereka menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan dengan mengkaji, meneliti dan menyelidik alam ini seperti mana yang disarankan oleh al-Quran. Malangnya umat Islam sendiri tidak mempraktikkan apa yang diwahyukan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya sehingga ketinggalan dalam banyak perkara. Sebagai umat Islam yang menjunjung al-Quran dan Sunah dalam kehidupan ini, kita sepatutnya menjadi umat yang terbaik untuk mentadbir hal ehwal dunia. Dari segi perspektif Islam, perkembangan ilmu manusia tidak bergantung kepada rasional semata-mata kerana terdapat ilmu yang tidak mampu diterokai oleh manusia seperti alam ghaib yang berkaitan dengan malaikat, jin, syurga dan neraka. Inilah yang membezakan falsafah ilmu antara Islam dengan agama lain. Pengetahuan inilah yang memandu manusia supaya tidak tersasar daripada landasan yang sebenar iaitu menyedari bahawa ilmu yang ada pada kita terlalu sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah s.w.t.. Perlu ditekankan di sini ialah umat Islam pada hari ini hendaklah mengambil iktibar daripada sejarah terawal Islam bahawa Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang merupakan umat terbaik sentiasa dahagakan ilmu dan beramal dengannya. Hasilnya mereka mampu membina kekuatan sehingga digeruni oleh musuh walaupun bilangan umat Islam pada masa itu terlalu kecil. Mahir Para cendekiawan Islam pada zaman silam telah memperlihatkan tentang kepentingan ilmu dan amal sehingga kita dapat memanfaatkannya pada zaman ini. Umat Islam sebeginilah yang diperlu dilahirkan kerana mereka bukan sahaja mahir dalam bidang agama tetapi mendalami bidang-bidang yang lain. Usaha mereka bukan setakat itu sahaja malah mereka memperkembangkannya melalui penulisan kitab-kitab yang memberi sumbangan yang amat besar kepada tamadun dunia. Kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia tidak dapat disangkal lagi kerana Allah s.w.t. mengangkat orang-orang yang berilmu ke darjat yang tinggi seperti mana firman-Nya yang bermaksud: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mujadalah: 11) Keagungan tamadun Islam telah menyumbang kepada kemajuan umat Islam sehinggalah apabila datangnya musuh-musuh Islam dari luar dan mengambil khazanah berharga dari dunia Islam, mereka mendakwa bahawa mereka yang mempelopori pelbagai bidang sedangkan hasil-hasil tulisan sarjana Islam telah wujud beratus tahun lebih awal daripada sarjana Barat. Contoh ilmuwan Islam yang tersohor ialah Ibnu Sina, lelaki kelahiran Tunisia yang bukan hanya mahir dalam pelbagai ilmu tetapi juga menghafaz al-Quran pada usia remaja. Ketika berusia 18 tahun, beliau telah menguasai pelbagai bidang ilmu seperti ilmu teknik, astronomi, kesusasteraan dan perubatan. Karya terkenal beliau, Syifaa’, telah menjadi rujukan ramai termasuk cendekiawan dunia Barat. Barat membina tamadun moden setelah mereka menggali apa yang ada dalam dunia Islam semasa zaman kejatuhan umat Islam. Umat Islam pada hari ini hendaklah bangkit sambil menyedari kelemahan dan kekurangan diri. Kelemahan umat Islam masa kini disebabkan mereka tidak lagi menguasai ilmu pengetahuan ke tahap tertinggi walaupun para cendekiawan Islam terdahulu telah mewariskan pelbagai bidang ilmu kepada mereka untuk diwarisi demi kemajuan ummah. Contoh lain yang perlu dibanggakan hingga ke hari ini ialah Ibnu Khaldun, pengarang buku berjudul Muqaddimah yang telah dijadikan rujukan oleh Barat dalam bidang sosiologi. Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah berusaha mempelajari pelbagai bidang ilmu, bukan hanya ilmu asas agama atau bidang tertentu yang dipelajari di institusi-institusi pengajian tinggi. Umat Islam perlu mengambil peluang sebanyak mungkin untuk menambahkan ilmu pengetahuan agar kita tidak mudah diperkotak-katikkan atau diperlekeh oleh orang lain. Dalam dunia yang serba moden dengan kecanggihan teknologi, umat Islam sepatutnya berlumba-lumba untuk maju setanding dengan orang lain, kerana segala kemudahan untuk menuntut ilmu menjadi semakin mudah dan pantas. Bagaimanapun, kita harus bijak memilih apakah yang terbaik bagi menjana kemajuan ummah bukannya terjebak dalam perkara-perkara yang mendorong ke arah kemaksiatan. Seseorang muslim itu mestilah menggunakan ilmu yang ada pada dirinya untuk membantu saudara-saudaranya yang lain agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi agama, bangsa dan negara. Kekuatan ummah itu bergantung kepada kekuatan iman, ilmu dan amal. Dalam masa kita mempersiapkan diri untuk menuju akhirat, kita juga diminta berusaha untuk mendapatkan kesenangan dunia kerana di sinilah tempat kita menyemai dan akhirat adalah tempat kita menuai. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia. (Al-Qasas: 77) Dalam meniti arus globalisasi, umat Islam terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha menuntut ilmu. Kekuatan iman menjadi benteng untuk menepis segala rintangan yang akan membantutkan usaha ke arah kemajuan dan kekuatan ummah. Kita mestilah bersedia mengorbankan harta, masa dan tenaga kerana ilmu itu mesti dicari. Orang yang beriman akan mengamalkan ilmunya untuk mencapai keredaan Allah s.w.t.. Pepatah Arab ada mengatakan ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Oleh Noor Haliza Ali
Thursday, November 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment