Sebenarnya yang harus kita nikmati dalam hidup ini adalah proses. Mengapa? Kerana yang bernilai dalam hidup ini ternyata adalah proses dan bukan hasil. Hasil sesuatu perkerjaan kita telah ditetapkan oleh Allah swt dan kita mempunyai kewajipan untuk menikmati dua perkara iaitu selalu menjaga setiap niat dari apapun yang kita lakukan dan selalu berusaha menyempurnakan niat yang dibuat.
Syahid atau kemenangan
Seperti para mujahidin yang berjuang membela bangsa dan agamanya, sebenarnya bukan kemenangan yang terpenting bagi mereka, kerana menang atau kalah itu akan selalu digilirkan kepada sesiapa pun. Namun yang paling penting baginya adalah niatnya perlu benar kerana Allah swt dan selama berjuang itu akhlaknya tetap terjaga. Tidak akan rugi orang yang seperti ini, sebab ketika dapat mengalahkan lawan bererti dia akan mendapat pahala, kalaupun terbunuh bererti boleh menjadi syuhada.
Untung atau rugi
Walhasil yang terpenting dari perniagaan dan ikhtiar yang dilakukan adalah prosesnya. Bagaimana selama berniaga itu kita selalu menjaga niat agar tidak pernah ada satu miligram pun hak orang lain yang diambil oleh kita, bagaimana ketika berniaga itu kita tampil dengan penuh keramahan dan penuh kemuliaan akhlak, bagaimana ketika sedang berniaga kita sungguh-sungguh menjaga kejujuran kita, menepati waktu dan janji yang diberikan. Keuntungan bagi kita dalam proses mencari nafkah adalah dengan menjaga nilai perilaku kita. Perkara duit sebenarya tidak usah terlalu difikirkan, kerana Allah Maha Mengetahui keperluan kita. Kita sama sekali tidak akan tersanjung oleh keuntungan yang kita dapatkan, tapi kita akan tersanjung oleh proses mulia yang kita jalani.Ini perlu difahami bagi siapa pun yang sedang berniaga bahawa yang berharga adalah nilai-nilai yang selalu kita jaga dalam proses mendapatkan keuntungan.
Buat para pelajar
Begitu juga bagi para pelajar, sekiranya kuliah hanya untuk menikmati hasil ataupun untuk mendapat gelaran mahasiswa, bagaimana kalau meninggal sebelum berjaya mendapatkan segulung ijazah? Apalagi kita tidak tahu bila kita akan meninggal. Maka kita harus bertanya pada diri sendiri, apa yang kita mahukan dari kuliah ini? Kalau hanya untuk mencari isi perut, kata Imam Ali, "Orang yang fikirannya hanya pada isi perut, maka darjat dia tidak akan jauh beza dengan yang keluar dari perutnya". Kalau hanya ingin cari duit, hanya duit saja yang difikirkan, jadi, samalah dengan penjahat yang juga fikirannya hanyalah mengenai duit.
Kuliah seharusnya menjadi sebagai suatu usaha agar nilai kemanfaatan hidup kita meningkat. Salah satu tujuannya juga adalah untuk manfaat orang lain. Kita juga mencari nafkah sebanyak mungkin untuk mensejahterakan orang lain. Dalam mencari rezeki ada dua perkara yang perlu selalu kita jaga, ketika sedang mencari kita sangat jaga nilai-nilainya, dan ketika dapat hasilnya kita infakkan semahu-mahunya. Inilah yang sangat penting.
Kalau kita selama ini pergi kuliah, selama ini pergi sekolah, selama ini berkursus kita jaga sekuat-kuatnya mutu kehormatan, nilai kejujuran, etika, dan tidak mahu berlaku khianat lalu kita meninggal sebelum mendapat hasilnya? Tidak ada masalah, kerana apa yang kita lakukan sudah jadi amal kebaikan. Kerana itu janganlah terlalu terpukau dengan hasil.
Jodoh itu ketentuan Tuhan
Saat kita mahu melamar seseorang, kita harus bersedia menerima kenyataan bahawa yang dilamar itu belum tentu jodoh kita. Walaupun kita sudah berjumpa dengan bakal mertua, sudah berbincang baik-baik, sudah menentukan tarikh, wujud kemungkinan ketika menjelang hari pernikahan pengantin perempuan mengundurkan diri atau ingin menikah dengan yang lain. Sakit hati memang wajar dalam diri manusia, tapi ingatlah bahawa kita tidak pernah rugi kalau niatnya sudah baik, caranya sudah benar, walaupun pernikahan tidak berlangsung. Siapa tahu Allah telah menyiapkan calon isteri yang lebih baik.
Haji Mabrur?
Begitu juga sekiranya kita telah mendaftar mahu menunaikan haji. Telah siap berkursus dan bersiap untuk berangkat, tiba-tiba kita menderita sakit sehingga batal untuk berangkat. Apakah ini suatu kerugian? Belum tentu! Siapa tahu ini merupakan nikmat dan pertolongan dari Allah, kerana kalau kita pergi haji juga tahun itu belum tentu mabrur, mungkin Allah tahu, ah, bukan tapi memang Allah Maha Mengetahui tentang kapasiti atau tingkat keimanan dan kapasiti atau tingkat keilmuan kita yang masih belum cukup, jadi Allah tangguhkan dulu perjalanan kita agar kita mempelajari dengan lebih lagi untuk mendapatkan haji yang mabrur.
Oleh sebab itu, sekali lagi janganlah terpukau oleh hasil, kerana hasil yang bagus menurut kita belum tentu bagus menurut perhitungan Allah swt. Kalau misalnya kekuatan mental kita hanya duit RM50 ribu yang mampu kita uruskan. Suatu saat Allah memberikan untung RM50 juta, nah untung ini justeru boleh menjadi musibah buat kita kerana setiap datangnya rezeki akan diberkati kalau tingkat iman dan ilmu kita bagus. Kalau tidak, datangnya duit, status, pangkat, kedudukan tetapi tidak diimbangi kualiti peribadi kita yang bermutu ia boleh menjadi musibah pada diri.
Ada orang yang menjadi hina gara-gara dia mendapatkan kedudukan, kerana kedudukannya tidak diimbangi dengan kemampuan mental yang bagus dan akhlak yang mulia. Dia menjadi takbur, sombong dan berlagak pandai, maka dia menjadi nista dan hina kerana kedudukannya di hadapan Allah swt.
Ada orang yang terjerumus dan bergelumang dengan maksiat gara-gara mendapat untung. Hal ini kerana, ketika belum mendapat untung dan duit yang banyak dia susah untuk ke tempat maksiat tapi ketika duit datang melimpah ruah tiba-tiba dia begitu mudahnya menyalurkan hasilnya ke tempat-tempat maksiat.
Proses itu suatu nikmat
Begitulah sahabat, selalulah kita menikmati proses dalam berbuat sesuatu perkara. Seperti saat seorang ibu membuat kuih hari raya, ternyata kuih yang dihasikannya begitu enak dan kuih yang enak itu telah melewati proses yang begitu panjang dan lama. Mulai dari mencari bahan-bahannya, memilih-milihnya, menyediakan peralatan yang bagus, hingga memadukannya dengan bahan-bahan yang tepat, dan sampai menunggu kuih itu di depan oven. Dan lihatlah ketika siap, baru dihidangkan beberapa minit saja, sudah habis. Apalagi biasanya kuih itu tidak dimakan sendirian oleh yang membuatnya malah dimakan ramai-ramai. Bayangkan kalau orang membuat kuih tadi tidak menikmati proses membuatnya, dia akan rugi kerana mendapat penat saja, kerana hasil proses membuat kuihnya pun habis dengan seketika oleh orang lain. Ertinya, ternyata yang kita nikmati itu bukan sekadar hasil, tapi proses.
Begitu juga ketika seorang ibu membesarkan seorang anak, lihatlah prosesnya. Hamilnya sembilan bulan, sungguh begitu berat, tidur susah, baring pun susah, berdiri berat, jalan juga tidak stabil, MasyaAllah. Kemudian ketika bersalin pun berat dan sakitnya juga setengah mati. Padahal setelah si anak lahir belum tentu akan membalas budi. Sudah berjuang sekuat tenaga melahirkan, sewaktu kecil kadang kala membuang hadas merata-rata, pergi dan balik sekolah dihantar dan diambil, manjanya luar biasa, di sekolah rendah tidak mahu belajar (bahkan yang belajar, yang mengerjakan kerja sekolah justeru malah ibunya) dan si anak malah pergi bermain saja, saat masuk sekolah menengah sudah mula ponteng kelas, ponteng sekolah dan sudah mula bermain cinta.
Bayangkanlah kalau semua proses mendidik dan mengurus anak itu tidak menggunakan keikhlasan langsung kerana tidak sebanding antara perbuatan anak dengan pengorbanan ibu bapanya. Bayangkan pula kalau saat bersalinkan anaknya, prosesnya sudah lelah dan sakit setengah mati seperti itu, tiba-tiba anaknya meninggal, naudzhubillah, apa yang telah kita dapatkan ketika itu?
Oleh sebab itu, bagi para wanita, nikmatilah proses hamil sebagai ladang amal. Nikmatilah proses mengurus anak, peningnya, kerenahnya, dan cerewetnya anak sebagai ladang amal. Jangan difikirkan apakah anak itu mahu membalas budi atau tidak, kerana jika kita ikhlas menjalani proses ini, InsyaAllah kita tidak akan pernah rugi. Pastinya amal di sisiNya bukan apa yang kita usahakan, tapi apa yang kita lakukan dengan ikhlas dan sebaik mungkin.
Sumber: Dipetik dari KCB Yahoo groups, K.H. Abdullah Gymnastiar
Wednesday, May 26, 2010
Nikmati Proses
Posted by Allahyarham achit at 9:43 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment