? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, July 2, 2010

MELINDUNGI HAK-HAK WANITA ISLAM

PERBINCANGAN mengenai hak-hak wanita Islam dari sudut undang-undang kekeluargaan tidak pernah surut dalam mana-mana forum masyarakat sama ada formal ataupun tidak formal. Secara ringkasnya, hak-hak wanita Islam merangkumi hak-hak sebelum dan semasa perkahwinan, serta selepas perpisahan dengan pasangan sama ada bercerai hidup atau disebabkan kematian pasangan.
Isu yang paling besar berbangkit adalah merujuk kepada hak-hak sebagai isteri, walaupun hak-hak tersebut turut merangkumi tanggungjawab seorang bapa kepada anak perempuannya ataupun anak lelaki kepada ibunya. Sasaran sebenar kepada perbincangan yang menjurus kepada soal perlindungan atau pemerkasaan hak-hak wanita Islam adalah kaum lelaki sama ada bapa ataupun suami. Jika kaum Adam bersikap amanah, memahami tanggungjawabnya dan melaksanakannya dengan baik dan sempurna, maka sudah tentu tidak akan terbangkit soal 'memperkasa' atau 'memperjuangkan' hak-hak wanita Islam.
Malangnya apabila kita lihat fenomena yang berlaku di sekeliling, kita dapat mengagak bahawa jumlah unit keluarga Islam di negara kita yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan adalah tinggi, terutamanya pembelaan terhadap hak wanita Islam.
Apabila kaum lelaki yang ditugaskan oleh Allah SWT gagal untuk menunaikan hak-hak berkenaan, maka di sinilah ruang bagi pihak-pihak tertentu untuk mengambil tempat dan memainkan peranan agar wanita yang memerlukan pembelaan ini dibantu. Bantuan dan sokongan ini diberi supaya hak wanita yang dinafikan ini terbela, mereka dapat menjalankan kehidupan seperti biasa dan kesejahteraan negara dapat dikekalkan.
Pemerkasaan hak-hak wanita Islam itu perlu bermula pada diri wanita itu sendiri. Wanita Islam seharusnya mempunyai pengetahuan dan kefahaman asas yang sempurna tentang tujuan perkahwinan dan hak serta tanggungjawab suami isteri. Melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna adalah syarat wanita berkenaan mempunyai kelayakan untuk menuntut haknya. Bagaimanapun sekiranya ia enggan untuk melaksanakan tanggungjawabnya maka, ia perlu bersikap adil terhadap pasangan dan dirinya sendiri. Setiap permasalahan yang berkaitan dengan hal-hal kekeluargaan, mempunyai jalan keluar dan penyelesaian yang tertentu.
Hukum-hakam yang difahami perlu disertai dengan kefahaman bahawa hak-hak wanita Islam di Malaysia dilindungi oleh Undang-undang Keluarga Islam menurut negeri mereka bermastautin. Ini perkara asas yang perlu ada bagi setiap wanita Islam di Malaysia. Kefahaman yang ada juga perlu digabungkan dengan memiliki inisiatif untuk mencari tempat yang tepat sekiranya mereka mengalami sebarang masalah yang berkaitan dengan rumah tangga.
Usaha pemerkasaan ini memerlukan sinergi daripada pihak-pihak tertentu bagi memastikan hak-hak wanita Islam dapat dibela sementelah hak mereka dinafikan oleh pasangan ataupun pihak-pihak lain yang terlibat dalam konflik kekeluargaan.
Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri dan undang-undang lain seperti Akta Keganasan Rumah Tangga seharusnya mempunyai keupayaan untuk mengurus sebarang pertikaian yang dibawa ke Mahkamah Syariah. Semakan dan pembaharuan terhadap apa-apa juga undang-undang yang berkaitan perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya ia sentiasa bersedia untuk menangani sebarang permasalahan baru disebabkan perubahan-perubahan yang berlaku.
Peruntukan-peruntukan umum yang digunakan bagi menyelesaikan isu-isu yang sudah acap kali dibawa ke hadapan hakim seharusnya diperkemas dan dipinda supaya undang-undang bersifat lebih efektif.
Contohnya, tekanan mental yang dialami oleh isteri disebabkan pertelingkahan yang berpanjangan dengan suami harus disebut secara khusus dalam seksyen-seksyen yang sesuai bagi menggantikan peruntukan umum yang selama ini digunakan.
Kesempurnaan undang-undang yang dikanun atau digubal tidak akan memberi erti sekiranya pengamal undang-undang tidak mengoptimumkan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam undang-undang yang berkaitan. Dikatakan bahawa masih terdapat peruntukan-peruntukan yang sedia ada dibiarkan oleh kalangan pengamal perundangan, sedangkan ia boleh memberi keadilan kepada pihak-pihak yang bertikai.
Contohnya dalam kes tuntutan nafkah anak-anak pada bekas suami. Apabila bekas suami tidak mampu memberi nafkah atau menghilangkan diri, maka tuntutan sepatutnya dibuat kepada waris-waris lelaki bekas suami tersebut.
Selain itu, cagaran nafkah juga boleh dibuat sebagai jaminan supaya bayaran nafkah tidak diabaikan. Perkara-perkara ini telah pun diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam tetapi malangnya tidak dimanfaatkan.
Peguam sewajarnya mempunyai dedikasi yang tinggi dalam memberi perkhidmatan kepada anak guam. Apalah ertinya kemenangan berpihak kepada pihak penuntut, tetapi keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah tidak dapat dimanfaatkan dan hanya tinggal sebagai paper judgement semata-mata.
Apabila hujahan kes dibuat, peguam tidak sepatutnya hanya bergantung dengan undang-undang semata-mata, rujukan yang mendalam dan komprehensif sewajarnya dibuat. Rujukan berkenaan seharusnya bersandarkan kepada nas-nas syarak daripada al-Quran, Hadis, ijmak dan juga pandangan-pandangan ulama yang muktabar dan kemudiannya merumuskan dapatan-dapatan tersebut serta menyesuaikannya dengan maslahah kes yang dihadapkan ke Mahkamah.
Dalam hal-hal tertentu, hakim sepatutnya boleh 'turun padang' untuk melicinkan perjalanan perbicaraan satu-satu kes. Contohnya, hakim syarei tidak membicarakan kes dengan hanya mengikut kepada apa yang dikemukakan oleh pihak yang menuntut.
Sekiranya ia beranggapan bahawa kes yang dikemukakan di hadapannya boleh diselesaikan dengan lebih lancar menurut pendekatan alternatif, maka ia boleh mengarahkan pihak-pihak yang bertikai untuk menyelesaikan pertikaian tersebut dengan pendekatan yang lebih wajar dan efektif.
Atau dengan perkataan lain, jika seseorang hakim itu berpandangan bahawa tuntutan pihak plaintif perlu dipinda, maka sepatutnya hakim berkenaan tidak merasa terhalang untuk mengarahkan pihak berkenaan membuat pindaan yang sewajarnya.
Pemerkasaan hak-hak wanita Islam juga memerlukan sokongan kuat daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka mungkin boleh menggesa pihak-pihak tertentu supaya bersikap lebih praktikal dan efektif.
Bagaimanapun, bantuan secara langsung daripada pertubuhan-pertubuhan ini tentunya boleh menjadi pemangkin yang amat berkesan dalam usaha pemerkasaan hak-hak wanita Islam di negara ini. Contohnya, mewujudkan satu manual untuk rujukan wanita-wanita Islam yang malang untuk memilih tuntutan yang sesuai, borang-borang tuntutan yang bersesuaian dan dokumen yang diperlukan semasa berurusan di mahkamah dan persediaan atau pemilihan saksi.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

0 comments: