? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, April 13, 2010

Didikan ibu bapa penentu akhlak anak

REMAJA sering dikaitkan dengan zaman paling mencabar dan kritikal, penuh dengan keseronokan dan kebebasan.


BERI DIDIKAN SEMPURNA...anak adalah pelaburan besar yang bakal menjadi modal insan negara. - Gambar hiasan sebelum - selepas



BERI DIDIKAN SEMPURNA...anak adalah pelaburan besar yang bakal menjadi modal insan negara. - Gambar hiasanRemaja adalah manusia yang tidak suka dikongkong dengan peraturan termasuk kekangan ibu bapa dalam mencari jati diri sebenar.

Justeru, dalam perjalanan yang panjang itu, mereka mudah terpengaruh dengan pelbagai elemen termasuk persekitaran, rakan sebaya dan media massa.


Remaja era 30-an, 70-an dan zaman siber mempunyai masalah yang sama, cuma persekitaran mungkin berbeza. Anak muda kini menghadapi krisis yang amat parah kerana mereka terdedah dengan pelbagai masalah sosial yang saban hari menjadi tatapan akhbar.


Seks bebas, minum arak, pembuangan bayi, lumba haram, rogol dan meragut antara beberapa kes membabitkan remaja masa kini.


Justeru, apakah kita tiada penyelesaian dan membiarkan masalah itu diwarisi turun temurun. Bagaimana dengan Islam, mengapa kita tidak mahu mengikut acuan Islam dalam membentuk remaja?

Rasulullah s.a.w membesar sebagai remaja yatim piatu tetapi Baginda mampu bangun sebagai manusia yang hebat. Apakah rahsianya?

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara iaitu masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua dan masa kaya sebelum papa." (Riwayat Hakim dan Baihaqi). Jelas Rasulullah s.a.w menerangkan perkara yang penting diberikan tumpuan.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan Mu'az bin Jabal, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat hingga disoal empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, mengenai hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah dibuatnya."

Namun kehidupan remaja tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai model ikutan sepanjang zaman kerana baginda memiliki keperibadian unggul dan terpuji.

Allah berfirman yang bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab ayat 21).



Watak Rasulullah dibentuk Allah melalui al-Quran. Sifat Nabi Muhammad terserlah daripada peribadinya yang mulia, bijaksana, bersederhana dalam kehidupan harian dan bersifat lemah-lembut.

Rasulullah s.a.w juga mampu membuktikan dirinya sebagai individu terbaik walaupun tanpa didikan, perhatian dan kasih sayang seorang ayah yang meninggal dunia ketika baginda masih di dalam kandungan.


Kemudian baginda menjadi yatim piatu selepas ibunya pula meninggal dunia dalam usia nabi begitu muda. Keperitan membesar tanpa kedua-dua ibu bapanya menjadikan Nabi Muhammad seorang yang matang dan berdikari.

Justeru, remaja harus dididik agar memahami dengan sepenuh hati kaitan penghayatan sirah dengan kelangsungan hidup mereka terutama sebagai remaja serta kepentingan mereka menghargai sirah demi menjayakan misi hidup.


Cara dan gaya mendidik remaja perlu bersesuaian dengan jiwa remaja iaitu ke arah melatih mereka lebih bertanggungjawab memikul amanah yang Rasulullah tinggalkan kepada setiap umat Islam.

Selain itu, Rasulullah ditonjolkan sebagai tokoh terbaik ketika baginda melalui zaman remaja. Ketokohan baginda sebagai ahli perniagaan terserlah kerana berjaya membina strategi perniagaan berlandaskan nilai murni dan kejujuran.

Baginda terkenal sebagai pengembala kambing yang memiliki sifat amanah, jujur, sabar dan ikhlas sehingga membawa keuntungan. Bayangkan sejak berusia lapan tahun lagi, Nabi Muhammad sudah mula hidup berdikari dan mencari rezeki hasil usahanya sendiri.

Selain diri Rasulullah, ramai tokoh remaja lain yang gemilang hasil didikan Rasulullah seperti Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid ,Tariq bin Ziyad, Abdullah bin Abu Bakr, Abdullah bin Zubair, Fatimah binti Muhammad, Aisyah binti Abu Bakr, Asma binti Abu Bakar dan ramai lagi tokoh remaja yang menonjol kewibawaannya dalam masyarakat.

Rasulullah mendidik mereka mewarisi peribadi unggul dan keberanian dalam menegakkan agama Islam. Baginda menampilkan perubahan besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek teladan yang boleh dicontohi. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat seluruh alam.



Pensyarah Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata proses pendidikan awal kanak-kanak sangat penting bagi menentukan keperibadian anak apabila remaja.

"Proses tarbiah (pendidikan) sejak kecil adalah faktor terbesar dalam menyumbang serta menentukan kejayaan anak pada masa depan.

"Nabi Muhammad dihantar menyusu dengan suku kaum Saad kerana ia tradisi Arab Quraisy. Selain itu, ia bagi memudahkan si anak menguasai bahasa Arab yang tulen, biasa dengan kesusahan, tahan lasak dan hidup dalam persekitaran yang bersih," katanya.


Katanya, ibu bapa tidak boleh disalahkan sepenuhnya terhadap masalah sosial remaja.


"Anak-anak perlu bijak menilai baik atau buruk perbuatan itu dan dengan siapa mereka berkawan," katanya.

Beliau berkata, sebelum remaja, anak perlu diberikan penekanan aspek sahsiah dan akhlak.

"Didikan dan komitmen ibu bapa terhadap pembangunan ilmu dan sosial perlu berlaku secara berterusan walaupun membabitkan pelaburan besar," katanya.

Rasulullah s.a.w menggariskan landasan utama bagi menyempurnakan akhlak terbaik untuk dijadikan ikutan. Usamah, anak angkat Nabi adalah contoh yang unggul.


Usamah hidup dalam keluarga Rasulullah yang penuh dengan kasih sayang. Walaupun sibuk dengan tugas harian, Rasulullah sentiasa meluangkan masanya bermain dengan cucunya, Hassan dan Hussien.

Kasih sayang Rasulullah kepada cucunya itu menyamai kasih dan sayang diberikan kepada Usamah. Perwatakan Usamah sangat terserlah apabila meningkat dewasa.


Inilah kesan didikan Rasulullah kepada Usamah walaupun bukan daripada keturunan baginda.

Jelas, keperibadian seseorang itu akan terbentuk melalui didikan ibu bapa. Jika baik perangai ibu dan bapanya di rumah, maka baiklah perwatakan anak mereka.

Anak diibaratkan seperti sehelai kain putih. Maka ibu bapa mereka yang bertanggungjawab mencorak anak mereka itu menjadi seorang Islam, Majusi atau Nasrani.


Tidak hairanlah, Rasulullah memerintahkan ibu bapa menitikberatkan soal akhlak dan solat terhadap anak seperti maksud hadis yang bermaksud: "Suruhlah anakmu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur" (Hadis Abu Daud).

Perintah menunaikan solat juga termaktub dalam al-Quran yang bermaksud, "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa" (Surah Toha ayat 132).


Ibadah itu akan memberi kesan yang baik bukan saja terhadap diri, bahkan juga kehidupan masyarakat seluruhnya. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai Tuhanku. Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" (Surah Ibrahim ayat 40).


Jadi, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hala tuju kehidupan anak mereka selain mengurus masa dengan bijaksana.

0 comments: