PEMBEDAHAN pintasan jantung dilakukan bagi membolehkan darah mengalir secara normal ke jantung.
Disebabkan salur darah berdekatan jantung tersumbat, maka doktor akan membuat saluran baru dengan mengambil vena pada kaki atau arteri daripada lengan dan bawah dada.
Jika vena di bahagian kaki yang dipilih, maka kesannya satu luka yang panjang akibat pembedahan terbuka. Kepanjangan luka bergantung kepada berapa banyak saluran yang mengalami masalah. Biasanya ia bermula dari pangkal paha hingga hampir ke buku lali.
Disebabkan luka panjang itu, proses penyembuhan mengambil masa yang agak lama dan pastinya meninggalkan kesan parut hodoh pada kaki.
Kini dengan Sistem Penuai Mikro Vaskular 100 (VMMS-100), proses mendapatkan vena bahagian kaki menjadi lebih mudah, cepat dan menjimatkan.
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mencipta sejarah baru-baru ini apabila menjalankan pembedahan pertama penuaian vena menggunakan VMMS-100 ciptaan Dr. Peter Hjc. Sporen dari Belanda.
Teknologi penuaian vena inovatif itu mengambil masa sekitar 10 minit hingga satu jam sahaja bagi seorang pesakit.
"Berbeza dengan teknik lama yang memerlukan kaki pesakit dibedah dengan luka yang panjang, teknik baru ini ibarat menebuk terowong dengan hanya empat kawasan sebesar 2 sentimeter," kata Pakar Runding dan Bedah Kardiotorasik, Prof. Madya Dr. Mohd. Zamrin Simon.
Beliau yang juga Penyelaras Pusat Paru-paru dan Jantung PPUKM menjelaskan, luka yang sedikit membolehkan pesakit kembali berjalan dengan cepat dan keadaan ini membantu proses menyembuhkan salur darah ke jantung itu sendiri.
Selain itu, vena yang diperolehi melalui kaedah tersebut sangat berkualiti kerana ia masih dilitupi lemak.
Kaedah itu juga katanya, sesuai bagi mereka yang menghidap diabetes kerana ia mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan kuman.
"Pesakit boleh meninggalkan hospital antara empat dan lima hari selepas dibedah berbanding antara lima dan tujuh hari dengan kaedah konvensional," jelas beliau.
Prosedur itu juga secara tidak langsung menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung pesakit sepanjang mendapatkan rawatan di hospital.
Sementara itu, Dr. Sporen yang turut berada di PPUKM bagi memantau proses itu berkata, beliau membangunkan teknologi tersebut 15 tahun lalu dengan tujuan mendapat vena varikos.
Beliau dan pasukannya mendapati teknologi tersebut sesuai digunakan untuk penuaian vena, terutama bagi pembedahan pintasan jantung.
Beliau berharap dengan teknologi terbaru itu, lebih ramai pesakit terutama dari negara membangun mampu mendapatkan rawatan dengan sewajarnya dan berpeluang sembuh sepenuhnya.
Thursday, May 20, 2010
Pintasan jantung dengan VMMS
Posted by Allahyarham achit at 6:59 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment