? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Sunday, February 28, 2010

Bermula dakwah terang-terangan

UMAR Al Khattab ada cara yang tersendiri untuk meraikan keimanan barunya terhadap Allah. Yang sekali gus turut memberikan makna untuk bersaudara dengan seluruh umat Islam yang selama ini beliau cukup perlekeh dan perlecehkan.

Beliau mahu berita dirinya memeluk Islam mesti diketahui oleh seluruh anggota masyarakat terutama kaum musyrik Mekah itu sendiri. Berbeza para sahabat dan pengikut yang sebelum ini, urusan selepas memeluk Islam adalah lebih sukar, iaitu memelihara dan menyimpan rahsia supaya tidak diketahui oleh sesiapa. Jika tidak, padahlah alamatnya!

Umar terus bertanya kepada para sahabat di Darul Arqam itu, siapa di kalangan kafir Quraisy yang paling kuat menentang dan memusuhi Islam. Mereka sepakat memberitahu, tentu sahaja Abu Jahal.

Seperti yang diriwayatkan kisah ini oleh Ibnu Ishaq, Umar pun terus menuju ke rumah Abu Jahal tanpa sesiapa mengetahui apa niat sebenar dan tujuan Umar hendak menemui musuh Islam Nombor 1 itu.

Setibanya di rumah Abu Jahal, beliau disambut dengan baik oleh Abu Jahal yang tidak mengetahui apa-apa yang telah terjadi kepada 'sahabat seteruannya' itu.

"Aku datang ini semata-mata untuk memberitahu kepada kamu bahawa aku telah beriman kepada Allah tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain dan Muhammad itu, pesuruh Allah yang aku percaya segala ajarannya yang dibawanya itu," kata Umar.

Tentu sahaja Abu Jahal bukan sahaja terkejut malah begitu marah mendengarkan kata-kata Umar itu dan sebelum dia menghempaskan pintu, dia menjerkah Umar dengan berkata: "Celaka sungguh kamu dan celaka sungguh berita yang kamu bawa ini wahai Umar!"

Sementara al Mubarakfuri pula menulis, Abu Jahal juga berkata: "Moga Allah burukkan kamu dan burukkan apa yang percayakan itu!"

Umar membiarkan sahaja kata-kata Abu Jahal itu lalu bertanyakan kalangan kafir Quraisy, siapa pula yang tidak boleh menyimpan rahsia!

Mungkin agak melucukan, 'watak' ini sebenarnya seorang yang diamanahkan untuk menyimpan rahsia. Tetapi malangnya, tiada rahsia akan tetap kekal menjadi rahsia. Malah yang berlaku, rahsia akan bocor pada kadar yang sangat segera.

Lalu dijawab oleh mereka, watak tersebut dipegang oleh seorang lelaki, yang bernama Jamil bin Muammir. Tetapi al Mubarakfuri pula menulis nama sebenar lelaki itu ialah Jamil bin Ma'maar al Jumahiy.

Umar mencari lelaki tersebut yang kebetulan ditemui di tengah-tengah kota Mekah berdekatan dengan kaabah. Lantas Umar terus memberitahu Jamil mengenai agama baru yang dianutinya, sambil melafazkan kalimah Syahadah sebagai bukti di hadapan Jamil.

Sungguhpun terkejut dengan kata-kata Umar, Jamil tidak lupa akan 'tanggungjawab' untuk memecahkan rahsia itu kepada orang ramai. Lalu dia bangun dan terus menjerit dengan lantang:

"Wahai pembesar-pembesar Quraisy! Wahai sekalian Quraisy! Umar Al Khattab sudah murtad daripada agama kita, menyembah berhala!"

Berulang-ulang Jamil menghebahkan berita yang sangat menggemparkan itu sehingga berpusu-pusu seluruh pembesar dan penduduk Mekah berkumpul dan terus bertanya kepada Umar untuk mendapatkan lebih kepastian.

"Benarkah kamu sudah murtad wahai Umar," tanya mereka.

"Tidak, aku tidak pernah murtad tetapi aku sudah memeluk Islam, aku sudah mengucapkan kalimah syahadah," kata Umar sambil terus melafazkan dengan kuat kalimah syahadah bagi membuktikan kepada semua orang mengenai pengislamannya itu.

Dikatakan akibat pengumuman dan pengakuan Umar itu, buat pertama kali Umar dibelasah oleh kaumnya itu yang tidak dapat menerima hakikat seorang yang begitu memusuhi Islam akhirnya tunduk dengan mudah terhadap agama itu.

Umar teruk dibelasah walaupun pada awalnya beliau mampu mengalahkan seorang demi seorang. Tetapi sesiapa pun pasti akan kalah apabila tiada sesiapa yang menolong Umar kecuali beramai-ramai beliau dibelasah yang dikatakan bermula sejak dari awal pagi membawa ke senja.

Umar akhirnya ditinggalkan dalam keadaan letih dan tidak berdaya. Begitu pun beliau tidak pernah berganjak malah tetap berani untuk menghadapi apa juga kemungkinan.

Tetapi beliau mesti mencari jalan bagaimana dirinya dan agama Islam yang baru dianutinya itu tidak lagi mendapat gangguan dari kaumnya yang masih kafir itu.

Lalu dengan penuh kepintaran, Umar pun terus mencekup seorang pembesar kafir Quraisy yang sering dianggap paling besar dan tinggi kedudukannya di kalangan kaum itu, iaitu Utbah bin Rabiah.

Umar terus menjatuhkan Utbah ke tanah, lalu ditekan dua jari tangannya ke dua-dua belah mata pembesar Quraisy itu.

Umar memberi amaran keras kepada Utbah. "Wahai Utbah, jauhkan mereka semua daripada aku. Jika tidak aku akan butakan mata engkau. Engkau pun tahu aku tidak pernah mendustai kata-kataku sendiri," tegas Umar.

Utbah tidak mampu berbuat apa-apa kecuali terpaksa menuruti sahaja kata-kata Umar dan menyampaikan amaran Umar itu kepada para pembesar Quraisy yang lainnya.

Umar menuju ke kaabah

Jadi begitulah cara dan strategi bagi Umar untuk tidak lagi diganggu atau diapa-apakan oleh kaumnya.

Bagi menguji sejauh mana Utbah memahami amarannya itu, keesokan harinya Umar menuju ke kaabah lalu dia membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan kuat dan lantang, yang boleh didengari dengan jelas oleh seluruh yang berada di situ.

Maka ternyata strategi Umar itu berjaya, tiada sesiapa berani mendekati Umar apatah lagi menghalang Umar daripada terus melaungkan bacaan ayat-ayat suci itu.

Walhal jika dilakukan oleh orang lain, pasti padah dan mautlah nasib yang menimpa. Umar benar-benar berani, keberanian yang sedikit pun tidak luntur setelah memeluk Islam, iaitu agama yang begitu tidak disenangi dan mendapat tentangan hebat kaumnya sendiri.

Keberanian seperti yang ditunjukkan oleh Umar itu merupakan satu kualiti yang mesti dimiliki oleh seluruh umat Islam agar agama mereka itu dipandang tinggi dan tidak akan dipersendakan oleh orang lain.

Tanpa keberanian, selamanya Islam akan dipandang rendah dan menjadi bahan ejekan terutama oleh kalangan kafir. Menyedari itu Umar memulakan satu titik permulaan agar Islam tidak perlu disorok-sorok atau disembunyikan lagi.

Beliau menemui Nabi Muhammad di Darul Arqam yang ketika itu telah ramai umat islam yang turut berkumpul di situ.

Lalu Umar berkata: "Wahai Pesuruh Allah, bukankah kita orang Islam dan bukankan mereka, kafir Quraisy bukan orang Islam?"

"Benar," jawab Nabi Muhammad.

"Kalau begitu, mengapa kita perlu sorokkan Islam, agama kita ini! Tiada apa yang perlu kita takutkan, agama ini agama benar, semua orang mesti tahu mengenai kebenaran agama ini," tegas Umar.

Nabi Muhammad sangat bersetuju dengan kata-kata Umar itu, lalu sudah tiba masanya untuk baginda mengeluarkan Islam dari tempat persembunyian selama ini.

Lalu baginda mengumpulkan para pengikut dan sahabat di laman Darul Arqam dalam dua barisan yang panjang.

Bagi 20 barisan pertama ia diketuai oleh bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul Mutalib dan barisan kedua, terdiri dari 20 lagi pengikut Rasulullah yang diketuai oleh Umar sendiri.

Mereka berdiri dan berbaris dengan begitu teratur, gagah dan perkasa apatah lagi diketuai dengan panglima-panglima Islam yang cukup digeruni musuh dan lawan.

Rasulullah sendiri terus mengambil tempat di tengah-tengah atau antara barisan tersebut dan mereka mula menghayunkan langkah ke hadapan.

Mereka menuju ke Mekah dengan penuh keyakinan dan keberanian yang membusung di dada sambil melaung-laungkan takbir yang mampu mengejutkan seluruh alam.

"Allahu Akbar! Allahu Akbar! Tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad Pesuruh Allah! Allahu Akbar!".

Itulah buat pertama kali dalam sejarah, sebuah perarakan yang memberikan makna yang cukup besar kepada kita semua, sangat melambangkan kekuatan dan kesatuan ummah!

Rasulullah mengambil langkah untuk berarak walaupun dalam keadaan kedudukan keselamatan yang tidak terjamin namun demi agama Allah itu, baginda dan pengikut membawakan mesej bahawa tiada siapa lagi yang boleh menghalang dari agama ini disebarkan!

Kini Quraisy hanya mampu melihat. Melihatkan pada kegagahan Hamzah dan Umar sahaja telah menyebabkan mereka terpaksa menelan air liur, pahit!

Rasulullah pula tidaklah mempamerkan kesombongan jauh sekali keangkuhan yang kononnya Islam kini adalah lebih kuat kedudukannya berbanding sebelum ini.

Ini kerana baginda benar-benar berniat agar nikmat Islam itu dapat disebarkan, meletakkan manusia adalah sama rata, tidak ada kelebihannya dari nama, harta dan pangkat. Lebih-lebih lagi jika semua itu bertujuan untuk menindas kaum yang lemah.

Kaumnya perlu disedarkan dengan keangkuhan mereka selama ini yang menciptakan jurang-jurang antara sesama manusia yang menyebabkan ada kehidupan penuh dengan penindasan dan tidak harmoni.

Cukup selama tiga tahun baginda berdakwah secara bersembunyi, kekuatan telah terkumpul dan tiba masanya laungan Allah Maha Besar perlu didengari di serata ceruk alam, Allahu Akbar!

0 comments: