Dr. Amahzun di dalam thesis beliau “Tahqiq Mawaqif al-Sahabah fi al-Fitnah min Riwayaat al-Imam al-Thabari wa al-Muhaddithin†menyimpulkan bahawa golongan yang menafikan atau mengesyaki kewujudan Abdullah bin Saba’ itu terdiri daripada segelintir Orientalis dan pengkaji Arab serta kebanyakan Syiah kontemporari.
Suatu perkara yang sangat menghairankan, bagaimana seseorang itu boleh tanpa malu menafikan kewujudan Abdullah bin Saba’, sedangkan biografi dan komentar ulama mengenainya memenuhi buku-buku, bukan sahaja dari kumpulan Ahli Sunnah malah Syiah sendiri.
Kisah mengenai Abdullah bin Saba’ dan fitnah yang dinyalakannya untuk memecah belahkan umat Islam di era Uthman bin Affan, bukan hanya termaktub setakat di dalam Tarikh al-Thabari yang disandarkan kepada riwayat Saif ibn ‘Amr al-Tamimi sahaja. Abdullah bin Saba’ dan kisahnya bertebaran di pelbagai sumber lain. Bezanya, riwayat di dalam Tarikh al-Thabari itu lebih terpeinci berbanding riwayat yang lain, itu sahaja. Lantas riwayat itu sering dinukil oleh para penulis yang mencari maklumat.
AL-THABARI DAN TARIKHNYA
Suka saya tegaskan bahawa manhaj al-Thabari di dalam kitabnya sudah dinyatakan dengan jelas di dalam Muqaddimah kitab itu sendiri. Tarikh al-Thabari bukanlah sebuah teks sejarah yang telah sedia dipakai sebagai rujukan. Ia adalah bahan mentah.
Al-Thabari memasukkan SEMUA riwayat yang sampai kepadanya ke dalam buku itu tanpa dibezakan di antara maklumat dusta, mahu pun benar. Namun setiap riwayat disertakan dengan sanad, dan sanad itulah yang perlu dikaji untuk dibezakan antara maklumat yang baik, mahu pun dusta; atas peringatan oleh al-Thabari sendiri.
Walaupun ramai ahli sejarah termasuk Ibn Khaldun tidak begitu menyetujui pendekatan al-Thabari yang sekadar meriwayat tanpa analisa, namun kaedah al-Thabari itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Tarikh al-Thabari menjadi rujukan luas seseorang itu melihat bagaimana satu-satu peristiwa diriwayatkan dari dimensi Ahli Sunnah, Syiah, Khawarij dan sebagainya. Dengan syarat, sanad dianalisa dan diambil kira.
Keburukan mana-mana riwayat di dalam Tarikh al-Thabari bukan suatu celaan ke atas Imam al-Thabari kerana manhajnya sudah dinyatakan dengan jelas. Tegasnya, Tarikh al-Thabari bukan buku untuk si malas, atau mereka yang suka dengan ‘rumah pasang siap!’
Apa-apa pun, menafikan kewujudan Abdullah bin Saba’ adalah suatu penghinaan kepada para ulama yang telah membahaskannya, dan suatu penyelewengan sejarah yang penuh dusta.
ABDULLAH BIN SABA’ DI SISI AHLI SUNNAH
Keterangan mengenai perihal Abdullah bin Saba’ telah dinyatakan oleh Abdul Rahman bin Abdullah bin al-Harith al-Hamdani atau lebih dikenali sebagai A’sya Hamdan. Beliau meninggal dunia pada tahun 83H / 707M) [A’sya Hamdan, Diwan, ms. 148, al-Thabari, Tarikh al-Rusul, jilid 6 ms. 83].
Maklumat mengenai hal ini juga terdapat di dalam kitab al-Irjaa’ oleh al-Hasan bin Muhammad bin al-Hanafiyyah (meninggal dunia 95H / 713M) [Diriwayatkan oleh Ibn Abi Umar al-‘Adani di dalam kitab al-Iman, ms. 249].
Terdapat juga riwayat mengenai Abdullah bin Saba’ di dalam riwayat daripada al-Sya’bi (meninggal dunia 103H / 721M) [Ibn ‘Asakir, Tarikh Dimasyq (manuskrip), jilid 9 ms. 331)
Dr. Amahzun terus menyenaraikan lebih daripada 30 sumber Ahli Sunnah dari pelbagai zaman, bermula dari kurun pertama Hijrah, membawa ke era Abu al-Hasan al-Asy’ari sampailah ke zaman al-Suyuthi (meninggal 911H / 1505)
ABDULLAH BIN SABA’ DI SISI SYIAH SENDIRI
Kehadiran Abdullah bin Saba’ di dalam sejarah kehuru-haraan fitnah, bukanlah kisah yang direka-reka oleh Ahli Sunnah untuk membuktikan kemasukan anasir Yahudi di dalam gerakan Syiah.
Keterangan mengenai Ibn Saba’ ini turut memenuhi kitab-kitab yang dikarang oleh Syiah sendiri sebagaimana yang dinukilkan daripada Sa’ad bin Abdullah al-Qummi Abu al-Qasim, iaitu seorang Muhaddith Syiah Imamiah (meninggal dunia 301H / 913M). Al-Qummi menyatakan bahawa Abdullah bin Saba’ adalah orang pertama yang mencela Abu Bakr, Umar, Uthman dan para Sahabat, melepaskan diri dari mereka dan mendakwa bahawa Ali yang menyuruhnya berbuat demikian (Al-Qummi, al-Maqaalaat wa al-Firaq, ms. 20).
Begitu juga dengan riwayat yang dinyatakan oleh al-Hasan bin Musa bin al-Hasan al-Nubikhti, Abu Muhammad (meninggal dunia 310H / 922M) di dalam kitabnya Firaq al-Syiah, ms. 23.
Juga Abu Hatim al-Razi (meninggal dunia 322H / 933M), di dalam kitabnya Al-Zeenah fee al-Kalimaat al-Islaamiyyah, ms. 305.
Seterusnya seorang ilmuan Jarh wa Ta’dil Syiah iaitu al-Kishi (meninggal dunia 340H / 951M) meriwayatkan dengan sanad kepada Abu Ja’far Muhammad al-Baqir dengan katanya, “Sesungguhnya Abdullah bin Saba’ menuntut Nubuwwah, mendakwa bahawa Amir al-Mu’minin - ‘alayhi al-Salaam - adalah Allah - jauh dan Maha Tinggilah Allah dari dakwaan itu dengan ketinggian yang agung [al-Kishi, al-Rijaal, ms. 98 -99.
Al-Kishi juga menyatakan riwayat yang diambil daripada Aban bin Uthman yang berkata bahawa “aku mendengar Abu Abdillah Jaafar al-Sadiq berkata, “laknak Allah ke atas Abdullah bin Saba yang mendakwa adanya Rububiyyah pada Amirul Mukminin sedangkan demi Allah, Amirul Mukminin (Ali) itu adalah seorang hamba yang taat kepada Allah. Celakalah ke atas sesiapa yang berdusta ke atas kami. Ada kaum yang memperkatakan tentang kami apa yang tidak kami perkatakan tentang diri kami sendiri. Kami berlepas diri kepada Allah dari mereka, kami berlepas diri kepada Allah dari mereka†[al-Kishi, Ma’rifah Akhbaar al-Rijaal, ms. 70]
Abu Ja’far al-Thusi (meninggal dunia 460H / 1067M) juga menyatakan bahawa Ibn Saba’ kembali kepada kufur dan menzahirlah al-Ghuluw (melampau) [Abu Ja’far al-Thusi, Tahdzeeb al-Ahkaam, jilid 2 ms. 322.
Di dalam thesis PhD Dr. Amahzun, beliau terus menyenaraikan hampir 20 sumber Syiah dari pelbagai era yang menyatakan tentang Abdullah bin Saba’ itu sendiri. Maka dakwaan bahawa al-Thabari bersendirian membawa kisah palsu ini yang dinisbahkan kepada Saif ibn Amr al-Tamimi, merupakan suatu penyelewengan fakta di dalam penyalaan fitnah dan kekeliruan di dalam masyarakat, khususnya ‘pembaca ringan’ yang tiada upaya menelaah sumber rujukan asal.
Ihsan Ilahi Zahir yang mempunyai kajian meluas terhadap Syiah sama ada di dalam sumber berbahasa Arab dan Parsi, berkata di dalam kitabnya al-Syiah wa al-Tashayyu’ (ms. 64), “Tokoh-tokoh Syiah mutakhir seperti al-Mudzaffari di dalam kitabnya Tarikh al-Syiah turut mengakui akan kewujudan Abdullah bin Saba’. Begitu juga dengan tokoh seperti al-Sayyid Muhsin al-Amin di dalam ensiklopedianya. Dan selain daripada mereka itu adalah ramai dan ramai…â€
Syiah kontemporari sememangnya mempopularkan trend yang menggambarkan Abdullah bin Saba’ sebagai seorang yang diragui kewujudannya, malah mungkin sekadar lagenda yang jauh dari realiti. Antara tulisan Syiah semasa ini adalah Ali al-Wardi di dalam kitabnya Wu’adz al-Salatheen, ms. 273, Kamil Mustafa al-Shibi di dalam kitabnya Al-Silah bayn al-Tasawwuf wa-l-Tashayyu’ , ms. 41 dan 43 serta Abdullah al-Fayadh di dalam Tarikh al-Imamiyyah, ms. 95 dan Murtadha al-‘Askari di dalam kitabnya bertajuk Abdullah bin Saba’, jilid 1 ms. 148.
KESIMPULAN
Tuduhan yang cuba memencilkan kisah kewujudan Abdullah bin Saba’ kepada satu sumber sahaja iaitu Tarikh al-Thabari melalui susur galur Saif ibn ‘Amr al-Tamimi yang dibelasah habis-habisan bagi menghapuskan saki baki wujudnya Abdullah bin Saba’ ini, adalah suatu tuduhan dangkal dan menyelewengkan fakta sejarah.
Populariti idea ini adalah lanjutan daripada dakwaan batil Taha Hussein yang menuduh bahawa kisah Abdullah bin Saba’ direka-reka oleh Ahli Sunnah untuk menentang Syiah, dan ia adalah idea tempang yang tidak dapat berdiri walau sedetik kerana kitab-kitab Hadith dan Rijal, kitab Ansab, Thabaqat, Adab, Linguistik dan kajian-kajian terpeinci di dalam pelbagai thesis, sama ada oleh Sunni mahu pun Syiah, tidak dapat meninggalkan ruang untuk kewujudan Abdullah bin Saba’ dinafikan.
Abdullah bin Saba’ tetap tsabit dan kekal di dalam sejarah sebagai pemain utama di dalam penyalaan api fitnah yang membawa kepada pembunuhan Uthman bin ‘Affan Radhiyyallahu ‘anhu dan tragedi itu akan terus dikenang sebagai suatu bencana kepada perpaduan umat Islam yang terjejas hingga ke hari ini.
Kecualilah jika masih tanpa segan silu mahu membutakan mata dari hakikat ini semua.
“Wahai anak Adam, jika sudah tiada rasa malu, buat sahajalah apa yang kamu mahuâ€
روى شعبة عن منصور بن ربعي عن أبي منصور البدري
Ringkasan tulisan Dr. Muhammad Amahzun, “Tahqiq Mawaqif al-Sahabah fi al-Fitnah min Riwayaat al-Imam al-Thabari wa al-Muhaddithin†1415H / 1994, Riyadh: oleh Maktabah al-Kauthar dan Dar At-Thayyibah lin Nasyr wat Tauzi’, jilid 1 mukasurat 284 - 317
__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih
Sunday, September 14, 2008
Abdullah bin Saba’ Hanya Khayalan?
Posted by Allahyarham achit at 9:44 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment