? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Sunday, February 1, 2009

Cinta Ghuraba’

Penat… tapi berbaloi.

Penerbangan Air Asia dari LCCT ke Labuan terlewat sejam lebih. Cuaca buruk, lalu mendapat pula berita bahawa pesawat perlu mendarat di Kota Kinabalu sebelum menyambung perjalanan ke Labuan, jika cuaca beransur mengizinkan. Keluar dari rumah jam 3 petang. Tiba di rumah tumpangan di UMSKAL jam 12 tengah malam.

Telefon mengalunkan bacaan Ruqyah oleh Sheikh Ghamidi untuk ‘membersihkan’ kediaman yang lama terbiar, buat mencari tenang sebelum cuba melelapkan mata. Baru sahaja mata terpejam, subuh menjelang. Sejam lebih awal berbanding Semenanjung.


Saya gembira.

Teramat gembira dengan berlangsungnya SEMINAR PENGURUSAN CINTA di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan kali ini. Tiga slot, setiap satunya sepanjang dua jam, saya berusaha memberi sepenuh hati kepada peserta, kerana mereka juga memberi sepenuh hati kepada saya.

Syabas… wajah ceria biar pun tersungkur sekali sekala.

Seminar kali ini bukan membebel tentang CINTA bagai yang khabarnya disiniskan oleh ramai warga kampus. Cinta itu sesungguhnya hanyalah umpan untuk mencangkuk semua kepada subjek yang lebih utama. Mencari makna hidup, mencari TUJUAN HIDUP.

Kaedah seminar kali ini mudah.

Betulkan cara melihat untuk membetulkan hasil dapat.

Tentukan siapa diri, agar betul cara melihat dan memerhati.

SETAPAK DEMI SETAPAK

Sedikit demi sedikit peserta dibawa mengembara kepada persoalan-persoalan dasar kehidupan, hingga sampai kepada persetujuan dan akur penuh keyakinan, bahawa kita adalah HAMBA, menguruskan cinta HAMBA sesama HAMBA dan HAMBA kepada DIA, lebih mudah dan mendamaikan.

Jika manusia lupa dirinya hamba, fikiran dan keinginannya sering berantakan dan tidak segan silu mengenengahkan demand. Menuntut justifikasi atas perbuatan yang benak hati gagal membohongi, bahawa apa yang dibuat itu jauh dari jalan Ilahi.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa tidak dibahaskan sahaja terus tentang cinta?

Cinta monyet, cinta kampus (meminjam istilah Cik Hajjah Aisyah, kauselor Kolej Matrikulasi Labuan), apakah boleh atau tidak?

Kalau tidak apa hujah kamu?

Kalau boleh, katakan boleh.

Mengapa tidak terus sahaja diringkaskan seminar kepada ya atau tidak, ringkas dan menjurus?

Jawapannya mudah.

Cinta bukan matematik, cinta bukan campur dan tolak. Cinta adalah belitan perasaan yang tidak tergenggam oleh tangan, tidak terpandang oleh penglihatan, tetapi wujudnya ia secara tiba-tiba, kamu dapati diri sudah menjadi abdi, diperabdikannya.



Cinta hanya simptom. Dasarnnya adalah kepercayaan, pandangan tentang kehidupan dan sistem nilai.

Sebab itu saya tidak begitu menaruh harapan kepada forum. Bukan sahaja Forum Mencari Cinta dan Cita-cita malam itu, malah mana-mana sahaja forum. Dua atau tiga jam forum, tidak cukup untuk merawat masalah sebenar berbanding masalah yang kelihatan. Forum terus menuju kepada soal cinta, sedangkan segala buah fikiran yang bagus-bagus persembahan panelis dan moderator, tersia-sia andai pendengar tidak dirawat pemikiran dan cara menilai mereka.



Contohnya…

“Ala… itu pandangan Ustaz dan Doktor Hashim. Mungkin betul, mungkin tidak!” kata seorang peserta.

“Hmm, Cik Hajjah Aisyah ada pengalaman dia sendiri. Pengalaman kita tidak sama. Ustaz Sharizal pun sama” kata seorang lagi.

Ya, pemikiran-pemikiran seperti ini terbit dari suatu kepercayaan bahawa segalanya di alam ini bersifat relatif! Tiada yang muktamad. Biar sekukuh mana pun penghujahan seseorang, dengan segala dalil naqli dan aqlinya, mudah sahaja ditepis oleh alasan-alasan sedemikian rupa.

Sedangkan pemikiran seperti ini meracun hidayah. Datang satu petunjuk, ditangkis oleh persepsi. Apa yang mungkin dicari, hanyalah endorsment kepada realiti. Agar cinta Jahiliah boleh dijustifikasi. Agar ‘Islamic coupling’ mendapat restu.

SEMINAR LEBIH UTAMA

Saya berusaha sedaya mungkin di dalam forum. Tetapi harapan saya ialah pada seminar. Dua slot pertama adalah rawatan kepada mindset, paradigma dan world view peserta, supaya sebelum mereka diberitahu Tuhan bahawa diri mereka hanyalah HAMBA, mereka sudah pun tunduk menundukkan diri. Menundukkan perspesi dan ego diri, menundukkan prasangka dan sikap defensif, dengan bawaan sebuah kesedaran, Dia adalah DIA dan kita hanya seorang HAMBA.

KESUNGGUHAN DARI SEBERANG

Sungguh, hati saya tersentuh menyambut berita bahawa sekumpulan peserta bermusafir dari Kota Kinabalu membelah lautan datang ke Labuan. Pelajar UMS Kampus Induk ini, ada yang menaiki bas, ada yang membonceng motor dan ada juga yang mengambil pesawat, bersungguh-sungguh mereka datang ke seminar dan forum malam itu. Belum lagi dikira teman-teman dari pelbagai institusi pendidikan di sekitar Labuan, juga penduduk tempatan yang menyambut jemputan Tuhan yang Rahman.

Terima kasih buat adik-adik yang jauh bermusafir.



Antara peserta dari UMS Kampus KK yang berbual bersama selepas selesai berseminar

Semoga perjalanan jauh antum berbaloi, berhasil pulang dari sesi menerima ke medan memberi, di gelanggang masing-masing yang penuh cabaran.

Demi memegang cinta sejati yang menongkah kebiasaan di kampus dan arus perdana, kubekalkan kisah cicak memanjat pinang, di hujung sebuah pertemuan.



“Islam itu bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Dan ia akan kembali dipandang ganjil sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dipandang ganjil (kerana Islamnya mereka)” [Hadith riwayat Muslim]

Beruntunglah manusia yang asing di akhir zaman. Terasing kerana Islam yang digenggam.

Hingga ketemu sekali lagi, jika tidak di sini, mudah-mudahan di Sana nanti.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG, SELANGOR


__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih

0 comments: