Ustaz dan Ummu Saif orang muda-muda, banyak pandangan diberikan berdasarkan ilmu dan teori (mungkin?). Cuba lihat orang-orang tua kita dulu yang tak pernah menerima tarbiyah (harakah or others), tak fikir pasal fikrah, tak dengar ceramah, tak baca buku, tapi ikatan perkahwinan mereka sangat solid.. yang saya kira masih sangat relevan untuk kita teroka keunikannya walau pun konteks dan masa telah berbeza, tetapi falsafahnya masih sesuai sepanjang zaman… tanyalah mereka, terokalah hubungan tersebut… pasti kita akan dapat banyak atau sedikit petuanya” - nurulyaqin.
Saya menyambut baik komen di atas, iaitu salah satu komen yang saya terima di dalam artikel “Setelah Pulang Dari Perantauan“. Di dalamnya terkandung beberapa isi penting yang memerlukan saya untuk menulis sebuah artikel berasingan mengenainya.
Apabila nurulyaqin menyebut soal ‘konteks dan masa yang berbeza’, maka di situlah titik penting untuk kita memahami mengapa petua orang tua penting, dan analisa orang muda melengkapinya.
LAWATAN PSIKIATRI
“Apa yang encik dan doktor buat semasa anak-anak senyap dan buat kerja masing-masing di rumah?”, tanya pakar psikiatri yang kami temui.
“Itulah masanya kami buat kerja masing-masing”, saya menjawab. Ummu Saif sama mengangguk.
“Bila masanya yang encik dan isteri menegur anak-anak?”, soal beliau lagi.
“Kalau mereka bergaduh sesama mereka atau buat bising, biasanya”, balas Ummu Saif. Giliran saya pula mengangguk sama.
“Apakah encik berdua dapat mengesan di mana silapnya?”, tanya doktor pakar tersebut?
Kami diam berfikir seketika.
Teringat kembali kepada ceramah-ceramah saya tentang kuasa CINTA antara ibu bapa dan anak. Terkenang kembali bahawa saya yang mendefinisikan CINTA itu sebagai PERHATIAN. Anak-anak menjadi gersang, mudah terjebak ke dalam cinta murahan dan segala yang tidak kena dalam dunia remaja hari ini, bermula daripada kurangnya PERHATIAN ibu bapa kepada mereka. Kurang cinta dan kasing sayang.
“Ya, saya rasa saya faham”, saya bersuara.
“Bagaimana?”, tanya doktor tersebut.
“Ketika mereka baik, kami biarkan. Ketika anak-anak buat perangai, masa itulah kami beri PERHATIAN. Sebab itulah anak-anak buat perangai, untuk menarik perhatian kami!”, saya membuat kesimpulan.
Saya dan Ummu Saif saling berpandangan. Faktor ini sangat menyentak fikiran kami. Biar pun ia sesuatu yang mudah dan berlaku tanpa sedar, impaknya besar sekali.
“Anak-anak semakin kreatif dalam mengusahakan perhatian kita sebagai ibu bapa. Itulah yang sepatutnya kita faham di sebalik kelakuan anak-anak”, simpul doktor tersebut.
KESAN RUTIN DAN KESIBUKAN
Sepanjang Julai dan Ogos lalu, jadual kerja saya sangat padat. Keadaan itu telah memberikan pelbagai implikasi kepada keluarga kami. Saya dan Ummu Saif bermujahadah untuk mengekalkan semangat masing-masing. Tidak terkecuali tiga cahaya mata saya yang turut menerima tempiasnya.
Saiful Islam menjadi marah. Pelbagai tingkah laku yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini, muncul dan meresahkan saya dan isteri. Setiap hari kami berdua berbincang, melakukan muhasabah dan mencari kesilapan-kesilapan yang berlaku. Saya akui, keletihan fizikal, emosi dan mental membawa kepada kelesuan spiritual… dan tingkah laku kita turut terkesan. Saya sering beransur-ansur menjadi pendiam dan hilang sentuhan yang ‘jujur’ dengan isteri dan anak-anak.
Saiful Islam sebagai anak sulung, terkesan dengan suasana ini dan beliau menjadi pemarah.
“Kita kena dapatkan bantuan profesional”, cadang Ummu Saif kepada saya.
“Setuju”, saya segera mengiyakannya. Sebelum terlambat!
Latar belakang inilah yang membawa kami bertiga bertemu dengan pakar psikiatri untuk mendapatkan nasihat yang lebih tersusun buat kami.
Sesungguhnya lawatan beberapa kali ini amat bermakna dan sangat membantu. Segala tingkah laku anak kita sebenarnya adalah refleks kepada masalah ibu dan bapa. Maka penyelesaiannya mungkin bukan dengan anak-anak, sebaliknya dengan membetulkan ibu bapa.
Kenyataan doktor itu tadi, bahawa kami sering mengambil peluang daripada ‘baik’nya kelakuan anak-anak dengan menumpukan perhatian kepada kerja masing-masing, sebaliknya marah atau menegur anak-anak apabila mereka bising dan bergaduh, adalah kaedah yang salah dalam memberikan perhatian anak-anak. Si anak sebenarnya mampu sampai ke tahap merelakan dirinya dimarah, dicubit malah mungkin dirotan, semata-mata untuk meraih perhatian ibu bapa…. dalam tangisan dan kesakitan. Begitulah dahaganya seorang anak kepada perhatian ibu bapa mereka.
Nasihat doktor pakar itu saya dan isteri terima dengan hati yang terbuka. Kami mengusahakan perubahan.
“Wah, baiknya anak-anak abi dan ummi ni”, kata Ummu Saif kepada anak-anak kami semasa mereka bertiga duduk bersama-sama melayan Play-Doh.
“Emm, tengah buat apa tu ya? Macam inilah keluarga bahagia, semua orang baik-baik belajar, main, tak gaduh-gaduh. Betul tak?”, saya menyapa anak-anak yang sedang khusyuk di meja dengan kertas dan pensel warna.
Saif dan Naurah sama-sama mengangguk. Kami semua tersenyum.
Tatkala mereka bertiga bergaduh dan buat perangai, jika sebelum ini kami marah atau menegur, sebaliknya di sepanjang Ramadan ini, saya dan isteri belajar menekan butang PAUSE dan tidak begitu mengendahkan mereka.
Sungguh… sedikit demi sedikit perubahan jadi ketara. Nasihat doktor pakar itu sangat membantu.
KETERBUKAAN MASYARAKAT
Sebagai pendakwah, saya mengambil kesempatan berbual dengan doktor tentang fakta-fakta yang penting untuk saya proses.
“Maafkan saya doktor, saya ingin bertanya sejauh manakah masyarakat kita datang ke wad psikiatri ini bagi mendapatkan nasihat pakar tentang masalah anak-anak?”, saya bertanya.
“Kalau masyarakat Cina, mereka sangat terbuka. Kami biasa menerima kunjungan ibu bapa berbangsa Cina, yang berdepan dengan masalah-masalah biasa anak mereka. Anak degil, tantrum, hiperaktif dan umumnya jika ada sahaja yang tidak kena dengan kelakuan anak-anak maka mereka akan datang ke sini. Tetapi tidak dengan orang Melayu, orang Islam”, kata doktor pakar tersebut.
Saya dan Ummu Saif mengangguk.
“Orang Melayu itu treshold (tahap menahan sakit) mereka tinggi. Ada banyak definisi untuk meneutralkan masalah. Degil, tak dengar cakap, buas, banyak kerenah dan lain-lain perkataan menjadikan masalah anak-anak tidak dilihat secara serius. Bila dah teruk, baru jumpa doktor”, ulas Ummu Saif.
“Benar sekali. Misalnya anak-anak yang autistik… sehingga anak mencecah usia lima hingga 6 tahun baru dibawa berjumpa doktor. Sedangkan semasa anak berusia dua tiga tahun, mereka sudah pun mengesan benda-benda yang tidak kena dengan si anak. Taboo dengan psikiatri dan kaunseling”, kata doktor pakar berkenaan.
Saya agak berdukacita dengan hal ini.
Saya sering didatangi dengan persoalan-persoalan mendidik anak dan urusan kekeluargaan sedangkan kemahiran serta pengetahuan saya amat terhad. Saya sedar akan kelemahan ini dan kerana itu saya tidak segan atau malu berjumpa dengan doktor pakar psikiatri kanak-kanak untuk mencari panduan.
KAEDAH LAMA VS KAEDAH BARU
“Doktor, saya ingin bertanya, apakah boleh kita katakan bahawa cara mendidik anak-anak dan mengendalikan rumahtangga ikut kaedah dulu-dulu, lebih berkesan dan mudah berbanding cara kita sekarang yang membabitkan kaunseling, psikologi dan sebagainya?”, tanya Ummu Saif kepada doktor pakar terbabit.
“Tidak juga”, jawab beliau.
Saya khusyuk mendengar.
Doktor pakar terbabit menjelaskan bahawa kita dan anak-anak hari ini hidup dalam masa dan konteks yang berbeza. Cabarannya lain, tekanannya juga lain. Malah exposure dan risiko juga berbeza. Maka pendekatan mesti disesuaikan dengan hal-hal seperti ini.
CABARAN DULU DAN SEKARANG
Suami dan isteri dulu-dulu lain keadaannya. Umumnya isteri tidak bekerja, atau kalau bekerja pun tidaklah sampai ke ranking yang sangat mencabar, memanjat tingkat-tingkat bangunan seperti KLCC dengan 1001 jenis manusia yang pelbagai. Suami pun sama.
Anak-anak tidak jauh bezanya. Antara ada televisyen dengan tiada televisyen, malah lihat sahaja kepada rancangan televisyennya. Apa yang diistilahkan ‘porno’ 50 tahun yang lalu adalah ’sopan’ dan terlebih tutup pada hari ini. Jika 20 tahun yang lalu, hiburan kanak-kanak adalah tikus, itik, anjing dalam kartun Walt Disney, atau rama-rama, monyet, harimau dan buaya dalam Cumi dan Ciki, kini watak yang mendampingi anak-anak adalah pembunuh, kaki gaduh, kaki pukul, syaitan, hantu dan makhluk asing yang menterjemahkan keganasan jiwa pencipta watak itu!
Malah selucah Sincan dan sebiadab South Park dan The Simpsons.
Pernah seorang profesor datang ke sekolah asalnya untuk memberi ceramah.
“Zaman kami dulu tak ada kemudahan, tetapi boleh berjaya. Apa masalahnya awak sekarang?”, ujar beliau dengan penuh yakin dan ‘angkuh’.
Tiba-tiba seorang pelajar tingkatan 4 bangun dan berkata, “Prof, zaman prof dulu cabarannya ialah Pop Yeh Yeh, manakala zaman kami sekarang cabarannya ialah Black Metal! Zaman kita tak sama, prof!”
Malah, kaedah dulu-dulu yang mengguna pakai pendekatan rotan, libas tali pinggang, atau ikat di pokok berkerengga… tidaklah berkesan sebaik yang kita sangka. Beliau menjelaskan bagaimana BANYAK kes psikiatri dewasa, yang apabila diakses hari ini, permulaan kepada segala masalah seperti kemurungan, rendah keyakinan diri, fobia, malah skizophernia dan dera mendera dalam rumahtangga serta lain-lain masalah psikiatri yang serius, adalah berkait rapat dengan pengalaman mereka semasa di alam kanak-kanak dan remaja.
Anak yang didera sangat cenderung untuk juga menjadi pendera!
KESIMPULAN
Persoalan ‘nurulyaqin’ yang mencadangkan kepada orang-orang muda supaya mencontohi cara orang-orang tua memerlukan kepada kita untuk mempertimbangkannya secara yang lebih objektif. Tidak semua yang disangka baik itu baik atas dua faktor:
Pertamanya, konteks dan masa yang berbeza menjadikan pengalaman kita, anak-anak dan datuk nenek mereka tidak sama.
Keduanya, banyak masalah hari ini, akar umbinya adalah pada kesilapan masa lampau.
Maka, apa yang diperlukan, adalah sikap terbuka ibu bapa hari ini untuk belajar dan belajar, bahawa sesungguhnya proses mendidik anak dan mengendalikan rumahtangga, adalah jauh lebih sulit dari mengejar segulung ijazah PhD, kerana pertaruhannya adalah anak-anak, insan-insan kurniaan Allah yang menjadi amanah di bahu kita untuk membentuk mereka menjadi khalifah Allah, berbekalkan ahsanu taqwim [Surah al-Tin 95: 4] yang disediakan Allah pada fitrah manusia yang unik, penuh potensi, tetapi misteri ini.
Sudikah anda bersusah payah?
Tepuk dada, kenang kembali erti di sebalik lafaz “AKU TERIMA NIKAHNYA” suatu ketika dulu!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih
Monday, September 22, 2008
rumah tangga cara baru dan lama
Posted by Allahyarham achit at 1:04 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment