amalan ini melibatkan perbuatan yang dikenali sebagai "menurun". Dalam erti kata mudah, menurun bererti, seseorang itu diresapi oleh makhluk-makhluk halus, yang terdiri daripada jin, atau jin-jin, membolehkan seseorang itu melakukan tindak-tanduk yang dihajati, untuk merawat pesakit misalnya, mencari benda hilang, menilik, mengurut, terlibat dengan persembahan teater tradisional, seperti main kuda kepang, ulik mayang, tarian bubu dan sebagainya.
Lebih jelas, 'menurun' adalah proses, di mana makhluk halus, terdiri daripada jin atau jin-jin, masuk atau meresap dalam tubuh manusia, menggunakan tubuh manusia bagi tujuan tertentu. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu melakukan rawatan dengan kaedah 'menurun', makhluk tadi akan masuk dalam tubuh, menyebabkan individu itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri keseluruhannya, ataupun sedar tetapi tahap sedarkan diri hanya sedikit.
Dalam keadaan apa sekalipun, makhluk yang meresap atau turun bersatu dalam jasad itu jelasnya menguasai tubuh manusia. Makhluk ini menggunakan lidah manusia yang terlibat untuk bercakap. Kalau ia sedang memegang keris untuk memotong limau contohnya, yang memotong ketika itu ialah tangan manusia yang terlibat, tetapi apa yang berlaku adalah atas kehendak, ikhtiar atau ketentuan jin yang meresap dalam tubuh itu.
Pada kebiasaannya, suara yang keluar dari tubuh orang yang terlibat ketika itu adalah suara asal orang berkenaan. Dalam keadaan tertentu, suara yang keluar bukan suara orang berkenaan. Bertukar menjadi garang atau lembut macam suara orang tua atau mak nenek sekiranya jin yang meresap itu terdiri daripada jin perempuan tua, atau nenek tua.
Ketika itu, orang yang memerlukan hajat tadi, termasuk pak-pak haji seperti yang saudara jelaskan akan memanggil orang yang berada dalam keadaan 'menurun' dengan nama "atuk" contohnya, "nenek" kalau ia melibatkan perempuan yang menurun, ataupun "embah" (bermaksud atuk), kalau ianya orang Jawa.
Orang yang menurun, yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akan bertanya, "ada apa hajat cu?" Orang yang terlibat, yang dikuasai oleh jin yang meresap itu memberi penghormatan kepada manusia yang datang memohon pertolongan itu sebagai "cucu".
Orang yang dipanggil sebagai "cucu" atau "anak", yang dipanggil sebagai "nak", akan menjawab, contohnya: Tok. Saya sekarang ni tengah belajar kelas fardu ain di surau. Ustaz yang mengajar itu mengajar ayat-ayat al-Quran, dan doa-doa. Tapi saya ni payah sangat nak hafal doa yang diberi.
"Oh! Kalau gitu cucu ini nak air penerang hatilah!". "Betul tuk. Itulah hajat cucu yang sebenar! Nak minta air penerang hati supaya mudah beribadat untuk bekalan hari tua nanti".
"Oh.. gitu. Baik sekali niat cucu. Ambil kemenyan ini. Bakar waktu petang sebelum maghrib. Kemudian minum air ini!"
Orang yang dalam keadaan menurun, yang selalunya dipanggil dengan nama pawang, bomoh, poyang atau sebagainya, menurut panggilan yang lumrah oleh penduduk tempatan atau nama yang diberi sendiri oleh orang berkenaan, diuar-uarkan kepada pengikutnya, sebagai ustaz, khalifah, guru, ataupun profesor pun membaca jampi mantera, atau serapah menggunakan sebutan salam, bismillah, kalimah-kalimah unsur- unsur Islam, seperti nama-nama malaikat, nama-nama nabi, terutamanya Nabi Yusuf kalau ia melibatkan ilmu atau jampi pemanis muka yang kebiasaannya mengakhiri kata-katanya dengan kalimah syahadah. Lalu akhirnya mengunjukkan kemenyan yang dijampi mantera juga air yang dibawa oleh pesakit.
perlindunganOrang yang berada dalam keadaan 'menurun' seperti yang saya huraikan tadi adalah orang yang reda dirinya diresapi oleh makhluk-makhluk halus, yang terdiri daripada jin atau jin-jin, yang tidak diketahui hakikatnya, yang mungkin terdiri daripada iblis dan syaitan. Di situlah orang yang berkenaan sama ada sedar atau tidak sedar telah memohon perlindungan kepada makhluk ini untuk melakukan sesuatu tujuan seperti yang dijelaskan. Itulah sejahat- jahat teman. Dalam al-Quran, surah An-Nisa": 38, terdapat firman Allah yang bermaksud: Barang siapa syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah seburuk-buruk teman.
Orang yang seperti ini, yang ingkar, berpaling daripada ketentuan Allah akan mendapat balasan Allah. Dalam surah Taha: 124 dijelaskan firman Allah yang bermaksud: Dan barang siapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya mereka akan memperoleh kehidupan yang sangat sempit.
Pada kebiasaannya, orang yang terlibat dengan amalan kebatinan yang melibatkan jin-jin akan memanggil makhluk tersebut, iaitu makhluk yang dibela, dibuat sahabat atau saudara melalui rangkaian jampi, mantera, serapah dan sebagainya. Dalam masa yang sama pada kebiasaannya makanan atau juadah akan disajikan, termasuk ayam, kuih-muih, ataupun bakaran kemenyan, juga colok bagi mereka yang tinggal di sempadan, juga yang menyembah berhala.
Dalam jampi mantera ini, seruan akan dilakukan agar makhluk jin itu turun, untuk melindungi orang yang hendak melakukan rawatan, mereka yang terlibat dengan persembahan teater tradisional, juga mereka yang hadir menyaksikan persembahan. Seruan terhadap makhluk ini dilakukan.
Dan apabila seruan itu disebut berulang kali, maka ketika itu manusia telah merayu atau memuja makhluk tersebut, sama ada untuk memohon perlindungan, keselamatan, menghindarkan diri daripada bala dan sebagainya.
Perlu difahami dan disedari bahawa hanya Allah yang mempunyai sifat kudrah, yang berkuasa memberi perlindungan. Apabila seseorang itu menyeru makhluk-makhluk halus seperti yang dijelaskan itu untuk tujuan perlindungan dan sebagainya, orang yang berkenaan telah menyamakan, atau mensyirikkan kudrah Allah yang Maha Esa dengan sesuatu yang baru. Dalam istilah tauhid ia dinamakan "syirik", orang yang terlibat dinamakan "musyik" iaitu orang yang menyekutukan Allah. Dosa syirik tidak diampuni oleh Allah SWT kecuali dengan bersyahadah terlebih dahulu.
Seperti yang dijelaskan, orang yang 'menurun' berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, atau separuh tidak sedarkan diri. Dalam keadaan apa sekalipun, tahap kesedaran diri ketika itu berada dalam keadaan begitu minimum. Segala pergerakan dikuasai oleh makhluk yang meresap. Individu berkenaan ketika itu hanya merupakan bahan atau objek makhluk yang meresap itu melakukan sesuatu seperti yang dijelaskan.
Atas pemahaman seperti ini, apabila seseorang itu memohon pertolongan kepada orang yang berada dalam keadaan 'menurun', ia sebenarnya telah memohon pertolongan kepada makhluk yang menguasai diri manusia ketika itu, iaitu jin atau jin-jin, yang mungkin terdiri daripada iblis dan syaitan.
Sekiranya seseorang itu meminta pertolongan untuk penerang hati yang sukar untuk menghafal doa-doa yang diberi oleh ustaz seperti contoh yang diberi, bererti orang yang berkenaan telah memohon doa ataupun doa terang hati kemungkinan kepada iblis dan syaitan.
Lantaran manusia tidak sedar hakikat makhluk yang meresap dalam diri orang yang menurun, sebutan "datuk" atau "embah" disebut, merujuk kepada individu yang menurun tadi. Seperti yang dijelaskan, makhluk yang menguasai diri manusia ketika itu ialah jin-jin. Kerana itu apabila seseorang itu membahasakan dirinya sebagai "cucu" dalam proses perubatan seperti ini, secara tidak langsung, orang berkenaan telah mengiktiraf yang dirinya terdiri daripada "cucu jin", yang ketika itu sedang menguasai diri orang yang terlibat. Kalau makhluk itu terdiri daripada iblis dan syaitan, orang yang berkenaan secara tidak langsung telah meletakkan dirinya sebagai "cucu kepada iblis ataupun cucu syaitan". Semuanya ini berlaku kerana manusia tidak memahami hakikat menurun.
Dalam satu sesi rawatan yang saya hadiri, setelah makhluk yang meresap dalam tubuh orang yang melakukan rawatan itu keluar, dan orang terlibat sedarkan diri, dalam keadaan lemah ia bertanya kepada pesakit, "apa atuk tadi cakap! Dia suruh apa?'' Dan lain-lain soalan yang dia sendiri tidak tahu, pada hal dialog di antaranya dengan "atuk" yang meresap itu berlaku di antara mereka berdua, melalui lidah dan tindak tanduk orang yang berkenaan.
Fenomena ini membuktikan bahawa orang yang dalam keadaan 'menurun' hakikatnya tidak tahu apa yang dilakukannya. Jasad manusia yang terlibat ketika itu hanyalah tempat tumpangan.
ikhtiarDalam masyarakat Melayu, pelbagai masalah yang timbul tidak dapat dijawab apabila orang yang terlibat dengan amalan 'menurun' itu menggunakan rangkaian kata jampi mantera atau serapah dengan kalimah-kalimah yang mempunyai unsur-unsur Islam, seperti penggunaan kalimah salam, bismillah, nama-nama malaikat dan nabi, sebutan derhaka kepada Allah dan Muhammad, dan berkat kalimah La ilaha ilallah. Selain daripada itu, dikatakan bahawa apa yang dikatakan segala-galanya ikhtiar belaka. Selain daripada itu segala-galanya terserah kepada Allah.
Kehadiran pak haji seperti yang saudara jelaskan tidak menjadi bukti tentang kebenaran amalan 'menurun' tadi. Malah dalam keadaan tertentu, saya perhatikan orang yang 'menurun' juga ada yang terdiri daripada mereka yang telah menunaikan fardu haji di Mekah.
Ada yang menuntut ilmu kebatinan seumpama ini tidak menyedari proses amalan kebatinan yang dilakukan itu akhirnya melibatkan jin-jin yang dilarang dalam Islam. Penglibatan ilmu kebatinan boleh berlaku dalam keadaan yang disedari, juga tidak disedari. Kategori kedua ini sebenarnya terlalu banyak berlaku. Dan apabila seseorang itu telah terjebak dengan amalan ini, terlalu sukar baginya untuk memisahkan diri daripada makhluk-makhluk halus yang mendampinginya, yang didampingi dengan tidak sengaja, yang berlaku dalam satu proses yang begitu panjang, apatah lagi sekiranya ia diwarisi, yang diistilahkan sebagai "saka".
Akan bertambah keyakinan seseorang apabila jin yang meresap dalam tubuh itu diyakini sebagai "roh wali-wali", "malaikat", "puteri-puteri" dan sebagainya pada hal hakikat sebenarnya makhluk yang meresap itu terdiri daripada jin-jin, yang dipanggil dengan nama manusia.
ALAMATKAN soalan kepada Datuk Dr. Amran Kasimin, Mingguan Malaysia, 46M, Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur atau e-mel ke mingguan@utusan.com.my
Monday, February 23, 2009
BERUBAT DENGAN MENURUN
Posted by Allahyarham achit at 6:22 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment