“Siapa pecahkan pinggan ini?” si ibu menjerit.
Anak-anaknya yang berderet itu membatukan diri.
Mustahil ada yang mahu mengaku.
“Siapa buat? Kak Long? Angah? Siapa yang buat?” si ibu yang sedia letih itu melempiaskan amarahnya.
Kak Long, Angah, Achik, semua mereka mendiamkan diri. Jantung masing-masing berdegup kencang.
Ibu yang keletihan mencari pesalah, akhirnya mengambil jalan mudah. Ketiga-tiga anaknya dihukum. Mereka dicubit seorang demi seorang.
“Yang bersalah tidak mengaku. Yang tahu siapa yang bersalah bersubahat tidak mahu memberitahu. Semua salah!” ibu cuba melogikkan tindakannya menghukum mereka bertiga.
JERITAN BIASA
Jeritan itu adalah jeritan yang biasa kita dengar di rumah.
Mungkin rumah orang, mungkin rumah kita.
Apabila berlaku sahaja sesuatu yang tidak kena, soalan yang spontan keluar, “siapa yang bersalah?”
Soalan seperti ini melayangkan mesej yang jelas bahawa ia akan berakhir dengan hukuman. Sama ada kesemua mereka mengambil tindakan mendiamkan diri, atau mereka mungkin segera saling menunding jari. Kita sebagai ibu bapa yang terkeliru, enggan malu kerana gagal menyelesaikan puzzle itu, lalu mengambil jalan mudah menghukum mereka semua.
Kebijaksanaan kita sebagai orang dewasa, menerbitkan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan keadaan.
Namun tahap pemikiran anak-anak hanya berakhir dengan kesimpulan-kesimpulan yang membinasakan.
Mereka saling bermusuhan, saling salah menyalahkan, malah belajar menipu kerana terdesak mengendalikan rasa takut yang berlaku.
PRIMUM NON NOCERE
Situasi ini mengingatkan saya kepada satu ungkapan yang sering disebut oleh ahli psikologi malah para doktor di Wad Kecemasan. Kata mereka, “Primum non nocere!” Maksudnya ialah “paling penting, jangan memudaratkan!”
Apa-apa sahaja yang berlaku, pastikan tindakan yang mahu diambil jangan memudaratkan. Ada kalanya, dalam kes-kes di hospital adalah lebih baik untuk tidak memberikan rawatan, berbanding bertindak sesuatu yang mencetuskan mudarat ke atas pesakit. Ia adalah etika perubatan yang penting.
Sama juga halnya dalam proses mendidik anak-anak.
Apa-apa tindakan yang mahu diambil, pastikan jangan ia berakhir dengan kemudaratan. Tatkala kita gagal memutuskan tindakan paling tepat, amat malang jika tindakan kita tidak melontarkan mesej yang betul, sebaliknya menyemai rasa benci dan mahu membalas dendam.
Saya sendiri pernah bertemu dengan anak remaja yang berkhayal mahu terbabit dalam upacara pengebumian bapanya, untuk kepuasan diri!
PSIKOLOGI PENUMBUK
“Aah, ustaz. Saya tak makanlah cadangan-cadangan ustaz. Bagi saya, ini dia namanya psikologi!” kata seorang lelaki sambil menggenggam penumbuk di tangannya.
“Anta technician elektrik, kan?” saya bertanya.
“Ya. Saya jaga bahagian komputer-komputer di makmal kampus ini!” katanya.
“Kalau komputer rosak, anta guna ke penumbuk itu sebagai psikologi untuk memperbaikinya?” saya melontar soal.
“Mana boleh. Komputer mesti diperbaiki mengikut manual” jawabnya tegas. Menghormati profesyennya sendiri.
“Habis kalau anak bermasalah, apakah tiada manualnya lalu diperbaiki hanya dengan penumbuk itu?” saya menyudahkan soalan.
Sepi.
Beliau diam.
Saya pun diam.
Saya bukan marahkan lelaki itu.
Saya marahkan diri saya sendiri. Seorang bapa yang semakin bertambah anak, semakin anak membesar, semakin hilang kepercayaan kepada manual membetulkan tingkah laku anak-anak. Mahu mencari penyelesaian segera. Penyelesaian yang sering berakhir dengan kemudaratan. Anak tidak belajar sesuatu, sebaliknya menambah dendamnya terhadap kita yang semakin gagal menangani dia.
Bukan kerana buruk niat dan tujuan.
Tetapi kerana tiada kemahiran.
Kemahiran yang tidak datang sendiri. Kemahiran yang mesti dipelajari. Dari semasa ke semasa.
CIKGU JATUH
Puan Sabariah adalah guru senior di sebuah sekolah.
Orangnya berhemah. Tidak pernah menjatuhkan harga diri.
Tetapi hari itu dia tergelincir dan jatuh terlentang di depan kelas.
Sakitnya bukan kepalang.
Tetapi sakit hatinya berganda-ganda lagi apabila murid-murid mentertawakan dia.
Puan Sabariah bangun perlahan-lahan dan kemudian berdiri tegak membetulkan diri.
“Itu pelajaran pertama saya kepada awak hari ini. Sesiapa sahaja dalam hidup ini boleh jatuh dalam kehinaan, tetapi dia mampu bangkit dan berdiri teguh semula!” katanya dengan penuh hemah dan ketegasan.
Kelas sepi.
Ulasan itu sangat berhikmah.
Puan Sabariah menunjukkan betapa ketawa anak muridnya tidak mampu dibersihkan dengan tengkingan atau kemarahan. Sebaliknya dengan sedikit kesabaran, dia membetulkan keadaan dengan kebijaksanaan. Dengan hikmah.
Hikmah yang kita perlukan sebagai ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak.
HIKMAH KENABIAN
Semasa bapa saudara kepada Abu Rafi ibn Amr al-Ghifari seorang anak kecil, beliau gemar membaling batu ke pokok-pokok tamar kaum Ansar.
Budak itu dibawa mengadap Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Beliau takut. Bimbang dihukum oleh Baginda.
“Wahai budak, mengapa kamu membaling batu ke pokok-pokok tamar itu?” Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.
“Saya membaling batu ke pokok-pokok tamar itu kerana mengharapkan buah tamar gugur dan saya boleh memakannya” jawab budak itu.
Jujur.
Bukan jahat, tetapi bingung pada usianya.
“Jangan baling batu ke pokok-pokok tamar. Tetapi makan sahajalah apa-apa yang sudah (ranum dan) gugur di bawahnya” nasihat Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Lalu Baginda mengusap kepala budak itu sambil berdoa, “Ya Allah, kenyangkanlah budak ini”
Baginda sentiasa demikian.
Konsisten.
Mempamerkan bahawa komunikasi efektif adalah cara terbaik pada membetulkan keadaan.
Jauh dari hukuman yang jarang-jarang sekali menawarkan penyelesaian.
SALING MEMBERANAKKAN
Salah laku dan hukuman bukan antonim yang saling membatal dan menyelesaikan. Malah kedua-duanya memberanak dan menyuburkan lagi antara satu sama lain. Salah laku memberanakkan lebih banyak hukuman semberono. Hukuman semberono membanyakkan lagi salah laku. Hukuman yang tidak tepat tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya ia mengajar anak-anak untuk lebih bijak dan licik melepaskan diri.
Siapa kata mendidik anak mudah?
Pastinya, saya tidak pernah berani berkata begitu.
Friday, July 2, 2010
Antara Salah Laku Anak dan Hukuman
Posted by Allahyarham achit at 12:58 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment