? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Wednesday, November 19, 2008

Apabila Musim Hujan Tiba

Hujan-hujan begini… tibalah musimnya.

Bukan banjir atau kenduri kahwin.

Tetapi musim lelah. Musim asthma.

Entahlah, saya sendiri tidak begitu pasti pernahkah saya mengalami asthma semasa kecil.

Tetapi seingat saya, asthma muncul secara nyata semasa saya berusia 17 tahun. Semasa menunggu panggilan ke universiti, saya singgah di sekolah mengambil Sijil Tinggi Agama (STA). Ketika itu saya tinggal bersama teman-teman di dalam asrama yang kebanyakan mereka sudah mula merokok.

Semasa di Tingkatan 1, 2 dan 3, tiada yang berani merokok secara terbuka. Ketika di Tingkatan 4 dan 5, ramai juga yang merokok tetapi saya pula tinggal di bilik Pengawas. Hanya semasa di Tingkatan 6 atau STA, saya tinggal bersama rakan-rakan yang merokok.

Asthma mengganggu hidup.

JORDAN DAN TURKI

Keadaan menjadi lebih buruk apabila saya melanjutkan pelajaran ke Jordan pada tahun yang sama. Kombinasi di antara cuaca yang sangat panas dan berdebu ketika musim panas, sejuk dan bersalji di musim sejuk, serta kaum Arab yang merokok pada tahap yang ‘menggerunkan’, asthma saya menjadi-jadi.

Apabila saya semak transkrip keputusan peperiksaan semasa di Jordan, setiap semester 1 keputusan peperiksaan saya akan merosot dengan ketara. Antara punca besarnya adalah asthma. Ada ketikanya, saya berkurung di dalam rumah sehingga seminggu lebih, melayan batuk dan sempit dada.

Kekerapan ke Turki juga menguji saya.





Cuaca begitu sejuk, mencecah -20°C di kawasan seperti Bolvadin dan Afyon, malah sekeras -45°C di daerah Erzurum. Sungguh menguji.

Allah jua yang tahu betapa seksanya saya menyambut musim sejuk. Bulan Oktober dan November amat menakutkan. Lebih menyedihkan, saya tidak pernah kenal apa itu Salbutamol, Ventolin, Prednisolone atau apa-apa ubat perawat asthma. Dalam keadaan sudah tidak berdaya untuk bangun, ubat yang ada hanyalah teh herba yang dibuat oleh jiran atau teman Arab yang prihatin.

Pelbagai petua diamalkan. Merebus habbah al-sauda’ dan meminum airnya, madu asli, semuanya dicuba. Tiada yang menampakkan kesan ketara.

SEMBUH SEKETIKA

Saya benar-benar mengalami kesembuhan apabila mencuba satu lagi bentuk rawatan alternatif ketika musim Haji tahun 1417H. Semasa di Mekah, saya membeli hati unta yang telah dikeringkan, pada harga 10 Riyal sebungkus.

Sekembalinya ke Jordan, hati unta itu saya bakar sehingga hangus. Kemudian ia ditumbuk hingga menjadi serbuk, lalu saya campurkan dengan kopi pekat lalu diminum.

Subhanallah, selepas satu jam, seluruh badan saya menjadi kemerah-merahan terutamanya di muka dan tapak tangan. Terasa begitu panas, dan tiba-tiba saya muntah. Begitu banyak kahak (phlegm) yang berjaya dikeluarkan. Buat pertama kalinya, dada saya terasa begitu lapang.

Lebih setahun, saya tidak diserang lagi oleh asthma.

Hati unta kering itulah yang nampaknya sesuai dengan keperluan saya. Namun sulit sekali untuk mendapatkannya.

Asthma datang semula apabila saya berhijrah ke UK. Serangan pertama muncul sekembalinya saya daripada Giant Causeway di Ireland Utara. Cuaca yang amat sejuk, angin Laut Scotland yang begitu deras, bersama hujan Irish yang terkenal itu… saya mengalami semula asthma yang sudah lebih setahun meninggalkan saya.

Episod asthma datang semula.

SELEPAS BERUMAHTANGGA

Asthma saya hanya terkawal dan mendapat rawatan yang betul selepas berumahtangga dengan Ummu Saif. Sebagai seorang doktor dan juga pesakit asthma yang lebih serius berbanding saya, kami bukan sahaja sehati sejiwa, malah seubat seinhaler.

November datang lagi.

Asthma saya menjenguk diri.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur



__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih

0 comments: