KEMAJUAN dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi digital membuka lembaran baru dalam kehidupan masyarakat masa kini. Pelbagai gajet yang dicipta disokong dengan kecanggihan alat perhubungan membenarkan ungkapan ‘dunia tanpa sempadan’.
--------------------------------------------------------------------------------
Hari ini, kecepatan penyebaran maklumat sama ada khususnya menerusi Internet dan khidmat pesanan suara (SMS) mencetuskan fenomena dalam masyarakat.
Ia turut mencetuskan suasana panas dalam politik negara berikutan penyebaran gambar bogel, aksi panas di hospital dan lain-lain kemudiannya ‘dicium’ dan disiar oleh media.
Allah berfirman yang maksudnya: Telah berlaku kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (al-Rum: 41)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani bagi mengupas isu ini.
MEGA: Dalam dunia kewartawanan, bad news is good news. Bagaimana mengimbangkan hal ini dengan isu-isu penyebaran gambar atau salah laku?
ZULKIPLE: Pada asasnya, falsafah berita dikembangkan dalam dunia Barat. Ia dihasilkan kerana pendekatan kepenggunaan yang dibangunkan dalam media serta iklan-iklan yang menyokongnya.
Falsafah ini menekankan kepada bad news sebagai mempunyai nilai berita. Contohnya, kes-kes pembunuhan, perang, banjir dan kebakaran hutan. Sebab itu wujud petikan popular, "apabila manusia digigit anjing ia bukan berita. Tetapi apabila manusia menggigit anjing, itu adalah berita".
Ini menyebabkan manusia menjadi susah hati, kecewa, keliru dan serabut dengan apa yang berlaku. Kalau kita mahu 'melihat' dunia yang lebih aman dan sejahtera, pendekatan pemberitaan itu perlu berubah. Maklumlah, agensi berita asing seperti Reuters itu sudah 100 tahun usianya. Sepanjang tempoh itu corak 'beritanya' lebih kepada merosakkan.
Kalau nak imbangkan, beberapa perkara perlu dibuat. Pertama, organisasi media iaitu pemilik media. Kedua, di peringkat wartawan dan ketiga, aspek media literasi.
Mengenai peringkat wartawan, didapati mutakhir ini, antara yang makin hilang terutama dari aspek etika kewartawanan adalah ekoran kemunculan media baru. Media baru didefinisi sebagai media alternatif yang gabungkan teknologi satelit, penyiaran dan komputer.
Dalam konteks media baru, nampak sudah hilang profesionalisme. Ini ekoran munculnya 'wartawan segera' yang mendapat 'nafas' melalui blog dan media bentuk sosial seperti Friendster.
Dari segi media literasi pula, pembaca perlu bijak menggunakan hak untuk tidak menyokong media 'sampah'. Ini hak khalayak. Jika mereka turut serta, trend ini akan berkembang.
Antara fungsi media ialah watch dog. Namun, kerap berlaku media tersepit antara menunaikan tanggungjawabnya tadi dengan sentimen masyarakat. Apa penyelesaiannya?
ZULKIPLE: Teori fungsi media yang dominan ialah pendekatan tanggungjawab sosial. Bagaimanapun, perubahan yang berlaku akibat munculnya media baru memberi kesan dari segi pendekatan terutama pada aspek pengiklanan dan jumlah jualan.
Mungkin 30 tahun dulu, tidak ada paparazzi. Tetapi dalam kes Puteri Diana misalnya, paparazzi dianggap 'bebas'. Penilaian mereka adalah bagaimana gambar atau gosip itu memberi pulangan atau hasil mata pencarian mereka terutama untuk akhbar tabloid di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
Natijahnya, perbincangan falsafah media melibatkan pendekatan tanggungjawab sosial tadi diketepikan. Yang menjadi keutamaan hanyalah keuntungan.
Dalam Islam, sekurang-kurangnya ada tiga jenis berita iaitu masa lampau, kontemporari dan akan datang.
Masa lampau adalah kisah dalam al-Quran seperti tentang Firaun, Qarun dan kemusnahan ke atas mereka. Tujuannya memberi iktibar kepada kita dan supaya jangan diulang perbuatan sedemikian.
Kontemporari pula merujuk kepada bahan yang ada nilai berita. Asasnya ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Begitu juga dengan berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Kisah akan datang pula adalah penceritaan tentang perkara samiyat contohnya, alam barzakh, syurga dan neraka.
Dalam Islam kita disuruh menyembunyikan keburukan orang lain. Setakat mana, hal sedemikian boleh disembunyikan?
ZULKIPLE: Islam menggariskan prinsip di mana semua rakyat berhak memperolehi perlindungan daripada campur tangan atau perlanggaran yang tidak wajar terhadap kehidupan peribadinya.
Antaranya adalah firman Allah yang bermaksud: ..dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain, dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (al-Hujuraat: 12)
Soal privasi amat diberi perhatian oleh Islam. Contohnya, kalau bertandang ke rumah orang, perlu minta izin untuk masuk. Jika tidak disambut maka hendaklah kita pulang. (lihat al-Nur: 27)
Islam turut meraikan kebebasan manusia mencari harta secara halal. Demikian juga keadilan. Dalam Islam, kita perlu berlaku adil kepada Muslim dan bukan Islam atas dasar kemanusiaan.
Sebabnya, fitnah itu jika tidak dikawal akan merebak dengan cepat dan mendatangkan mudarat kepada masyarakat. Ia sebagaimana kisah saidatina Aisyah yang difitnah berlaku sumbang akibat tertinggal daripada kabilahnya.
Memang kita sedar yang pemimpin itu ada nilai berita, namun akhlak dan perilaku mereka juga penting.
Sejauh mana aib itu boleh didedahkan, Islam tidak tumpu kepada isu peribadi. Contohnya, Nabi SAW tahu siapa golongan munafik hasil wahyu Allah. Namun, baginda tidak mendedahkannya sehinggalah masa di mana dalam perang Uhud. Dalam perang tersebut, pihak Yahudi yang bermuka-muka tadi enggan berperang mempertahankan Madinah.
Dalam ayat 6 surah al-Hujurat, Allah ingatkan kita supaya memeriksa berita yang dibawa oleh orang fasik. Sayangnya masyarakat lebih percaya kepada hal-hal begini terutama berita melalui Internet yang tidak diketahui kesahihannya. Bagaimana sikap kita yang sepatutnya?
ZULKIPLE: Apabila timbul penyelewengan fakta atau tokok-tambah ia menghakis kepercayaan masyarakat. Sekali gus menyebabkan orang mencari berita alternatif.
Sebab itu, kita disyorkan jangan sekali-kali berbohong. Kalau ia menjadi tabiat, untuk mendapat semula kepercayaan dan menjadi media yang kredibel akan mengambil masa yang amat panjang.
Secara amnya, aspek penting dalam berita itu ialah fakta yang mesti tepat dan benar. Kedua, pendapat. Tetapi pendapat ini perlu bebas daripada niat yang tidak baik.
Media alternatif ini tidak terikat dengan sebarang nilai dan juga pemilik (stake holder). Walaupun ada yang mendakwa bebas tetapi masih ada kecenderungan kepada taksub berpolitik. Oleh itu, mereka perlu dididik dari segi etika kewartawanan.
Apa yang berlaku hari ini membuktikan sesiapa sahaja boleh 'terperangkap' dalam keadaan tersebut. Yang menentukannya, ialah insan yang mengendalikan gajet atau teknologi itu. Justeru, apakah sifat yang perlu dimiliki oleh golongan ini?
ZULKIPLE: Islam sangat menjaga dan mengawal kehormatan seseorang daripada dicerobohi. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 11 surah al-Hujuraat.
Golongan yang lebih 'terperangkap' adalah mereka berumur belasan tahun ke lewat 30-an, celik teknologi maklumat dan yang suka meneroka. Mereka menganggap akses media ini lebih meluas.
Apabila berlaku sedemikian, iklan-iklan yang relevan akan masuk sekali gus membiayai media baru ini. Ini memerlukan polisi-polisi yang berkaitan dunia siber perlu dikemas kini. Supaya disesuaikan bagi mengelak timbulkan pelbagai masalah.
Secara keseluruhannya, mereka yang berusia 40 tahun ke atas lebih matang dan konsisten dalam perilaku. Biasanya mereka akan membuat pertimbangan yang wajar sebelum melakukan sesuatu.
Monday, February 23, 2009
'Wartawan segera' jejas profesionalisme
Posted by Allahyarham achit at 5:56 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment