? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, August 13, 2009

Dengar Cerita China Musim Sejuk

“Dengar cerita, sekarang ini di China musim sejuk!” saya berkata.

“Hishh, bulan lapan macam sekarang ni musim sejuk apanya?” bantah kenalan saya itu.

Semenjak tadi, beliau tidak henti-henti bercakap.

“Anta???” beliau kebingungan.

Saya bangkit meninggalkan beliau dan beberapa rakan yang lain.

Ada yang sudah ketawa, melihat kenalan saya itu yang ‘lambat’ menangkap sindiran. Tidak faham bahasa sarcasm.


SATU MULUT DUA TELINGA

Adakalanya, kita jadi lemas dengan manusia yang bercakap tidak berhenti-henti. Kebanyakan cakapnya pula, mempunyai simptom kurang mendengar. Bukan kerana pekak telinga, tetapi kerana kurang empati.

Teringat kepada nasihat Covey, bahawa seorang manusia tidak mungkin berjaya untuk menjadi manusia yang memahami orang lain, jika dirinya leka dengan cara-cara mendengar yang salah. Antaranya ialah:

BUAT-BUAT DENGAR
DENGAR APA YANG MAHU DIDENGAR SAHAJA
DENGAR SECARA SELF CENTERED – Cepat menghukum, cepat mahu menawarkan nasihat dan pembetulan, dan suka menceroboh, yakni mendesak orang memilih dan menjadikan dirinya sebagai pendengar.
Sikap-sikap seperti ini menenggelamkan isu pokok, sebaliknya mengheret perbahasan serta perdebatan ke hujung yang tidak bertanda. Berdebat tanpa minat kepada kesimpulan dan matlamat.

Untuk memberhentikan debat dan diskusi yang semakin bersimpang siur, menawarkan tajuk MUSIM SEJUK DI CHINA, sering berkesan dalam percubaan-percubaan saya.



“…Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapa pun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorang pun dari golongan (yang membincangkannya)” [Al-Kahf 18: 22]

Kaum Ahli Kitab di dalam kisah Ashaab al-Kahf digambarkan sebagai manusia yang bercakap tanpa asas, membuat dakwaan tanpa pengetahuan dan meneka perkara yang hakikatnya ghaib, tanpa sandaran hujah. Cakapnya semakin melalut. Biar pun asalnya ada asas kebenaran, tetapi dek sikap berdebat tanpa komitmen kepada sandaran perbahasan, Allah berpesan agar jangan perdebatan itu berlarutan.

Bukan soal Ahli Kitab, tetapi soal kelakuan mereka yang keterlaluan dalam perdebatan. Justeru ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Kaedahnya ialah, apabila ada manusia yang cakapnya semakin merapu-rapu, debatnya semakin melalut ke sana sini, dan dakwaannya tidak berasas tetapi berasap bagai menanti hangus dan rentung, tugas kamu ialah menarik diri daripada perbahasan itu.

Abaikan sahaja.

Makin diperpanjangkan perbahasan, semakin jauh melarat jadinya.

Jika mahu mengekalkan kaedah cakap berlapik yang masyhur di dalam budaya kita, tanyakan sahaja soalan “dengar cerita sekarang ni musim sejuk di China ya?”

PELIK BIN AJAIB

Semalam saya menerima undangan untuk hadir ke Ramadan Screening oleh Penyiaran ASTRO untuk media. Ia bertujuan untuk mempromosikan kepada media, program-program yang diatur oleh saluran Astro Ria, Astro Prima, Astro Oasis dan Astro Ceria di sepanjang bulan Ramadan ini.

Semasa Encik Wan mengambil saya di KL Sentral, beliau sempat berpesan, “sabar ya ustaz. Dahsyat betul cakap orang di blog”

Saya hanya mengangguk sambil tersenyum. Keletihan selepas 8 jam ceramah di Klang, untuk Muslim Overseas Camp 2009.

Selesai sesi penayangan yang dihoskan oleh Ustaz Nabil Ahmad itu, kami dijemput untuk sesi jamuan ringan di perkarangan Wisma Penyayang ASTRO di Sri Kembangan.

“Sabar ustaz, ya. Sabar!” kata Encik Saipul Othman, Pengarah Teledrama Cinta Sempurna.

Saya terkejut, namun tersenyum.

“Harap ustaz sabar dan tak patah semangat,” kata Encik Sahid Juri, tuan penerbit pula.

“Sabar ya ustaz,” kata Ustaz Zabidi Mohamed, penulis skrip.

Ustaz Nabil Ahmad dan isterinya Ustazah Suzana Mohamed Ali turut sama menghulurkan salam persahabatan sambil berkongsi pesan yang sama.

Tidak lama selepas itu, Puan Nurjannah Mohd. Salleh, penerbit Astro Oasis juga memberikan pesan yang senada.

Saya kaget.

RAHSIA PEMBACA SENYAP

Rupa-rupanya mereka semua membaca blog ini. Membaca ulasan saya tentang Drama Cinta Sempurna, dan menghayati setiap komen yang disampaikan. Mereka terkesan dengan komen yang sangat pelbagai itu, malah saya dapat merasakan bagai ada luka akibat cakap-cakap yang keterlaluan berkenaan.

Asalnya, saya yang mahu memesan kepada krew Cinta Sempurna agar mereka bersabar dan tidak ambil hati dengan kepedasan komen di dalam entri berkenaan. Alih-alih, mereka pula yang seorang demi seorang memesankan sabar itu kepada saya. Biar pun hakikatnya saya berlapang dada, tetapi melihatkan mereka begitu tenang dan sabar, ia banyak melegakan saya dan mengurangkan sembilu jiwa.

“Kalau pelawat yang sering berkunjung, biasanya mereka sederhana dalam memberikan pandangan. Setuju atau tidak, cakapnya beralas ukhuwwah. Hanya yang sekali sekala berkunjung sahaja yang pedas dan pedih komennya,” saya memberitahu.

Encik Jamal Ismail, EP Astro bertanya, “ini kali pertamakah ustaz kena hentam macam ini?”

“Tidak. Ia lumrah kehidupan. Lumrah dakwah,” saya membalas ringkas.

“Di blog saya kadang-kadang ada juga pelawat yang dilanda dilema Benci Tapi Rindu. Dirinya amat memusuhi apa sahaja tentang diri saya, tetapi dia tidak mahu meninggalkan saya. Datang dan datang, setiap kali datang, saya dibelasahnya dari pelbagai sudut yang dibina oleh persepsinya sendiri” saya menambah.

Masing-masing mengangguk.

“Dalam bab ini, satu sahaja pandangan saya. Kalau nampak ada manusia dah terjatuh ke dalam lubang najis, kaedah menyelamatkannya ada dua. Pertama, campakkan pelampung kepadanya dan tarik dari jauh. Nasib baik, dia selamat. Nasib kurang baik, matilah dia dalam najis tu. Kita pula boleh beri alasan yang kita sudah pun cuba menyelamatkan. Cara kedua, hulurkan tangan, tarik dia betul-betul. Tetapi tangan kita pun kotorlah juga terpalit najis. Cara kedua ini hanya sesuai kalau kita ada ilmu membersihkan najis dari tangan,” kata Encik Jamal, dalam nasihatnya yang berbunga-bunga tapi berisi.

Kami tersenyum.

Ya, adakalanya, dalam ribut manusia yang lebih banyak bercakap daripada mendengar, ada baiknya diajak sahaja ke diskusi tajuk berikutnya,

DENGAR CERITA, DI CHINA SEKARANG INI MUSIM SEJUK

Abu Saif @ www.saifulislam.com
68000 Ampang


ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Saifulislam.Com mengalu-alukan sumbangan anda untuk menampung perjalanan server. Klik di sini untuk menyumbang. Terima kasih... [Abu Saif]

0 comments: