? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, December 16, 2010

Perintah mengadap Kaabah

NABI Muhammad SAW telah bertindak wajar dan adil dalam Operasi Nakhlah, iaitu satu serangan pihak Islam terhadap rombongan dagang pihak Quraisy yang tidak sepatutnya berlaku disebabkan pengharaman perang dalam bulan-bulan haram.

Baginda membayar diat atas kematian Amru bin al Hadrami yang mati akibat terkena panah daripada pasukan umat Islam, membebaskan tawanan dan menahan daripada harta rampasan dibahagi-bahagikan.

Sekalipun telah diturunkan ayat yang menafikan fitnah-fitnah pihak Quraisy, namun musuh Islam tetap menyebarkan kepada seluruh pelosok alam bahawa orang Islam sudah membolehkan berperang dalam bulan haram.

Fitnah tersebut berterusan apabila umat Islam diperintahkan mengubah arah kiblat mereka daripada Baitul Maqdis ke arah Mekah.

Namun perkara tersebut boleh dijelaskan dalam aspek realiti yang berlaku pada masa itu.

Semasa di Mekah, Nabi Muhammad sembahyang menghadap ke arah Masjid al Aqsa, Baitul Maqdis dengan kedudukan Kaabah berada di hadapan baginda.

Dengan lain perkataan baginda menghadap arah kiblat itu kepada kedua-dua kedudukan selari Kaabah dan Baitul Maqdis sekali gus.

Namun, apabila baginda berhijrah ke Madinah dengan kedudukan Baitul Maqdis di utara Madinah dan Mekah. Maka, Mekah kini berada dalam kedudukan selatan dari arah Madinah.

Jadi, bayangkan kesukaran kepada baginda dan umat Islam bagi menjadikan kedua-dua kedudukan Baitul Maqdis dan Mekah berada dalam satu kiblat.

Justeru, baginda sangat berharap agar kedudukan kiblat tersebut dapat diubah dengan baginda lebih memilih kedudukan Mekah sebagai kiblat terbaru.

Baginda sentiasa tertunggu-tunggu bilakah Allah akan mengubah kiblat dari Masjid Al Aqsa, Baitul Maqdis itu kepada Kaabah di Masjidil Haram, Mekah.

Akhirnya pada bulan Syaaban (sesetengah mengatakan bulan Rejab) tahun kedua Hijrah bersamaan Februari tahun 624 Hijrah, Allah memerintahkan kiblat umat Islam diubah dari kedudukan Masjid Al Aqsa itu ke Kaabah.

Peristiwa itu tentunya berlaku di Masjid Al Qiblaitain yang pada asalnya dikenali sebagai Masjid Bani Salamah yang kini kita boleh temui di sebatang jalan menuju ke Universiti Al Madinah berdekatan sebuah istana Diraja Arab Saudi berhampiran Wadi Aqi di bandar Madinah. Ia beberapa kilometer dari Masjid Nabawi dan dianggap antara masjid tertua di dunia.

Ketika itu baginda sedang menunaikan solat fardu Zohor di Masjid Bani Salamah itu secara tiba-tiba, iaitu ketika baginda berada dalam rakaat kedua, turunlah ayat dari surah al-Baqarah ayat 144, yang bermaksud: Sungguh kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya, dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan."

Sejurus menerima ayat ini, baginda yang sedang solat itu terus mengubah arah kiblat baginda dari Masjid Al Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.

Sejak itu Masjid Bani Salamah dikenali sebagai Masjid Al Qiblaitain bererti Masjid Dua Kiblat, di mana terdapat padanya dua mihrab yang kiblatnya masing-masing mengadap Masjid Al Aqsa dan Kaabah di Mekah.

Namun, menerusi ayat tersebut jelas Allah sekali lagi menempelak pihak Quraisy yang terus menabur fitnah terhadap umat Islam ekoran pertukaran arah kiblat itu.

Mereka berkata: "Adakah ini satu agama, sekejap menghadap Baitul Maqdis. Sekarang sudah berubah menghadap Kaabah pula."

Hampir sebulan selepas peristiwa besar itu maka berlakulah apa yang sangat diingati oleh umat Islam, iaitu perang pertama dalam Islam iaitu Perang Badar.

Sebelum perang, berlaku pelbagai peristiwa dan yang paling utamanya perintah mewajibkan umat Islam berpuasa sepanjang bulan Ramadan.

Iaitu bulan Ramadan yang kedua (tahun kedua) selepas hijrah baginda ke Madinah.

0 comments: