“Pak Hitam guna internet untuk memikat, pedayakan gadis tempatan”, itu salah satu petikan akhbar KOSMO bertarikh 6 Disember 2007.
Pak Hitam?
Bukan sahaja KOSMO menggunakan istilah itu. Malah berita di televisyen juga sama. Malah istilah itu diguna pakai secara berleluasa tanpa ada terlintas langsung pada konotasinya.
Saya masih ingat pada satu ‘jenaka’ di Kota Mekah di musim Haji. Seorang lelaki Jordan bertemu dengan seorang lelaki Sudan. Lelaki Jordan itu mahu bertanya khabar kepada lelaki Sudan itu lalu menyapanya dengan bahasa Arab tempatan Jordan, “ish loonak?” yang bermaksud “apa khabar”. Tetapi terjemahan sebenar ayat tersebut ialah “apa warna kamu?” iaitu ungkapan orang Jordan untuk bertanya khabar.
Lelaki Sudan itu melipat lengan bajunya dan menghayunkan penumbuknya ke muka lelaki Jordan itu sambil menyebut, “Aswad!” (Hitam!).
JENAYAH
Tidak saya nafikan warga Afrika yang ada di Malaysia, terdapat sebilangan mereka yang terlibat di dalam pelbagai jenayah. Black money, email yang menawarkan perkongsian wang hasil wasiat yang tersangkut di bank, dan terkini menggoda anak gadis tempatan… adalah di antara jenayah yang sering disabitkan kepada warga Afrika yang berada di negara kita.
Hakikatnya, sama sahaja. Warga Indonesia yang berada di Malaysia juga ada melakukan pelbagai jenayah, warga Pakistan, warga Thai, warga China, dan tidak kurang juga anak tempatan sendiri! Jenayah adalah kelakuan makhluk bernama MANUSIA.
Tetapi komen-komen di akhbar dan berita sangat selesa menggunakan istilah PAK HITAM malah ada yang bertanya di dalam KOSMO pada tarikh yang sama di muka surat 9,
“APA yang menarik sangat dengan warga Afrika sampai wanita kita terpikat dengan mereka. - MAMI”
“BOHONGLAH Pak Hitam tak ganggu kehidupan. - AYU JOHARI”
Itu adalah sebahagian daripada komen yang disiarkan.
Dari manakah kita mengambil sikap sebegitu? Bukan jenayah yang dikomen, tetapi warna kulit itu yang disabitkan terhadap pelakunya. Kita boleh mengistilahkan mereka sebagai warga Afrika, tetapi ‘Pak Hitam’ juga yang dipilih.
Sama seperti gelaran orang Barat yang memanggil ‘Pak Hitam’ kita sebagai Nigger!
HITAM BUKAN SOALNYA
Bukanlah warna itu yang membawa konotasi negatifnya. Kerana di dalam manuskrip tua Arab sekali pun, benua Afrika itu berkurun lama dipanggil sebagai Bilad al-Sudaan () atau “Negeri Orang Hitam”. Ia adalah lanjutan daripada gelaran yang mereka berikan kepada kawasan Afrika Utara yang disebut sebagai Bilad al-Baydhaani atau “Negeri Orang Putih”.Tetapi sedikit demi sedikit orang Arab menyeberangi kawasan Sahara dan Savanna ke arah Selatan, penduduknya semakin berkulit gelap dan hitam lalu akhirnya kekal selama berkurun, benua Afrika itu dikenali sebagai Bilad al-Sudaan atau Negeri Orang Hitam.
Ia suatu ungkapan yang bermaksud mahu memberikan identiti kepada suatu kaum di sesebuah tempat.
Tetapi ungkapan “Pak Hitam” atau “Nigger” memikul konotasi negatif. Ia muncul dari sikap memandang rendah kepada orang Afrika yang berlaku sama ada hasil kepercayaan kepada idea tertentu, atau berlaku tanpa sedar seperti keselesaan kebanyakan kita menggunakan istilah Pak Hitam di dalam laporan akhbar dan berita.
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu itu berbangsa-bangsa dan berqabilah, agar dengan kejadian yang begitu kamu saling kenal mengenal di antara satu sama lain” [Al-Hujurat : 13]
Muslim harus bebas dari sikap diskriminasi bangsa dan warna kulit.
ISLAM IN SUB-SAHARAN AFRICA
Semester ini saya berasa segar kerana menerima suntikan baru ke dalam minda apabila berpeluang mempelajari tentang sejarah Afrika secara lebih mendalam. Seperti biasa, sejarah yang dipelajari ini bukanlah bermaksud untuk mengetahui apa yang berlaku bila dan di mana, secara naratif, tetapi kami bergerak ke arah matlamat yang penting iaitu:
“…to refute the Western claim that Africa had no history before its contact with Europe, and to show that Islam played an outstanding role in enriching African heritage. Africa is indeed the “continent of Islam”. Also, to emphasize the civil and civilizational role and impact of Islam in sub-Saharan Africa, and hence challenge the assertion of some Western writers and propagandists that Islam “enslaved” and “confused” the Africans, both in the continent and in the diaspora, the so-called the neurosis of conversion”
Inilah titik tolak kepada perbincangan kami bagi subjek ini. Dan saya berasa sangat teruja dapat mengenal ketinggian dan kehebatan tamadun yang pernah wujud di benua Afrika sebelum ia dimusnahkan dengan Kolonialisasi Barat yang melapik keinginan penjajahan mereka dengan menganggap penguasaan itu sebagai “The White Man’s Burden“. Menjadi tanggungjawab orang Kulit Putih untuk ke Afrika dan Asia bagi membantu mereka agar hidup bertamadun dengan tamadun Barat!
Sikap ini amat berleluasa sehinggakan menjelang 1950′an, kajian tentang Sejarah Afrika masih sangat pekat berpaksikan kepada Euro-Centric, atau melihat Afrika hanya dari perspektif superiority attitude Eropah. Hingga pada tahun 1970′an suatu usaha besar-besaran telah dilakukan untuk menulis kembali Sejarah Afrika, pada idea, pemikiran dan tamadunnya, dari perspektif Afrika (Africa Centric) hingga terhasilnya suatu ensiklopedia yang besar dan kaya di bawah tajuk The General History of Africa.
Inilah teks utama yang akan menjadi rujukan saya dan rakan-rakan di sepanjang semester ini dan Insya Allah, dengan izin-Nya saya akan cuba berkongsi perkara-perkara menarik dengan pembaca saifulislam.com yang budiman.
TAJUK DISKUSI
Antara tajuk yang bakal dibincangkan di dalam subjek ini ialah:
Africa: Geographic Determinism
Islam in North Africa
The development of African Historiography, Eurocentricism and Afrocentricism
Spread of Islam and its role in the formation of Islamic States in Bilad al_Sudan (Sudanic Belt of Africa):
Western Sudan: Mali and Songhay States
Central Sudan: Kanem, Bornu and the Hausa City-States
Eastern Sudan: Funj and Fur Sultanates
Islam in the Horn of Africa, the Tiraz Sultanates
Islam in the Sahel (Swahili Islamic Civilization)
The 18th and 19th Jihad in Sub-Saharan Africa
The Jihad Movements in Western and Central Bilad al-Sudan
The Mahdist Revolution and State in the Sudan
The Jihad of Sayyid Muhammed Abdille Hasan in Somalia
Islam and the issue of Slavery and Salve Trade in Africa
The Future of Islam in Africa
ASSIGNMENT
Walter Rodney
Assignment pertama yang saya terima di kelas petang tadi, adalah analisa saya kepada buku How Europe Underdeveloped Africa tulisan Walter Rodney (1973) dan bagaimanakah Marxism menjadi asas kepada kritikan Rodney terhadap legasi Eropah di bumi Afrika. Ia merupakan suatu projek yang menarik kerana bukan sahaja saya perlu meneliti tulisan Rodney, bahkan dari satu sudut yang lain, perlu pula kepada melihat kaedah Marxism menafsirkan Sejarah.
Ali Mazrui
Selain daripada itu, saya juga diminta mengumpulkan bahan bersama analisa tentang seorang tokoh kontemporari yang terkenal dari bumi Afrika iaitu Ali Mazrui serta hasil kerja utamanya iaitu The Africans: A Triple Heritage yang telah dijadikan dokumentari bersiri oleh BBC.
Inilah bahan yang perlu saya bawa bersama ke Ireland sambil membentangkan PUISI 2007 yang bakal berlangsung hujung bulan ini.
Saya telah begitu banyak mendapat manfaat dari ilmuan-ilmuan Afrika yang begitu luas pengetahuannya, dari kalangan pensyarah kami di UIAM. Antaranya ialah:
Profesor Dr. Ahmed Ibrahim Abu Shouk. Mengajar saya subjek Islah and Tajdid in South East Asia dan Modern History of the Arab World. Beliau juga adalah penyelia akademik saya.
Profesor Dr. Hassan Ahmed Ibrahim. Mengajar saya subjek Islah and Tajdid in the Muslim World, Issues in the Contemporary Islamic Movements dan Islam in Sub-Saharan Africa.
Assoc. Prof. Dr. Ahmed Elyas Hussien. Mengajar saya subjek Research Methodology dan Muslim Historiography.
Dan subjek Islam in Sub Saharan Africa ini akan menambahkan lagi penghormatan dan pengiktirafan saya kepada benua Afrika yang unik itu.
Hitam itu menawan.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih
Sunday, September 14, 2008
Hitam Itu Menawan
Posted by Allahyarham achit at 9:36 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment