SEJAK beberapa tahun lalu penganalisa data, Zamani Ahmad, mengalami masalah penglihatan yang kabur. Kadang kala objek di depannya dilihat berganda-ganda walaupun telah mengenakan kaca mata.
Dia tidak menganggapnya sebagai masalah serius hanya berandaian disebabkan kesan kerja yang sentiasa menghadap komputer.
Namun akhir-akhir ini dia berasakan ada kelainan pada tubuhnya terutama di bahagian tangan dan kaki yang sesekali terasa kebas selain mudah berasa letih.
Khuatir dengan keadaan tersebut lebih-lebih lagi dengan usianya yang semakin mencecah persaraan, dia membuat temu janji dengan doktor.
Hasil pemeriksaan, doktor mengesyaki simptom-simptom yang dialami Zamani menunjukkan kemungkinan dia mengalami apa yang dipanggil sebagai sklerosis berbilang yang lazim menyerang tanpa disedari penghidapnya.
Sklerosis berbilang atau Multiple Sklerosis (MS) ialah sejenis serangan saraf terutama pada otak. Ia sememangnya tidak menunjukkan gejala khusus.
Simptom-simptom yang ditunjukkan mirip kepada masalah biasa seperti keletihan, pandangan kabur dan rasa kebas pada kaki serta lengan.
Keadaan ini menyebabkan ia sukar dikesan dan penghidapnya menderita bertahun-tahun.
MS berlaku apabila sistem ketahanan tubuh menyerang myelin, iaitu lapisan selaput yang melindungi sel-sel saraf membabitkan otak, tulang belakang dan mata.
Serangan yang berterusan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada saraf mengakibatkan isyarat tidak dapat disampaikan melalui saraf ke bahagian tubuh lain seperti yang sepatutnya dan timbulnya gejala MS.
Berdasarkan laporan perubatan, MS merupakan salah satu penyakit saraf yang paling kerap menyerang orang dewasa di seluruh dunia. Kerap kali juga menyerang golongan muda pada usia antara 20-an dan 30-an.
Dianggarkan seorang hingga sembilan daripada 100,000 penduduk Asia mengidap penyakit ini. Statistik di Malaysia pula menunjukkan dua atau tiga orang dalam 100,000 kes.
Perunding neurologi, Dr. Shanti Viswanathan berkata, gejala-gejala MS sukar diduga malah simptom-simptom yang dialami oleh seseorang juga berbeza antara satu sama lain.
‘‘Biasanya simptom ini boleh di kesan melalui penglihatan yang kabur atau pertuturan yang tidak jelas serta mengalami kebas-kebas ringan di bahagian muka serta bahagian atas badan,” katanya.
Kata Dr. Shanti lagi, kurang kesedaran mengenai penyakit ini menyebabkan penghidapnya terus menderita.
Menurutnya, rawatan awal sangat penting dalam melambatkan perkembangan penyakit itu.
Namun, bagi pesakit MS kronik, mereka memerlukan rawatan sepanjang hayat.
‘‘Kami percaya di luar sana, ramai yang menghidap MS tetapi belum dirawat atau diketahui
‘‘Biarpun sehingga kini masih tidak ditemui penawar kepada penyakit ini, kaedah rawatan interferon beta mampu mengurangkan jumlah kes MS sehingga ke 40 peratus.
“Rawatan ini juga juga dapat memperlahankan kemampuan MS merebak,” katanya.
Sementara itu syarikat framasutikal antarabangsa, Bayer Schering Pharma melancarkan program bantuan kepada pesakit yang menghidap MS melalui kaedah rawatan interfon beta.
Melalui kaedah ini membantu pesakit menjalani kehidupan yang lebih berkualiti jika pesakit mendapatkan rawatan awal dan secara berterusan.
Program telah diperkenalkan sempena Hari Multiple Sklerosis (MS) Sedunia 2010.
Program bantuan kepada pesakit MS ini yang dijalankan dengan kerjasama jabatan-jabatan kebajikan serta hospital-hospital kerajaan.
Sementara itu, Pengarah Perubatan Bayer Bayer Schering Pharma, Dr. Shunitra Devi memberitahu, dalam kajian yang telah dilakukan jangka hayat pesakit mampu bertahan lebih lama jika mendapat rawatan awal.
‘‘Kami sedar kos yang mahal menjadi halangan kepada seseorang penghidap MS mendapatkan rawatan.
“Ini antara sebab utama kami memulakan program bantuan kepada pesakit. Ia bertujuan membantu lebih ramai penghidap MS mendapatkan rawatan terbaik dari awal serta meneruskannya dalam jangka waktu lama sehingga keadaan mereka bertambah baik,” katanya.
Thursday, June 10, 2010
Sklerosis rosakkan saraf otak
Posted by Allahyarham achit at 1:26 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment