? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, May 14, 2010

Pengaruh kuat Ashaari, Al-Arqam

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

TIDAK seperti pergerakan berasaskan agama Islam yang lain, pertubuhan Al-Arqam barangkali boleh dianggap paling berpengaruh dan meninggalkan kesan di kalangan umat Islam di negara ini.

Dikatakan mula mengumpul pengikut sejak 1968 iaitu ketika pertama kali ditubuhkan, pengikutnya bertambah dengan cepat iaitu kira-kira 6,000 orang pada tahun 1980-an. Sehinggalah pergerakan ini diharamkan pada 1994, ia sudah pun mengumpul pengikut seramai kira-kira 10,000 orang. Al-Arqam diharamkan pada 5 Ogos 1994 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan apabila ajarannya dikesan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar.

Malah, bekas pemimpinnya iaitu Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya turut mengaku menyelewengkan agama Islam. Beliau serta beberapa orang pemimpin kanan pertubuhan itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1994 sebelum dibebaskan dua tahun selepas itu.

Ashaari juga pernah dibuang daerah di Selangor serta Labuan sebelum hukuman itu ditarik balik pada Oktober 2004. Meskipun tidak lagi disebarkan secara langsung oleh Ashaari, doktrin ajaran kumpulan ini tetap diamalkan secara tersembunyi oleh pengikut-pengikutnya.

Kerana itu sejak pengharamannya sehinggalah ke hari ini, percubaan untuk menghidupkan semula pertubuhan ini tidak pernah sunyi daripada diperkatakan.

Malah, meskipun selepas kematian Ashaari semalam kerana jangkitan paru-paru, ajaran kumpulan itu diyakini akan terus hidup dan diamalkan. Antara sebab mengapa pertubuhan ini begitu kuat di kalangan bekas pengikutnya ialah kerana ia tidak hanya menumpukan akhirat semata-mata.

Sebaliknya lebih menonjol sebagai organisasi yang seimbang dengan kehidupan dunia. Pertubuhan ini memberi penekanan kepada pembinaan sosioekonomi sebagai teras untuk memastikan pengikutnya bertahan. Rufaqa Corporation Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 1997 dan diasaskan sendiri oleh Ashaari misalnya, adalah contoh terbaik bagaimana tersusunnya pengurusan organisasi di bawah Al-Arqam.

Syarikat itu bukan sahaja membina rangkaian perniagaan yang besar di perkampungan yang dibentuk mereka di seluruh negara, malah menjangkau sehingga ke luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Pakistan.

Usaha itu selaras dengan cita-cita besar pertubuhan ini untuk mewujudkan sebuah komuniti ke arah pembentukan negara Islam yang sebenar. Ashaari sendiri meramalkan beliau akan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Bagaimana pun pengharaman Al-Arqam yang sebenar adalah kerana doktrin ajaran Aurad Muhammadiah yang dipercayai oleh pengikutnya.

Ajaran itu bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini. Antara fahaman yang memesongkan dalam doktrin ajaran itu termasuklah dakwaan bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda boleh ditemui secara sedar dan melalui mimpi. Ashaari juga mendakwa beliau adalah keturunan Bani Tamim iaitu serumpun dengan keturunan Nabi Muhammad SAW yang memegang panji-panji Mahdi. Perkara kontroversi lain yang membawa kepada pengharaman pergerakan ini juga ialah amalan poligami di kalangan pengikut serta isu Majlis Yaqazah.

Bagaimanapun di sebalik kisah pengharaman Al-Arqam, ia turut meninggalkan pengajaran yang sangat besar kepada umat Islam di negara keseluruhannya. Al-Arqam adalah sebuah kisah ketaksuban umat Islam terhadap seorang pemimpin yang dianggap sebagai luar biasa.

Ia juga adalah cerminan kepada lemahnya pegangan agama di kalangan umat Islam di negara ini sehingga terpengaruh dengan ajaran yang dibawakan oleh pertubuhan seperti ini meskipun pada asasnya sangat bertentangan waima dengan logik akal.

Ia sekali gus memberikan tamparan hebat kepada usaha-usaha pengukuhan akidah Islam yang sebenar oleh agensi berkaitan agama sehingga mendorong umat Islam mempercayai pertubuhan berasaskan agama seperti Al-Arqam dan lain-lainnya.

Kerana itu ramai yang menganggap, dalam memperkatakan tentang kebangkitan semula kesedaran agama Islam yang sebenar di negara ini, apa yang ditinggalkan oleh Al-Arqam tidak boleh dinafikan. Cuma apa yang perlu lebih diperhatikan dan sentiasa berhati-hati ialah supaya ajaran ini benar-benar sudah ditinggalkan di kalangan umat Islam hari ini.

0 comments: