Amirul Mukminin tidak berhak memulangkan kuda dalam keadaan tempang ! Tuan mengambilnya dalam seadaan baik, maka seharusnya dikembalikan dalam keadaan baik pula ! Demikianlah dengan jelas dan penuh keyakinan seorang tabi’iy yang mulia membuat keputusan dalam perselisihan melibatkan khalifah Islam yang berpengaruh Umar al-Khattab r.a dengan seorang awam.Kes ini terjadi apabila kuda yang dibeli oleh khalifah menjadi tempang setelah digunakan.Tabi’iy yang dimaksudkan adalah seorang lelaki cerdik berakhlak mulia dari keturunan Yaman, dari kabilah al-Kindah, Syuraih bin al-Haris.Beliau yang tidak pernah dikenali sebelum itu di kalangan penduduk Madinah yang terdiri dari kalangan sahabat dan tabi’in yang hebat kini membuat keputusan yang membingungkan khalifah.Meskipun beliau tidak berkesempatan bertemu dnegan Nabi s.a.w namun keikhlasannya memeluk Islam disertakan dengan pengalamannya berada di zaman jahiliyyah sebelumnya menjadikan beliau seorang yang sangat memahami selok belok dan asam garam kehidupan.
Kebijaksanaannya mengendalikan kes yang rumit itu telah menjadikannya masyhur, sehinggalah Umar r.a melantiknya menjadi hakim Negara Kufah yang merupakan salah satu wilayah besar Negara Islam yang beribunegarakan Madinah.Ternyata pemilihan Umar r.a itu merupakan firasat[1] yang tepat apabila semua khalifah yang datang selepasnya hingga ke zaman permulaan Bani Umayyah, Mu’awiyah r.a terus mengekalkan Syuraih r.a sebagai hakim tertinggi mahkamah.Beliau diamanahkan jawatan itu selama lebih kurang enam puluh tahun, memutuskan hukuman secara adil , tidak berat sebelah dan saksama.Tidak kurang pula keputusan yang dibuat itu menyebelahi orang awam, sekalipun pedakwanya adalah orang bangsawan yang mempunyai kedudukan mulia.Antara kes yang turut mendapat perhatian dunia hingga ke hari ini adalah dakwaan khalifah Islam ke empat, Ali bin Abi Talib r.a terhadap seorang yahudi yang didakwa mengambil baju besinya yang keciciran darinya.Apabila kes itu diadili, Syuraih dengan emah lembutnya telah mengatakan : Wahai Amirul Mukminin ! saya meyakini bahawa Amirul Mukminin tidak akan berbohong.Namun kehakiman Islam menetapkan setiap pendakwa agar mengemukakan dua orang saksi.Ali r.a menyahut ya , bersama saya Qanbar , pembantu saya dan al-Hasan , putera saya sebagai saksi.Jawab Syuraih, maaf Amirul Mukminin, Islam tidak mebenarkan anak sebagai saksi ! Khalifah islam itu hanya mampu bertasbih dengan Subhanallah mendengar jawapan ringkas tetapi bermakna itu.Bukankah semua orang memaklumi bahawa al-Hasan dan a-Husin r.a telah dinobatkan sebagai ketua pemuda ahli syurga di akhirat kelak..Apakah orang berilmu seperti Syuraih tidak mengetahui hakikat ini atau dia mempunyai kepentingan tertentu? Tidak, sama sekali tidak kerana hukum yang telah ditetapkan Allah dan NabiNya adalah suatu yang tidak boleh diubah sesuka hati.Walaupun ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah disepakati oleh semua umat Islam tetapi perjalanan pentadbiran di dunia mestilah berdiri di atas kaedah-kaedah yang digariskan.Persaksian dalam Islam tidak boleh disokong oleh kaum keluarga, bagi mengelakkan conflict of interest.
Ali bin Abi Talib r.a yang menjawat jawatan tertinggi dalam Negara akur dengan keputusan hakim mahkamah kerana bagi beliau keputusan hakim perlu dihormati bukan untuk dipertikaikan.Di luar jangkauan para pemerhati, yahudi yang didakwa tadi akhirnya telah mendedahkan bahawa baju besi itu sememangnya milik Ali yang ditemuinya tercicir.Beliau akhirnya mengisytiharkan keislamannya di hadapan khalayak selepas melalui pengalaman peribadi yang membenarkan keadilan Islam bahawa tiada siapa yang akan teraniya di bawah naungan Islam.
Antara bukti lain ketelusannya lagi ialah pada suatu hari, seorang dari anak lelakinya meminta beliau membuat keputusan dalam perselisihannya dengan teman-temannya.Sebaik sahaja selesai menerangkan perkembangan sebenar perselisihan itu, Syuraih menyuruh anaknya memanggil teman-temannya itu.Setelah kedua pihak mebuat penjelasan masing-masing maka Syuraih telah memutuskan keputusan yang menyebelahi teman-teman anaknya.Keputusan yang telah menyebabkan anaknya merasa dirinya dipermaukan.Jawapan hakim yang mulia ini kepada anaknya ialah : Wahai anakku ! Demi sesungguhnya engkau lebih kusayangi dari dunia dan seisi kandungnya, namun keredhaan Allah lebih aku utamakan berbanding denganmu !
Lebih dari itu Syuraih pernah memenjarakan anak lelakinya sendiri apabila orang yang dijamin oleh anaknya itu melarikan diri.
Walaupun mempunyai jalan penyelesaian yang mengkagumkan semua pihak, namun Syuraih tidak dapat melarikan diri dari keraguan yang kadangkala menimpanya dalam keputusan-keputusan yang dibuat.Apabila menghadapi kerumitan seperti itu beliau akan menyerahkan urusannya kepada Allah dan kepada pihak yang berselisih dengan katanya : sesungguhnya orang yang membuat keputusan ini hanyalah manusia seperti kamu semua.Aku mebuat keputusan ini untuk menyelamatkan kamu dari neraka Allah.Jika aku yang tidak terlibat melakukan kesalahan yang dibawa ke hadapan ini turut merasa takut hukuman Allah di akhirat, maka kamu sepatutnya lebih merasa bimbang jika kes ini dibuka semula di makhkamah akhirat nanti.
Apabila pihak saksi terus bertegas agar dijatuhkan hukuman kepada seseorang yang dituduh sedangkan Syuraih merasai sesuatu kekaburan pada kes, maka beliau akan mengingatkan pendakwa dan tertuduh dnegan katanya : Aku menghukum berdasarkan bukti dan saksi, bukannya dengan sangkaan.Namun kamu semua harus ingat bahawa ketetapan ini tetap tidak menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t.Ingatannya yang sering dihebahkan kepada setiap pihak yang berbalah ialah : Kelak orang yang menzalimi orang lain akan tahu siapakah sebenarnya yang rugi.Orang yang zalim kepada orang lain sedang menunggu hukuman Allah terhadapnya.Orang yang dizalimi menunggu pembelaan dariNya.
Syuraih juga turut dikenali dengan nasihat-nasihat ikhlasnya kepada umat Islam.Antara contohnya ialah cerita seorang lelaki yang telah dinasihati Syuraih.Lelaki ini sering menceritakan masalah peribadinya kepada orang lain sehingga didengari Syuraih.Syuraih mengingatkannya : Saudaraku ! setiap orang yang kita temui adalah merupakan orang yang menyayangi kita atau musuh kita.Jika kita menceritakan kesusahan kita pada orang yang kita sayangi, mereka akan merasa sedih.Sebaliknya apabila kita menceritakan problem kita pada musuh kita, mereka akan gembira.Saudaraku! ketahuilah olehmu! Beliau enunjukkan sebelah dari matanya kepada beliau seraya berkata, mataku ini sudah tidak berfungsi sejak lima belas tahun yang lalu.Aku tidak dapat melihat manusia dan jalan serta segala benda lain dalam tempoh itu.Alhamdulillah aku tidak memberitahu sesiapapun tentangnya melainkan kepadamu, agar kau mengambil pengajaran ! Kau tentu pernah membaca firman Allah dalam surah Yusuf ayat ke 86 yang bermaksud :
"Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah …..
Maka jadikanlah Allah tempat pengaduanmu dalam menghadapi tekanan dan kesusahan hidup.Dia lebih menyayangimu dan dapat membantumu.
Semuga Allah merahmati khalifah Islam ke dua, Umar al-Faruq r.a, yang dengan firasatnya yang benar itu, lahir seorang hakim Islam yang hebat yang telah menjadi batu asas kepada kesempurnaan pembentukan system perlaksanaan undang-undang dan mahkamah Islam.
[1] Firasat bermakna idea yang diilhamkan Allah kepada seseorang mukmin.Dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi ( no 3419 ) Nabi bersabda, maksudnya : Takutilah kamu firasat orang yang beriman kerana dia melihat dengan Nur Allah.
Sunday, February 1, 2009
kISAH SYURAIH HAKIM YANG BUTA , PETIKAN DARI MAJALAH SOLUSI BIL KE 3
Posted by Allahyarham achit at 10:02 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment