Perjalanan dari Istanbul ke Konya mengambil masa 10 jam menaiki kereta. Perjalanan bertambah menarik kerana destinasinya sinonim dengan tokoh sufi terkenal iaitu Maulana Jalaluddin ar Rumi.
Rumi terkenal dengan karya Masnawi dan tarian kerohanian Semazen atau Dervish. Konya tidak akan bermakna tanpa susuk Rumi kerana itu Arif Nihat Asya menitipkan dalam puisinya secara berulang dalam setiap bait dengan Konya means Mawlana.
Pencarian Rumi bukan tujuan utama kehadiran saya di Konya, tetapi bagi menghadiri Simposium Imam Said Nursi Bediuzzaman tuan punya Rasail an-Nur.
Simposium bertaraf antarabangsa ini berlangsung selama dua hari. Ia dianjurkan oleh para pelajar dan pengikut Imam Bediuzzaman yang bernaung di bawah Yayasan Hayrat.
Meskipun Imam Bediuzzaman sudah meninggalkan alam fana ini 40 tahun yang lampau, namun pemikiran, perjuangan dan pengorbanan menyebarkan risalah agama terus segar dibincang, dihayati dan diamalkan bukan sahaja di Turki bahkan di seluruh dunia.
Menelusuri sejarah kehidupan dan perjuangan Bediuzzaman dalam hanya sebuah tulisan ringkas secara hakikatnya tidak mencukupi menggambarkan keseluruhan perjuangan beliau.
Namun memadai bagi pengenalan awal khususnya mempopularkan tokoh ini di kalangan generasi muda.
Dilahirkan di Bitlis, wilayah Timur Turki pada 1876, Bediuzzaman hidup di saat-saat perpecahan umat dan kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniah.
Beliau digelar Bediuzzaman oleh gurunya Mullah Fethullah bersesuaian dengan keilmuan, kecerdikan dan ketajaman pemikirannya.
Bediuzzaman amat aktif mendidik umat, mengajar, berdebat dan mendidik anak-anak muridnya di beberapa bandar penting di Turki. Sejak mudanya, beliau amat disenangi dan disayangi oleh segenap lapisan masyarakat dan cendekiawan terutamanya di wilayah Timur Turki.
Apa yang mencetus kepada perubahan mendadak dalam kehidupan dan iltizam perjuangan beliau adalah apabila satu hari beliau terbaca sebuah akhbar memaparkan Perdana Menteri Britain pada ketika itu berkata di Parlimen Britain bahawa: "Kita tidak boleh menguasai umat Islam selama mana al-Quran berada teguh di tangan mereka. Kita harus berusaha sedaya mungkin untuk memalingkan mereka daripada al-Quran."
Bediuzzaman lantas berazam membuktikan bahawa al-Quran adalah matahari rohani yang tidak mampu dipadamkan sama sekali.
Setiap yang mengikut perjalanan dakwah para Nabi pastinya akan diuji dan diduga bagi membuktikan keteguhan keimanan.
Bediuzzaman juga diuji, diracun, dipenjara, dibicarakan dan dibuang negeri kerana ketegasan perjuangan beliau menyebarkan agama Allah. Ketika dalam buangan di Barla, sebuah kampung kecil di Isparta, pemikiran beliau mula dikumpulkan dan dibukukan yang akhirnya menjadi 13 siri koleksi Kuliah Rasail an-Nur yang menjadi inspirasi perjuangan dakwah sehingga kini.
Walaupun sudah lama pergi meninggalkan umat, namun obor perjuangan beliau yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah diteruskan oleh anak-anak muridnya seperti Ahmed Husrev, Said Nuri dan pertubuhan Yayasan Hayrat.
Yayasan Hayrat yang meneruskan perjuangan guru mereka, amat komited dengan kerja-kerja mendidik umat terutamanya generasi muda dengan mendirikan madrasah-madrasah di hampir setiap bandar-bandar dalam negeri di Turki. Di Istanbul sahaja ada hampir 200 madrasah.
Saya berkesempatan menginap di madrasah mereka bagi merasai pengalaman para pelajar dan menghayati perjalanan harian madrasah.
Para penghuni madrasah yang didirikan atas wakaf itu, terdiri daripada pelajar universiti yang siang hari belajar di universiti manakala malam pula menadah dan menulis kitab Rasail an-Nur.
Mereka bakal bergelar graduan dan menjadi golongan profesional yang beriman serta mendidik umat. Mereka juga akan kembali semula menyumbang kepada madrasah bagi memastikan kesinambungan pendidikan dan dakwah.
Apa yang menyenangkan hati, selama tiga hari bermalam di tiga madrasah, ia cukup selesa dan ceria. Kebersihannya di tahap yang tinggi hatta tandas mereka turut dijaga dengan begitu bersih.
Ini mencerminkan ajaran Imam Bediuzzaman mengakar dan terasas kukuh atas ajaran Islam yang amat mementingkan taharah atau kebersihan.
Apabila mendirikan solat berjemaah, mereka pastinya akan mengenakan serban. Ketika dalam perjalanan saya menaiki Ford Transit milik Yayasan Hayrat dari Istanbul ke Konya menghadiri simposium, para pelajarnya berzikir berjemaah mengalunkan tasbih susunan Imam Bediuzzaman. Ini menambahkan kekaguman saya terhadap kehidupan beragama mereka.
Sepanjang bermalam di sana, saya dilayan mesra dan sempat bertukar-tukar fikiran dengan para pelajarnya termasuk pelajar asing seperti dari Azerbaijan dan Kyrgyztan berkenaan nasib umat dan hal ehwal semasa dunia.
Saya mendapati perbincangan yang amat bermanfaat terutamanya dalam memahami perjuangan Bediuzzaman serta gerak kerja madrasah. Saya bertuah kerana berkesempatan mengutip mutiara kata-kata Bediuzzaman daripada mulut anak-anak muridnya sendiri.
Yayasan Hayrat juga gigih menghantar para pendakwah ke serata dunia termasuk United Kingdom, Sudan, Arab Saudi dan Malaysia.
Perjuangan Bediuzzaman akan terus diingati, dihayati dan disebarkan walaupun beliau sudah lama meninggalkan kita.
Generasi muda harus mengenali tokoh ini dan atas inisiatif ini Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) menubuhkan sebuah kumpulan khususnya mengkaji dan mempopularkan tokoh ini di kalangan generasi muda.
Satu lawatan ke Turki juga bakal dirancang melalui GPTD pada tahun hadapan bagi membawa para belia mengenali lebih dekat perjuangan Imam Bediuzzaman dan Yayasan Hayrat.
Friday, July 2, 2010
PENINGGALAN IMAM BEDIUZZAMAN
Posted by Allahyarham achit at 12:46 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment