? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Sunday, September 14, 2008

Cinta Antara Planet - Revisit

Memandangkan sejak kebelakangan ini semakin ramai yang bertanyakan tentang isu ‘naik pelamin’ dan seumpamanya termasuklah apa jenis buku yang hendak dihadiahkan kepada tunang, maka saya fikir adalah wajar untuk disiarkan artikel ini semula di muka hadapan Saifulislam.com. Artikel ini juga berjaya menambahkan lagi nostalgia indahnya alam perkahwinan kami yang senantiasa dibajai dan disirami dengan kasih sayang, persefahaman, tolak ansur dan yang paling penting DOA ke hadrat Ilahi. Dengan izin Allah, sama-samalah kita ‘revisit’ artikel ini. -ummusaif

Cinta Antara Planet

“Sempena saya nak berumahtangga ni, apa kitab yang ustaz nasihatkan saya baca?”, tanya seorang anak muda kepada saya.

“Kalau ustaz cadangkan buku, boleh? Bukan kitab”, saya mengusik.

“Sama sahaja tu ustaz. Satu Bahasa Arab, satu Bahasa Malaysia”, beliau membalas.

“Bukan apa, susah orang nak terima kalau Men Are From Mars, Women Are From Venus oleh John Gray tu sebagai ‘kitab’!”, saya menyambung.

“Ustaz suruh saya baca buku tu? Kenapa?”, tanyanya seperti terkejut.

“Itulah, ustaz dah cakap, mesti anta terkejut punya”, saya tersenyum.

“Kenapa ustaz tak cadangkan saya baca buku Adab Perkahwinan oleh al-Albani ke, atau buku Tarbiyyah al-Aulaad fi al-Islaam oleh Abdullah Nasih Ulwan?”, beliau menyambung pertanyaan.

“See, kalau ustaz sebut kitab-kitab tu, anta pun dah tahu dan faham kenapa buku tu perlu dibaca. Tapi buku John Gray ni, kalau ustaz tak sebut, rasa-rasanya anta terfikir tak untuk membacanya?”, saya menguji.

“Hmm, entahlah. Mungkin tak kot”, jawabnya perlahan.


Apabila adik-adik meminta nasihat tentang perkahwinan, saya tidaklah begitu bimbang dengan soal hukum. Terutamanya bagi mereka yang sudah biasa dengan usrah, program-program agama dan bahan-bahan bacaan berkaitan yang pelbagai. Soal hukum-hakam, kita tahu di mana hendak bertanya, dan bagaimana hendak menyelesaikannya.

Tetapi rumahtangga bukan terbina hanya atas kejelasan soal hukum fiqh. Malah jarang benar saya berbual dan berkongsi kisah tentang rumahtangga, membabitkan soal hukum. Hukum yang Syariatullah itu jelas dan cerah.

Namun ketetapan Allah bukan hanya sekadar pada apa yang halal dan apa yang haram. Hidup ini bukan hanya pada Syariatullah. Manusia saling berhubung dengan Sunnatullah. Psikologi manusia dan peraturan komunikasi.

Inilah yang menjadikan saya senang mencadangkan buku Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray itu. Buku itu adalah hasil kaji selidik (survey) yang membabitkan jumlah manusia yang ribuan. Ia adalah kajian tentang tabiat manusia.



Kali pertama saya mengenal buku ini ialah pada tahun 2000 iaitu pada ulangtahun pertunangan saya yang pertama. Tunang saya ketika itu mengepos buku ini jauh dari Ireland ke London, dengan meletakkan harapan agar saya membaca dan menghayatinya. Semasa buku itu saya terima, senget juga wajah saya membaca tajuknya.

“Buang tebiat ke ni? Buku apa ni?”, saya mengomel sendirian semasa membuka bungkusan pos.

“Ustaz kena baca buku tu. Besar harapan Kak Muna tu”, kata Nasreel, housemate saya ketika itu.

Selembar demi selembar saya belek. Ternyata buku itu sungguh mengenyangkan. Mengenyangkan emosi dan fikiran saya, tentang betapa perlunya saya belajar tentang manusia. Khususnya insan yang bakal berkongsi kehidupan dengan saya hingga ke hujung usia.

APA YANG SAYA BELAJAR

Lelaki dan perempuan nyata berbeza. Ungkapan klasik al-Ghazzali dalam isu yang sama menyebut, “lelaki itu 9 akal dan 1 nafsu manakala perempuan pula 9 nafsu dan 1 akal”. Terjemahan itu telah mengelirukan saya walhal soal hawa nafsu, lelaki tidak mudah dibezakan dengan perempuan.

Selepas membaca tulisan John Gray, saya mengubah kefahaman saya terhadap kata-kata al-Ghazzali itu. Ungkapan beliau sepatutnya diterjemahkan kepada “LELAKI ITU 9 LOGIK DAN 1 EMOSI, PEREMPUAN PULA 9 EMOSI DAN 1 LOGIK“.

Fikiran, keputusan dan tindakan seorang lelaki banyak dipengaruhi oleh logik dan rasional akal. Lelaki lebih selamat untuk dipertanggungjawabkan pada urusan-urusan yang perlu diputuskan dengan rasional dan bukan emosi. Maka saya akur pada ketetapan Allah yang menyerahkan persoalan Talaq di tangan lelaki. Maka lelaki yang lemah rasional dan sering emosional dalam kehidupan, adalah lelaki yang kurang kelelakiannya.

Namun, lelaki lemah emosi. Kelemahan itu menjadikan lelaki kurang sensitif dalam membaca bahasa emosi perempuan. Kekurangan daya emosi itu juga mungkin menjadi punca lelaki sukar melakukan perkara rutin dalam sebuah rumahtangga. Tanya sahaja seorang perempuan, berapa kali dalam hidupnya dia menyapu sampah, membasuh tahi di punggung anak, mengemas rumah dan memasak. Perempuan boleh melakukannya dengan rasa sejuk dan biasa, manakala lelaki terpaksa bermujahadah untuk membiasakan diri dengannya.

Perempuan yang dikurniakan Allah dengan kekuatan emosi berbanding logik dengan nisbah 9:1, menjadikan mereka guru terbaik pada membentuk anak-anak, khususnya di peringkat pra sekolah.

HUBUNGAN SUAMI - ISTERI

Akan tetapi, nasihat dan pandangan John Gray lebih saya aplikasikan kepada hubungan di antara suami dan isteri. Iaitu dua insan yang sangat perlu untuk saling memahami. Faham secara empathy dan cuba meletakkan diri di pihak pasangan.

Apabila isteri meluahkan pandangan, mengadu atau berleter tentang sesuatu perkara, amat perlu untuk seorang suami faham, bahawa tindakan itu selalunya bukanlah bertujuan untuk meminta pandangan dan idea kita ke arah penyelesaian. Sesekali ya, tetapi lazimnya tidak. Isteri-isteri sering begitu kerana mahukan perhatian. Mahukan layanan emosi dan bukti keprihatinan kita.

Maka janganlah pula suami terlalu cepat atau asyik mahu mencadangkan penyelesaian. Masalah-masalah itu sering boleh selesai hanya dengan kesediaan suami untuk menyayangi, atau dalam bahasa mudah… memujuk!

Namun ketahuilah wahai sang isteri, bahawa ia bukanlah suatu yang mudah bagi seorang lelaki. Makhluk yang gersang emosi dan kaya logik itu.

“Maafkan abang, andai diri ini tidak bijak menjadi pemujuk”, itulah suara hati saya semasa muhasabah diri tentang sikap saya terhadap isteri.

Saya tahu yang saya kurang pandai memujuk. Kekadang kaku dalam menunjukkan keprihatian. Malah sering juga tanpa disengajakan, memperkecilkan keluhan isteri… lantaran menilai keluhan itu dengan logik dan rasional diri sebagai lelaki.

“Masalah macam itu pun nak besar-besarkan”, itulah agaknya kesimpulan hati saya dan kebanyakan suami semasa mendengar pengaduan isteri.

Walhal isu itu besar… jika kita melihatnya dari sudut emosi, sebagaimana sudut isteri melihat dan menyuarakan isi hati. Maka nilaikanlah permintaan isteri dengan pertimbangan emosi, biar pun ia hanya secebis dari kemahiranmu sebagai lelaki.

“Maafkan abang!”, sekali lagi saya rasa bersalah. Salah bagi seorang suami, menilai isteri dengan penilaian lelaki yang gersang emosi.

BAGI SI ISTERI

Manakala bagi sang isteri, fahamilah jua bahawa suamimu berfikir dengan cara yang berbeza. Keputusannya banyak oleh pertimbangan akal, sesuai dengan bahu dan tangannya yang berat memikul tanggungjawab. Apabila suami bertanya, dia mahukan pandangan. Dia mudah rimas jika ruang berbincang diisi dengan esakan, tangisan, dan bukannya buah fikiran. Suami mencari penyelesaian, bukan sekadar perhatian dan perasaan.

Sama ada isteri itu seorang suri rumah, atau kerani, cikgu mahu pun doktor dan jurutera, nalurinya adalah naluri wanita. Kaya emosi dan mungkin kurang berminat dengan rasional dan justifikasi.

BELAJARLAH UNTUK SALING MEMAHAMI

Di sinilah perhargaan saya kepada buku Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray kerana ia mengajar saya dan isteri untuk saling faham memahami. Pelajaran dari dua planet ini juga mendidik kami untuk memberi ruang kepada rasional dan emosi masing-masing berfungsi dengan baik, sesuai dengan peranan dan tanggungjawab yang diberi Ilahi.

Hal ini jugalah yang dibahas dengan panjang lebar oleh Stephen Covey dalam Habit #5 beliau iaitu Seek First to Understand, Then to be Understood.

Peraturan-peraturan ini bukanlah rekaan penulis seperti Covey dan Gray, namun ia adalah hasil kajian mereka terhadap tingkah laku manusia. Iaitu sebahagian daripada Sunnatullah… peraturan Allah dalam hubungan sesama manusia.



SUAMI, ISTERI DAN KAWAN

Kerana soal emosi dan logik tadi, saya cuba untuk memahami sesuatu.

Sering saya ketemu, isteri-isteri tidak begitu berminat atau komited lagi dengan persahabatan mereka. Biar pun mereka ada ramai best friends semasa anak dara, hingga tidur berkongsi bantal dan mimpi, namun selepas berkahwin dan beranak pinak, mereka tidak lagi serapat dulu. Tumpuan dan attachment mereka sangat tertumpu pada suami dan anak-anak.

“Kalau Yang nak gi kedai dengan kawan-kawan, do some shopping, Abi tak kisah pun. Take your time. I’ll mind the kids“, saya membuka tawaran kepada isteri.

Bukan apa, saya sering rasa bersalah kerana selalu terpaksa meninggalkan isteri. Mesyuarat, bekerja out station, ceramah, program dan macam-macam aktiviti luar, menyebabkan saya sering meninggalkan isteri dan anak-anak di rumah. Bukan bersuka-suka bercuti dan bercanda, tetapi tugas dan tanggungjawab yang menjadi punca.

Lantas, saya tidak keberatan jika isteri saya mahu mengambil sedikit ruang untuk beliau pergi menziarahi sahabat atau menghadiri kursus-kursus rasmi dan tidak rasmi. Waktu untuknya tanpa saya. Tetapi lazimnya isteri saya lebih prefer untuk berada di rumah. Dan sebahagian besar sahabat yang saya temui, mengakui hal ini.

Mengapa hal ini berlaku?

Oleh kerana perempuan kuat pada emosi, maka emosinya terpilih untuk hanya disuburkan oleh suami tercinta dan anak-anak. Kepuasan pada mengisi keperluan emosi hanya boleh diperolehi dari insan yang diberikan emosi itu iaitu suami dan anak-anak. Tidak ada apa sangat yang hendak dicari di luar sana.

Namun bagi si suami, kehidupannya banyak dipengaruhi oleh rasional kerana itulah alat utama beliau berperanan sebagai pemimpin keluarga. Mungkin kerana itu, saya merasakan bahawa, si suami perlu kepada rakan berbincang. Sesekali suami perlu mendapatkan pandangan ketiga. Dan kerana ini, seorang lelaki yang telah berkahwin, tetap menjaga hubungannya dengan rakan karib, kerana beliau perlu kepada input-input yang membantu beliau membuat keputusan… terutamanya ketika berkonflik dengan isteri dan keluarga.

Janganlah si isteri salah faham, dengan menyangkakan suami yang pergi kepada sahabat karib itu, telah membelakangkan dirinya. Lebih mengutamakan sahabat dari isteri sendiri. Lebih percaya kepada orang luar dari teman hidup yang dinikahinya.

Jangan begitu.

Suami pergi berjumpa dengan rakan karibnya dengan motif rasional. Mencari panduan dan penyelesaian. Sedangkan emosi, perasaan dan kasih sayangnya tetap teguh pada isteri dan anak-anak. Suami memerlukan rakan bukan untuk urusan emosi sebagaimana yang sering difikirkan oleh si isteri.

Emosi dan perasaan itu eksklusif dan hanya ada antara suami, isteri dan anak-anak. Namun keperluan mendapatkan input rasional, izinkan suami mencarinya dari seorang rakan, kerana hasil perbualan mereka, akan memulangkan kebaikannnya kepada kasih sayang antara suami, isteri dan anak-anak.

MERAIKAN PERBEZAAN

Saya yakin, jika setiap insan menghargai keunikan diri masing-masing, mengiktiraf kelebihan dan mengakui kelemahan, hidup kita akan seimbang. Bacalah buku Men Are from Mars, Women Are from Venus itu agar kita dapat belajar untuk saling memahami. Dengan bekalan Syariat Allah dan Sunnatullah… sempurnalah perjalanan sebuah rumahtangga.



“Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah kepada Allah untuk menyempurnakan separuh yang berbaki” (Al-Hadith)

“You complete me“, itulah realiti hubungan antara suami dan isteri.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

0 comments: