Surah al-Naziat termasuk dalam surah makkiah yang diturunkan selepas surah al-Naba'. Seperti yang diketahui dalam surah al-Naba' banyak dibincangkan berkenaan dengan beriman dengan hari akhirat begitu juga perihal yang berlaku dan gambaran balasan golongan yang baik dan jahat.
Surah ini meneruskan lagi kesinambungan berkenaan hari pembalasan seperti kata al-Maraghi: Allah SWT memulakan firman-Nya dengan bersumpah yang menegaskan berkenaan kebangkitan dari kubur. Hal ini tidaklah menjadi keraguan lagi dengan hujah dan bukti yang jelas.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya. Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya. Dan Demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya. Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya. Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya, (Sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)! Pada masa berlakunya "tiupan sangkakala yang pertama" yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan), Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing). Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut Pemandangannya tunduk gerun. Mereka (yang ingkar) berkata: "Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu? Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?" Mereka berkata lagi (secara mengejek: "Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan!" (menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua), Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata. (al-Nazi'at: 1-14)
Firman Allah SWT: Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya. Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya.
Mengikut Ibn Mas'ud, Ibn Abbas, Masruq, Said bin Jubair, Abu Salih, Abu al-Dhuha dan al-Suddi iaitu para malaikat yang mencabut nyawa manusia dengan keras dan lembut mengikut amalan dan keimanan mereka.
Firman Allah SWT: Dan Demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya.
Ibn Mas'ud menyatakan maksudnya ialah para malaikat sedangkan Qatadah pula berpendapat iaitu bintang-bintang.
Firman Allah SWT: Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya.
Ledakan gempa
Yang masyhur di kalangan salaf al-salih seperti al-Hasan al-Basri iaitu para malaikat sedangkan al-Hasan berpendapat dia lebih cepat kepada keimanan dan membenarkannya.
Firman Allah SWT: Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya, (Sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)!
Al-Hasan al-Basri berkata: Mereka mengatur urusan langit hingga ke bumi mengikut perintah Tuhan.
Firman Allah SWT: Pada masa berlakunya "tiupan sangkakala yang pertama" yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekelian makhluk selain dari yang dikecualikan). Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing).
Inilah gambaran hari kiamat dengan membuat hati manusia merasakan ledakan gempa malapetaka dan huru-hara adanya perasaan menggigil, takut dan gementar. Akhirnya membawa kepada penghayatan kepada firman Allah SWT dan mengiktiraf kebenaran-Nya seperti ayat berikutnya.
Firman Allah SWT: Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut. Pemandangannya tunduk gerun.
Syed Qutub berkata: Mereka dalam keadaan takut dan cemas. Mereka kelihatan jelas hina-dina. Perasaan mereka bercampur aduk di antara takut, kecewa, gentar dan lumpuh. Inilah yang berlaku pada hari yang dahsyat, di mana bumi bergegaran dan diiringi gegaran di langit. Inilah suasana yang terangkum dalam sumpah Allah SWT.
Firman Allah SWT: Mereka (yang ingkar) berkata: "Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu? Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?" Mereka berkata lagi (secara mengejek: "Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan!"
Muhammad bin Ka'ab berkata: Kaum Quraisy berkata: Seandainya Allah SWT menghidupkan kita kembali setelah kematian kita, maka kita benar-benar menjadi orang-orang yang rugi.
Firman Allah SWT: (menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua). Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata.
Ibn Kathir berkata: Yang demikian merupakan hanya satu perintah dari Allah SWT, tiada dua dan juga pengulangan. Tiba-tiba seluruh manusia bangkit dengan melihat di mana Allah perintahkan malaikat Israfil meniupkan sangkakala sebagai tanda kebangkitan seluruh manusia dari generasi amalan hingga yang akhir berada di hadapan Allah SWT.
Syed Qutb berkata: "Kita tidak mengetahui di mana bumi Mahsyar? Kita menerima keterangan yang benar ini dari Allah. Oleh itu, tidak seharusnya membuat tokok tambah dengan keterangan-keterangan yang tidak muktamad".
Berdasarkan kepada nas-nas yang lain, pekikan yang dimaksudkan di sini ialah tiupan sangkakala kedua iaitu tiupan bangkit dari kubur dan berhimpun di padang Mahsyar.
Ungkapan ini membayangkan kecepatan dan kecemasan hati yang takut dan berdebar-debar. Penyelarasan ayat ini jelas dan dapat dilihat pada setiap gerak dan pandangan.
Penutup
Al-Maraghi membuat kesimpulan berkenaan dengan ayat-ayat yang dibincangkan di atas katanya: "Janganlah kamu menyangka bahawa menghidupkan kamu kembali itu adalah perkara yang sukar bagi Kami. "Mengembalikan kamu hidup yang kamu dakwa sukar itu cukup dengan memerintahkan kepada malaikat Kami, untuk menyeru dengan satu seruan sahaja. Maka dengan serta merta kamu semua berada di hadapan Kami."
Tidak ada seorangpun yang tertinggal dan jika ada yang ingin melambatkan diri, maka tidak ada yang dapat berbuat begitu.
Semoga Allah menjadikan kita dari golongan yang beriman dan beramal soleh sehingga melayakkan kita semua menghuni syurganya. Amin.
Thursday, April 1, 2010
Hari Kiamat manusia dibangkitkan
Posted by Allahyarham achit at 9:28 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment