? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, April 27, 2010

Jangan sempitkan pendidikan seks

Mega: Apa maksud pendidikan seks hinggakan ramai ibu bapa yang skeptikal dengan topik ini?

DR. MASTURA: Timbul skeptikal dan stigma apabila bercakap tentang pendidikan seks adalah akibat penafsiran yang sempit di kalangan kita. Majoriti kita berpendapat, pendidikan seks itu mestilah melibatkan hubungan seks.

Sedangkan tafsirannya adalah lebih luas. Ia meliputi pengajaran tentang kesihatan, kebersihan, hubungan sosial dan gaya hidup sihat.

Gaya hidup sihat ini merangkumi konsep perkahwinan, mengekang perlakuan seks rambang dan juga mencegah penyakit berbahaya.

Sebenarnya, pendidikan ini telah pun berlaku secara tidak langsung di peringkat pra sekolah. Misalnya, apabila kita memperkenalkan anggota badan kepada anak-anak, mengajar mereka bahawa yang boleh membersihkan anggota sulit mereka apabila ke tandas ialah ibu bapa atau guru. Demikian juga sewaktu kita memperkenalkan perbezaan antara lelaki dan perempuan.

Malah, di taska pun sudah diasingkan lelaki dan perempuan. Kalau mandi pun, mereka cepat-cepat pakai tuala kerana rasa malu jika dilihat oleh kawan berlainan jantina.

Inilah sepatutnya maksud pendidikan seks atau pun kesihatan reproduktif yang dicadangkan oleh kerajaan yang perlu difahami oleh kita.

Saidina Umar r.a ada berkata, bermainlah dengan anak kamu selama 7 tahun, umur 7 ke 14 tahun masa untuk mendisiplinkan anak dan apabila berusia 14 ke 21 tahun, berkawanlah dengan mereka. Signifikan kata-kata ini dalam pendidikan seks kepada anak-anak?

DR. MASTURA: Ini menunjukkan bahawa adalah penting bagi ibu bapa memahami psikologi anak-anak. Ibu bapa juga perlu mempelajari kemahiran keibubapaan.

Ilmu ini perlu dipelajari dan kita tidak boleh buat trial and error kerana kesannya akan dilihat untuk jangka panjang. Dengan kata lain, anak-anak perlu diajar dan dididik mengikut tahap kemampuan mereka.

Pada masa yang sama, ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina berpendapat, umur tiga tahun adalah masa paling baik untuk mendisiplinkan anak.

Imam al-Ghazali pula berkata, masa terbaik adalah umur antara mumaiyiz (tujuh tahun) dan baligh. Mumaiyiz bermakna anak-anak sudah boleh membezakan yang bersih dan kotor, yang baik dan buruk. Pada usia ini, ibu bapa wajib mengajar mereka tentang istinjak atau bersuci.

Dari sudut perkembangan kognitif pula, teori Jean Piaget menjelaskan, pada umur tujuh tahun kanak-kanak sudah boleh membezakan yang abstrak dan konkrit.

Ia menunjukkan ada titik pertemuan antara pandangan Islam dan juga teori Barat dalam perkara ini.

Berbalik kepada kata-kata Saidina Umar tadi, pada usia 14 tahun iaitu semasa anak-anak kita remaja, ibu bapa perlu menjadikan mereka kawan. Ini supaya anak-anak boleh meluahkan perasaan dan berkongsi cerita suka dan duka mereka.

Dengan demikian, insya-Allah, mereka tidak mudah terjebak dengan gejala sosial. Sebabnya, mereka sentiasa mempunyai 'kawan' di rumah untuk berkongsi segala masalah iaitu ibu bapa.

Apabila kita tidak mempraktikkan konsep ini, sebaliknya mengambil pendekatan menghukum semata-mata, anak-anak remaja tadi akan memberontak. Seterusnya mencari 'kawan-kawan' yang sealiran dan mula terlibat dalam perbuatan seperti melepak, merempit dan sebagainya.

Masyarakat Melayu umumnya belum terbuka untuk berbincang tajuk seks dengan anak-anak. Adakah elok dikekalkan begitu ada sudah sampai masa kita mengubah persepsi ini?

DR. MASTURA: Saya melihat kita perlu mengubah persepsi ini. Soalnya, jika pendidikan seks tidak diajar di sekolah, apakah jaminan anak-anak kita tidak mempelajarinya melalui Internet.

Ini jauh lebih bahaya daripada yang diajar oleh guru. Di Internet, apakah bentuk tapisan dan panduan yang ada?

Remaja apabila melayari pornografi di Internet akan terdorong untuk mencubanya dalam keadaan mereka sendiri tidak tahu dan tidak memahami konsep hidup sihat.

Sebenarnya, pendidikan seks sudah pun diajar melalui subjek biologi atau sains. Murid-murid telah didedahkan dengan hal seperti pembentukan manusia dan organ-organ dalam badan.

Cuma, ia lebih kepada berorientasikan peperiksaan. Jadi, murid-murid mungkin lebih menumpu kepada menghafal berbanding untuk memahami subjek tersebut dalam kehidupan sebenar.

Dalam pendidikan Islam pun, hal berkaitan seks iaitu jantina turut diajar. Contohnya dalam bab munakahat, pergaulan lelaki dan perempuan, tanda-tanda baligh sehinggalah kepada syarat sah solat iaitu mesti suci daripada hadas kecil dan besar.

Bab aurat adalah salah satu contoh Islam menekankan. Aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain.

Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut. Aurat wanita pula seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan.

Dalam hal ini, tiada kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang mendedahkan aurat kepada orang lain kecuali untuk tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak.

Malah, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti dinyatakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. (al-Nur: 30)

Masalah buang bayi berpunca daripada seks bebas. Apa peranan pendidikan seks dalam menangani hal ini?

DR. MASTURA: Saya melihat kita perlu merangka silibus pendidikan seks mengikut acuan kita. Sebabnya, saya melihat pengajaran sedia ada gagal memahamkan murid-murid tentang seks.

Mereka hanya menghafal, sedangkan fahamnya tidak. Sebab itu, apabila remaja terjebak dalam seks luar nikah, kita selalu kata mereka kurang didikan agama. Betul, ada sebahagian mereka begitu.

Namun, saya nampak mereka ini bukan kurang didikan agama tetapi sistem ilmu kita ada kelemahan. Yang selalu kita tekankan adalah ingat, faham tetapi tidak sampai ke tahap mempraktikkan. Murid-murid tidak boleh menghayati apa yang dipelajari untuk diamal dalam kehidupan.

Silibus itu nanti perlu memberi penekanan yang seimbang antara teori dan praktikal. Contohnya, murid-murid boleh dibawa melawat rumah orang tua-tua dalam kita mengajar tentang 16 nilai murni dalam pendidikan moral.

Nilai-nilai itu antaranya adalah taat pada ibu bapa, berbakti kepada orang tua dan baik hati. Sayangnya, semua itu tidak boleh dibincangkan daripada sudut teori semata-mata.

Dengan membawa pelajar ke rumah orang tua-tua, mereka dapat melihat sendiri bagaimana boleh menghormati dan berbakti kepada golongan itu.

Demikian juga untuk memberi pendidikan tentang gejala buang bayi. Adalah lebih berkesan jika murid-murid dibawa melawat Rumah Perlindungan supaya mereka dapat melihat dan merasai kesan negatif perbuatan tersebut.

Lebih penting lagi dalam hal ini, untuk kita kembali kepada pokok permasalahan iaitu pergaulan bebas yang membawa kepada perlakuan zina.

Pada masa yang sama, faktor-faktor pendorong berlakunya gejala sosial dan maksiat perlu kita sekat.

Hati Kita Keras

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.



Abu Hurairah r.a. berkata, “Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya..Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya”.


Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan


Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.” (Surah At-Taubah, ayat 54)


2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran


Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, “Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku.” (Surah Al-Qaf, ayat 45)


3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat


Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.


4. Kurang mengagungkan Allah


Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Allah rahsiakan bila kiamat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRIMukadimah

Al-Maraghi berkata: Selepas Allah SWT menjelaskan kekuasaan-Nya dengan kebangkitan semula orang yang telah mati sebagaimana Dia berkuasa mencipta alam semesta. Kemudian Dia menerangkan berkenaan kebenaran yang diwahyukan kepada nabi-Nya bahawa hari kebangkitan manusia adalah milik Allah Tuhan Alam Semesta.

Ketika malapetakanya yang hebat melebihi segala bencana itu datang, ketika segala perbuatan diperlihatkan kepada para pengamalnya ketika itulah manusia mengingati apa yang telah dilakukannya.

Allah SWT memperlihatkan neraka di hadapan manusia sehingga semua mata dapat melihatnya. Pada hari itulah ditimpakan pembalasan kepada manusia yang melampaui batasan syariat Allah.

Ini kerana mereka mengutamakan kelazatan dunia dari akhirat untuk mereka itulah neraka sebagai tempat azab. Sementara manusia yang takut kepada kebesaran dan keagungan Tuhan-Nya serta mengawal hawa nafsunya, maka sudah pasti syurga tempatnya sebagai pembalasan apa yang telah mereka kerjakan dahulu.

Firman Allah SWT: Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar. Ibn Abbas berkata: Iaitu hari kiamat. Ibn Kathir berkata: Disebut dengan perkataan Tammah kerana ia meliputi segala yang menakutkan lagi menyeramkan.

Firman Allah SWT: Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya. Al-Maraghi berkata: Pada hari itu manusia melihat perbuatannya termaktub dalam buku catatan amalannya yang hampir dilupakan tetapi dia segera mengingati kembali apa yang dilakukan dahulu.

Firman Allah SWT: Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya. Syed Qutb berkata: Neraka kelihatan jelas kepada setiap mata yang membawa makna dan bunyi yang kasar dan keras dan menonjol pemandangan neraka di hadapan setiap mata.

Ketika itu manusia akan menerima balasan dan akibat yang berbeza-beza. Dan ketika itu lahirlah tujuan dan matlamat pentadbiran dan perencanaan Allah yang mewujudkan kehidupan dunia.

Firman Allah SWT: Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya), adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata. Maka sesungguhnya neraka jahanamlah tempat kediamannya.

Al-Maraghi berkata: Orang yang sombong, melampaui batas dan mengutamakan kelazatan dunia serta nafsu syahwatnya daripada akhirat, maka nerakalah tempat tinggalnya.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.

Syed Qutb berkata: Pencegahan diri dari keinginan hawa nafsu merupakan tiang seri ketaatan. Keinginan hawa nafsu merupakan pendorong yang kuat kepada tindak-tanduk yang melampau dan kepada perbuatan maksiat.

Ia menjadi punca segala bala bencana dan kejahatan. Jarang manusia binasa kecuali dengan sebab mengikut hawa nafsu.

Kejahilan mudah diubati tetapi penyakit mengikut hawa nafsu selepas berilmu merupakan penyakit jiwa yang memerlukan mujahadah yang bersungguh-sungguh dan memerlukan masa yang lama untuk mengubatinya.

Perasaan takut kepada Allah SWT merupakan dinding yang teguh untuk mencegah segala keinginan nafsu yang kuat tetapi semua dinding yang lain jarang dapat mencegah gelojak hawa nafsu kerana itulah kedua-duanya dikumpulkan dalam satu ayat.

Yang bercakap di sini ialah Allah pencipta manusia. Kerana itu Dialah yang mengetahui tentang penyakit jiwa dan ubatnya. Begitu juga Maha Mengetahui dengan segala lorong dan likunya.

Dialah Maha Mengetahui di mana tersembunyinya keinginan nafsu dan apakah pula ubatnya dan bagaimana mengusir dan memburu hawa nafsu itu dari tempat-tempat persembunyiannya.

Firman Allah SWT: Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Begitu juga persoalan berlegar kepada orang yang telah mati, bila akan dibangkitkan? Ibn Kathir berkata: Pengetahuan tentangnya tidak diberikan kepadamu.

Firman Allah SWT: Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?

Diriwayatkan oleh Aishah r.anha bahawa Rasulullah SAW sering menyebut hari kiamat dan hal itu selalu ditanya sehinggalah ayat ini diturunkan.

Al-Maraghi berkata: Kamu jangan bersedih hati dalam menangani masalah ini serta jangan memaksa diri kamu untuk mengetahui rahsia-rahsianya dan ingin mengetahui sesuatu yang disembunyikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya. Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.

Ibn Kathir berkata: Barang siapa yang takut kepada Allah SWT dan takut kepada ancaman-Nya, maka dia akan mengikutimu. Oleh yang demikian, dia sangat beruntung dan memperoleh kegembiraan. Kegagalan dan kerugian hanya untuk orang yang mendustakan dan melakukan penentangan.

Firman Allah SWT: (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.

Al-Maraghi berkata: Dalam bahasa Arab terdapat ungkapan yang sama seperti kenyataan di atas: Aku akan mengunjungi kamu pada waktu petang atau pagi. Atau sebaliknya, ungkapan ini bermaksud mereka akan memendekkan masa kunjungannya dan sangkaan mereka hanya akan tinggal sepanjang waktu petang atau pagi.

Penutup

Syed Qutb berkata: Selesailah sudah kehidupan dunia yang selalu membuat penghuni-penghuninya berperang dan bertarung satu sama lain kerana merebut kenikmatannya. Dunia yang selalu membuat mereka mengutamakan kenikmatannya dan mengabaikan usaha mereka mendapat habuan di akhirat.

Dunia yang selalu membuat mereka sanggup melakukan untuknya segala jenayah, maksiat dan kezaliman, dan dunia yang selalu membuat mereka dihanyut nafsu dan hidup kerana nafsu.

Terlipatlah sudah kehidupan dunia ini dalam hati pencintanya hingga dirasakan mereka seolah-olah kehidupan itu hanya berlangsung selama satu petang atau satu pagi sahaja. Inilah kehidupan dunia yang singkat.

Adakah kerana kehidupan pagi dan petang, mereka sanggup mengorbankan kehidupan akhirat yang kekal?

Adakah kerana kepuasan hawa nafsu yang fana, mereka sanggup meninggalkan kediaman syurga yang kekal di akhirat? Tidakkah ini suatu kebodohan yang paling besar?

Mengutamakan Perkara Lebih Utama

www.iLuvislam.com
Oleh: Y.Bhg S.S. Tan Sri Dato' Seri (Dr) Haji Harussani bin Haji Zakaria*
Editor: buluh



Pada minggu lepas, saya berkesempatan menyampaikan ucaptama sempena Seminar Fiqh Awlawiyyat anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak dan Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Perak. Seminar tersebut memberi ruang kepada saya untuk menampilkan beberapa idea dan pendekatan yang telah lama saya uar-uarkan kepada masyarakat sebagai rujukan umat Islam seluruhnya.

Dalam hal ini, ulama tersohor Dr. Yusuf al-Qaradawi memberikan takrif Fiqh Awlawiyat sebagai "menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil."

Firman Allah S.WT. di dalam surah Al-Taubah ayat 19 mafhumnya: Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Ketika ini umat Islam telah hilang punca asas pertimbangan dalam menilai keutamaan daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya. Kehilangan punca bukan sahaja meliputi masyarakat umum, bahkan para cendiakawan dan cerdik pandai serta para pemimpin sendiri pun adakalanya menghadapi permasalahan dalam menentukan keutamaan sesuatu perkara.

Bagi para remaja contohnya lebih menekankan hal-hal berkaitan dengan sukan dan hiburan sebagai matlamat hidup mereka daripada mendahulukan diri dengan mengejar ilmu pengetahuan. Yang sepatutnya disanjung bukan lagi golongan ilmuwan atau intelek. Tetapi ahli sukan dan artis-artis diangkat dan dicontohi sebagai idola. Hari ini hiburan diutamakan daripada pendidikan. Lebih banyak majalah hiburan berbanding majalah yang mendidik masyarakat di pasaran. Begitu dengan program televisyen didominasi oleh rancangan hiburan yang menjadi sajian dan "makanan harian" yang dipertonton dan diprogramkan kepada masyarakat. Jika ada rancangan yang mendidik masyarakat ia tidak disiarkan pada waktu perdana, tetapi larut malam mahupun awal pagi. Islam tidak melarang hiburan, namun keutamaan hiburan tidak boleh dilebihkan daripada pendidikan sehingga masyarakat lalai dengan hiburan. Fenomena tersebut jelas membuktikan kejahilan masyarakat terhadap dimensi prioriti yang sedia ada dalam Islam.

Dalam amalan ibadat pula masyarakat kita masih sibuk membahaskan aspek khilafiah yang tidak akan berkesudahan. Dalam rancangan soal-jawab di radio yang dihadiri oleh saya, soalan-soalannya masih berkisar tentang masalah meninggalkan qunut, bidaah mengadakan tahlil, talqin yang merupakan masalah furu' dan khilafiah. Sedangkan kita berdepan dengan masalah riba yang terang-terang haram dalam kewangan dan insurans kita. Termasuk juga masalah perpecahan umat yang pada pengamatan saya perlu kepada usaha yang gigih terutamanya para umara dan ulama bagi menyatupadukan masyarakat Islam terutamanya umat Melayu.







Bijak pandai

Di kalangan bijak pandai tidak kurang juga berhadapan dengan kecelaruan pemikiran dalam memahami keutamaan sesuatu perkara. Bila saya menekuni isu-isu mutakhir ini termasuk kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa antara agama, saya mengharapkan agar para ulama bersama-sama menyumbang idea dan pemikiran membantah penubuhan jawatankuasa tersebut. Akan tetapi pada masa yang sama kita disibukkan dengan boleh atau tidak meminum atau menyapu air ludah ustaz yang tidak pasti sama ada ia berlaku atau tidak. Secara prinsipnya, saya tidak menghalang aduan tersebut, namun ketika masyarakat Islam menghadapi tuntutan yang pelbagai yang dikhuatiri merendahkan martabat Islam, kita disibukkan dengan isu-isu yang bukannya tidak penting, akan tetapi ada lagi perkara yang lebih penting dari itu.

Begitu juga kita masih tertinggal di belakang terutama dalam menguasai segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Akhirnya disebabkan kejahilan kita dan kelemahan para ulama dan umara, maka Islam terus menerus lemah dan ketinggalan sehinggakan ruang yang diberikan Allah Taala dalam bidang fiqh seperti ijtihad dan hukum, terus beku serta hilangnya kedinamikan syariat Islam yang sebenarnya boleh melumpuhkan penyebaran Islam itu sendiri, seperti yang berlaku pada dunia Islam hari ini.

Dilihat dalam soal beribadah, masyarakat lebih menumpukan kepada ibadat sunat dari ibadat fardu. Manakala jka dilihat dari sudut berhubung dengan nilai-nilai kemasyarakatan pula, aspek fiqh keutamaan ini tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Masyarakat kita lebih mementingkan ibadat fardu yang bersifat nafsi-nafsi semata-mata lantas meminggirkan konsep ibadat yang lebih global di luar ruang lingkup diri. Ibadat fardu yang berasaskan prinsip jemaah seperti hak-hak jiran, kemanusiaan dan kenegaraan yang masih terabai. Kumpulan diutamakan dari ummah, furu' diutamakan dari usul.

Melakukan perbandingan kepelbagaian konsep Masalih atau Manafi' di mana hakikat Masalih itu ada tingkatannya tersendiri yang meliputi konsep daruriyyat, hajiat dan tahsiniyyat. Melakukan perbandingan kepelbagaian konsep Mafasid atau Darar di mana hakikat Mafasid itu juga menyentuh tingkatannya yang meliputi konsep daruriyyat, hajiat dan tahsiniyyat. Melakukan perbandingan antara kepelbagaian Masalih dan Mafasid di mana keputusan yang diambil mengikut kadar yang lebih banyak dan majoriti kerana kadar majoriti boleh menentukan hukum bagi keseluruhan bahagian.

Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan, suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak patut dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan lain perkataan tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan. Allah SWT. berfirman yang bermaksud: Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu. (Surah al-Rahman: 7-9)


* Penulis adalah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan. Artikel ini dipetik dari akhbar Utusan Malaysia pada ruangan Rencana bertarikh 25 April 2010. Sumber: DI SINI

Tajdid: Antara hakikat dan dakwaan

DI dalam dua tulisan yang lepas, kita telah cuba menjelaskan tentang falsafah dan kerangka sebenar tajdid atau pembaharuan. Tajdid dan para mujaddid, iaitu mereka yang memikul amanah tugas ini, adalah sangat mulia dan terpuji kedudukannya dalam Islam jika betul fahamnya dan kena tempatnya.

Dengan penjelasan itu diharap kita akan lebih mudah membezakan antara yang tajdid hakiki dan yang sekadar dakwaan. Memang ada mereka yang mengaku dan mendakwa sebagai penggerak tajdid sedangkan tajdid yang hakiki tiada kena mengena dengan apa yang mereka gerakkan.

Bak kata pepatah Arab, "Mereka semua mendakwa sebagai kekasih Laila sedangkan Laila jauh daripada semua dakwaan itu!".

Tanpa kerangka faham yang betul, orang awam sukar hendak membezakan antara yang hakiki dan yang dakwaan kerana kedua-duanya menggunakan ayat al-Quran dan hadis dalam hujah mereka.

Kadang-kadang ayat dan hadis yang sama yang dipetik walaupun berlainan syarahnya. Pepatah mengenai Laila di atas pun biasa dipetik oleh mujaddid dakwaan untuk menyerang mereka yang tidak sefahaman!

Oleh itu untuk keselamatan agama mereka, sangat penting bagi masyarakat awam berpegang dengan petua bagi membezakan tajdid hakiki dan dakwaan.

Antara petuanya yang utama adalah, memeriksa apa yang jadi sasaran tajdid seseorang atau sesuatu aliran. Adakah yang mahu ditajdidkan itu ajaran dan prinsip Islam itu sendiri atau fikrah dan sikap orang, masyarakat, negara dan umat Islam.

Kita tegaskan bahawa prinsip dan ajaran Islam itu tidak perlu lagi ditajdid terutamanya oleh kita yang bukannya berada di kurun-kurun awal Islam. Para mujaddid hakiki daripada generasi terawal pun bukannya mengubah isi dan hakikat Islam itu tetapi sebaliknya sekadar menyusun, memperkemaskan istilah, menghuraikan ajaran Islam.

Segalanya tidak lari daripada kerangka dan isi asal Islam. Selebihnya mereka berperanan memurnikan kefahaman dan penghayatan umat di zaman mereka terhadap ajaran dan prinsip Islam.

Hari ini, tajdid yang boleh dibenarkan terhadap ajaran Islam sepatutnya terbatas terhadap usaha memperelokkan penjelasan dan persembahannya, agar jelas kaitannya dan kesesuaiannya dengan realiti semasa.

Orang, masyarakat dan umat Islam itu sendiri sering lalai dan lupa. Ramai yang tidak menghayati, memahami dan mengamalkan Islam sama ada kerana kejahilan, kedegilan atau kelalaian.

Maka tugas utama para mujaddid zaman ini adalah mendidik yang jahil, mengingatkan yang lalai manakala yang degil perlu dicegah dan diajar. Mujaddid hakiki tidak sepatutnya lebih mengelirukan mereka yang jahil dan lalai dengan fahaman dan persoalan ranting yang hakikatnya tidak menambah atau mengurangkan keimanan dan ketakwaan mereka.

Tidak sepatutnya menyibukkan diri dan orang lain untuk mengulangkaji, mempertikai dan merombak apa yang sudah baku dan muktabar dalam ajaran Islam. Mereka yang lalai dan degil perlu didakwah dengan akhlak Nabawi.

Amal bakti mujaddid silam

Sebagai tolok perbandingan dan piawai tajdid hakiki, mari kita sorot amal bakti tokoh-tokoh mujaddid silam yang disepakati oleh majoriti umat.

Di kurun pertama, Khalifah Umar bin Abdul Aziz (61-101H) telah muncul sebagai model yang hidup ketakwaan, keikhlasan, amanah dan zuhud, setelah nilai-nilai ini dikelabui pemerintahan sebelum beliau.

Beliau turut memurnikan kembali fahaman dan akidah umat antaranya dengan menghentikan amalan menghina dan merendahkan Saidina Ali dan Ahlul Bayt termasuk dalam khutbah-khutbah.

Beliau juga mengasaskan dan menggalakkan usaha menghimpunkan hadis-hadis Nabi SAW. Zaman beliau turut dicorakkan kehadiran tokoh-tokoh ulama Tabiin seperti Imam Hassan al-Basri (21-101H) yang muncul sebagai antara penjaga akidah dan akhlak umat serta merupakan antara Imam pengasas cabang ilmu akhlak dan kerohanian tasauf dalam Islam.

Zaman berikutnya, menyaksikan kemunculan Imam-imam Mazhab fiqh, Imam Abu Hanifah (80-150H), Imam Malik (94-179H), Imam al-Shafie (150-204H), Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H), yang akhirnya mengasaskan sistem syariah dan hukum-hakam yang tersusun dan kemas. Suatu struktur fiqh yang bersifat kepelbagaian dalam kesatuan yang harmoni.

Apabila umat Islam diuji dengan pelbagai fahaman dan akidah yang menyesatkan, muncullah Imam Abu al-Hassan al-Ash'ari (260-324H) memurnikan fahaman dan menyusun kaedah-kaedah akidah Islam.

Tugas yang hampir sama ditunaikan kemudiannya dengan penuh amanah oleh al-Imam al-Ghazali (450-505H) yang turut meninggalkan sumbangan penting dalam perkembangan cabang-cabang ilmu tasauf, usul al-fiqh dan fiqh. Di era yang sama muncul tokoh kerohanian tasauf-tarekat, Sheikh Abd. Qadir al-Jilani (470-561H) yang menyambung usaha Imam al-Ghazali di bidang ini dan menyusun pendekatan keruhanian yang lebih khusus.

Kesan dan keberkatan usaha pemurnian akidah-syariah-akhlak generasi al-Ghazali dan al-Jilani ini akhirnya memungkinkan kemunculan mujaddid Mujahid, Sultan Salahuddin al-Ayyubi (w.589H) dan generasinya yang telah berjaya mengembalikan al-Aqsa ke tangan umat Islam.

Bersumberkan acuan Islam

Jika diteliti dengan insaf, amal-bakti para tokoh mujaddid silam ini adalah semuanya bersumberkan acuan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW. Mereka kemudiannya menghurai, menyusun dan memperkembangkannya lagi agar lebih mudah dihayati dan diamalkan oleh umat.

Usaha mereka jelas bersifat suatu kesinambungan atas warisan generasi sebelumnya dan bukannya membina sesudah meruntuhkan warisan yang ada.

Dapat diperhatikan juga para mujaddid ini berjalan atas jalan rahmat dan kasih sayang sesama Islam tetapi tegas terhadap para kuffar dan kekufuran serta ajaran yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.

Berbanding dengan warisan para mujaddid silam, kita lihat ada tokoh dan gerakan yang mendakwa tajdid hakikatnya membawa fahaman yang ganjil dan bertentangan dengan asas al-Quran dan sunnah yang diperjuangkan oleh warisan para mujaddid silam.

Oleh itu, mereka terpaksa berusaha terlebih dahulu meruntuhkan warisan para mujaddid silam agar fahaman mereka dapat dibina di atas runtuhan itu. Maka kita perhatikan gerakan 'tajdid' mereka penuh dengan mesej yang mempertikaikan dan menimbulkan keraguan terhadap warisan para mujaddid silam.

Jika para mujaddid silam menumpukan persoalan yang lebih mustahak dan membina, para pendakwa tajdid masih berkeras mahu mentajdidkan fahaman terhadap persoalan bidaah dan khilafiah dalam Islam. Berkeras mempertikaikan kemurnian akidah dan kesahihan amalan majoriti umat Islam.

Kita bukannya mahu mempertikaikan niat dan semangat mereka, tetapi niat dan semangat tinggi tanpa panduan ilmu yang benarlah yang telah mendorong puak Khawarij berkeras menentang Saidina Ali dan majoriti umat di zamannya.

Dalam kita memperjuangkan agama, kita semua juga harus sentiasa mewaspadai datangnya penyakit hati seperti ujub, takbur, hubbul jah dan hubbul riyasah (sukakan kedudukan dan pangkat).

Penyakit-penyakit hati ini menjadi fokus ilmu tasauf tetapi masalahnya, para pendakwa tajdid ini rata-rata cenderung anti atau meminggirkan tasauf!

Kita menasihatkan masyarakat awam agar amat berhati-hati dengan mereka yang mendakwa tajdid di kalangan kita. Perhatikanlah betul-betul apa isu-isu yang diperjuangkan.

Analisalah sikap mereka terhadap warisan ilmu para mujaddid silam. Istikharahkanlah dan syurakanlah dengan orang-orang yang lebih mengkhusus dan lebih berpengalaman.

Janganlah mudah menerima momokan dan ditakutkan 'hantu' tarekat, tasauf, taklid buta, taksub mazhab, bidaah, khurafat dan sebagainya.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Penjelasan tentang zihar

ADAKAH jatuh zihar sekiranya secara bergurau saya berkata pada isteri saya (ketika membeli kasut) "tahulah kaki awak sama dengan kaki mak saya" (merujuk pada bentuk). Bagaimana untuk menebus zihar tersebut sekiranya ia terjadi.

JAWAPAN:

Tidak disabitkan jatuh hukum zihar ke atas pasangan suami isteri dalam senario ini kerana kekurangan syarat zihar yang ketiga dan keenam daripada syarat-syarat zihar di bawah:

1. Suami mestilah seorang yang Muslim dan sudah baligh (mukalaf).

2. Hubungan suami-isteri di antara mereka hendaklah masih sah.

3. Gaya bahasa (sighah) lafaz yang digunakan oleh suami memang bermaksud untuk menziharkan isteri.

4. Perumpamaan yang dikenakan oleh suami kepada isteri secara keseluruhan dirinya atau sebahagian sahaja.

5. Persamaan yang disebut di antara isterinya dengan mana-mana perempuan lain yang haram baginya nikah sama ada sementara atau selama-lamanya.

6. Persamaan yang disebut membawa makna haramnya hubungan suami-isteri di antara mereka.

Menurut buku al-Mughni dalam Kitab Zihar kebanyakan ulama termasuk Imam al-Syafie yang menjadi pegangan utama di Malaysia, jika seseorang suami berkata sesuatu yang mirip zihar akan tetapi niatnya mulia atau menyifatkan isterinya seperti ibunya pada saiz, bentuk atau sifat-sifat lain seperti kecantikan maka tidak dikira zihar.

Ia bergantung kepada niat dan cara perkara yang disebutkan oleh suami itu dimaksudkan bagi Imam al-Syafie. Ini kerana pada kebiasaannya, suami menyebut begitu pada perkara-perkara yang mulia berbanding yang haram di mana-mana ia jarang-jarang berlaku.

Apalagi isu zihar ini berakar-umbi dalam masyarakat Arab sebenarnya dengan niat yang jelas untuk memudaratkan isteri dari sudut hubungan perkahwinan terutamanya ketika berlaku perselisihan atau dalam keadaan marah yang biasanya bernada sumpah (halaf).

Inilah faktor (qarinah) yang membawa kepada jatuhnya pensabitan hukum zihar kerana Islam membatalkan persamaan zihar dengan implikasi talak dalam masyarakat Arab jahiliah lampau.

Hal ini agak canggung dalam budaya Melayu atau Malaysia amnya. Apabila kita di Malaysia mengumpamakan sesuatu yang sepunya di antara si isteri dan sang ibu biasanya tidak bermaksud untuk menggugat hubungan perkahwinan di antara suami dan isteri secara langsung.

Ini adalah satu perbezaan budaya yang sangat ketara dan Islam terutama dalam bab fekah mengiktiraf perbezaan budaya seperti prinsip usul fikah: Al-'adah muhakkamah- budaya menentukan.

Namun untuk pengetahuan umum buat kesekian kalinya, kisah turunnya hukum zihar dan cara menebus kesalahan zihar adalah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Mujadalah, ayat 1-5: Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. [1] Orang-orang yang menziharkan isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. [2] Dan orang-orang yang menziharkan isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur kembali. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. [3] Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [4] Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan rasul-Nya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang menghinakan mereka.

Tuesday, April 20, 2010

Kenapa Aku Masih Solo

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat.

Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.

Demikian juga perkahwinan.



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki kea lam berumahtangga.

Bukankah dangan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu.

Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya.

Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.

Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.

Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada.

Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat. Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai.

Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.

Komunikasi keluarga tangani masalah remaja

Sokongan emosi ibu bapa bentuk nilai murni generasi muda

DALAM menghadapi kerenah generasi muda yang terjebak dengan salah laku sosial dan budaya, pemikiran dan watak, kadang-kadang kita menjadi hilang punca dan akhirnya kerenah ini menjadi wabak yang sukar dibendung.
Hari ini, ramai daripada anak muda kian hilang nilai akhlak yang murni, sebaliknya hanyut dalam arus kelalaian yang akhirnya membinasakan diri. Ramai terjebak dalam salah guna dadah, terbabit dalam salah laku sosial seperti mat rempit, amalan seks bebas, jenayah juvana, lari dari rumah dan mengandung pada usia muda sehinggalah gejala membuang bayi yang kerap berlaku akhir-akhir ini. Ini adalah di antara gejala yang melanda anak muda masa kini yang dikatakan kian membimbangkan dan perlu perhatian segera dalam mengembalikan mereka ke arah yang sepatutnya. Ada banyak suara yang melontarkan punca pemasalahan ini kepada sesetengah pihak terbabit dengan beberapa andaian dan hujahnya.

Ada yang menyalahkan institusi kekeluargaan menjadi punca kelonggaran tatasusila yang sepatutnya disemai pada peringkat awal. Tidak kurang juga yang menyalahkan kebejatan ini berpunca daripada aspek zaman globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan.

Dengan wujudnya banyak kemudahan perolehan maklumat yang sukar dibendung, maka ia turut mempengaruhi budaya Timur yang sudah lama diwarisi. Kemajuan dan kemodenan menyebabkan banyak unsur yang menjadi pendorong kuat terhadap golongan ini untuk melakukan aktiviti sedemikian sekali gus terbabit dalam gejala yang tidak sihat atau jenayah.

Era globalisasi kini mendedahkan anak remaja dengan pelbagai gaya hidup dan persekitaran yang amat luas dan mencabar. Cabaran dan dugaan yang hebat ini tidak terhad sifatnya. Ia meliputi pelbagai jenis termasuklah sesuatu yang mampu untuk mempengaruhi kehidupan anak remaja sehingga menyebabkan mereka mempunyai tanggapan salah mengenai dunia ini.
Maklumat yang diterima daripada sumber yang pelbagai agak menakutkan jika dikaji. Kebebasan kehidupan yang keterlaluan adalah sesuatu yang amat kita bimbangkan menular dalam sanubari golongan ini. Tanpa bimbingan dan nasihat, golongan ini mudah untuk mempercayai dan sekali gus terpedaya dengan apa yang mereka peroleh.

Umum mengetahui bahawa anak remaja adalah satu kelompok masyarakat yang amat besar maknanya kepada negara. Mereka bakal pemimpin masa depan bagi meneruskan kesinambungan masyarakat dan tamadun bangsa.

Sebagai bakal pemimpin bagi generasi akan datang, mereka ini sewajarnya dibela dan dipelihara sebaik mungkin. Di samping menyediakan suasana yang mampu meningkatkan potensi perkembangan dan kecemerlangan diri, remaja juga hendaklah dididik dan diberi tunjuk ajar mengenai pelbagai perkara.

Pemantapan sahsiah peribadi adalah asas terbaik bagi golongan ini untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang dan berliku. Ibu bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab penting dalam pembentukan integriti keluarga serta masyarakat.

Didikan di rumah, selain pendedahan pada peringkat sekolah dan amalan sifat murni menjadi nadi kepada keperibadian seorang individu. Ini adalah penting kerana perubahan persekitaran yang begitu pantas membolehkan anak berubah mengikut keadaan semasa. Perubahannya mungkin mudah dan sukar untuk disedari ibu bapa, dan kemungkinan sesuatu yang tidak disangka itu berlaku adalah tinggi dan hampir pasti.

Secara umumnya, komunikasi keluarga merujuk kepada cara bagaimana ibu bapa berkomunikasi dengan anak mereka dalam membentuk sosialisasi terutama pada peringkat awal kanak-kanak. Pola komunikasi kekeluargaan didapati mempunyai pengaruh terhadap cara anak memproses maklumat daripada luar persekitaran keluarga yang membawa kepada kebolehpercayaan sesuatu maklumat itu.

Ada beberapa kajian terdahulu menunjukkan komunikasi keluarga mempunyai kaitan dengan tingkah laku anak khususnya remaja. Maka seharusnya komunikasi keluarga dititikberatkan agar ia berlangsung dengan baik.

Komunikasi keluarga memainkan peranan penting dalam perkembangan sesebuah keluarga. Ini terjadi kerana institusi keluarga adalah institusi asas terpenting dalam membentuk sikap dan tingkah laku individu. Institusi keluarga memainkan peranan besar dalam proses sosialisasi yang membawa kepada perkembangan sikap anak.

Jika komunikasi keluarga tidak dapat berjalan dengan sepatutnya, ia akan membawa kepada beberapa implikasi negatif yang akan membabitkan anak sebagai mangsa. Sebagai contoh, apabila terjadinya konflik seperti kecelaruan keluarga, pertengkaran dan perceraian, memungkinkan komunikasi yang tidak menyenangkan akan membawa implikasi buruk terhadap pemikiran anak di dalam keluarga berkenaan.

Pembentukan sikap dan peribadi akan wujud secara spontan dalam jiwa mereka yang membolehkannya berperlakuan seperti pendedahan yang diterima atau sebaliknya berdasarkan sesuatu situasi.

Hakikatnya perkembangan anak remaja pada hari ini tidak terkecuali daripada menghadapi pelbagai cabaran dan masalah. Remaja sentiasa dikaitkan dengan masalah sosial, akhlak, jenayah dan sebagainya. Mereka keliru dengan dunia sebenarnya akibat terdedah daripada sesuatu sumber persekitaran yang kurang jelas.

Inilah yang akan berlaku jika komunikasi keluarga gagal dan membolehkan golongan remaja ini melakukan sesuatu berdasarkan kemahuannya sendiri yang memungkinkan dirinya terdedah dengan pengaruh sekeliling bagi mencari jalan keluar yang dirasakan perlu.

Oleh yang demikian, cara berkesan ialah ibu bapa perlu selalu meluangkan masa untuk anak dan bertukar peranan mengikut situasi seperti bertindak menjadi rakan sebayanya, bertanya perkembangan persekolahan, permasalahan jika ada atau sesekali bersiar-siar bagi merapatkan hubungan.

Dengan ini membolehkan si anak berasa selesa dan mungkin mudah bagi mereka berkongsi masalah, cerita dan pengalaman yang diperoleh. Peluang mendekati dan memahami anak akan membuatkan anak remaja (pada peringkat awal) berasa dekat dan mendapat sokongan emosi daripada ibu bapa.

Oleh itu, komunikasi perlu berjalan dengan jelas dan mengkhusus supaya tidak berlaku salah faham dan kekeliruan pada mesej yang ingin disampaikan.

Budaya hedonisme binasakan masa depan

MUDA hanya sekali... Itulah yang selalu dipegang oleh segelintir daripada kita, waima lelaki, perempuan, tua mahupun muda.

Lantas yang berfikiran pendek, mereka sanggup mencuba apa sahaja, waima membelakangkan syariatullah dan sunnatullah. Yang pasti, matlamat mesti dikota.

Pun begitu, masih ramai juga yang tidak melupakan kehidupan kekal selepas kematian. Lalu berusaha memperoleh kedua-duanya sekali.

Maka, mereka inilah orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta nasihat-menasihati dengan kesabaran. (al-'Asr: 1-3)

Ayat ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa menghargai zaman muda bererti menghargai masa. Di samping itu, pesanan Allah SWT tentang keberuntungan bagi mereka yang menjaga masanya dan memanfaatkan masa hidupnya dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan.

Lantaran itu, tidak hairanlah kalau kita terbaca atau diberitahu tentang kisah Imam Syafie yang telah menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun. Setahun kemudian pula berjaya menghafal isi kitab Al Muwatha' karangan Imam Malik yang berisi 1,720 hadis dengan sempurna.

Malah bukan itu sahaja, kehebatan generasi muda Islam terdahulu juga terbukti menerusi pencapaian Usamah bin Zaid menjadi panglima perang seawal usia 18 tahun.

Muhammad bin Qasim pula memperoleh kedudukan serupa pada usia beliau 17 tahun. Sementara Tharafah bin Al Abdu Syahid pada usia 26 tahun.

Persoalan besar timbul ialah ke manakah hilangnya wawasan belia hari ini? Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah disiplin dan adab sering dikaitkan dengan belia. Hal ini tentunya mengundang rasa bimbang dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat serta pemimpin negara.

Justeru Rasulullah SAW berpesan kepada semua golongan belia agar dapat memanfaatkan umur dan masa muda dengan sebaik-baiknya. Diriwayatkan oleh imam at-Tirmidzi yang bermaksud: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki yang dinasihati baginda. "Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara. Mudamu sebelum tua, sihatmu sebelum sakit, kayamu sebelum miskin, senangmu sebelum susah dan hidupmu sebelum mati."

Berdasarkan hadis ini, belia yang cemerlang adalah yang memanfaatkan masa dengan betul seperti berusaha menuntut ilmu, berbuat kebaikan dan paling penting memantapkan diri dengan iman dan takwa.

Dengan iman dan takwa, jati diri belia dapat dipertingkatkan dan menjadi mantap. Sekali gus, tidak mudah goyah oleh anasir-anasir dan gejala-gejala yang merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, minum arak, zina, merempit, ajaran sesat, bersekedudukkan dan sebagainya.

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah golongan belia di negara ini pada tahun 2008 mencecah seramai 16 juta orang.

Belia adalah harta yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharap dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir menegaskan, fenomena runtuh akhlak ini seandainya tidak dibendung secara berhikmah, sudah pastinya menjadi barah dan seterusnya memusnahkan bangsa dan agama.

Katanya, perkara paling asas ialah membetulkan kefahaman akidah dan memantapkannya.

Abdullah ibnu Umar diriwayatkan berkata, bahawa generasi mereka diberikan iman sebelum menerima al-Quran. Namun hari ini, generasi kita sarat dengan maklumat dan ilmu, namun jiwanya hampir kosong daripada iman. Al-Quran adalah kitab hidayah kepada golongan beriman dan bertakwa.

"Dalam wasiat Nabi SAW kepada Muaz ketika diutus ke Yaman, pesanan nabi ialah agar seruan kepada iman dan kemantapan akidah. Apabila sudah mantap, barulah diberitahu tentang kewajipan solat. Ini satu pedoman Nabi SAW dalam berdakwah dan mendidik.

"Terdapat pemikiran segelintir Muslim yang tidak cuba menghalang gejala negatif ini, sebaliknya mencadangkan alternatif kononnya lebih selamat. Pemikiran ini seolah-olah menghalalkan zina dan seks bebas dengan syarat mesti selamat. Ini suatu pemikiran yang jauh daripada Islam," ujar beliau kepada Mega, baru-baru ini.

Tambah Mohammad Nidzam, meskipun telah banyak penjelasan diberi berkaitan peranan dan harapan yang diletakkan kepada golongan muda, remaja masih tidak sedar kepentingan menghargai usia emas mereka.

"Mereka sibuk berseronok-seronok, muda hanya sekali dan sebagainya. Bila mereka sedar? Mungkin ketika terkandas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mungkin ketika usia sudah hampir 30 tahun dan sebagainya. Maknanya peluangnya untuk membaiki dan meningkat kualiti diri sudah kurang atau terhad," tegas beliau.

Menurut Mohammad Nidzam, jika pemikiran remaja hari ini rosak, maka anak mereka akan lebih teruk. Jika remaja hari ini melihat menutup aurat bukan kewajipan, generasi anak mereka tidak akan malu lagi untuk memakai bikini.

"Oleh itu, remaja perlu bijak menghargai dan memanfaatkan usia remaja. Islam tidak melarang kita untuk berseronok tetapi hendaklah ada tahapnya. Ikut syarak," katanya yang teringat satu syair Arab, "Jika kekal akhlak mulia, maka kekallah bangsa atau negara tersebut. Jika akhlak rosak, maka hancurlah negara".

Hakikatnya, jelas Mohammad Nidzam, Islam menghargai semua lapisan umur. Ada hadis menyatakan agar pemuda menghormati insan yang lebih tua.

Dengan berbuat demikian, apabila dia tua nanti akan ada para pemuda yang menghormatinya pula. Itulah putaran hidup.

Katanya lagi, Nabi SAW menggunakan kekuatan dan semangat para pemuda dalam usaha dakwah. Ali ibnu Abi Talib adalah pemuda yang sanggup mengorbankan nyawa demi Islam.

Begitu juga, Musa'b ibnu U'mair, A'mmar ibnu Yasir, Bilal ibnu Rabah dan banyak lagi watak di zaman Nabi SAW adalah pemuda. Mereka dididik dalam madrasah nabawi.

"Para pemuda pada zaman nabi ada yang tergelincir. Namun ia diperbetulkan dengan baik dan berhikmah. Ada pemuda yang ingin berzina dan meminta izin Nabi untuk berzina. Kalau kita hari ini, mungkin kita akan mengumpat dan mengata macam-macam. Namun Nabi SAW dengan sabar mendidik agar ia benci kepada zina.

"Sebab itulah saya melihat usaha menyeluruh bagi menangani masalah ini adalah perlu. Antaranya, memantapkan lagi undang-undang Islam termasuk hukum hudud. Allah menjanjikan pencegahan jika ia dilaksanakan.

"Di samping itu, segala tindakan umat Islam semestinya dipandu dengan syariat Islam. Islam bukan sekadar untuk dibacakan doa sahaja, tetapi Islam mestilah diangkat, dimartabatkan dan didaulatkan," tegasnya.

Pun begitu, pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: "Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu'ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya Aidilfitri. Rasulullah bersabda: Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita". (riwayat Ibnu Majah)

Namun, kecenderungan yang berlebihan kepada kesenangan dan hiburan menjadikan manusia alpa dan lalai dengan tipu daya dunia.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pembangunan Remaja & Belau, Kelab Remaja Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Mohd. Hafiz Abd. Hamid mengakui, dunia Islam menghadapi pelbagai cabaran yang boleh menghancurkan nilai-nilai rohaniah.

Apatah lagi, tanpa benteng akidah yang konkrit dan akhlak sebagai pendinding, nescaya umat Islam tidak mampu menghadapi serangan musuh dari pelbagai sudut.

"Dalam membincangkan kerangka hedonisme, sudah pastilah unsur keseronokan dan kegembiraan merupakan intisari penting dalam aliran tersebut.

"Manusia dikatakan hidup bahagia apabila mereka mencapai klimaks keseronokan dan kegembiraan di tahap yang paling tinggi dan cuba mengelakkan elemen-elemen yang mendatangkan kesedihan dan kesukaran," katanya.

Menurut Mohd. Hafiz, yang sebenarnya, budaya hedonisme jauh menyimpang dengan ajaran agama Islam yang kaya dengan nilai-nilai luhur yang terpuji.

Apa yang jelas budaya tersebut bertentangan dengan akidah Islam kerana ia bertuhankan nafsu.

"Ali Syariati, seorang ulama terkemuka Timur Tengah pernah berkata, tentangan terbesar bagi remaja Muslim masa ini adalah budaya hedonisme (kesenangan adalah hal yang paling penting dalam hidup) yang seolah sudah mengurat nadi," jelasnya.

Oleh itu, tegas Mohd. Hafiz, petunjuk dan garis panduan yang ditetapkan oleh Islam perlu dijadikan pedoman dan sempadan untuk dipatuhi oleh manusia.

Sesungguhnya iblis dan syaitan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir. (al-An'am: 32)

Atas kesedaran itulah, Kelab Remaja JIM dengan kerjasama Masjid As-Syakirin KLCC menganjurkan program Offline with Hedonism di dewan masjid tersebut, baru-baru ini.

Alhamdulillah, program yang terbuka kepada remaja antara usia 13 hingga 17 tahun itu mendapat sambutan kira-kira 70 peserta.

"Para peserta kebanyakannya ditemani ahli keluarga berada di perkarangan masjid seawal 8 pagi. Mereka disajikan sarapan pagi sebelum memulakan program.

"Dalam segmen Say No To Hedonism, kami cuba menjelaskan dan memahamkan para peserta tentang maksud sebenar budaya hedonisme dengan cara bersahaja dan diselang seli dengan komunikasi dua hala," katanya.

Program sehari itu turut dimuatkan dengan pelbagai segmen agar tidak membosankan peserta.

Ramlah mendapat harta pusaka suaminya

RAMLAH binti Auf merupakan wanita yang terawal memeluk agama Islam. Dia berkahwin dengan al-Muthallab bin Azhar bin Abd Auf az-Zahri. Mereka suami isteri merupakan generasi pertama yang memeluk agama Islam.

Pada zaman jahiliah, kota Mekah merupakan tempat penziarah datang dari pelbagai pelosok negeri. Pada masa itu, banyak patung-patung berhala ditempatkan disekeliling kaabah. Orang yang melawat Makkah pasti akan menyembah patung-patung berhala itu.

Selepas Islam muncul di bumi Mekah, Arab Quraisy menjadi bimbang dan takut. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad menggugat aktiviti-aktiviti masyarakat kafir Quraisy.

Beberapa orang Makkah mula tertarik dengan ajaran Islam. Orang yang mula-mula masuk Islam ialah Siti Khadijah binti Khuwailid. Kemudian diikuti dengan beberapa orang lain.

Berita keislaman penduduk Mekah sampai ke pengetahuan Abu Jahal. Dia sangat marah dengan ajaran yang disampaikan oleh anak saudaranya iaitu Nabi Muhammad.

Kaum Quraisy dan pembesar-pembesar Quraisy Mekah yang jahil bertambah marah. Mereka menyiksa orang Islam. Antara yang diseksa ialah Bilal bin Rabah. Perempuan Islam pertama yang mati syahid ditikam oleh mereka ialah Sumaiyah.

Penderitaan yang ditanggung oleh orang Islam Makkah sangat menyedihkan Nabi Muhammad. Lantas Nabi Muhammad mengarahkan beberapa orang Islam berhijrah ke Habsyah.

Nabi Muhammad berkata, "Pergilah ke Habsyah. Di sana ada seorang raja yang tidak akan menzalimi orang lain. Habsyah adalah negeri yang menegakkan kebenaran. Allah akan memberikan pertolongan kepada awak semua".

Orang Islam yang mendengar arahan Nabi Muhammad berasa lega. Antaranya termasuklah Ramlah dan suaminya serta saudaranya iaitu Thulaib bin Azhar. Segala persiapan dilakukan untuk berhijrah ke Habsyah. Mereka mula berangkat ke Habsyah tanpa diketahui oleh pembesar-pembesar kafir Quraisy.

"Moga-moga Allah melindungi kita semua," kata Ramlah kepada suaminya.

Mereka sampai ke Habsyah. Raja Najasyi menyambut baik kedatangan mereka. Walaupun pada mulanya datang utusan dari Mekah memohon agar orang Islam Mekah itu dihantar balik, Raja Najasyi tidak bersetuju. Malah Raja Najasyi membenarkan orang Islam tinggal di bumi Habsyah.

"Awak semua boleh tinggal di bumi Habsyah ini selama mana yang awak mahu. Saya tidak akan membiarkan awak dizalimi atau disakiti oleh sesiapa," kata Raja Najasyi.

"Syukur Alhamdulillah. Masih ada orang yang prihatin kepada kita. semoga Allah melindungi kita," kata Ramlah kepada orang Islam yang lain.

Orang Islam Mekah yang berada di Habsyah beras sangat gembira. Semasa di Habsyah, Ramlah dan suaminya menjalani kehidupan dengan aman dan sentosa. Ramlah didapati hamil. Dia sempat melahirkan seorang anak lelaki di Habsyah. Anaknya diberi nama Abdullah bin al-Muthallab.

"Terima kasih Ya Allah kerana telah mengurniakan saya seorang anak yang comel. Semoga anak ini menjadi anak yang baik," Ramlah berdoa kepada Allah.

"Anak ini kita mesti terapkan nilai-nilai murni pada dirinya. Saya akan pastikan anak lelaki kita menjadi anak yang berbakti kepada agama Islam," kata suaminya pula.

Tidak berapa lama kemudian, satu berita yang menyedihkan menimpa ke atas diri Ramlah. Suaminya meninggal dunia. Tinggal Ramlah menjaga anak lelaki yang masih kecil. Kemudian saudaranya iaitu Thulaib juga meninggal dunia.

Sebelum suaminya meninggal dunia, suaminya ada berpesan kepada Ramlah, "Wahai Ramlah, jagalah anak kita baik-baik. Saya mahu anak kita menjadi seorang Islam yang berjaya di dunia dan di akhirat".

Ramlah pun berkata kepada suaminya, "Insya-Allah, saya akan tunaikan harapan awak ini. Saya juga mahu anak kita menjadi anak yang baik".

Al-Muthallab mempunyai hartanya sendiri. Selepas dia meninggal dunia, hartanya diwariskan kepada isteri dan anaknya. Anak lelakinya menjadi harta peninggalan ayahnya. Menurut sejarah Islam, Abdullah bin al-Mutahallab adalah orang pertama dalam Islam yang menerima harta pusaka yang ditinggalkan oleh ayahnya.

Kesedihan Ramlah terubat kerana dia masih mempunyai zuriatnya sendiri. Dia menjaga dan mendidik anaknya dengan baik. Ramlah dan anaknya berhijrah ke Madinah pada tahun 7 Hijrah.

Semasa di Madinah, Nabi Muhammad menyambut baik kedatangan Ramlah dan anak lelakinya. Nabi Muhammad telah memberikan sebahagian daripada harta rampasan Perang Khaibar kepada mereka.

Ramlah dan anak lelakinya menetap di Madinah. Di sana mereka menjalani kehidupan dengan baik. Akhirnya Ramlah menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi Madinah.

Polemik status agama Abu Talib

TIADA niat untuk mempolemikkan status agama bapa saudara Nabi Muhamad SAW, Abu Talib bin Abdul Mutallib yang dikatakan meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman kepada Allah.

Tetapi ada pihak yang masih bertanyakan mengenai 'kelainan' kisah-kisah sebenar di sebalik kematian Abu Talib itu.

Ini memerlukan untuk kita melanjutkan kisah itu dari tulisan al Mubarakfuri dalam bukunya Sirah Nabawiyyah mengenai peristiwa sejurus bapa saudara baginda itu meninggal dunia.

Rasulullah SAW mungkin begitu kesal dengan kematian bapa saudaranya itu. Namun yang baginda kesalkan adalah apabila sehingga di saat kematian bapa saudaranya itu pun, Abu Jahal masih tidak berputus asa menghalang penyebaran Islam.

Walau bagaimanapun baginda menerima ketentuan yang seperti ini dan lalu berkata: "Akanku pohonkan keampunan (dari Allah) untuk mu wahai bapa saudaraku selagi aku tidak dilarang berbuat demikian".

Lalu Allah turunkan ayat surah at-Taubah, ayat 113 bagi menjawab persoalan mengenai kematian Abu Talib itu.

Firman Allah yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang Musyrik itu adalah ahli neraka.

Begitu juga firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56)

Kata al Mubarakfuri, kita tidak perlu menghuraikan tentang perlindungan dan pengawalan yang selama ini diberikan oleh Abu Talib (kepada Rasulullah).

"Dia adalah kubu yang teguh memelihara dan dakwah Islamiah daripada serangan-serangan orang yang takbur dan bodoh.

"Sayangnya dia tetap berpegang kepada agama nenek moyangnya. Justeru dia tidak mendapat kejayaan yang sebenar," katanya.

Dalam hadis-hadis riwayat Al Abbas bin Abdul Mutalib, bahawa dia pernah bertanya kepada anak saudaranya, baginda Rasulullah mengenai kematian Abu Talib itu.

"Apakah engkau tidak dapat menolong bapa saudaramu sedangkan dia melindungi kamu dan marah demi keranamu," tanya Al-Abbas.

Lalu baginda menjawab: "Abu Talib berada dalam tempat yang paling cetek di neraka (hukuman paling ringan). Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di lapisan terbawah dari neraka".

Sementara seperti yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudriy, bahawa Al Abbas pernah mendengar baginda bersabda (mengenai nasib Abu Talib): "Boleh jadi ada gunanya syafaatku kepadanya pada hari kiamat kelak, di mana dia akan diletakkan dalam tempat yang cetek dari neraka sehingga sampai ke buku lalinya".

Sementara dalam bukunya, Fiqh Al-Harakah - Dari Sirah Nabawiyyah (Dewan Pustaka Fajar, 1992) Abdul Hadi Awang pula menulis bahawa menurut pendapat mazhab syiah dan beberapa orang di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Abu Talib telah menganut Islam berdasarkan beberapa riwayat yang membuktikan bahawa bapa saudara Nabi itu bukanlah meninggal dunia dalam keadaan musyrik.

Bahawa Al Abbas (r.a) telah mendengar Abu Talib pernah berkata: "Sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa agama yang dibawa oleh Muhammad adalah agama yang paling baik (min khaira adyani) di kalangan agama-agama yang dianut oleh makhluk ini".

Mereka mempertahankan bahawa Abu Talib telah menerima Islam dengan mengemukakan beberapa alasan yang lain:

1) Abu Talib mengambil sikap mempertahankan Islam, mempertahankan Rasulullah dan mempertahankan mereka yang menganut Islam di samping keluarnya ucapan dari mulutnya yang menunjukkan betapa kasihnya kepada nabi dan para sahabatnya.

2) Abu Talib menyanjung tinggi segala tuntutan Nabi kepadanya. Tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa beliau pernah memuja (menyembah) berhala.

3) Diriwayatkan dari Al Abbas bahawa Abu Talib pernah mengucapkan dua kalimah syahadah. Namun para ulama hadis menolak riwayat ini hanya kerana Al Abbas pada masa itu belum lagi memeluk Islam.

Namun bagi mereka yang dapat menerima riwayat dari Al Abbas ini, cuba mempertahankannya dengan bertanya: "Adakah berani kita mengatakan Al Abbas, iaitu salah seorang lagi bapa saudara kesayangan dan dikasihi Nabi itu adalah seorang yang pembohong?"

Hadi Awang kemudiannya menukilkan pendapat Al Syaikh Muhammad Abu Zahrah (r.a) yang menegaskan: "Bahawa aku berpendapat Abu Talib bukanlah seorang Musyrik. Ini kerana mereka yang musyrik itu menyembah berhala. Sedangkan amalan Abu Talib dan termasuk juga kata-kata dan pendiriannya menunjukkan bahawa beliau berpendapat menyembah berhala itu suatu kebatilan. Oleh itu aku lebih cenderung beristighfar untuknya".

ADA sesetengah pendapat lain mengatakan bahawa Abu Talib adalah seorang Muslim apabila jenazahnya disempurnakan cara Islam.

Dikatakan setelah kering air mata baginda ekoran kesedihan atas kematian bapa saudaranya itu, dengan suara pilu lalu baginda menyuruh anak Abu Talib, iaitu Saidina Ali untuk menguruskan jenazah.

"Mandikanlah, kafanilah dan kuburkanlah! Semoga Allah mengampuni dan merahmatinya," kata baginda.

Dalam hal ini jika Rasulullah menyuruh Ali agar memandikan ayahnya bermakna hanya jenazah mereka yang Muslim sahaja layak diuruskan dengan cara itu.

Pada hal, Islam tidak membolehkan orang Islam memandikan (jenazah) orang kafir mahupun menguruskan jenazah orang kafir secara Islam.

Lalu sebagai seorang yang begitu mempunyai makna dan pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan Nabi Muhammad, apakah hakikat sebenar mengenai status agama Abu Talib ini?

Namun yang jelas, pemergian Abu Talib sangat meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada diri Rasulullah.

Sehingga dalam nada yang sebak baginda berkata: "Orang-orang Quraisy tidak pernah meninggalkan sesuatu yang tidak disukai sedikitpun kepadaku sehinggalah Abu Talib meninggal (dunia)."

Yang jelas, Abu Talib tidak sekadar tokoh besar yang sangat dihormati dan dimuliakan oleh lawan dan kawan terutama di kalangan para pembesar Mekah.

Namun beliau merupakan tokoh yang tidak sekadar memberi perlindungan kepada seorang Rasul mahupun sekadar bapa saudara yang membesarkan anak saudaranya tetapi yang jelas tanpanya, Islam itu sendiri sukar untuk disebarkan.

Tiga hari kemudian iaitu selepas kematian bapa saudara kesayangan, baginda bagaikan jatuh bertimpa-timpa. Kali ini isteri kesayangan baginda, Saidatina Siti Khadijah pula menurut jejak Abu Talib.

Siti Khadijah meninggal dunia di saat baginda sedang mencari kekuatan baru selepas kematian Abu Talib.

Khadijah wafat pada tanggal 10 atau 11 Ramadan tahun ke 10 kenabian dan dimakamkan di Pemakaman Ma'la di sebuah kawasan bernama Hujun.

Rasulullah tidak melakukan solat jenazah terhadap jenazah isterinya itu kerana pada saat itu perintah untuk solat jenazah belum disyariatkan.

Namun baginda sendiri turun ke dalam makam untuk menguruskan persemadian terakhir Khadijah. Baginda juga menimbunkan tanah pada makam Khadijah.

Pada tahun 950 H, sebuah bangunan berkubah didirikan di atas makam Khadijah yang kemudiannya dibaik pulih semula pada tahun 1298H.

Namun pada hari ini, semua itu tiada lagi. Kubah dan bangunan itu telah dirobohkan.

dari utusan malaysia
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
21.4.2010

Menolak Zina Dengan Mujahadah, Bukan Karamah!

“Saya rasa ustaz berfikiran begini kerana ustaz sendiri tidak kahwin semasa belajar. Maka ustaz tidak faham keperluan berkahwin semasa belajar itu. Ustaz tidak dapat memberi pendapat di sini!” tegas Aliyyah, seorang mahasiswi.

Komennya tajam.

Saya pula, bukanlah berbicara tentang kahwin semasa belajar.

Apa yang saya bincangkan adalah soal kahwin tergesa-gesa tanpa pertimbangan yang lunas.

Tetapi kerangka fikir mahasiswi itu menarik untuk diberi perhatian.
SULUHAN KISAH YUSUF ‘ALAYHI AL-SALAAM

Ia mengingatkan saya kepada kisah Yusuf ‘alayhi al-Salaam mendepani godaan ibu angkatnya, Imra’ah al-’Aziz atau yang lebih dikenali namanya sebagai Zulaikha itu.

Kehebatan Yusuf bermula daripada usia kecilnya lagi.

Seorang ghulam, ‘diculik’ oleh adik beradiknya sendiri dan dihumban ke dalam perigi buta, Yusuf diuji dengan kesusahan pada tahap yang sukar untuk kita gambarkan. Berat sekali tanggungan seorang anak kecil bertahan dalam sepi dan gelita perigi buta, jauh daripada keluarga, hanya bertemankan Allah tempat memaut harapan.

Namun, sabar Yusuf ketika di dalam perigi, tidak sekental sabar Yusuf di Istana Mesir.

Saban waktu cuba digoda oleh wanita bangsawan itu, ibu angkatnya sendiri.



“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya” [Yusuf 12: 23]

Setelah berulang kali berusaha, ‘Zulaikha’ sampai kepada ikhtiar terakhirnya.

Pintu dikunci, rumah tidak berpenghuni, First Lady itu menawarkan diri, “datanglah kepadaku. Aku bersedia untukmu”

Di sinilah kemuncak tarbiyah Allah ke atas insan bernama Yusuf. Ramai manusia lulus ujian kesusahan kerana di dalam kesusahan kita diuji dengan kekurangan pilihan. Terpaksa bersabar kerana itulah satu-satunya jalan untuk bertahan. Demikian sabar Yusuf di dalam telaga.

Tetapi di sini Yusuf diuji dengan peluang. Diuji dengan pilihan. Beliau orang asing. Tiada keluarga, tiada banyak kesan sampingan pilihan jahat yang mahu diambil kesempatan.

Ia mengingatkan saya tentang modus operandi pekerja seks di IPT hari ini. Bekerja sebagai pelayan seks berkelas tinggi, memungkinkan anak muda kita mengaut untung mencecah RM40 ribu sebulan! Tekanan lifestyle, duit PTPTN yang jauh daripada kecukupan, desakan peer pressure, apakah yang boleh menghalang anak-anak muda kita daripada mengambil pilihan itu?

Hanya satu.

Jawapannya IMAN.

“Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya…”

Itulah jawapan Yusuf.

Aku berlindung kepada Allah. Rabb diriku, Pencipta aku dan Pemilik aku.

Konotasi Rabb itu adalah satu sanggahan kepada Zulaikha bahawa biar pun dia adalah ibu angkat yang memberi makan, hutang budi tidak akan dibalas dengan bayaran yang keji. Engkau tuanku tetapi Allah Tuhanku!

Justeru Yusuf menegaskan bahawa:

“Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”

MENCARI KAEDAH

Zina itu, di sebalik kekejiannya, adalah kezaliman.

Sudikah dibenarkan orang lain menyetubuhi ibumu? Adik perempuanmu? Anak perempuanmu? Ibu saudaramu?

Ketika engkau berzina, sudah tentu engkau berzina sama ada dengan ibu seseorang, adik perempuan seseorang, anak perempuan seseorang atau ibu saudara seseorang. Jika engkau tidak sanggup membayangkan ibumu disetubuhi lelaki lain, pilihan zinamu adalah satu kezaliman. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya!

Kerasnya persoalan yang berlegar di fikiran ialah, apakah bentuk pendidikan yang diperlukan, untuk membolehkan mahasiswa dan mahasiswi yang hidup di dunia ‘zina lebih mudah daripada nikah’ itu untuk berkata seperti Yusuf? Bagaimanakah ketika dihadap dengan pilihan zina, ketika jauh daripada keluarga, ketika kekejian kelihatannya seperti boleh disembunyikan, tawaran pulangan begitu lumayan, namun akhirnya anak muda kita mempunyai kekuatan untuk berkata, “Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya!”

Kekuatan untuk berkata TIDAK!

Itu sisi pandang Yusuf.

“Ahh, itu persis seorang Nabi!” mungkin itu tempelak anak muda lagak mahasiswi yang mengecam saya tadi.

“Apa yang Nabi tahu tentang panahan cinta? Dia itu jiwanya jiwa Nabi, bukan seperti engkau dan aku!” apakah itu yang mahu diperkatakannya?



Asal usul Tarzan, barangkali! [source - unknown]


YUSUF JUGA ANAK MUDA SEPERTIMU



“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir kami) untuk menjauhkan daripada Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya dia itu daripada kalangan hamba-hamba Kami yang dibersihkan daripada segala dosa.” [Yusuf 12: 24]

Allah segera menafikan andaian itu.

Yusuf juga seorang anak muda.

Dia ada keinginan sebagai seorang anak muda. Jika pertimbangannya hanya sekadar kehendak jiwa muda, Yusuf juga bisa cenderung memilih kehendak Imra’ah al-’Aziz. Kehendak ibu angkatnya, wanita bangsawan yang sudah menyerahkan diri.

Allah Subhanahu wa Ta’aala mahu kita kaitkan diri dengan Yusuf.

Dia juga sepertimu wahai anak muda.

Dia bukan Malaikat yang tidak bernafsu. Dia menolak zina bukan dengan Mukjizat atau Karamah!

Dia menolaknya dengan Mujahadah.

Fikirannya sedar tentang kenyataan Allah berkenaan kekejian zina, justeru Yusuf berkata TIDAK.

Kemudian baru Allah tegaskan, semua itu adalah sebahagian daripada urusan Allah melindunginya, bakal seorang Rasul untuk menerima Risalah Tauhid kebenaran. Bukan semua datang dalam keajaiban. Yusuf itu sendiri bermujahadah mengawal diri di ujian pemilihan.

Memilih jalan zina atau memilih jalan TAQWA.

TELADAN YUSUF BUAT DIRI SAYA

Saya juga pernah muda, wahai si anak gadis.

Di usia muda, saya juga terganggu dengan kecantikanmu.

Jiwa saya pernah resah ketika melihat rakan bernikah.

Naluri saya pernah cemburu semasa menimang si comel, cahaya mata kawan bertuah.

Saya juga diasak dengan peluang bernikah.

Namun atas pertimbangan-pertimbangan peribadi, saya memilih untuk tidak bernikah, lalu memanjangkan sedikit lagi tempoh mujahadah.

Saya menghormati, mengasihi, mengagumi dan menyokong sepenuh hati teman yang memilih untuk bernikah.

Namun nikah mereka bukan lempias nafsu. Nikah kenalan-kenalan saya bukan manifestasi lemah jiwa untuk menolak zina. Mereka bernikah dengan wawasan. Mereka berkeluarga dengan perancangan.

Akan tetapi untuk dirimu yang ‘menuduh’ku menangguhkan nikah kerana tidak faham kehendak bernikah, engkau masih terlalu budak untuk menjamah akad.

“Aku Terima Nikahnya” belum lagi masanya untukmu.

Dewasalah!

“Tak tahu apakah erti kepayahan
Tak kenal erti kesusahan
Kerna dibesarkan dalam kemewahan
Belum dialami penderitaan”
- Hidup Berbudi: Lirik oleh Habsah Hasan

Tuesday, April 13, 2010

Perbezaan mujtahid bukan untuk berpecah-belah

Taklid mazhab penyelesaian terbaik rungkai masalah ummah mengikut peredaran zaman

PEMIKIRAN anti mazhab dibawa ulama modenis-reformis menyebabkan timbulnya kesangsian terhadap ilmuwan silam termasuk ulama sejati yang dikatakan seolah-olah membekukan daya cipta masyarakat Islam dan fahaman taklid dituduh membantutkan akal serta pemikiran masyarakat Islam.

Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Sani Badron, berkata kelompok itu bercita-cita mendirikan jaringan aliran baru berdasarkan fahaman sendiri yang merujuk terus kepada al-Quran dan al-Sunnah. Katanya, usaha mereka itu berlawanan aliran lama yang bertaklid kepada mujtahid mazhab yang berusaha menangani masalah besar terkandung dalam risalah Nabi Muhamad SAW sebagai rahmat membawa manfaat untuk manusia seluruhnya. “Apa yang cuba dibawakan mereka adalah mempersoalkan perkara remeh yang dijadikan masalah besar dan tindakan itu amat memalukan apabila masyarakat melihat golongan agama hanya membahaskan, tidak membaca qunut atau talkin.

“Imam mujtahid seperti Abu Hanifah, Malik, Ibn Hanbal dan Al-Syafi’e memainkan peranan menyelesaikan persoalan yang timbul dalam perhubungan orang Islam pelbagai kaum dan antara orang Islam dengan bukan Islam,” katanya pada Muzakarah Pakar Adab Terhadap Mazhab: Masalah dan Penyelesaian anjuran IKIM.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Puak Anti Mazhab: Beberapa Pengamatan’ berkata tindakan memperbesarkan perkara kecil menyebabkan masalah besar yang benar-benar membelenggu ummah gagal ditangani.

Selain itu katanya, kebelakangan ini banyak pihak suka mengeluarkan pandangan peribadi memberi hukum berasaskan hawa nafsu dan lebih teruk apabila dikelirukan isu popular seperti kepentingan hak asasi manusia atau kebebasan bersuara.
Mohd Sani berkata, Islam tidak menentang perbezaan pendapat dengan syarat ia bukan mengikut hawa nafsu tetapi merujuk kepada sumber sama, cuma berbeza dari segi pendekatan sudut pandangan.

Antara mazhab katanya, perbezaan pandangan bukan dengan menambah perkara baru tetapi pada cara memahami, mengesahkan nas serta menetapkan hukum daripada makna terkandung dalam nas yang sama.

Malah, pandangan pertama tidak bertentangan dengan pandangan kedua tetapi digarap untuk menjawab dua perkara berbeza bukan disebabkan hukum berbeza, sebaliknya zaman atau perkembangan semasa yang berlainan.

“Perpaduan umat terjamin apabila ada kesatuan pemikiran iaitu faham bahawa dua orang mujtahid boleh berbeza kesimpulan dalam pelbagai masalah dan kedua-dua kesimpulan adalah fiqh yang sah,” katanya.

Mohd Sani berkata, hala tuju golongan agama terdiri daripada imam mujtahid adalah jelas kerana 60 peratus daripada ratusan ribu huraian isu syariah meliputi keperluan awam serta negara, perundangan syariah dan muamalah.

Contohnya, apabila Imam Abu Yusuf mengarang kitab al-Kharaj, beliau memberi panduan kepada Khalifah Harun al-Rashid mengenai hasil pendapatan negara termasuk mengenai pembahagian tanah berdasarkan nilai dan produktivitinya, perbezaan kadar hasil, perbezaan status petani yang dihurai secara menyeluruh dengan undang-undang sangat tersusun.

Katanya, imam mujtahid memberi jawapan yang memuaskan bukan hanya kepada soal bacaan Yasin malam Jumaat dan bilangan rakaat solat tarawih tetapi bagaimana untuk menyatukan umat Islam dalam mendepani undang-undang dan tatacara asing dalam urusan pentadbiran masyarakat.

“Wawasan mereka adalah mewujudkan garis panduan asas yang boleh diguna pakai dalam mendepani tahap perkembangan masyarakat dan kemajuan akal manusia. Mereka memahami kehidupan sentiasa berjalan akan menimbulkan banyak perubahan yang perlu ditangani ijtihad bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya.

Katanya, menyempitkan konsep ilmu menyebabkan ulama sibuk bertengkar serta memeningkan kepala mengenai perkara kecil yang menimbulkan perselisihan sia-sia dan tidak menguntungkan ummah.

Sepatutnya, isi kandungan al-Quran, al-Sunnah dan khazanah ilmu huraian imam mujtahid dimanfaatkan dalam mengenal pasti permasalahan sebenar dan mencari penyelesaian untuk diterjemahkan dalam polisi negara demi kepentingan masyarakat.

Itulah sepatutnya usaha golongan agama yang tidak henti-henti meningkatkan sumbangan kepada pembangunan ummah melalui pencarian hukum penyelesaian terbaik dan perundangan alternatif hingga wujud keseimbangan ilmu dunia, sains dengan nilai kehidupan.

Mohd Sani berkata, mazhab menyediakan untuk umat Islam ribuan jawapan yang betul berasaskan ilmu kepada soalan bagaimana mentaati Allah secara terperinci selain memutus serta menghurai perintah al-Quran dan sunnah mengikut kes demi kes.

Bagaimanapun katanya, dalam konteks bertaqlid hendaklah berasaskan ilmu bukan secara membuta tuli seperti anak guam mengikut peguam, ahli perniagaan mengikut akauntan dan pesakit mengikut nasihat doktor.

“Mazhab bukan hasil kerja seorang mujtahid tetapi himpunan sarjana yang meneliti syariah melalui pembahagian tugas dan pengkhususan dalam jangka waktu panjang bagi menghasilkan karya perundangan lebih baik untuk menawarkan Islam sebagai sistem hidup yang padu,” katanya.

Sementara itu, Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr Uthman El Muhammady, berkata amalan bermazhab adalah jalan beragama bagi yang bukan mujtahid seperti bidang kehidupan lain iaitu mereka mampu memimpin menjadi pemimpin sementara yang tidak mampu termasuk golongan dipimpin.

Namun, dalam kehidupan bermazhab hendaklah memahami adabnya antaranya menghormati perbezaan pendapat yang berlaku supaya menjadi rahmat yang memberi kebaikan kepada semua bukan menimbulkan masalah.

“Manusia ada yang mempunyai kelebihan ilmu dan ada yang tidak. Maka yang mempunyai kelebihan ilmu serta akal, memimpin mereka yang lain dalam hal kehidupan termasuk perkara agama yang menyentuh hidup abadi,” katanya.

Ilmu bantu lahirkan keluarga bahagia

Seisi keluarga, anak perlu sentiasa jadikan al-Quran, Sunnah sebagai panduan hidup

PELAJAR 14 tahun ditangkap kerana melacur, pagi pergi sekolah dan sebelah malamnya menjadi pelacur antara kisah benar masyarakat kini. Apabila ditanya mengapa melacur, jawapannya mudah iaitu emak dia juga melacur. Dalam telefon bimbit pelajar itu banyak dirakamkan aksi lucah yang didakwanya dikirim sendiri oleh emaknya. Budak dua beradik berusia 11 dan 12 tahun ditahan di Penjara Kajang kerana terbabit dengan jenayah. Ibu bapa kedua-dua budak itu enggan menjamin kerana sudah tiada kuasa melayan kerenah anak yang dianggap tidak dapat dikawal. Mereka bersedia melihat anak dipenjara dengan harapan dapat dididik oleh pihak penjara. Seorang gadis berusia 16 tahun tidak tahu dia sudah mengandung dan meluahkan perasaan tidak tahu mengenai seks. Kes seterusnya seorang bapa yang juga seseorang disegani kerana amalan agamanya tidak tahu di mana untuk mengasingkan anaknya yang sudah mengandung.

Ini adalah antara kes didedahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, ketika mengupas tajuk ‘Ilmu Menjana Keluarga Bahagia’ di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Ahad lalu.

Ceramah sulung yang dianjurkan Biro Muslimah masjid itu dihadiri 80 wanita yang mewakili surau yang ada di sekitar Bandar Baru Sentul.

Kes yang didedahkan itu antara krisis moral dihadapi masyarakat kini yang memerlukan kesedaran ibu bapa untuk membendungnya. Ibu bapa yang mempunyai hubungan rapat dengan anak kerana merekalah yang merasai sakit ketika melahirkan, tidak harus membiarkan anak mendapat pandangan orang lain jika berdepan dengan masalah, kata Zawiah ketika menegaskan tanggungjawab ibu bapa.
“Sebagai ibu, kita tidak boleh berasa lega jika anak terperap di dalam bilik kerana banyak unsur tidak baik yang dipelajari anak menerusi komputer dan telefon bimbit.

“Sebenarnya kemudahan internet berguna kalau ia digunakan dengan betul, tetapi jika disalahgunakan, anak kita yang akan merana. Di sinilah ibu bapa perlu dilengkapi dengan ilmu supaya dapat mengawal pergerakan anak,” katanya.

Seseorang ibu yang tidak berilmu, beramal salih, tidak mungkin dapat mendidik anak ke jalan yang benar. Bukan mudah untuk memujuk anak solat, jika ibu itu tiada kesabaran. Biasanya untuk memastikan anak itu solat, ibu terpaksa berkali-kali bertanya.

“Samalah juga azan yang berkumandang lima kali sehari belum tentu dapat mengajak ummah sembahyang,” katanya.

Seseorang ibu juga perlu bercakap menggunakan bahasa yang baik kerana setiap yang diperkatakan itu adalah doa untuk anak.

“Setiap yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah bercakap benda baik. Kalau apa yang dikatakan itu tidak baik, lebih baiklah diam. Begitulah juga jika kita berdepan sesuatu masalah, jika diam lebih baik sebagai jalan penyelesaian kepada kekusutan, maka ia lebih baik daripada kita bercakaran sehingga membawa kemusnahan,” katanya.

Zawiah juga menyentuh gejala sosial yang berlaku berpunca daripada kepincangan rumah tangga.

Ada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga mengaku tidak selesa hidup bersama kerana masing-masing mengabaikan solat.

“Apakah selamat hidup kita apabila suami, emak mentua tidak menunaikan ibadat tiang agama itu,” soalnya.

Pengaruh sekeliling menyebabkan kanak-kanak cepat baligh. Kalau dulu remaja baligh pada usia 15 tahun, kini ada kanak-kanak sudah baligh pada usia 10 tahun.

“Purata umur bagi lelaki berkahwin sekarang ialah 28.8 tahun, manakala wanita 25.6 tahun. Bayangkan masa yang terlalu panjang dilalui selepas baligh pada usia 10 tahun? Akibat faktor ini banyak gejala tidak sihat berlaku kerana tidak dapat mengawal nafsu,” tambahnya.

Bagi membendung gejala sosial, ibu bertanggungjawab menjelaskan kepada anak gadis mengenai apa yang perlu dibuat dan dielak apabila sudah datang haid. Mereka tidak boleh lagi bermesra dengan adik beradik lelaki, mahupun bapa sendiri bagi mengelak sumbang mahram.

Malangnya, oleh kerana sibuk dengan kerja harian, ada ibu lupa tanggungjawab mendidik anak dan ia menjadi punca anak pergi kepada rakan atau ‘peer group’ yang bukan membantu, tetapi meletakkan mereka dalam kemelut yang tiada penamatnya.

Zawiah juga mengingatkan ibu tidak menjadi ‘orang gaji’ kepada anak. Seseorang anak dilarang mengeluarkan kata-kata kasar kepada ibu. “Apabila ibu menjaga cucu dan mungkin mengabaikan tanggungjawab, anak sudah tentu mengeluarkan kata-kata kasar kerana kecuaian itu.

“Sama ada menengking atau perkataan uh! sekalipun ia tetap mengecilkan hati ibu dan perbuatan ini adalah berdosa. Lainlah jika cucu itu dah besar dan boleh memimpin neneknya ke masjid,” katanya.

Dalam mengharungi usia tua, ibu sepatutnya lebih banyak menghabiskan masa beramal seperti firman tuhan bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal salih dan berpesan kepada kebenaran dan kesabaran” (Al’Asr).

Dalam melalui kehidupan ini ingatlah pesan Rasulullah, jaga lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu: muda sebelum tua; senang sebelum datangnya sibuk; kaya sebelum miskin; sihat sebelum sakit dan hidup sebelum datangnya kematian.

Menjejak landskap kelahiran Gus Dur

Oleh - Karim Raslan

Masa terus berlalu, tanpa kita sedari sudah lebih 100 hari sejak pemer-gian Allahyarham Abdurrahman Wahid (juga dikenali sebagai Gus Dur), bekas Presiden Indonesia dan ulamak tersohor. Sebagai mengingati beliau, saya memutus-kan untuk menyusuri perjalanan darat selama enam jam dari Jogjakarta ke Jombang.

Perjalanan itu saya anggap simbolik : Gus Dur beria-ia mahu menyusuri jalan sama beberapa minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir. Sebelum itu pun, beliau juga sering mengembara menerusi Jawa.

Seperti dikatakan anak perem-puannya, Yenny : “Arwah ayah tahu segenap pelosok jalan dan laluan keretapi di Jawa. Arwah telah ke semua daerah di sana, boleh menerangkan terperinci setiap bandar, stesen berikutnya dan warung makanan terbaik.”

Lebih dari itu, perjalanan kali ini membantu saya lebih menge-nali masyarakat kebanyakan Indonesia dan sebaliknya. Gus Dur menerap banyak semangat dan tenaga daripada mereka.

Ketika hidupnya, Gus Dur selalu ada masa bertemu rakyat. Beliau sering ke sana ke mari, walaupun duduk di kerusi roda; mengembara, berceramah dan bertemu kiai di pesantren atau sekolah agama seluruh Indonesia.

Gus Dur adalah lebih besar daripada kehidupan. Berjenaka, tidak suka menonjol diri dan berwawasan. Khalayak menyukai kerana beliau tahu cara untuk mengajar sambil pada masa sama, menghiburkan hadirin.

Beliau tidak pernah membo-sankan dalam kumpulan kecil atau himpunan ribuan manusia. Masyarakat kebanyakan Indo-nesia, cebisan daripada golongan elit Jakarta, mengingati beliau atas keriangan ini.

Atas nekad ini, saya memula-kan perjalanan, menjejaki langkah beliau dari Jogja ke Jombang. Saya cukup terhibur dengan latar belakang landskap itu, malah turut mengaguminya, walaupun sedar tidak akan menyelami Jawa seperti Gus Dur lakukan. Akhirnya, setelah enam jam perjalanan, saya tiba di Jombang.

Terletak di kawasan Jawa Utara, ia lebih dikenali sebagai Bandar Santri, atau kota para ilmuwan Islam. Ia juga menjadi tempat kelahiran Gus Dur dan sekarang tempat persemadian beliau selamanya.

Sesungguhnya, kedua-duanya hampir sinonim. Di Jombang jualah, datuk Gus Dur, Hashim Asyari mengasaskan Tebuireng, sebuah pesantren yang popular sekitar 1899. Hashim menubuh-kan Nahdatul Ulama pada 1926 dengan kekuatan ahli lebih 40 juta pada masa ini, yang mana menjadi landasan Parti PKB oleh Gus Dur (kini telah berpecah) pada 1998.

Kali pertama saya berkunjung ke Jombang ialah selepas kejadian letupan bom dahsyat di Bali pada 2002, untuk menulis mengenai pesantrennya dan ribuan pelajar. Bandar itu telah berubah secara ketara sejak itu. Ia menjadi lebih hingar-bingar dan makmur. Kedai-kedai diubah suai, manakala bangunan kerajaan dicat semula. Tebuireng jua tidak ketinggalan dalam hal ini, turut mengalami proses transformasi. Gerai-gerai menjual juadah, kemeja T dan barangan cenderahati serta aksesori, terselit banyak buku yang menyanjung jenaka Gus Dur.

Menyusuri laluan tersebut, saya menyertai khalayak menuju ke tanah perkuburan, membacakan Surah al-Yasin. Bahasa Arab saya agak tidak berapa baik dan pasti ramai khalayak tertanya-tanya gerangan lelaki asing ini. Apapun, saya menjadi tabah kerana mahu memberi penghor-matan ke atas seorang pemimpin yang telah lama saya kagumi.

Tidak lama selepas itu, saya bertembung dalam perbualan sekumpulan jemaah haji dari Bondowoso, sebuah daerah terletak kira-kira empat jam dari situ. Saya bertanya apa tujuan mereka ke mari sejauh itu?

Mardianto, seorang wartawan berusia 40 tahun menjawab: “Gus Dur adalah Mahaguru. Beliau tidak pernah membezakan kaya dengan miskin; melindungi yang lemah dan hidup bersama mereka. Sesungguhnya, beliau adalah salah seorang daripada kami.”

Melihatkan ratusan pengun-jung berhimpun di sana, saya menyedari Gus Dur antara pemimpin paling berpengaruh di republik berkenaan. Beliau adalah bekas ketua Nahdatul Ullama dan Semar, watak pelawak dan peng-hibur dari pertunjukan tradisi masyarakat dipanggil Wayang.

Dengan tidak dihargai, Gus Dur telah membantu republik ketika keadaan memerlukan. Ketenangan beliau dengan air muka bersahaja dan tidak mudah menggelabah menenangkan Indonesia semasa tahun-tahun tidak menentu zaman reformasinya.

Pencapaian terbesar Gus Dur ialah beliau berdiri megah seolah-olah benteng menentang puak pelampau agama dan keganasan semasa tempoh tragedi dan suasana huru-hara melampau yang berlaku.

Beliau adalah contoh dan teladan berkilau untuk semua pemimpin, terutama di Malaysia yang memperlihatkan cara penyelesaian mudah sering kali melibatkan tekanan ke atas pihak tertentu.

Nikmati hiburan dihalal agama

IMAM al-Ghazali dalam kitab Ihyaa'nya berkata: "Pendengar dari masyarakat awam yang tiada unsur kecintaan kepada Allah, tetapi amat menggemari nyanyian dan dia tidak terpengaruh kepada sebarang unsur syahwat.


JAGA TATA SUSILA...Islam menggalakkan umatnya berhibur dengan cara tertentu dan tidak melebihi batasan. sebelum - selepas



BAHAYA...tamadun manusia pernah runtuh akibat hiburan melampau."Ketika ini nyanyian yang asalnya haram untuknya akan menjadi harus seperti mana perkara lain yang menyeronokkan. Namun apabila menjadikan nyanyian sebagai siulannya dan dia meninggalkan kewajipan yang lain (kemaruk), dia tergolong dari kalangan orang dungu yang ditolak persaksiannya."
Begitulah terjadinya apabila hiburan 'diangkat' ke darjat paling utama sehingga melupakan hak serta tanggungjawab kita sebenar sebagai manusia yang perlu bersikap sederhana.

Sifat ingin sentiasa berhibur adalah satu kesalahan dan jika terus dibiar sudah pasti dosa itu akan terus berganda. Benar sekali, hiburan memang dekat dengan masyarakat kita.

Malah, ada yang berpendapat dengan mendengar lagu kesukaan mereka, ia dapat membangkitkan ketenangan serta semangat.

Kebanyakan penggemar hiburan pula terdiri daripada golongan remaja. Kita runsing memikirkan bagaimana golongan ini mampu meneruskan adat dan budaya bangsa pada masa depan jika mereka terus 'disogok' dengan hiburan ala Barat yang nyata berlawanan dengan budaya Islam.

Menghukum muzik dan hiburan hari ini sebagai haram secara umum juga tidak memadai kerana hakikat fitrah semula jadi manusia memang memerlukan hiburan.

Apabila membincangkan soal fitrah sememangnya manusia tidak dapat lari daripadanya. Sama juga halnya dengan hiburan. Ia tergolong dalam perkara fitrah yang mana manusia memerlukan hiburan bagi tujuan berseronok.

Konsep hiburan dalam Islam itu sendiri adalah bagi mencapai kepuasan, ketenangan dan terlepas dari keresahan. Dalam ruang lingkup yang lebih luas, ia dapat memelihara diri dan merasa damai dengannya.

Maka, hiburan seeloknya disemarakkan dan dibangunkan dalam acuan yang bersandarkan kepada unsur yang positif, terkawal, sederhana dan mempunyai ciri bersifat mendidik.


Perdebatan mengenai hukum dan masalah ini masih terus berlanjutan dan ia memerlukan penyelesaian supaya hiburan dapat menjadi titik tolak dalam mendapatkan keredaan Allah s.w.t terutama dalam konteks memenuhi naluri manusia.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata Islam bukan agama yang statik sehingga menjadikan hidup manusia kaku dan tiada langsung diselang-seli dengan hiburan serta keseronokan.


"Namun ia perlu mengikut kadar dan tidak melampaui batas. Hiburan seperti nyanyian ini tidak semestinya berbentuk nasyid atau berirama padang pasir saja.

"Banyak lagu dan lirik yang iramanya bagus seperti mengajak masyarakat cintakan tanah air atau menghargai diri sendiri seperti Ilham Pujangga dendangan Ismail Haron, lagu kenegaraan nukilan Johar Bahar, lagu keramat perajurit tanah air, Inilah Barisan Kita dan Tanah Pusaka yang mampu memberi kesan psikologi mendalam menimbulkan keinsafan serta kesyukuran dalam jiwa.

"Begitu juga dengan lagu Kepadamu Kekasih dendangan M Nasir, Sesat Dalam Rindu ciptaan S Amin Sahab dan Kau Yang Satu dendangan Ramli Sarip sememangnya berjaya menghasilkan sajak serta doa yang puitis," katanya.


Beliau berkata, orang Arab jahiliah bebas berhibur dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan selain turut meminum arak.


"Mereka sememangnya begitu memuja arak sehingga dalam bahasa Arab saja terdapat lebih kurang 250 kalimah melambangkan arak. Hal ini ada disebutkan dalam Tafsir al-Azhar oleh Hamka," katanya.



Menurut Badli Shah, hiburan melampau merujuk kepada individu yang setiap masa dan ketika kehidupan mereka dipenuhi dengan hiburan.

"Hiburan tidak boleh dinikmati secara berlebihan. Imam Ali r.a mengibaratkan hiburan dalam hidup seseorang seperti garam dalam makanan; cukup dipergunakan sekadarnya saja. Apabila berlebihan, maka ia akan merosakkan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang berlebihan." (Surah al-A'raaf ayat 31) Kata Badli Shah, seharusnya hiburan tidak dicemari dengan hal diharamkan syariat.

"Ini kerana hiburan yang pada dasarnya diharuskan syarak berubah menjadi haram akibat ternoda dengan perkara bertentangan dengan nilai agama dan sosial," katanya.


Beliau berkata faktor keruntuhan kebanyakan tamadun serta empayar Islam pada zaman dahulu juga adalah berpunca daripada masalah berkaitan dengan hiburan melampau.


"Jika ditinjau antara sebab keruntuhan khalifah Abbasiyyah adalah kerana mereka tidak pernah terlepas daripada gaya hidup hedonisme, berfoya-foya dan bermewah-mewahan," katanya.



Menurut Khatib al-Baghdadi, "Khalifah Abbasiyah bernama al-Muqtadir memiliki 11,000 pelayan dari Sicilia, Rom dan Ethiopia serta memiliki kemewahan yang tidak ada taranya dalam sejarah."

Sehubungan itu, hiburan perlu dinikmati secara baik yang jauh daripada perbuatan cela.

Ia adalah bentuk hiburan dinyatakan Rasulullah melalui sabdanya: "Seorang yang berakal tidak selayaknya menghabiskan waktu, kecuali untuk tiga perkara iaitu mencari bekalan akhirat, memperbaiki taraf hidup atau menikmati hiburan tidak diharamkan." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban).


Katanya, apa saja bentuk hiburan dibawa perlu kepada mesej yang berguna bertujuan menyedarkan masyarakat.


"Elemen ditegah seperti memfitnah, mengaibkan individu lain, mengganggu ketenteraman orang ramai, menyelitkan perlakuan maksiat, pemujaan, penyembahan serta permusuhan perlu dihindarkan," kata Badli Shah.


Situasi seumpama itu yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Majah dan lain-lain bermaksud: "Umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama yang lain.

"Mereka dialunkan muzik dan penyanyi-penyanyi. Allah akan membinasakan mereka dan menjadikan sebahagian mereka beruk-beruk dan babi-babi."

Lebih mulia jika hiburan itu sendiri dapat membawa perubahan baik selain mampu menyalurkan nilai yang boleh memberi kesan positif dan berguna kepada pembangunan masyarakat.


Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin al-As yang bermaksud: "Wahai Abdullah bin Amr, sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang memiliki hak tersebut."

Islam menggalakkan umatnya berhibur dengan cara tertentu dan ia bertentangan dengan konsep 'mencari' hiburan dalam memenuhi tuntutan nafsu tanpa batasan.

Kesan hiburan itu sendiri perlu berbalik kembali kepada Islam yang mana jelas membezakan perkara yang halal atau haram.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk)." (Surah al-A'raf, ayat 157)

Kita perlu mewujudkan jaringan hiburan yang sesuai dan terpisah daripada pengaruh barat. Hiburan yang diketengahkan barat terlalu sarat dengan tarian separuh bogel, meminum arak, lelaki berimej samseng yang ternyata jauh tersasar daripada peradaban manusia.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya." (Hadis riwayat Muslim).

Ia dilihat sebagai 'alat' yang menyelinap secara halus dalam misi untuk menghanyutkan umat Islam. Jika tidak dibendung maka dengan mudah umat Islam terjerumus ke lembah kefasikan.