? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Saturday, May 29, 2010

Kaedah tradisional juga penting

HENDAK seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Peribahasa ini menggambarkan situasi sebenar dalam membudayakan ilmu waima ilmu agama. Usia bukan penghalangh asalkan ada kemahuan.

Apatah lagi dengan kecanggihan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), ilmu boleh diperoleh daripada hujung jari.

Kelas al-Quran secara online atau dikenali i-ngaji.net membawa sinar baru serta jawapan kepada mereka yang sebelum ini memberi alasan sibuk serta tiada masa untuk belajar al-Quran.

Penolong Pengarah Kanan Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni, 38, yang juga Imam Masjid Negara mengakui pengajian al-Quran secara dalam talian (online), adalah pendekatan yang baik.

Katanya, ia satu pembaharuan dan pendekatan yang selari dengan perkembangan zaman.

Malah katanya, pendekatan itu amat sesuai kepada masyarakat sekarang.

Walau bagaimanapun, penekanan kepada kaedah tradisional juga tidak boleh diabaikan kerana ia merupakan kaedah yang diambil secara talaqi (berdepan) dan musyafahah (mulut ke mulut).

Lagi pula ia merupakan kaedah turun temurun yang selari dengan sejarah penerimaan wahyu Allah yang disampaikan oleh Jibrail kepada Rasulullah SAW.

"Pendekatan moden itu memang baik bagi mereka yang telah pandai membaca al-Quran.

"Tetapi bagi mereka yang baru hendak mengenal al-Quran, cara yang terbaik adalah dengan mencari guru walaupun dalam kesibukan.

"Seharusnya kita perlu mencari ruang waktu untuk tujuan mencari ilmu," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Menurut Ehsan, sistem pengajian al-Quran hari ini seiring dengan berkembangnya ICT sekali gus tidak dinafikan kesesuaiannya dengan kesibukan warga kota, khasnya dan sebahagian kecil warga desa, yang mengambil kesempatan tersebut untuk sama-sama menyemarakkan lagi kaedah pengajian tersebut.

"Jadi dari satu segi kita dapat melihat bahawa masyarakat dapat mengambil manfaat daripada sistem yang diperkenalkan. Begitu juga di pihak kerajaan dari segi komunikasi itu, kita dapat menyediakan satu ruang kepada orang ramai untuk memperbaiki bacaan al-Quran mereka.

"Kita tidak menafikan sumbangan kemajuan teknologi. Tetapi pada masa sama kita juga tidak menafikan bahawa sejarah kaedah pembudayaan al-Quran daripada zaman Rasulullah itu adalah cara yang terbaik untuk kita memahami serta mempelajari sebutan huruf-huruf al-Quran secara tepat.

"Sebenarnya Masjid Negara sudah menyediakan tempat dan ruang kepada orang dewasa untuk mendalami kaedah-kaedah pengajian al-Quran secara tradisional," kata Ehsan.

Tambahnya, masyarakat Melayu telah memperkenalkan al-Quran kepada generasi mudanya seawal usia enam tahun tetapi sayangnya, budaya itu hanya setakat usia 12 tahun.

Sebaik melangkah ke sekolah menengah, ia sudah ditinggalkan sehingga menyebabkan seolah-olah pembacaan al-Quran terhenti di situ.

Hakikatnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca, tetapi perlu memahami terjemahan dan tafsirnya agar lebih memahami tuntutan-tuntutan, perintah-perintah dan larangan-larangan daripada Allah SWT.

Ehsan turut mengakui dengan kecanggihan ICT, tidak mustahil suatu hari nanti akan ada pula tadarus secara sidang video.

Begitu juga dalam pengajian ilmu-ilmu agama lain katanya, ia boleh dilakukan secara maya oleh ulama dan tokoh agama tersohor dari benua berbeza.

Namun kata Ehsan, di sebalik pelbagai kaedah moden yang ditawarkan, umat Islam mesti menekankan kepada penjagaan tata susila, berinteraksi dan muamalah.

Beliau yang pernah menjadi tenaga pengajar di kelas-kelas pengajian al-Quran dewasa di Masjid Negara selama lima tahun mengakui sambutan orang ramai amatlah menggalakkan.

"Bermula tahun 1998, setiap kelas hanya mengehadkan pelajar seramai antara 25 hingga 30 orang. Tujuannya untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. Ini dengan harapan supaya pelajar dewasa ini dapat membaca al-Quran dengan baik.

"Malah setiap pelajar dikehendaki membaca kerana mempelajari al-Quran tidak sempurna dengan hanya mendengar sahaja, ia perlu diamalkan.

"Sehingga kini kelas pengajian al-Quran terbahagi kepada dua iaitu peringkat asas dan peringkat lanjutan yang mengambil masa dua tahun pengajian.

"Para pelajar diberi pilihan masa dan kelas sama ada Isnin dan Rabu atau Selasa dan Khamis. Masa pengajiannya ialah, 5 petang hingga 7 malam dan 8 hingga 10 malam," katanya sehingga kini terdapat seramai 288 orang pelajar.

Hari Sabtu atau Ahad pula akan diadakan kelas Talaqi al-Quran bagi pelajar yang sudah melepasi ujian pada peringkat asas dan lanjutan.

"Kita berharap dengan adanya kelas pengajian dewasa ini sekurang-kurangnya ibu bapa atau mereka yang bujang sekalipun, dalam jangka masa yang diperuntukan itu, dapat mendalami kaedah-kaedah pembelajaran, dan ilmu itu dapat diterjemahkan dan diamalkan di kalangan keluarga mereka.

"Kelas ini juga membuka peluang kepada para pelajar mengambil daya usaha atau inisiatif sendiri untuk mengajar ataupun membuka kelas-kelas pengajian. Ini kerana setiap pelajar akan menempuh peperiksaan, sama ada di peringkat asas dan lanjutan dan setelah berjaya mereka akan dianugerahkan sijil.

"Sijil ini sebenarnya sebagai satu sokongan supaya ilmu ini dipanjangkan kepada masyarakat. Malah sijil ini melayakkan mereka untuk memperoleh pengiktirafan dan pentauliahan daripada pihak berautoriti agama negeri berkenaan," katanya.

0 comments: