? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, July 20, 2010

Falsafah Islam di Kasehpuhan

KERATON Kasehpuhan - keraton terbesar di Cirebon memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Nusantara.
Keraton atau istana tersebut dibina Pangeran Mas Mochammad Arifin II iaitu cicit kepada Sunan Gunung Jati, salah seorang daripada Wali Songo di Indonesia.
Keraton itu didirikan pada tahun 1529 setelah beliau menaiki takhta menggantikan Sunan Gunung Jati pada tahun 1506.
Setibanya di kawasan keraton berkenaan, penulis disambut oleh seorang pemandu pelancong yang memperkenalkan diri sebagai Nanang.
Pengetahuan Nanang tentang keraton itu cukup malah boleh saja disimpulkan segala-galanya telah melekat di dalam kepalanya.
Beliau banyak bercerita tentang falsafah dalam adat resam Jawa yang pada asalnya cukup rapat dengan ajaran Hindu, tetapi akhirnya diterapkan nilai-nilai Islam oleh Sunan Gunung Jati.
Setiap ukiran, lukisan dan senibina di keraton itu memaparkan falsafah dan nasihat berkaitan dengan ajaran agama Islam.
Bermakna Islam tidak sahaja diajar atau disebar secara lisan, tetapi merangkumi segala aspek kehidupan termasuk bangunan dan kesenian.
Itu antara faktor yang menjadikan penghayatan Islam oleh umat terdahulu cukup mendalam.
Sebagai contoh, Nanang menunjukkan pintu gerbang yang sekali imbas berbentuk pintu kuil Hindu. Sebenarnya ia adalah bentuk dua tapak tangan yang menadah ke langit berdoa kepada Allah.
Begitu juga kedudukan bangunan dan jumlah tiang di kawasan itu yang berkaitan dengan Rukun Iman dan Rukun Islam.
Beliau juga menunjukkan sepasang lukisan pada dinding keraton yang dihasilkan oleh adik sultan semata-mata untuk menegur serta memberi peringatan kepada sultan.
"Orang dahulu tidak boleh menegur orang yang lebih tua secara berterus terang, jadi melalui lukisanlah teguran, kritikan dan peringatan diterapkan," kata Nanang.
Lukisan itu pula diletakkan betul-betul pada laluan sultan keluar dari biliknya. Ini bermakna setiap hari sultan akan melihat lukisan berkenaan.
Antara yang terdapat pada lukisan berbentuk abstrak itu adalah burung kakak tua melambangkan kebijaksanaan berkata-kata.
Selain itu lakaran manggis yang bermaksud kejujuran kerana pada buah manggis jika terdapat lima tampuk, maka isi atau ulas di dalamnya juga berjumlah lima.
Buah manggis juga mengingatkan sultan supaya tidak menilai sesuatu itu daripada luarannya sahaja. Manggis walaupun kulitnya hitam tetapi isinya putih bersih dan manis.
Penerangan Nanang menegaskan bahawa amalan kuno masyarakat Jawa bertentangan dengan ajaran Islam.
Jadi sesiapa yang berkunjung ke Keraton Kasepuhan, carilah pemandu pelancong bernama Nanang kerana beliau dapat memberi penjelasan lengkap berhubung amalan tradisi dengan ajaran Islam.
Penyebaran Islam tanpa menghalang atau menyekat amalan tradisi, sebaliknya disesuaikan falsafahnya dengan ibadat dan ajaran Islam membuatkan Islam mudah diterima oleh orang Jawa yang ketika itu sangat taksub dengan ajaran Hindu.

0 comments: