Salah satu perkara yang amat kontroversi dan menjadi tanda tanya yang berterusan dalam sejarah manusia ialah pertanyaan tentang kedudukan Nabi Isa a.s apakah ia mempunyai status yang sama dengan Allah, atau hanya manusia biasa atau apakah pada masa yang sama Nabi Isa a.s itu bersifat separuh Tuhan atau separuh manusia. Timbul juga pertanyaan apakah Nabi Isa a.s itu dilahirkan seperti manusia biasa atau mempunyai ayah, ibu seperti anak-anak lazim yang lain sehinggakan disembah dan dipuja sebagai tuhan dan anak tuhan.
Nabi Isa a.s berketurunan Bani Israel. Umat Islam menganggap Nabi Isa a.s adalah manusia biasa, salah seorang Rasul Allah yang diamanahkan untuk menegakkan kebenaran di zaman ketika Bani Israel tersesat dari hukum-hukum yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Musa a.s. Berdasarkan peranan mulia Nabi Isa a.s ini, maka al-Quran amat memuliakan Nabi Isa a.s dan ibunya Mariam. Malah penghormatan al-Quran kepada Nabi Isa a.s dan ibunya melebihi apa yang terdapat dalam kitab orang Kristian sendiri.
Dalam al-Quran dipetik firman Allah tentang percakapan Nabi Isa a.s dalam surah Maryam surah 30-33:
Maksudnya: Berkata Nabi Isa, ” Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku al-Kitab,(Injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi, dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintah kepadaku (mendirikan solat, zakat selama aku hidup, dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka”.
Berdasarkan ayat ini Nabi Isa a.s tidak menganggap dirinya Tuhan kerana salah satu sifat Allah ialah Tuhan segala sekalian alam sedangkan kehidupan Nabi Isa a.s hanya berligar sekitar Baitulmaqdis di Palestin. Persoalan besar timbul bagaimana Nabi Isa a.s boleh bertindak sebagai Tuhan sekalian alam kerana kehidupannya hanya terbatas dan terhad.
Kelahiran Nabi Isa a.s yang luar biasa menyebabkan terdapat pengikutnya yang melampau menyatakan Nabi Isa a.s adalah anak Tuhan. Sekali lagi persoalan besar timbul ialah apakah status Tuhan bapa mempunyai status yang sama dengan Tuhan anak. Dalam kehidupan sosial masyarakat kita pun sebenarnya amat tidak waras dan mustahil status kuasa bapa sama dengan status kuasa anak. Ajaran Islam memerintahkan anak-anak hendaklah mentaati dan menghormati ibu bapa.
Sebenarnya dalam sejarah kelahiran manusia terdapat dua lagi bentuk kelahiran yang amat luar biasa malah lebih hebat lagi daripada kelahiran Nabi Isa a.s iaitu kelahiran Nabi Adam a.s dan Hawa. Nabi Adam a.s dan isterinya lahir tanpa melalui hubungan lelaki dan perempuan dan tanpa melalui kandungan rahim ibu. Islam menganggap kelahiran rasul Rasul Allah yang luar biasa adalah urusan Allah. Oleh itu walau pun amat luar biasa bentuk kelahiran Nabi Adam a.s dan Hawa tetapi Islam tidak menganggap Nabi Adam a.s dan Hawa sebagai anak Tuhan. Dalam al Quran juga diceritakan pembohongan orang orang Yahudi yang mengatakan bahawa Uzair seorang pemuda yang alim dari Bani Israel yang telah mati dan dihidupkan semula oleh Allah itu juga adalah anak Tuhan.
Dalam menyampaikan ajaran Allah, Nabi Isa a.s mendapat tentangan hebat dari kaum Bani Israel. Sekumpulan pelampau dari Bani Israel merancang untuk menangkap dan membunuhnya di tiang salib. Percubaan mereka hampir berjaya. Menurut jumhur ulama atau sebahagian besar ulama Islam, yang mentafsir surah an-Nisaa’ ayat 157 berpendapat bahawa Nabi Isa a.s tidak disalib dan tidak dibunuh kerana Nabi Isa a.s tidak pernah berada di atas tiang salib.Sebaliknya Allah telah menggantikan dengan orang lain bagi mengelakkan Nabi Isa a.s mati dalam keadaan hina di atas tiang salib. Sesungguhnya Allah SWT telah menaikkan nabi Isa a.s ke syurga.
Islam meyakini Nabi Isa a.s tidak disalib kerana hal tersebut dibawah kekuasaan Allah samalah dengan cara kelahiran Nabi Isa a.s yang luar biasa itu. Bagaimana pun orang-orang yahudi dan Kristian mempercayai Nabi Isa a.s mati di atas tiang salib. Bagi penganut Yahudi dan Kristian kematian Nabi Isa a.s di atas tiang salib adalah klimaks atau kemuncak peranan Nabi Isa a.s mengorbankan darahnya untuk penebusan dosanya sendiri dan menyelamatkan dosa orang lain. Apa yang nyata Islam mengajar umatnya bahawa setiap orang yang berdosa bila tidak diampun Allah, ia sendiri akan memikul perbuatan dosanya dan tak seorang pun boleh menanggung dosa orang lain.Sesungguhnya beriman dengan semua rasul, berserah kepada Allah dengan mentaati segala suruhan-Nya ini semua telah dianjurkan oleh agama samawi semenjak zaman nabi Ibrahim a.s hingga ke zaman nabi yang terakhir Muhammad SAW.
Umat Islam wajib beriman dan memuliakan para Nabi termasuk Nabi Isa a.s. Hakikatnya terdapat perkaitan rapat antara syariat Nabi Muhammad SAW dengan Nabi Isa a.s. dari sudut membawa ajaran yang satu iaitu Islam berasaskan akidah ketuhanan yang Esa. Berasaskan ini, jelas menunjukkan bahawa umat Nabi Muhammad SAW dan Nabi Isa a.s. adalah dari rumpun akidah yang sama. Sewajarnya mereka tetap bersatu mendokong ajaran tauhid yang sama. Kerana Allah yang menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW, maka Allah itu juga yang menurunkan wahyu kepada Nabi Isa a.s. Dalam hal yang sama penganut agama Kristian juga perlu menghormati Nabi Muhammad SAW sebab ajaran samawi melarang umatnya menghina Nabi-Nabi tersebut. Bagi umat Islam, apa yang menjadi sandaran kita ialah al-Quran dan Sunnah kerana Nabi Muhammad SAW adalah pelengkap ajaran daripada Allah.
Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Para nabi semuanya bersaudara disebabkan ayah mereka satu dan hanya ibu mereka yang berlainan. Sedangkan agama mereka adalah satu. Dan akulah orang yang paling dekat dengan Isa bin Mariam kerana tidak ada Nabi di antara kami.”
Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Nabi Isa a.s. adalah Nabi dan Rasul yang mulia di sisi Allah dan umat Islam. Baginda diutus bagi menguatkan agama Islam dan bukan sebagai penebus dosa manusia. Islam menolak pegangan berbilang Tuhan, Tuhan bapa, Tuhan anak dan Nabi sebagai memikul beban dosa orang lain kerana setiap manusia bertanggungjawab dan akan diadili atas perbuatannya sendiri. Oleh itu, para jemaah dan umat Islam sekalian hendaklah berwaspada dengan gerakan diayah yang mengelirukan melalui buku-buku, risalah, VCD yang diedar di rumah-rumah dan tempat awam.
Maksudnya: “Oleh sebab itu jika mereka berhujah membantahmu maka katakanlah: Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang yang mengikutku. Dan bertanyalah kepada orang yang diberi Kitab, dan orang yang buta huruf: Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)? Jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah mendapat petunjuk; dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat (tingkah laku) sekalian hamba-Nya.” (Surah Ali Imran:20)
Friday, May 14, 2010
NABI ISA A.S DALAM AL-QURAN
Posted by Allahyarham achit at 1:39 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment