Sungguh sedih, kecewa dan hampa apabila ada di kalangan umat Islam sendiri tidak mempercayai paling bersejarah dalam Islam, iaitu Israk dan Mikraj.
Seperti yang tersiar di Utusan Malaysia Khamis lalu, satu laporan telah dibuat, yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengguna laman sosial, Facebook yang mempersendakan peristiwa itu.
Mereka yang tidak mempercayai peristiwa itu sama dengan golongan kafir Quraisy yang tidak menerima kebenaran peristiwa tersebut.
Ketika Rasulullah SAW bercerita kepada mereka mengenai peristiwa yang baru ditempuhi itu, tidak ada kalangan kafir Quraisy mahu mempercayainya. Malah baginda terus diejek sebagai orang gila dan sebagainya.
Berbeza pendirian yang ditunjukkan oleh sahabat baik baginda iaitu Abu Bakar selepas mendengarkan sendiri dari Rasulullah mengenai peristiwa perjalanan malam tersebut.
Beliau berkata; "Engkau benar! Aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasul utusan Allah."
Sejak itulah Abu Bakar mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud; yang membenarkan. Langsung tidak ada sebarang rasa ragu beliau terhadap Rasulullah.
Apabila ditanya oleh kaum kafir Quraisy bagaimana Abu Bakar boleh mempercayai peristiwa yang dialami oleh Rasulullah itu sedangkan mereka yang selalu ke Palestin memerlukan masa dua bulan untuk perjalanan pergi dan balik ke sana, Abu Bakar berkata: "Aku mengakui kebenaran Muhmmad pada perkara yang jauh lebih besar daripada itu (Israk dan Mikraj).
"Aku beriman kepada Muhammad mengenai wahyu yang turun dari langit dalam masa sekelip mata sahaja.
"Kalau itupun aku percaya, kenapa pula aku tidak percaya Muhammad boleh pergi Baitul Maqdis dan pulang semula ke Mekah dalam masa satu malam sahaja?"
Begitupun baginda memahami kesukaran mana-mana pihak memahami dan mempercayai secara tuntas mengenai peristiwa yang baginda alami itu.
Lalu baginda menerangkan dan menceritakan kepada mereka mengenai keadaan di Palestin (Baitul Maqdis) iaitu terutama Masjid Al Aqsa termasuklah struktur binaan, tiang, tingkap dan sebagainya dan kawasan sekitarnya.
Baginda juga memberitahu mengenai sebuah rombongan dagang yang dipintas oleh baginda ketika dalam perjalanan pulang ke Mekah selepas turun dari Sidratul Muntaha.
Rombongan dagang itu kemudiannya membenarkan kata-kata baginda itu ekoran mereka mendengar suara dari langit yang memberitahu mengenai unta mereka yang lari kerana ketakutan ternampak buraq yang ditunggangi oleh Rasulullah.
Walaupun telah diceritakan dengan begitu jelas dengan bukti-bukti yang dibawa oleh Rasulullah namun golongan kafir Quraisy tetap berdegil dan langsung tidak mahu mempercayai baginda apatah lagi untuk beriman terhadap Allah, tuhan yang Esa.
Hal ini sememangnya menguji keimanan seseorang. Pelbagai persoalan tidak dapat dielakkan timbul mengenai kebenaran kejadian Israk dan Mikraj itu.
Perkataan Israk berasal dari kata asas saraa yang bererti berjalan. Ia merujuk perjalanan di muka bumi pada waktu malam oleh Nabi Muhammad dengan roh dan jasad (bukannya mimpi) dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid Al Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.
Seterusnya menyaksikan baginda yang ditemani oleh malaikat Jibrail (dalam bentuk manusia) naik ke langit dari Masjid Al Aqsa itu. Dari situ baginda juga singgah ke Baitul Makmur dan kemudiaannya ke Sidratul Muntaha, dekat kursi Allah SWT dan kemudian turun semula ke bumi dengan menaiki semula kenderaannya iaitu Buraq.
Kesemua perjalanan itu seperti yang kita ketahui mengandungi pelbagai peristiwa terutama detik bermulanya umat Islam disyariatkan mendirikan solat.
Allah memperlihatkan
Justeru, segala peristiwa ini merupakan kejadian yang menjadi hak mutlak kepada Allah untuk mengadakannya, iaitu dengan segala ilmu dan kekuasaan milik-Nya.
Secara bijaksana Allah memperlihatkan kekuasaan mutlak milik-Nya itu dengan awalan kalimat Subhanal-ladzii (Maha Suci Allah) iaitu dalam ayat surah al-Israk ayat 1 yang menjadi dalil naqli bagi mengesahkan kebenaran mengenai kejadian yang besar itu.
Firman Allah, Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Oleh kerana kedua-dua peristiwa iaitu Israk dan Mikraj itu sangat menakjubkan setiap umat Islam pasti menyebut subhanallah berulang kali kerana yakin dengan bentuk mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda SAW.
Ia memerlukan satu bentuk keimanan yang sangat tinggi sehingga ada yang menyebutnya sebagai haqqul yaqin (keyakinan atas kemutlakan Allah Yang Maha Berkuasa) bagi sesiapa yang dapat mempercayai kedua-dua kejadian ini di saat ada yang mendakwa kononnya kisah Israk dan Mikraj adalah salah satu daripada kisah-kisah Israiliyyat atau hadis-hadis yang bersifat mauduk dan sebagainya.
Apatah lagi apabila disebutkan Rasulullah menaiki buraq, iaitu berasal dari perkataan barq bererti kilat. Jadi adakah kelajuan yang dicapai oleh buraq itu menyamai lajunya kilat? Iaitu sebahagian dari fenomena alam yang dari aspek sainsnya merupakan satu gelombang elektromagnet dengan kadar kelajuan maksimumnya adalah seperti kelajuan cahaya.
Jika kita membacanya di mana-mana pelbagai kisah diceritakan mengenai buraq. Malah terdapat juga gambaran-gambaran lukisan mengenainya.
Sama ada mempunyai sumber yang sahih mahupun tidak, tetapi buraq berasal daripada cahaya bagi membolehkan ia bergerak melebihi kepantasan cahaya. Iaitu 'sekelip mata' pantasnya.
Namun, kita percaya soal buraq ini seadanya tanpa perlu berlebih-lebihan kerana yang pasti tanpa menaiki kenderaan ini tidak mungkin baginda Rasulullah mampu melalui satu perjalanan yang jauh dan kembali semula ke Mekah dalam tempoh hanya sebahagian malam.
Ia berlaku pada malam 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah, tahun ke-11 Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul.
Allah kurniakan kepada Nabi Muhamad akan kejadian yang begitu besar maknanya ini sebagai memujuk kembali hati Rasulullah yang begitu berduka ekoran pelbagai musibah berturut-turut menimpa baginda, iaitu:
lPeristiwa diboikot dan dipulau oleh kaum kafir Quraisy selama tiga tahun yang menyebabkan seluruh kaum keluarga dan pengikut baginda teruk menderita.
l Kehilangan dua insan tersayang, iaitu kewafatan bapa saudara baginda, Abu Talib bin Mutalib yang banyak melindungi baginda dari gangguan kaum kuffar Mekah dan disusuli kewafatan isteri kesayangan, Siti Khadijah yang terlalu banyak berkorban.
l Apabila dakwah baginda ditolak mentah-mentah malah baginda diserang sehingga mengalami cedera ketika baginda mula untuk berdakwah di luar di lingkungan kota Mekah, iaitu apabila baginda pergi ke Taif.
Umat Islam yang tidak mempercayai peristiwa ini bukan berdasarkan kejahilan tetapi kerana sikap sombong mereka terhadap kemuliaan Al Quran.
Friday, May 14, 2010
Israk dan Mikraj bukti kebesaran Allah
Posted by Allahyarham achit at 12:48 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment