“Imam diminta pergi ke B&B di Jalan Universiti. Ada seorang anak yatim yang ingin kami temukan dengan Imam” kata pegawai kebajikan tersebut.
Saya mengangguk.
Menjadi seorang Imam dan pendakwah, oncall bukan mengikut jadual persis seorang doktor. Sentiasa bersedia untuk apa sahaja.
“Apa latar belakangnya?” saya bertanya kepada pegawai tersebut.
“Kami menemuinya merayau-rayau kebingungan di bandar. Apabila ditanya, beliau pula mempunyai masalah bahasa. Apa yang saya faham, beliau berasal daripada Algeria” kata pegawai itu lagi.
Saya bersyukur dengan sikap profesional yang ditunjukkan oleh sistem kebajikan yang ada di Ireland Utara. Anak yatim itu, sebaik sahaja dikenal pasti sebagai Muslim, terus diusahakan agar ditemukan dengan pihak Pusat Islam. Mereka tidak akan sekali-kali dengan sengaja menyerahkan anak yatim itu atau sesiapa sahaja kepada pihak yang bakal mencetuskan konflik yang tidak perlu.
Tanpa berlengah, selesai sahaja mengimamkan solat Zohor, saya bergegas pergi ke B&B yang dimaksudkan.
Seorang budak lelaki berusia dalam lingkungan 14 tahun termenung di sofa di ruang tamu B&B tersebut.
“Assalamualaikum. Siapa nama kamu?” saya bertanya di dalam Bahasa Arab baku.
“Nama saya Lahabib” beliau takut-takut melihat saya. Tetapi suaranya ada nada lega.
Kasihan.
“Lahabib atau Habib?” saya tersenyum dan sengaja meminta penjelasan.
Kurang biasa bertemu dengan nama itu di Bumi Syam tempat mastautin saya dulu.
“Lahabib. Tetapi maknanya sama dengan Habib” jawab beliau. Mula meramahkan diri.
Pegawai kebajikan itu yang turut bersama di dalam pertemuan kami itu juga tersenyum. Gembira melihat Lahabib sudah mula selesa. Tugasnya juga sudah hampir selesai.
“Bagaimana kamu boleh tiba di Belfast?” saya cuba mencari maklumat.
Lahabib tunduk.
“Ceritanya panjang!” kata beliau.
Lahabib telah dibawa oleh seorang lelaki ke Holland. Di sana Lahabib diseludup masuk ke Britain dengan harapan beliau boleh mendapatkan kehidupan yang lebih baik sebagai pelarian ekonomi atau politik. Tetapi lelaki itu telah meninggalkannya di pelabuhan Belfast dan beliau terus menghilangkan diri.
Saya terkejut mendengar kisah Lahabib.
Terbayangkan perasaan yang dialami oleh Nabi Yusuf alayhi al-Salaam semasa dikeluarkan daripada perigi buta dan diseludup oleh pedagang bermata duitan ke Mesir.
Malang sungguh anak muda ini.
Mahu dianggap sebagai anak kecil, beliau tidaklah terlalu kecil. Namun di usia itu, pengalaman diseludup jauh dari Algeria ke Holland dan kemudian ke Britain dan Kepulauan Ireland, sudah tentu ia menjadi satu trauma yang membekas di dalam diri.
Selepas menandatangani beberapa dokumen, Lahabib saya bawa pulang ke rumah. Saya hanya ada sehari dua untuk menumpangkan beliau di rumah saya kerana buat masa itu isteri saya masih bertugas di Letterkenny. Beliau hanya datang ke Belfast pada hujung minggu.
Akhirnya Lahabib saya tempatkan bersama dengan dengan rakan-rakan yang tinggal di Donnybrook Street. Walaupun ayam ada masalah bahasa dengan itik, saya tidak bimbang memandangkan kedudukan bekas rumah bujang saya itu sangat dekat dan sentiasa menjadi tempat kunjungan saya setiap hari.
Warga Donnybrook, penjaga anak yatim sebulan
MELAYAN ANAK YATIM
Lahabib tidaklah banyak kerenah.
Beliau patuh sahaja kepada apa sahaja arahan yang diberi oleh ‘abang-abang’ yang menjaganya. Namun saya tetap berpesan agar mereka menjaga dompet dan barang berharga yang lain. Khuatir jika ada yang hilang, kalau tidak Lahabib yang mengambilnya sekali pun, kita tidak seronok untuk mengesyakinya. Seorang anak yatim.
“Susahlah ustaz. Bahaya ada anak yatim ini. Silap-silap termakan harta anak yatim, berdosa besar!” kata Nuzaimin.
“Harta anak yatim? Lahabib datang ke Belfast sehelai sepinggang sahaja. Apa hartanya yang anta nak makan?” saya kehairanan.
“Kami belikan dia biskut untuk dia makan sementara kami tiada di rumah semasa kelas. Kadang-kadang biskut itu ada lebihan. Tapi saya tak beranilah nak makan. Takut makan harta anak yatim!” jelas Nuzaimin.
“Hah macam mana tu ustaz?” tanya Ijat pula.
“Alahai susahlah macam ini. Antum nak jadi Zahiri ke? Faham keras macam itu?” saya menjawab dalam nada gurauan.
“Zahiri macam mana pula?” Jasrul menyambung soalan.
Kami sedang berehat di ruang tamu selepas pulang mengerjakan solat Zohor di masjid.
“Ada pun anak-anak yatim, jalanlah kamu berkasar (dengannya)” [al-Dhuha 93: 9]
“Fahaman tekstual seperti inilah yang menyebabkan ramai anak yatim rosak. Mereka mendapat imuniti yang tiada dalam agama. Apabila Islam melarang kita memukul anak yatim, itu tidak bermaksud bahawa mereka langsung tidak boleh dipukul. Apa yang salah ialah, kita memukulnya kerana dia anak yatim. Itu salah. Tapi kalau anak kandung sendiri kita rotan dia kerana enggan bersolat, maka anak yatim yang diambil sebagai anak angkat itu juga wajar dirotan apabila melakukan kesalahan yang sama. Bahayanya ialah jika anak sendiri dirotan sekali, anak yatim dirotan empat kali, kerana yatimnya dia. Itu mengundang murka Allah!” saya menambah cerita.
Sembang petang berubah menjadi usrah pula.
Saya berusaha keras untuk menemukan Lahabib dengan mereka yang sudi mengambilnya sebagai anak angkat. Proses berkaitan pendaftaran tidak menjadi masalah kerana pihak Social Service sentiasa bersedia untuk membantu. Jika dalam tempoh sebulan, Lahabib tidak berjaya ditemukan dengan keluarga yang mahu menjaganya, beliau terpaksa diambil oleh Social Service untuk ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak.
Dosa.
Terabai sebuah Fardhu Kifayah.
Saya membuat pengumuman khas selepas Solat Jumaat tentang hal ini. Malah tajuk Khutbah Jumaat juga difokuskan kepada ganjaran kemuliaan menjaga kebajikan anak yatim. Namun sehingga matahari tenggelam, tiada siapa yang tampil membantu.
Saya faham, keputusan yang mahu dibuat bukan keputusan yang kecil. Selama beberapa minggu saya mengawasi Lahabib di rumah anak buah saya di Donnybrook Street, saya dapat melihat perubahan yang berlaku kepada beliau. Anak muda itu semacam tidak begitu menghargai kebaikan yang diusahakan oleh penjaga-penjaganya. Mereka membeli roti, masak makanan yang sesuai dengan selera orang Algeria, memberikannya kudap-kudap, malah saya menghadiahkan beliau sebuah jam tangan supaya beliau tahu pukul berapa beliau perlu berada di rumah!
Menjaga anak yatim memang meletihkan.
Hanya dorongan Akhirat sahajalah yang mampu mengekalkan Taqwa sebagai asas tindakan.
PENYELESAIAN
“Assalamualaikum ya Imam!” seorang lelaki muncul di pintu pejabat saya.
“Waalaikum al-Salaam Brother Ali. Wah, pengantin baru. Silakan!” saya menyambutnya.
Ali dan Laura yang baru saya nikahkan kira-kira sebulan yang lalu (KE GEREJA UNTUK KE MASJID), muncul di Masjid.
Laura sudah mula bertudung. Saya gembira melihat perkembangannya.
“Apa yang boleh saya bantu?” saya bertanya.
“Oh, tidak. Kami sebenarnya mahu membantu Imam. Membantu Lahabib” kata Ali.
“Allahu Akbar! Alhamdulillah. Terima kasih Brother Ali. Awak pun tahu, esok adalah hari terakhir sebelum pegawai Social Service datang mengambilnya.
“Saya berasal dari Algeria. Saya yakin saya dan Laura adalah calon terbaik untuk menjaga Lahabib yang juga berasal dari negara yang sama. Terima kasih Imam kerana membantu menjaga beliau” ujar Ali.
“Sister Laura bagaimana?” saya meminta pendapat saudara baru yang hebat itu.
“Sudah tentu saya bersetuju. Lagi pun saya sangat sibuk dengan pengajian tahun akhir. Kasihan Ali, selalu sendirian di rumah. Kalau ada Lahabib itu, ada juga kerjanya. Dia suka mengajar, sampai saya rasa dia tidak puas mempunyai hanya seorang anak murid seperti saya!” kata Laura.
“Eh, bahaya tu. Nanti jadi lain pula ceritanya!” saya bergurau.
“Oh, ya. Betul juga!” kata Laura.
Beliau baru terperasan akan kata-katanya yang boleh menjadi berlapis makna. Kami semua ketawa.
Saya menyerahkan Lahabib kepada Ali dan Laura. Lahabib saya pesankan agar patuh dengan nasihat dan peraturan penjaga barunya.
Alhamdulillah. Saya berasa sungguh lega. Amanah daripada Allah dapat ditunaikan, biar pun tidak sesempurna mana. Biar pun saya hanya berkesempatan menjaga Lahabib selama beberapa minggu, banyak fadhilat yang saya perolehi, termasuk latihan menguji sabar dan menenangkan hati. Terkenang saya kepada sebuah riwayat di dalam Sunnah:
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mengadu tentang hatinya yang keras. Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “apakah kamu mahu hatimu menjadi lembut dan kamu memperolehi apa yang kamu hajatkan? Kasihilah anak yatim, tepuk-tepukkan kepalanya dan beri ia makan apa yang kamu makan. Ia akan melembutkan hatimu dan membantumu memperolehi apa yang kamu hajatkan” [riwayat al-Thabaraani & al-Silsilah al-Saheehah]
Setiap kali saya bertemu dengan Lahabib yang datang solat berjemaah di masjid bersama Ali, saya mengambil peluang bertanya khabar.
Segalanya kelihatan baik dan saya bersyukur kepada-Nya.
Sehinggalah tiba ke suatu petang…
“Imam, boleh saya berbicara sebentar?” tanya Ali pada suatu petang. Lahabib tidak hadir sama.
“Tentu sahaja. Silakan ke pejabat saya” saya mengajak Ali masuk ke bilik.
“Imam jangan terkejut dengan apa yang saya akan beritahu ini” ujar Ali. Penuh misteri.
Berdebar juga. Hidup hambar tanpa kejutan. Tetapi terlalu kerap dikejutkan dengan pelbagai kejadian, letih pula rasanya.
“Insya Allah saya bersedia untuk apa sahaja” saya tersenyum. Cuba menenangkan diri.
“Lahabib tipu Imam. Dia tipu kita semua!” kata Ali.
“Apa??? Tipu yang macam mana?” saya terkejut.
“Dia bukan anak yatim yang tunggal. Keluarganya masih berada di Algeria dan abang kandungnya bekerja di Dublin!” kata Ali.
“Saya keliru. Bagaimana semua itu terjadi?” saya kebingungan.
“Ibu bapa mereka pernah menetap lama di sini tetapi kemudian balik ke Algeria. Lahabib dan abangnya enggan ikut sama. Mereka berkeras mahu terus tinggal di Ireland dan lari daripada keluarga. Mereka merancang untuk mencari kehidupan masing-masing. Abangnya terus berada di Dublin dan Lahabib datang ke Belfast berpura-pura menjadi mangsa sindiket” cerita Ali.
“Aduh!” saya terduduk.
“Bagaimana kamu tahu?” saya bertanya kepada Ali.
“Saya terdengar perbualan Lahabib dengan abangnya melalui telefon. Mereka mempunyai pelbagai perancangan lagi selepas ini!” cerita Ali.
WARNA SEBENAR
Lahabib yang dipanggil, mempamerkan kelakuan yang mengejutkan saya. Beliau menjadi kasar dan bermati-matian menegaskan bahawa beliau tidak suka dengan Algeria. Beliau mahu menetap di Eropah walau dengan apa cara sekali pun.
“Hatta dengan menipu saya dan jemaah di masjid?” saya menahan marah.
Budak itu menundukkan kepalanya.
Saya tidak dapat menahan air mata kerana terlalu sedih dan marah. Hampir sebulan saya bekerja keras mahu menyelamatkan beliau. Bimbang kalau-kalau Aqidahnya rosak jika diambil oleh Social Service. Bimbang dijadikan ‘hamba’ atau pelacur kanak-kanak seperti yang diamarankan oleh pegawai Social Service tempoh hari. Rupa-rupanya Lahabib tidaklah senaif yang saya sangkakan. Beliau licik.
Lahabib terpaksa diserahkan semula kepada pihak berkuasa Britain dan Ireland untuk diatur semula status mereka. Berkemungkinan besar beliau dan abangnya akan dihantar pulang ke Algeria untuk disatukan kembali bersama ibu bapa mereka.
“Insya Allah segala usaha Imam dan kita semua tidak sia-sia. Ada ganjarannya di sisi Allah!” kata Ali, memujuk saya.
Saya tersenyum kelat. Mengiyakan kata-kata Ali.
“Sister bagaimana?” saya bertanya kepada Laura.
“Islam dan Muslim adalah dua subjek yang perlu saya pelajari secara berasingan. Kita doakanlah yang terbaik untuk budak itu!” jawab Laura.
“Terima kasih!” kata Ali kepada isterinya.
“Kenapa?” Laura kehairanan.
“Kalau semua berfikir seperti awak, kuranglah fitnah Muslim ke atas Islam!” tegas Ali.
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki” [Saba' 34: 39]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Monday, April 12, 2010
Lahabib: Antara Nilai Islam dan Muslim
Posted by Allahyarham achit at 9:13 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment