Satu-satu cara yang paling mujarab ialah bertaubat dengan penuh keikhlasan dan berazam tidak mengulanginya. Dalam persoalan taubat hamba kepada Allah SWT perlu ada kefahaman dan ilmu dalam hal ini. Apa sahaja yang dilakukan oleh manusia mesti berasaskan kepada ilmu pengetahuan, termasuklah taubat.
Perkara yang perlu diketahui ialah; hukum bertaubat, syarat bertaubat, sifat seorang yang bertaubat. Persoalan-persoalan ini perlu jelas pada seseorang hamba sebelum bertaubat.
Kalau tidak taubat seseorang akan menjadi ‘taubat sambal belacan’.
Ini kerana mungkin hari ini bila dia makan sambal belacan yang sangat pedas sehingga mengalir air mata kerana kepedasannya menyesal dan berazam kalau jumpa sambal belacan esok tidak tidak akan makan. Tetapi keadaannya menjadi sebaliknya apabila jumpa sambal belacan keesokan harinya kerana terus juga makan dan kemudiannya menyesal kembali.
Episod ini akan berulang, sebabnya keazaman tidak kuat. Begitulah keadaannya orang yang buat maksiat. Ketika dia buat maksiat dia tak nampak hukum Tuhan. Maruah dan akhlak, semuanya diketepikan. Yang penting matlamatnya tercapai dan maksiat yang kononnya menjanjikan keseronokan dikecapi.
Apabila teringat akan perbuatannya yang melanggar perintah Allah atau diingatkan oleh rakan, si pelaku maksiat menyesal dan menampakkan raut wajah yang menyesal. Tetapi, sampai bila?
Yang pastinya kalau esok terhidang di hadapannya peluang untuk buat maksiat, pasti dia terkam dan baham. Terima atau tidak taubat seseorang itu hak Allah SWT. Namun sifat Rahmat dan Pengampun lebih luas dari kemurkaan-NYa.
Berikut suka saya nyatakan petikan daripada kitab al-Taubat Ila Allah karangan Dr. Yusuf al-Qardawi.
Taubat
Allah SWT melalui al-Quran menyuruh hamba-hambanya bertaubat, sekali gus memperlihatkan keluasan rahmat-Nya yang tidak terbatas ke atas hamba-hamba sekalipun hamba itu melakukan dosa besar. Allah berjanji melalui ayat-ayat sucinya akan menerima taubat hambanya yang benar-benar bertaubat.
Taubat berasal daripada perkataan arab yang membawa maksud kembali iaitu kembali ke pangkal jalan. Allah menyeru manusia supaya tidak mencemarkan fitrah suci mereka dengan dosa. Supaya saat kembali mereka kepada Allah SWT tetap bersih.
Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri. (al-Baqarah: 222).
Dalam ayat ini Allah SWT mengakui bahawa orang yang bertaubat itu disukainya. Orang bertaubat kepada Allah SWT tergolong dalam golongan yang dicintai-Nya. Sedangkan para anbiya’ dan orang soleh sentiasa mendambakan kasih sayang Allah SWT.
Dalam memahami tentang keluasan keampunan Allah SWT dan rahmat-Nya bagi orang-orang yang bertaubat. Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Zumar: 53)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kalian melakukan kesalahan-kesalahan (dosa) hingga kesalahan kalian itu sampai ke langit, kemudian kalian bertaubat, nescaya Allah SWT akan memberikan taubat kepada kalian”. (riwayat Ibn Majah dari Abi Hurairah, dan ia menghukumkannya sebagai hadis hasan dalam kitab sahih Jami’ Shagir - 5235).
Fadilat
Di antara fadilat dan kelebihan yang diterima oleh mereka yang bertaubat adalah; Allah menugaskan para malaikat muqarrabin untuk beristighfar ke atas mereka serta berdoa kepada Allah SWT agar Allah menyelamatkan mereka dari azab neraka. Serta memasukkan mereka ke dalam syurga. Dan menyelamatkan mereka dari keburukan.
Mereka memikirkan urusan mereka di dunia, sedangkan para malaikat sibuk dengan mereka di langit. Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Malaikat-malaikat) yang memikul arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): “Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang meluap-luap, ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan) kejahatan pada hari itu maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar. (Ghaafir: 7-9).
Dalam ayat yang lain firman-Nya yang bermaksud: Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan. (Al-Syuuraa: 25)
Allah memberi keampunan kepada yang melakukan dosa kerana kejahilannya. Firman Allah yang bermaksud: Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kejahilannya, kemudian mereka bertaubat setelah itu, dan memperbaiki (dirinya) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Nahl: 119)
Puja-puji terhadap Allah SWT dengan nama-Nya at-Tawwab (Maha Penerima Taubat) terdapat dalam al-Quran sebanyak 11 tempat. Seperti dalam doa Ibrahim dan Ismail a.s.: “Dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (al-Baqarah: 128).
Ulama telah menyebutkan syarat-syarat yang mesti ada bagi seseorang yang benar-benar ingin bertaubat seperti yang telah diambil dari al-Quran dan hadis, antaranya:
1) Bersegera meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat tersebut.
2) Menyesal atas dosa-dosa yang telah dilakukan.
3) Berazam untuk tidak kembali bergelumang dalam dosa dan kemaksiatan.
4) Mengembalikan hak-hak orang yang dizalimi atau memohon kemaafan darinya.
Terdapat juga sebahagian ulama yang menggariskan syarat-syarat lain bagi mereka yang ingin bertaubat dengan taubat nasuha, antaranya:
1) Meninggalkan dosa-dosa tersebut (taubat nasuha) ikhlas kerana Allah dan bukan kerana perkara-pekara lain.
2) Merasa jijik dan benci dengan dosa yang yang dilakukan dan mengakui akan kemudaratannya.
3) Bersegera melakukan taubat nasuha.
4) Berasa takut dan risau ia akan kembali kepada dosa dan kemaksiatan.
5) Cuba Mendapatkan kembali hak-hak Allah (contoh: zakat dan solat) yang telah ditinggalkan sebelumnya (sekiranya boleh).
6) Mencari sahabat-sahabat yang soleh yang mampu membimbing dan membantu supaya dia sentiasa mengingati Allah dan tidak kembali kepada kemaksiatan.
Hilangnya keberkatan hidup seseorang itu adalah kerana dia tidak menyedari kesalahan yang dilakukannya dimurkai Allah atau berasa tidak bersalah atas keingkaran yang dilakukannya. Mungkin juga apa yang berlaku kepada keluarga anda sebagai satu pengajaran yang perlu diambil iktibar supaya perkara ini tidak berulang.
Yang keduanya, segala musibah yang menimpa mungkin juga kaffarah (penebus kesalahan ) daripada Allah SWT ke atas hambanya.
Monday, February 23, 2009
ALLAH MAHA PENGAMPUN
Posted by Allahyarham achit at 6:21 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment