“Apakah alat komunikasi tercanggih semasa?”, antara soalan yang pernah saya lontarkan kepada peserta program.
“Telefon 3G”, jawab seorang.
“Blackberry”, jawab seorang yang lain.
“HATI!”, itu jawapannya.
Kenapa hati? Apa hubungkaitnya hati dengan telefon, internet, email atau faks. Maaf telegram sudah pupus!
Jawapannya mudah, jika hati enggan berhubung maka dengan telefon 3G dan Blackberry itu pun, butang MERAH juga yang ditekan menolak panggilan. Andai hati mahu berhubung, bertukar bas loncat 3 kali pun sanggup dilakukan untuk membolehkan dua insan bertemu dan berhubung.
Itulah kuasa hati.
Apa alatnya, itu semua soal yang sekunder.
KOMUNIKASI DAN SAINS SOSIAL
Mungkin inilah penjelasan termudah mengapa komunikasi diletakkan sebagai disiplin sains sosial, sebelum ia dikembangkan di bawah teknologi maklumat. Mengkaji komunikasi, adalah mengkaji peranan individu di dalam sebuah masyarakat, bagaimana mereka berinteraksi dan hubung kaitnya semua itu dengan tingkah laku manusia sebagai subjek utama sains sosial.
Apabila subjek utama itu adalah manusia, maka segalanya kembali kepada soal AKAL, HATI dan NAFSU.
Justeru kenyataan bahawa sebahagian besar masalah manusia berpunca daripada masalah komunikasi, maka ia adalah manifestasi kepada kerenah akal, hati dan nafsu manusia.
KOMUNIKASI RUMAHTANGGA
“Ustaz, saya ingin bertanya… apakah yang patut dibuat, antara isteri tinggal di rumah menjaga anak-anak supaya suami boleh bertarawih di masjid, atau patutkah suami dan isteri pergi bersama-sama ke masjid dan bawa anak-anak yang nantinya akan buat bising”, tanya seorang muslimah dalam kuliah zohor yang saya kendalikan.
“Cadangan saya ialah… KOMUNIKASI”, saya menjawab.
“Kenapa komunikasi?”, timbul persoalan.
“Demi membezakan di antara presenting problem dengan real problem, saya melihat soalan ini bukan berlegar pada masalah HUKUM FEKAH. Ia adalah masalah komunikasi. Seeloknya bawalah berbincang dengan baik. Suami dan isteri harus duduk berbincang dan ketahui hasrat hati masing-masing”, saya memanjangkan penjelasan.
“Saya boleh berikan asas hukum, bahawa tarawih itu asalnya lebih utama dikerjakan pada satu pertiga terakhir malam dan tidak semestinya selepas solat Isyak. Tarawih boleh dikerjakan secara individu dan tidak semestinya berjemaah. Namun solat tarawih berjemaah di masjid selepas Isyak ada hikmah-hikmah serta manfaat yang signifikan untuk dikejar. Itu asas-asas hukum. Tetapi kuncinya ialah KOMUNIKASI”, saya menyudahkan jawapan.
Ya, ramai sekali yang membentangkan masalah mereka kepada kita tetapi jika dianalisa, isu utamanya bukanlah hukum yang tidak jelas, tetapi tiadanya perbincangan telus antara suami dan isteri. Suami boleh membuka mulut untuk berkongsi masalah dengan rakan karibnya, isteri pun sama. Atau mereka berhubung dengan pihak ketiga tetapi terlalu berat untuk mengusahakan perbincangan di antara mereka berdua.
Apa puncanya?
Bukan telefon, email, internet hatta masalah bahasa Mars dan Venus. Tetapi soal akal, hati dan nafsu… faktor-faktor psikologi manusia yang menjadi penghalangnya.
Bawalah berbincang…
KOMUNIKASI POLITIK SILAM
Selagi mana isunya adalah di antara manusia, maka skala besar dan skala kecil tetap berlegar pada faktor-faktor kemanusiaan. Termasuk komunikasi.
Itulah kesimpulan saya semasa mengharungi catatan-catatan sirah berkaitan dengan pertembungan yang berlaku di antara Ali dan Muawiyah Radhiyallahu ‘anhuma usai pembunuhan Uthman bin Affan radhiyallahu ‘anhu.
Muawiyah tidak mengingkari kelayakan Ali menjadi khalifah. Pertikaiannya hanya pada soal keutamaan di antara menguatkuasakan perlantikan Ali sebagai Amir al-Mu’minin dengan usaha mengesan, menangkap dan menghukum pembunuh Uthman, ahli keluarga Muawiyah. Manakala Ali pula mempertimbangkan keengganan Muawiyah sebagai sesuatu yang tidak kena kerana perlantikannya adalah sah atas persetujuan ahli Madinah. Justeru Muawiyah tiada sebab untuk mempersoalkan perlantikan beliau.
Masalahnya…
Bagaimanakah Ali di Madinah dan Muawiyah di Dimasyq itu boleh berkomunikasi bagi mengetahui point of view masing-masing? Pada masa itu tiada faks, tiada sms, tiada telefon atau telegram.
Terhimpunnya pelbagai riwayat di dalam kitab seperti Tarikh al-Thabari yang terpampang di depan mata kita hari ini, tidaklah semudah itu untuk ditelaah di hari-hari kejadian itu berlaku.
Bukan kerana permusuhan kesumat di dalam hati para sahabat, tetapi masalah komunikasi. Sesungguhnya dengan hati yang mencintai kebenaran dan persaudaraan Islam, jarak ribuan kilometer antara Madinah dan Dimasyq itu cuba diatasi secara beransur-ansur dengan beberapa siri perutusan termasuklah Majlis Tahkim di Daumah al-Jandal yang berusaha mencari titik temu.
Malah tatkala dua gerombolan tentera sudah bertemu dan bertembung di medan Siffin sekali pun, hati yang terpelihara di tubuh manusia sahabat yang dididik Nabi SAW itu mampu ‘menekan butang PAUSE’ untuk menyekat mudarat dari terus bertambah buruk.
Itulah kuasa hati yang mengatasi kelemahan teknologi komunikasi.
KOMUNIKASI POLITIK SEMASA
Di suatu peringkat, kita mendesak gerakan Islam seperti PAS untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat. Era ini adalah era maklumat. Sesiapa yang menguasai maklumat, pihak itulah yang menguasai rakyat.
Umumnya bloggers yang pro kepada PAS dan Pakatan Rakyat telah memainkan peranan yang sangat signifikan di ambang PRU12. Kesannya semua tahu. BN akur dengan kuasa bloggers hinggalah tersumbatnya RPK ke kandang ISA.
Tetapi bagi kepimpinan PAS sendiri, upaya mereka menggunakan teknologi maklumat dalam komunikasi sesama ahli, pendukung juga penyokong, ia masih perlahan. Jika laju sekali pun, ia belum cukup laju.
Resah sekali rakyat apabila BERNAMA memainkan isu Hudud di Kedah, gelisah sekali untuk ahli PAS mengetahui keputusan mesyuarat Majlis Syura dalam isu Muzakarah / Muqabalah… di mana mahu dicari maklumat tersahih lagi terkini tentang parti mereka sendiri? Dalam lingkungan budaya sirr wa hazr, bagaimana maklumat yang perlu diketahui sepatutnya diberitahu?
Tahap keberkesanan kepimpinan PAS berkomunikasi dengan massa ketika timbulnya pelbagai isu yang sulit lagi rumit, amat menggusarkan. Tambahan pula dengan blog-blog pemimpin utama yang sudah wujud, beralamat, boleh diakses tetapi tiada maklumat terkini.
Malang sekali apabila ahli PAS terpaksa bergantung kepada Malaysiakini.Com untuk mengetahui keputusan kepimpinan mereka sendiri.
Tiba-tiba, segala keresahan itu tamat tatkala ramai pemimpin yang meluahkan pandangan mereka atas kapasiti yang pelbagai di blog masing-masing. Ia menamatkan keresahan tetapi mencetuskan kemalangan fikrah dan kesatuan.
Menyalahkan faktor Anwar Ibrahim dan agenda 16 September 2008 sebagai punca masalah yang sedang PAS hadapi hanyalah manifestasi sikap reaktif dan menonjolkan kelemahan sebuah gerakan yang terganggu oleh faktor individu. Justeru muhasabah dalaman itulah yang harus diberi perhatian.
Itulah bencana komunikasi.
Bukan soal teknologi mana yang diguna pakai. Tetapi soal hati yang perlu diluruskan kembali.
Benar sekali ungkapan Hasan al-Banna lama dulu:
“Kaum Muslimin itu mahukan kepada kebaikan, akan tetapi kelemahan adalah pada KEPIMPINAN”
MUNAJAT
Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini (orang yang telah dibayangkan tadi) telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhiMu, bersatu memikul beban da’wahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu. Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini dan tunjukkanlah hati ini akan jalanNya (yang sebenar). Penuhkan hati ini dengan cahayaMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu. Dan matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai syuhada’ dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah, restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabat baginda semuanya. Amin.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih
Monday, September 15, 2008
Politik Semasa: Komunikasi ICT dan Hati
Posted by Allahyarham achit at 7:27 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
haha aku dah post ni..hang klik jer kat post a comment kat bawah tuh..tapi hanya untuk user jer..
okes..ni aku testing comment hang..
Post a Comment