? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, June 8, 2010

Imam Zaid cendekiawan Muslim tersohor

NAMA Imam Zaid Shakir tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan umat Islam, khasnya di Amerika Syarikat (AS). Ini kerana selain diktiraf cendekiawan Islam berpengaruh lagi dihormati di Barat, Zaid atau nama sebelum Islamnya, Ricky D. Mitchell, juga adalah penulis terkemuka pelbagai bahan bacaan Islamik. Beliau juga menerima jolokan suara hati masyarakat Islam Amerika.
Kini, Zaid, 54 tahun, adalah profesor dan pensyarah di Zaytuna Institute, California, AS. Beliau membawa bersama keluarganya dari Syria ke AS pada 2003. Zaid mengajarkan Bahasa Arab, Undang-undang, Sejarah dan Kerohanian Islam.
Mantan Menteri Pendidikan Syria dan Ketua Akademi Bahasa Arab, Damsyik ini juga adalah antara panel dalam sebuah laman web, A Common Word Between Us and You, satu ruang yang memberi peluang cendekiawan Muslim seluruh dunia mengutarakan surat terbuka kepada ketua agama Kristian, sekali gus menjadi platform penting serta inisiatif dialog antara agama.
Dilahirkan di Berkeley, California, Zaid yang berketurunan Afrika, Ireland dan Orang Asli Amerika, memeluk agama Islam pada tahun 1977 sewaktu berkhidmat dengan Tentera Udara AS dan kemudian menggunakan nama, Zaid Salim Shakir.
Pengislaman diri menyaksikan Zaid disingkirkan daripada pasukan tentera. Pun begitu, beliau berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dalam Perhubungan Antarabangsa dari American University di Washington, D.C. dan kemudian ijazah sarjana Sains Politik dari Rutgers University. Sewaktu di Rutgers, Zaid adalah orang yang bertanggungjawab memastikan kejayaan kempen tidak membuat pelaburan di Afrika Selatan dan juga, pengasas bersama pusat Islam tempatan iaitu Masjid al-Huda.
Zaid kemudian pergi ke Syria untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Sains Tradisional Islam. Selama tujuh tahun di Syria, pendeknya di Maghribi, dia memberi tumpuan sepenuhnya dalam ilmu bahasa Arab, Perundangan Islam dan Pengajian al-Quran daripada beberapa tokoh cendekiawan Islam seperti; Mustafa Turkmani, Sheikh Hassan Habannaka, Saleem Hammami, Sheikh Abdul-Rahman ash-Shaghouri dan Sheikh Ramadan al-Bouti.
Pada 2001, anak kedua daripada tujuh adik-beradik merupakan siswazah berbangsa Amerika yang pertama menamatkan pengajian dari sebuah universiti berprestij di Syria iaitu Universiti Abu Nour. Kemudiannya, mengambil keputusan menetap di New Haven, Connecticut dan berkhidmat sebagai Imam di Masjid al-Islam, selain kerap menulis, menyampaikan ceramah yang menyentuh pelbagai isu dan meneruskan aktiviti kemasyarakatan.
Sebagi imam di Masjid al-Islam sejak 1988 hingga 1994, Zaid menjadi pelopor kepada usaha anti dadah dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan lain. Zaid juga berkhidmat sebagai Chaplain majlis antara agama di Yale University dan menghasilkan Latihan Sensitiviti Chaplaincy bagi pakar perubatan di Yale New Haven Hospital. Kini, Zaid Shakir menyertai usaha untuk menggiatkan semula roh keIslaman.
Imam Zaid bersama dengan Sheikh Hamza Yusuf, pengasas Zaytuna Institute di Hayward, California, di mana dia menjadi sebahagian penting dalam komuniti Islam pasca-911. Di samping, mengajar sepenuh masa di institut itu, beliau juga terlibat secara aktif sebagai panel dalam laman blog, The Washington Post's On Faith. Zaid juga mengarang beberapa buah buku dan serius menyertai komuniti Muslim dan antara agama di Bay Area.
Dalam satu temuramah oleh akhbar InFocus pada Januari 2008 dan rencana itu dikemaskini pada November 2009, Zaid pernah ditanyakan titik tolak yang membawanya kepada agama Islam?
Katanya, kemalangan ketika tahun akhirnya dalam perlawanan bola sepak telah mengakibatkan kecederaan bahu yang sekali gus telah meranapkan kerjaya bola sepaknya.
"Sejak itu, saya mula mencari bidang kerjaya yang lain daripada bergelar atlet. Malah saya lebih serius dalam melihat pelbagai aspek kehidupan. Tidak lama kemudian, sewaktu pulang daripada menghadiri sebuah parti, ketika pulang, saya terserempak dengan seorang budak perempuan dari Puerto Rico. Dia menjerit sambil mengulangi ungkapan mengapa dirinya tidak disayangi?
"Insiden itu benar-benar menyentuh hati dan fikiran saya, apatah lagi luahan itu dibuat oleh kanak-kanak sekecil usia sembilan atau 10 tahun. Kejadian inilah yang benar-benar mengetuk minda saya untuk berfikir tentang kehidupan. Saya rasa inilah yang menjadi titik tolak yang menjadi kemuncak kepada pencarian saya tentang Islam.
"Pada saat itu jugalah tumpuan saya mula beralih kepada pelbagai falsafah, ideologi dan agama. Semuanya dengan harapan untuk mencari jalan kebenaran. Saya juga mula membaca bahan-bahan bacaan mengenai pelbagai agama yang terdapat di Barat seperti; Zen Buddhism, Confucianism, Taoism dan bermacammacam lagi. Dalam proses ini juga saya terlibat dengan meditasi transendental, yang mana banyak diamalkan oleh selebriti popular waktu itu.
"Sayangnya agama dan kerohanian di Barat ini lebih kepada membawa manfaat diri sendiri dan tidak kepada orang lain. Ini menyebabkan saya mula tertanya balik dan pada masa sama, saya memperoleh sebuah buku bertajuk, Islam in Focus. Sebaik saya membaca buku itu, segala persoalan yang dicari-cari selama ini terjawab," katanya yang selang beberapa bulan kemudian, mengucap dua kalimah syahadah.
Sejak itu akui Zaid, dia tidak lagi menoleh ke belakang, apa lagi mencari-cari agama lain. Katanya lagi, di dalam Islam terdapat juga meditasi iaitu dengan berzikir.
Berkongsi detik pengenalannya dengan Sheikh Hamza, cerita Zaid, kali pertama mereka bertemu ialah pada 1993 dalam sebuah kem di New Mexico. Kali kedua pula ialah pada satu persidangan MAYA (Muslim Arab Youth Association) di Detroit, di mana pada saat itulah dia berpeluang berbicara dari hati ke hati dengan Sheikh Hamza.
"Sewaktu belajar di Syria saya pernah dijemput di beberapa persidangan anjuran Zaytuna. Walau bagaimanapun, selepas persidangan Dekan Intensif di Calgary saya kembali ke Masjid al-Islam dan mendapati telah banyak perubahan yang berlaku di situ. Dari situ, saya dapat merasakan bahawa saya perlukan satu tempat atau suasana baru untuk terus mengembangkan Islam.
"Daripada situ saya mula memikirkan penghijrahan ke Zaytuna. Pada masa yang sama, tekanan pasca-911 telah melibatkan Sheikh Hamza. Justeru, saya nampak satu keperluan untuk menjelaskan kebenaran Islam.
"Sungguhpun, pada masa itu, saya telah membuat komitmen untuk ke Pertubuhan Islam di Utara Texas tetapi saya menarik balik pada saat akhir dan menyertai Zaytuna pada musim panas 2003," katanya bersyukur berada di situ sehingga sekarang.
Pada akhir sesi temuramah itu, Zaid sempat berpesan kepada umat Islam Amerika dan Muslimin di seluruh dunia, agar lebih menghargai dan tidak mensia-siakan nikmat Allah SWT.
"Seharusnya segala kelebihan dan peluang di atas dunia ini digembleng seluruh tenaga dan potensi agar membawa manfaat kepada umat Islam dan bukan Islam seluruh dunia.
"Umat Islam juga harus melihat agama itu secara menyeluruh. Malah jangan sekali-kali agama itu hilang daripada hati nurani kita. Hubungan intim dengan Allah, pastinya Allah mempermudahkan segala cabaran dan dugaan yang mendatang. Insya-Allah," kata Zaid.

0 comments: