Saidina Ali r.a menggambarkan bahawa remaja adalah cerminan masyarakat hari depan. Sekiranya masyarakat muda pada hari ini dibina secara berkualiti, maka kepimpinan pada mada hadapan juga berkualiti. Untuk melahirkan generasi bermutu bergantung kepada corak pendidikan di rumah, di sekolah dan pengukuhan dalam masyarakat.
Pengaruh globalisasi yang mendukung aliran liberalisme juga mempengaruhi pembentuk jiwa dan minda remaja.
Pancaran media sama ada yang konvensional mahupun elektronik tidak semuanya memberikan pengaruh bermanfaat kepada generasi muda. Banyak program yang melalaikan tersaji sehingga aliran nafsu nafsi atau hedonisme berkembang tanpa batas. Ia melahirkan pola-pola pemikiran dan kecenderungan popular di kalangan generasi muda sehingga jati diri makin cair.
Kukuhkan Jati Diri
Bagi negara seperti Malaysia, faktor jati diri yang menggambarkan budaya tradisi unggul dengan tamadun sendiri amat penting. Sekiranya generasi muda tidak mendalami sejarah pertumbuhan bangsa, budaya, tradisi dan agama, ia boleh menyebabkan mereka terutamanya remaja Melayu menjadi penciplak utuh kepada budaya orang.
Justeru, amat penting bagi generasi hari ini mencorakkan masa depan mereka dengan mempertimbangkan budaya dan tradisi yang baik serta diperteguhkan dan mengambil pengaruh luar yang bermanfaat.
Ia harus diberikan olahan kreatif supaya menjadi sebahagian daripada peradaban kita.
Inilah proses perubahan dan kemajuan yang perlu dicetuskan di zaman globalisasi supaya pengaruh luar yang positif dijadikan faktor mengukuh dan melengkapkan paradaban kita.
Salah satu strategi dalam agenda Barat ialah mempengaruhi cara berfikir generasi muda. Jalur berfikir orang Barat sering terpisah daripada agama, sedangkan jalur berfikir generasi muda Islam selalunya terkait dengan asas agama yang sepatutnya bersifat ketamadunan.
Maka, harus berwaspada dengan strategi Barat supaya generasi muda tidak terperangkap dalam proses liberalisasi yang menyebabkan umat Islam hilang etika dan nilai-nilai agama.
Jika ini berlaku, globalisasi akan sama dengan penjajahan bertujuan menghakis etika dan nilai supaya umat Islam menjadi pengkagum membuta tuli kepada sesuatu yang datang dari Barat.
Membina generasi muda mestilah bermula dengan pendidikan. Pendidikan Islam seharusnya mampu diolah supaya sifatnya menunjangi tamadun.
Kerohanian atau spiritual tanpa ilmu dan pemikiran boleh menyebabkan umat Islam ketandusan idea untuk mendukung sistem yang ada.
Cabaran generasi muda pada hari ini dan masa depan bukan berkaitan dengan hal fardu ain semata-mata.
Cabaran sebenar ialah dalam bidang profesional, saintifik, teknologi dan strategi.
Kita tidak mahu elemen rohani dan pemikiran sesetengah generasi muda hanya menyeluruh tentang Islam.
Tetapi keupayaan menterjemahkan Islam ke dalam sistem terbatas.
Ini boleh menyebabkan konflik berpanjangan di kalangan umat Islam.
Tanpa kemampuan dan strategi menguasai ilmu dan menguruskan sistem secara komprehensif tidak mungkin akan ada perubahan sosial, pendidikan dan pembangunan mengikut acuan Islam.
Generasi muda Islam amat perlu dididik dengan model-model berasaskan Islam sebagai alternatif untuk berhadapan dengan cabaran masa kini.
Pengambilan model dari luar dan diikuti pula dengan keterbatasan rohaniah generasi muda akhirnya akan menyebabkan dominasi asing semakin teguh.
Tasawwur Islam harus diperteguhkan dalam pemikiran generasi muda kita. Ia bagi mengimbangi dominasi Barat terhadap pemikiran generasi muda yang tidak dapat dielakkan.
Model-model bersifat bersepadu dalam semua sistem kehidupan yang tidak hanya mementingkan soal ritual mampu memberi alternatif kepada nilai dan pembawaan generasi muda masa depan.
Asas mengenai solat, siyam, zakat, haji, bersuci (taharah) dan seumpamanya belum memadai untuk menjadikan seorang remaja Islam sempurna hidupnya.
Corak cabaran yang dihadapi oleh remaja kini tidak hanya berkisar ke persoalan asas mengenai akidah dan ibadah tetapi remaja hari ini sedang diuji dengan masalah pemikiran, keyakinan, contoh teladan malah perkembangan maklumat yang datang dari pelbagai arah.
Memberikan remaja dengan kesedaran rohaniah semata tanpa membangunkan asas pemikiran boleh mendedahkan mereka kepada krisis pemikiran.
Asas-asas keinsanan
Justeru apa yang lebih penting ialah menterjemahkan nilai-nilai Islam supaya ia bukan sahaja membabitkan pengurusan diri, tetapi juga dalam soal mengurus sistem.
Apabila model-model Islam kena diperteguhkan dalam kurikulum kerana ia mampu menghasilkan modal insan yang seimbang.
Asas ini penting bagi menghadapi cabaran globalisasi yang sifatnya menampilkan kekuatan ilmu dan teknologi Barat di samping gagah dengan penguasaan ekonomi kapitalis liberal.
Pendidikan kewangan dan ekonomi Islam yang dilaksanakan misalnya, harus dipanjangkan dan diperkukuhkan dalam sistem pendidikan kita.
Tanpa semangat itu, remaja hari ini akan terpinggir pada masa depan. Ia boleh menjejaskan pegangan atau ekuiti sedia ada.
Ilmu mengenai perniagaan, etika dalam perniagaan perlu teguh dan dalam masa sama berkeupayaan untuk bersaing adalah faktor amat dituntut.
Lagi pula fokus pada hari ini lebih banyak tertumpu kepada sesuatu yang mempunyai nilai ekonomi hingga mengenepikan batas-batas kemanusiaan.
Pengurusan sains dan teknologi secara Islam yang didasari dengan semangat tamadun silam menjadikan sesuatu penghasilan atau penemuan saintifik tidak hanya bersifat teknologi tinggi tetapi juga mempunyai sentuhan kemanusiaan yang tinggi.
Teknologi selamanya adalah alat bukannya matlamat. Teknologi alat yang dihasilkan untuk membantu manusia mendapat kemudahan dan bantuan dalam kehidupan.
Teknologi menyebabkan gaya hidup berubah dan proses pengajaran dan pembelajaran berkembang. Teknologi memberikan kesan kreatif dan inovatif dalam dunia pengeluaran dan perkhidmatan. Pergantungan manusia kepada teknologi atau alat menyebabkan teknologi dianggap sebagai segala-galanya.
Memang Barat yang mendukung faham sekular dan liberal mementingkan aspek inovatif dan kreatif dalam menghasilkan teknologi. Barat tidak boleh menolak kepentingan nilai, etika, budaya dan tradisi yang baik dalam membangunkan keperluan teknologi untuk manusia dan perubahan.
Oleh kerana teknologi adalah alat, tentu ada asas-asas keinsanan yang boleh memandu aplikasi teknologi itu mencapai matlamatnya.
Oleh itu amat penting model Islam dijadikan petunjuk supaya nilai guna teknologi lebih terarah dan tidak menghapuskan manusia dan kemanusiaan.
Thursday, June 10, 2010
Penyuburan model Islam
Posted by Allahyarham achit at 1:19 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment