? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Monday, February 23, 2009

Kaedah elak gangguan

SOALAN: Amalan tradisi datuk-datuk dan orang tua dahulu tidak akan terus masuk ke dalam rumah, terutamanya rumah yang mempunyai anak kecil, ibu yang sedang mengandung sekembalinya dari perjalanan jauh, balik dari hutan kerana memburu, balik dari laut atau sungai mencari ikan.

Amalan ini masih dilakukan hingga sekarang. Begitu juga yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli. Adakah ini dilakukan kerana adat semata-mata, rekaan ataupun mempunyai alasan kukuh daripada amalan sunah, para sahabat dan sebagainya. Adakah amalan seperti ini elok diikuti?

– Kassim, Jerantut.

Jawapannya: Memang benar tradisi yang saudara jelaskan masih dilakukan oleh sebahagian orang tua kita sehingga sekarang. Malah ada di antara mereka yang baru balik dari Mekah tidak terus masuk ke rumah, terutamanya rumah yang mempunyai bayi, rumah tinggal atau kanak-kanak kecil. Dilakukan sehingga sekarang ini juga, kaum ibu terutamanya, tidak membenarkan orang luar yang hendak melawat bayi yang baru dilahirkan. Kebiasaannya, tetamu ini termasuk mak bidan sendiri diminta duduk sebentar di ruang tamu, sebelum dibenarkan melawat bayi berkenaan.

Ada di antara mereka yang terus masuk ke dalam rumah, tetapi sebelum itu mereka membaca ayat-ayat al-Quran, doa-doa tertentu dan seumpamanya. Tidak jelas mengapa dilakukan demikian. Tetapi umumnya, mereka lebih mempercayai, dilakukan demikian kerana takutkan makhluk-makhluk halus yang jahat mengekori orang yang dalam perjalanan jauh tadi bersama masuk ke dalam rumah, lalu mengganggu penghuni rumah yang dipercayai mempunyai ‘semangat lemah’ seperti bayi dan ibu yang mengandung juga ibu yang masih dalam pantang.

Orang Asli yang tahu petua seperti ini, yang masih menganuti kepercayaan animisme tidak akan terus masuk ke dalam rumah kecuali setelah mereka habis menghisap sebatang rokok, sambil berehat sebentar di luar rumah. Setelah dirasakan ia boleh masuk, barulah dia berbuat demikian.

Sesetengah orang akan berehat sebentar di luar rumah atau ruang tamu, kemudian baru masuk menemui bayinya. Tetamu biasanya dipersilakan duduk di ruang tamu, dijamu minum dahulu kemudian baru diajak melihat bayi yang berkenaan.

Terlalu banyak kaedah yang dijelaskan oleh Rasulullah yang berkaitan dengan perjalanan. Orang yang hendak musafir, lebih-lebih lagi musafir jauh dan lama terlebih dahulu hendaklah mengerjakan dua rakaat sembahyang sunat. Hal demikian adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang dikemukakan oleh seorang sahabat bernama al-Muqaththam bin al-Maldam yang menyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak ada sesuatu yang lebih baik bagi seseorang yang hendak meninggalkan keluarganya daripada sembahyang dua rakaat yang dikerjakan ketika hendak musafir.

Setelah sempurna sembahyang, ia hendaklah membaca ayat al-Kursi, kerana ada hadis menyatakan bahawa barang siapa membaca ayat al-Kursi sebelum berangkat dari rumahnya, sampai kembali, dia tidak akan ditimpa sesuatu yang tidak diingininya.

Bagi mereka yang hendak berangkat, hendaklah membaca surah al-Quraisy.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w tidak memulakan perjalanan melainkan setelah membaca doa yang bermaksud: Ya Allah, hanya kepada-Mu kuhadapkan wajahku dan hanya kepada-Mu aku berpegang teguh. Ya Allah peliharalah aku daripada apa yang menjadikan kesusahan bagiku dan apa yang tidak ku perlukannya. Ya Allah, berkatilah takwa kepadaku, ampuni dosaku dan hadapkanlah aku selalu kepada kebaikan di mana saja aku menghadap mukaku.

Rasulullah juga mengajar orang yang musafir agar membaca doa berikut apabila ia berhadapan dengan seseorang yang dicurigai atau ditakuti. Doa tersebut bermaksud: Ya Allah kami jadikan engkau berada di leher-leher mereka dan kami berlindung daripada kejahatan-kejahatan mereka.

Rasulullah juga, seperti dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Jabir mengajar agar seseorang yang terlihat jin, yang menjelmakan diri agar berazan. Rasulullah menegah mereka yang dalam keadaan seumpama ini lari, tetapi hendaklah bertahan, makhluk itu akan pergi.

Orang yang musafir dan telah sempurna hajatnya, dia disunatkan agar cepat kembali ke rumah, menemui kaum keluarga. Hal demikian disebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Rasulullah itu ada bersabda menyatakan: Musafir itu adalah sebahagian daripada penyeksaan, dia menegah salah seorang daripada kamu untuk makan, minum dan tidur. Kerana itu apabila telah sempurna maksud tujuan perjalanan itu, dia hendaklah segera kembali menemui ahli keluarganya.

Orang musafir yang hendak balik menemui keluarganya hendaklah menemui mereka pada waktu siang. Kalau boleh jangan balik waktu malam. Menurut sebuah hadis daripada Jabir bahawasanya Rasulullah ada bersabda menyatakan: Andainya salah seorang di antara kamu yang telah lama pergi, dia janganlah balik menemui keluarganya di waktu malam.

Menurut sebuah hadis daripada Anas ia berkata bahawa Rasulullah tidak pernah datang menemui keluarganya pada waktu malam. Beliau datang pada waktu pagi ataupun petang.

Walaupun demikian, sekiranya hal seumpama ini tidak dapat dielakkan, kerana kesukaran memilih waktu, kerana penerbangan dan sebagainya, kaedah-kaedah yang telah disarankan oleh Rasulullah itu perlu diikut untuk keselamatan diri dan keluarga.

Rasulullah juga mengajar orang musafir yang dalam perjalanan balik dan melihat tempat kediamannya atau negerinya agar membaca doa yang bermaksud: Kami semua telah kembali, kami semua bertaubat kepada Allah, menyembah serta mengucap kepujian kepada Tuhan kami, Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah ketika melihat gunung-gunung atau tempat-tempat tinggal sehinggalah baginda ke Madinah.

Akhri sekali, orang yang balik daripada musafir sebelum masuk rumah menemui keluarga, terutamanya bayi hendaklah pergi ke masjid yang berdekatan dengan tempat tinggal dan bersembahyang dua rakaat.

Sebuah hadis daripada Kaab bin Malik ia berkata bahawa Rasulullah apabila balik daripada musafir, baginda masuk ke masjid dan sembahyang dua rakaat.

Keterangan-keterangan yang saya jelaskan ini membuktikan bahawa amalan-amalan orang tua kita seperti yang saudara tanyakan itu ada mempunyai asas, iaitu untuk keselamatan atau untuk mengelakkan daripada berlakunya sesuatu yang buruk kepada keluarga yang akan ditemui itu.

Sesetengah daripada orang tua kita mempercayai bahawa orang yang balik dari perjalanan jauh, tidak kira ke mana, termasuk mereka yang pergi ke hutan memburu, ke laut atau ke sungai menangkap ikan atau memandu kereta di jalan-jalan raya lebih-lebih lagi sekiranya perjalanan itu dilakukan pada waktu malam, orang yang terlibat mungkin diekori oleh iblis dan syaitan yang akan bersama menumpang masuk dalam rumah kediaman manusia, lantas akhirnya mengganggu keluarga di rumah.

Dengan berehat sebentar di luar rumah, sama ada hanya berehat semata-mata, menghisap sebatang rokok atau duduk di ruang tamu seperti dilakukan oleh kebanyakan orang Melayu, makhluk yang mengekori orang yang musafir tadi akan pergi.

Dalam Islam, masalah kembaran iblis dan syaitan yang mengikut orang yang sedang dalam perjalanan dan terus mengikut balik rumah bukan merupakan sesuatu yang mustahil berlaku.

Iblis dan syaitan itu adalah makhluk yang wujud dan wajib dipercayai kewujudannya. Rasulullah menyuruh mereka yang terlihat makhluk ini menjelma agar jangan lari tetapi hendaklah bertahan, makhluk ini akan pergi dengan sendiri. Kalaulah makhluk ini boleh menjelma untuk mengganggu manusia, tidak mustahil makhluk ini mengikut manusia untuk tujuan jahat.

Sebagai seorang Islam, mempercayai tentang adanya gangguan daripada iblis dan syaitan itu bukan sesuatu yang silap, namun demikian segala-galanya akan hanya berlaku dengan izin Allah.

Sebagai seorang Islam, kaedah untuk mengelakkan gangguan tersebut perlu dilakukan menurut ajaran Islam, bukan dengan cara primitif. Di antara kaedah yang perlu dilakukan ialah membaca azan ataupun membaca ayat al-Kursi sebelum masuk ke dalam rumah dengan rasa tenang dan ikhlas kerana Allah.

Orang tua-tua kita dahulu mengamalkan pantang larang, ataupun melakukan sesuatu petua yang diperturunkan turun-menurun tidak semestinya berdasarkan sunah Rasulullah, amalan sahabat atau tabiin.

Sebahagian daripada mereka melakukan atau melarangnya berdasarkan kepada pengalaman dan bukti-bukti yang terjadi atau berlaku berulang-ulang kali. Sebagai contoh, mereka yang pergi ke laut, pantang sekali kalau bercakap besar, kerana menurut pengalaman mereka yang bercakap besar, termasuk teman-teman yang bersamanya akan berhadapan dengan kecelakaan seperti ribut, tidak mendapat tangkapan, kecelakaan kepada bot yang dinaiki ataupun bertemu dengan lembaga yang menakutkan.

Begitu juga mereka yang diajak makan ketika hendak memulakan perjalanan, Sekurang-kurangnya makanan itu hendaklah dicicipi di bibir biarpun sedikit, agar tidak kempunan nanti.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah

soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin

Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab

Luar, 43000 Kajang, Selangor.

0 comments: