Hari ini saya ke Kinokuniya untuk mendapatkan dua buah buku penting bagi subjek saya bersama Prof. Kopanski iaitu “Contact and Relations Between Muslims and Medieval Europe”.
Dua buku yang saya maksudkan itu ialah:
INTRODUCTION TO MEDIEVAL EUROPE 300 - 1550: Age of Discretion, oleh Willem Pieter Blockmans dan Peter Hoppenbrouwers.
Amazon
MUHAMMED AND CHARLEMAGNE, oleh Henri Pirenne
Amazon
Setelah lama menghabiskan masa membaca Sejarah Eropah Moden, di satu peringkat saya agak lesu dalam cubaan untuk membaca tentang sejarah Medieval Europe, yang sering diistilahkan sebagai zaman gelap Eropah.
Tetapi Prof Kopanski telah berjaya menyuluh saya dan rakan-rakan, di manakah keistimewaan era ini khususnya bagi kaum Muslimin. Seperti biasa, beliau akan membentangkan peta Eropah sebesar meja di depan kami, dan syarahannya tidak ubah seperti ketua tentera yang sedang menerangkan misinya kepada gerombolan askar.
Diskusi kami menjadi hangat dengan persoalan yang berlegar di sekitar King Offa of Mercia (757-796) yang memerintah sebahagian kawasan England, Wales dan Scotland. Apakah King Offa memeluk Islam? Isu mengenainya timbul apabila wang syiling yang ditempa pada zaman pemerintahannya memaparkan kalimah La Ilaaha Illallaah. Tambahan pula, tubuhnya yang hilang dari kuburan, menimbulkan lagi kerumitan.
Perbincangan terus jadi menarik apabila dibahaskan tentang asal usul Blackie di sekitar kawasan selatan England seperti di Southampton, Brighton dan sebagainya. Mereka adalah British, namun kulitnya sedikit gelap dan dipercayai sebagai saki baki komuniti Andalus yang bermastautin di sana.
Lebih mengujakan, apabila dibentangkan pula tentang beberapa buah kerajaan Islam yang memerintah pulau sekitar Itali, malah pernah sampai memerangi dan mengalahkan Vatican City di Rome. Kerajaan-kerajaan yang mencecah usia sekurun itu, walau bagaimana pun tidak menakluk Rome, sebaliknya membiarkan kota itu begitu sahaja. Kerajaan-kerajaan Islam di sekitar Itali ini tidak mempunyai sebarang hubungan langsung dengan Abbasiyyah di Baghdad, mahu pun Umayyah di Andalus. Mereka berdiri sendiri.
Catatan-catatan Ibn Fadhlan yang kemudiannya difilemkan di dalam The 13th Warrior juga dibahaskan dengan panjang lebar.
Apa yang menariknya ialah, setiap kelas, akan disertakan dengan sesi menonton filem berkaitan Medieval Europe. Ada yang keluaran Hollywood, tidak kurang juga karya tempatan dari Poland, Sweden, England dan sebagainya.
Filem terakhir yang kami tonton, adalah berkaitan dengan Charlemagne yang dianggap sebagai pengasas Eropah. Buku Henri Pirenne yang diterbitkan sejurus sebelum Perang Dunia Kedua itu, sungguh klasik dan mencetuskan pelbagai debat. Bagaimanakah Rasulullah SAW dan generasi Islam yang awal, menggoncang kegelapan Rumawi dan Frankish ketika itu… saya sedang memerah kepala membacanya.
Setiap kali kelas ini berlangsung, ia berakhir mencecah 10:30 malam (bermula pada jam 6 petang).
Prof. Kopanski berkali-kali merayu kami supaya menawarkan diri untuk menulis thesis berkenaan Medieval Europe, namun saya secara peribadi hanya mampu tersenyum.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Sunday, September 14, 2008
Zaman Pertengahan Eropah Penuh Kejutan
Posted by Allahyarham achit at 9:40 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment