? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Sunday, July 4, 2010

HORMAT JIN SEBAGAI MAKHLUK ALLAH

KEWUJUDAN alam ghaib sememangnya sukar diterjemahkan kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Malaikat, roh, alam barzakh, syurga, neraka dan akhirat adalah sebahagian perkara ghaib yang wajib kita percayai.

Alam jin juga salah satu daripada makhluk ghaib yang wujud di alam ini. Kenapa manusia tidak boleh melihat jin? Ini kerana Allah memperkenankan permohonan Jaan ketika mula diciptakan supaya mereka dapat melihat tetapi mereka tidak dapat dilihat.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari semua tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka." (Surah al-A'raaf ayat 27).

Asal usul Jin adalah daripada Jaan yang asalnya beriman kepada Allah. Namun selepas itu terdapat keturunan Jaan kufur dan wujudlah keturunannya yang kekal beriman dan kufur.

Ramai yang menggambarkan mereka sebagai makhluk yang hodoh, sering mengganggu manusia, menghuni kawasan hutan atau dalam rumah terbiar.
Ada kisah yang menceritakan kemampuan manusia menguasai jin. Nabi Sulaiman mempunyai tentera jin manakala Nabi Muhammad (saw) pula pernah menangkap dan mencekik jin kerana mengganggu Baginda ketika solat.

Ketika Nabi Muhammad mengerjakan solat wajib, tiba-tiba Baginda menggenggam tangannya.
Selepas solat sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah ada sesuatu yang baru dalam solat?" Rasulullah bersabda: "Tidak, tetapi sesungguhnya syaitan hendak lalu di hadapanku, lalu aku cekik sampai tanganku berasakan dinginnya mulut syaitan itu. Demi Allah, seandainya saudaraku Nabi Sulaiman, tidak mendahuluiku, nescaya akan aku ikat syaitan itu pada salah satu tiang masjid ini supaya boleh dilihat oleh anak penduduk Madinah. (Hadis Sahih Riwayat Ahmad, Daraqutni dan Thabarani).

Allah juga memberikan kelebihan kepada Nabi Sulaiman seperti boleh memerintah haiwan termasuk jin.

Dalam Surah Saad ayat 35 Nabi Allah Sulaiman berdoa "Ya Tuhanku, ampunilah aku dan berikanlah kepadaku kerajaan yang tidak patut bagi seorang jua selepasku; sesungguhnya Engkau Banyak Pemberian.

Kemudian Allah memakbulkan permohonan Nabi Sulaiman dengan mengizinkan pelbagai kelebihan sehingga mampu mengawal angin dan jin.

Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian Kami tundukkan angin untuknya, yang bertiup menurut perintahnya dengan lemah lembut ke mana dikehendakinya.

Dan (Kami tundukkan untuknya) syaitan-syaitan masing-masing menjadi tukang bangunan dan tukang selam. Dan yang lain-lain diikat dengan belenggu (rantai). Inilah pemberian Kami, maka engkau berikanlah atau tahankanlah, tanpa diperhitungkan. (Surah Saad ayat 36 hingga 39).

Nabi Muhammad tidak mengajar kita menangkap atau menghalau jin tetapi yang diajarkan adalah kita perlu menghormati mereka sebagai makhluk Allah.

Justeru apabila memasuki tandas kita diajar memohon perlindungan Allah daripada gangguan iblis.

Selain itu, tidak hairanlah ibu bapa sering mengingatkan apabila tiba waktu Maghrib anaknya perlu masuk ke dalam rumah kemudian semua tingkap dan pintu ditutup supaya tidak dimasuki syaitan dan iblis.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu menghadapi malam atau kamu berada di sebahagian malam maka tahanlah anakmu kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran ketika itu dan apabila berlalu sesuatu ketika malam maka tahanlah mereka dan tutuplah pintu rumahmu serta sebutlah nama Allah, padamkan lampumu serta sebutlah nama Allah, ikatlah minumanmu serta sebutlah nama Allah dan tutuplah sisa makananmu serta sebutlah nama Allah (ketika menutupnya)". (Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Menurut Imam al-Damiri menerusi kitabnya al-Hayawan al-Kubra jin adalah makhluk halus yang mampu merubah dirinya dengan pelbagai rupa, mempunyai akal dan pemahaman, mampu melakukan pekerjaan berat.

Diceritakan, dalam peperangan Badar, Iblis menampakkan dirinya dalam bentuk seorang lelaki dari Bani Mudlij dan syaitan pula dalam rupa Suraqah bin Malik yang datang membantu tentera Musyrikin memerangi tentera Islam.

Hakikatnya, jin adalah makhluk yang diciptakan Allah bagi melaksanakan perintah-Nya. Justeru, Allah memerintahkan kita untuk beriman dengan kewujudannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah al-Zaariyat 56).

Semua jin boleh meninggal dunia kecuali Iblis dan keturunannya yang ditangguhkan kematiannya sehingga hari akhirat.

Seperti manusia, jin juga ada yang soleh, alim, fasik, kufur, murtad, zalim, dan ada masuk syurga dan ada yang bakal dimasukkan ke dalam api neraka pada hari akhirat kelak.

Syaitan dan jin yang ingkar suka berada di tempat kotor dan rumah yang pemiliknya tidak pernah membaca al-Quran serta berzikir kepada Allah.

Jin kafir sedaya upaya akan cuba mengganggu manusia dengan pelbagai cara. Insiden seperti diserang histeria, meracau dan dirasuk adalah sebahagian gangguan daripada jin kafir.

Mereka menghuni segenap daratan, lautan dan udara dan sebab itu jumlahnya terlalu ramai sehinggakan menurut setengah pendapat, bilangan mereka adalah bersamaan dengan jumlah seluruh umat manusia bermula dari zaman Nabi Adam sehingga ke hari kiamat.

Jumlah itu semua hanya satu per sepuluh daripada jumlah mereka yang sebenar.
Ia tidak dapat menandingi jumlah malaikat yang keseluruhan jumlah jin hanya mewakili satu per sepuluh daripadanya.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata jin adalah makhluk ciptaan Allah dan mereka memang wujud sekitar manusia.

"Mereka diciptakan daripada api dan dalam kalangan mereka ada yang beriman dan ada yang kufur. Namun ramai di kalangan mereka yang kufur maka kecenderungan untuk menzahirkan diri dalam bentuk yang menakutkan adalah lebih besar.

"Begitu juga dengan malaikat, mereka diciptakan daripada cahaya serta tidak berjisim tetapi diizinkan Allah untuk menzahirkan diri dalam bentuk fizikal yang boleh dilihat manusia.

"Malaikat Jibril pernah datang bertemu Rasulullah dalam bentuk seorang lelaki yang dapat dilihat oleh sahabat," katanya.

Beliau berkata dakwaan seseorang yang mengatakan pernah melihat rupa bentuk jin tidak boleh ditolak secara menyeluruh tetapi perlu diperhalusi.

"Apa yang dilihat itu sebenarnya bukanlah rupa bentuk jin yang sebenar tetapi ia hanyalah jelmaan. Setiap orang berpotensi diganggu jin kerana selepas kufur atas keengganan sujud kepada Nabi Adam, syaitan memohon keizinan dari Allah untuk mengganggu gugat manusia khususnya mereka yang ingkar dan jauh daripada Allah.

"Peristiwa berkenaan menunjukkan bahawa sesiapa yang jauh daripada Allah atau lemah zikirnya (lisan dan tindakan) maka dia berpotensi besar untuk diganggu jin atau syaitan," katanya.

Rahimi berkata manusia diajar supaya sentiasa memohon doa perlindungan daripada Allah daripada gangguan syaitan dalam setiap perbuatan yang dilakukan termasuk membaca al-Quran.

"Orang yang lemah ingatannya terhadap Allah maka jiwanya juga turut menjadi lemah.

"Tidak wajar juga bagi seorang untuk bersahabat dengan jin walaupun jin itu Islam. Ulama bersepakat bahawa bersahabat dengan jin kafir adalah haram.

"Manakala bersahabat dengan jin Islam juga amat tidak digalakkan kerana ia akan membuka ruang ke arah syirik kerana manusia lebih yakin dengan kuasa jin berbanding Allah," katanya.

0 comments: