? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Saturday, May 29, 2010

Suara di sebalik Tembok Berlin

Orang Jerman adalah bangsa yang amat berbangga dan mendahulukan bahasa ibunda mereka.

Kembara saya kali ini adalah mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menghadiri Persidangan Eropah Mengenai Nasib Rakyat Palestin kali ke-8.

Ia merupakan acara tahunan terbesar di peringkat Eropah yang membincangkan isu Palestin. Saya dimaklumkan bahawa komuniti Palestin yang menetap di Jerman merupakan yang terbesar di luar Palestin.

Angkanya hampir mencecah 100,000 orang. Mereka ini dulunya berpindah ke Jerman dari kem pelarian yang terletak di sekitar negara-negara Arab terutamanya Lebanon.

Hampir satu perempat atau 25,000 daripada mereka menetap di Berlin, ibu kota yang pernah diperintah oleh Adolf Hitler ini.

Persidangan julung-julung kali anjuran Sekretariat Umum Persidangan Isu Palestin adalah untuk menuntut keadilan bagi rakyat Palestin. Seterusnya, membawa masyarakat Eropah agar mendapat maklumat sebenar tentang isu penindasan zionis ke atas perjuangan rakyat Palestin.

Justeru, selain membariskan tokoh-tokoh pejuang Palestin dan tokoh akademik, apa yang menarik, persidangan kali ini turut membariskan Evelyn Hecht-Galinski, aktivis keamanan yang anti-Zionis dan Annette Groth iaitu Jurucakap Hak Asasi berhaluan kiri dalam Parlimen Jerman.

Ini menggambarkan rakyat Palestin tidak berseorangan dalam perjuangan mereka. Bahkan mendapat simpati daripada tokoh-tokoh bukan Islam yang cintakan keamanan sejagat.

Namun saya gagal mengambil intipati ucapan mereka berdua kerana mereka menggunakan bahasa Jerman manakala tokoh-tokoh lain menggunakan bahasa Arab. Bahasa Arab bolehlah faham sedikit hasil belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dahulu.

Saya kagum dengan kehadiran yang luar biasa ke persidangan ini. Dianggarkan lebih 10,000 orang hadir menggamatkan Stadium Tertutup Tempodrom tersebut.

Sedang asyik mengira jumlah hadir, mata saya tiba-tiba tertumpu kepada seorang tokoh yang baru masuk ke dalam stadium. Kehadiran beliau mendapat sorakan semangat bergemuruh daripada hadirin yang hadir seolah-olah seperti seorang 'bintang'.

Kebanyakan hadirin bangun memberikan tepukan, sorakan dan laungan bersemangat kepada Sheikh Raed Salah. Begitu juga ketika Sheikh Raed berucap, majoriti hadirin memberi perhatian dan tumpuan umpama ucapan kemuncak yang amat dinanti-nantikan.

Memang ucapan beliau penuh semangat dan keikhlasan namun saya tertanya-tanya siapakah tokoh yang berjaya menaikkan bulu roma saya ini?

Bila saya balik semula ke United Kingdom, saya bertanya pada Maszlee Malik yang agak jaguh dalam isu Palestin ini tentang siapakah Sheikh Raed ini.

Beliau berkata, "Sheikh Raed ialah pengasas dan Ketua Gerakan Islam di Israel. Beliau pernah dipenjarakan kerana membongkar rahsia gerakan mengorek terowong bawah tanah Masjid al-Aqsa kononnya untuk mencari tapak Haikal Nabi Sulaiman".

Kesan korekan ini mampu meruntuhkan struktur binaan Masjid al-Aqsa secara tidak langsung. Beliau ditawarkan untuk dibebaskan dengan syarat tidak dibenarkan masuk ke kawasan Masjid al-Aqsa.

Pada awalnya beliau enggan menerima syarat tersebut. Namun setelah dipujuk oleh rakan-rakan dengan meyakinkan beliau bahawa lebih banyak usaha di luar sana yang beliau dapat lakukan jika beliau menerima tawaran tersebut dan dibebaskan. Akhirnya beliau menerima tawaran pembebasan bersyarat tersebut.

Hari kedua di Kota Berlin, saya dibawa oleh Nazjimee menghadiri program Satay Somay anjuran Masjid al-Falah dan Masyarakat Indonesia.

Menurut Ahli Jawtaankuasa Masjid al-Falah, Pak Dody Hardiman, masyarakat Indonesia berjumlah hampir 2,000 orang di sekitar Berlin. Ia merupakan program dwi-tahunan masjid bagi mengumpul dana bagi membiayai perjalanan aktiviti Masjid dan dakwah.

Banyak sajian Indonesia yang dijual dan ia mendapat sambutan baik berdasarkan kehadiran masyarakat Indonesia, Muslim Jerman dan masyarakat Jerman yang bukan beragama Islam.

Suasana amat meriah dan jualan mendapat keuntungan menggalakkan sehingga mencecah 4,000 Euro (RM16,445)! Saya sempat berbual dengan Aminah al-Farabi dan Azizah Askandi yang mana kedua-duanya menerima hidayah Islam dan berkahwin dengan orang Indonesia serta menetap di Berlin.

Seronok apabila melihat kedua-dua rakyat Jerman ini menutup auratnya dengan baik. Saya membuat kesimpulan bahawa kedua-duanya amat komited beragama.

Islam adalah agama ketiga terbesar di Jerman selepas Protestan dan Roman Katolik. Islam semakin berkembang pesat dan jumlah umat Islam mencecah 3 juta orang. Angka tersebut mewakili 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Jerman. 1.9 juta daripadanya berketurunan Turki.

Umat Islam lebih banyak mendiami kawasan Barat Jerman. Kebanyakan pasangan Jerman yang berkahwin tidak suka mempunyai anak dan jika ada anak pun hanyalah terhad kepada seorang sahaja.

"Mereka lebih senang membela anjing daripada menjaga anak," kata Nazjimee kepada saya.

0 comments: