SISTEM muamalat Islam sangat mementingkan keadilan dan kesaksamaan kepada pihak yang terlibat dalam kontrak. Sistem yang digagaskan oleh al-Quran dan Sunnah ini menetapkan rukun-rukun tertentu bagi menjayakan tujuan di sebalik pengamalan kontrak-kontrak yang berlangsung. Di sebalik rukun-rukun yang terdapat bagi setiap kontrak itu, terdapatnya syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memastikan kesahihannya.
Sebagai contoh, antara rukun yang perlu ada dalam kontrak jual-beli (al-bai') ialah al-'aqidain (dua pihak yang berakad). Namun, tidak cukup setakat itu. Rukun-rukun tersebut mesti memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Iaitu kedua-dua pihak yang berakad mestilah baligh dan berakal.
Al-Quran tidak meletakkan secara khusus syarat-syarat yang perlu untuk memeterai sesuatu kontrak. Namun, al-Quran telah memberikan garis panduan umum yang perlu dipatuhi bersama oleh mereka yang terlibat dalam kontrak. (rujuk al-Maidah: 1)
Melalui ayat ini, kita dapat memahami bahawa Allah SWT memerintahkan mereka yang berkontrak supaya mematuhi segala syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama semasa kontrak dilangsungkan. Ini bermakna, setiap pihak yang telah bersepakat tentang syarat-syarat tertentu dalam kontrak akan terikat dengan syarat-syarat berkenaan.
Sekiranya terdapat pihak yang gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka dia bertanggungjawab menanggung bebanannya termasuklah sebarang kerugian yang terhasil daripada pelanggaran syarat-syarat terbabit.
Dalam Islam, mereka yang melanggar syarat-syarat yang ditetapkan bukan sahaja akan menerima akibatnya di dunia, bahkan dia dianggap sebagai berdosa kerana mengkhianati kontrak dan bakal menerima pembalasan di akhirat. (rujuk al-Isra': 34)
Sebagai contoh, sekiranya dua pihak bersetuju untuk melakukan perniagaan atas asas mudharabah, maka antara perkara yang mereka mesti bersetuju dan bersepakat terlebih dahulu adalah tentang pembahagian keuntungan. Satu pihak akan menjadi penyumbang modal (Rabbul Mal) manakala satu pihak lagi akan menjadi pekerja (Mudharib).
Setelah perniagaan tersebut berlangsung dan didapati adanya keuntungan, maka kedua-dua pihak yang berkontrak perlu membahagikan mengikut peratusan yang telah dipersetujui pada peringkat awal. Sebaliknya, jika terdapat kerugian, maka ia hanya melibatkan wang penyumbang modal, bukannya pekerja.
Namun begitu, sekiranya pekerja tersebut melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama semasa menjalankan perniagaan tersebut, maka dia akan menanggung segala kerugian yang berlaku. Ini berasaskan hadis daripada Ibnu Abbas r.a. katanya: "Saidina Abbas bin Abdul Mutalib apabila menyerahkan harta sebagai mudharabah mensyaratkan kepada kawannya (pekerja) supaya jangan membawa hartanya menyeberang laut, menuruni lembah dan membeli binatang yang hidup. Jika dia melakukan juga demikian hendaklah dia menanggung bayaran ganti rugi. Syarat yang diletakkan oleh Abbas ini telah sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW dan Baginda meluluskannya. (riwayat Al-Tabarani)
Secara asasnya, Islam membenarkan kita untuk meletakkan syarat-syarat tambahan dalam kontrak yang dimeterai. Kebebasan berkontrak ini sejajar dengan asas muamalat Islam itu sendiri yang bersifat harus (al-aslu fil ashya' al-ibahah). Penetapan syarat dibenarkan dalam Islam untuk menegakkan keadilan dan mengelakkan kezaliman serta penganiayaan kepada mana-mana pihak yang terlibat atau yang tidak terlibat dalam kontrak.
Justeru, selagi mana syarat-syarat yang ditetapkan tidak keluar dari keempat- empat kategori ini, maka ia dibenarkan. Namun, di sana terdapat juga syarat- syarat yang tidak diharuskan dalam Islam. Iaitu syarat-syarat yang mengganggu tujuan sebenar kontrak dan menggugat hak-hak mereka yang berkontrak.
Islam juga melarang syarat-syarat yang menyebabkan hak-hak pihak yang berkontrak dizalimi. Sebagai contoh, pihak penjual menyatakan "aku menjual rumah ini kepada kamu dengan syarat aku hendak mendudukinya selama setahun terlebih dahulu". Syarat ini juga terbatal dan boleh memberikan kesan kepada kontrak berkenaan.
Garis panduan ringkas ini sebenarnya digagaskan melalui nas al-Quran dan Sunnah untuk menjaga maqasid Syariah di sebalik kontrak-kontrak Islam. Ia juga untuk mengelakkan mana-mana pihak mengikat pihak yang lain dengan akad yang berat sebelah. Ini sekali gus akan menjejaskan keharmonian dan persaudaraan sesama manusia.
Thursday, June 10, 2010
Keadilan kontrak Islam
Posted by Allahyarham achit at 12:48 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment