MENJELANG tibanya tarikh 10 Muharam 1432 lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penangkapan seramai 120 orang Islam yang dikatakan berfahaman Syiah oleh Majlis Agama Islam Selangor di sebuah kedai dua tingkat di Taman Seri Gombak, Selangor.
Dalam sejarah Islam, sikap permusuhan akibat perbezaan pemikiran, pendapat dan pegangan politik telah menjerumuskan ummah ke jurang nestapa dalam menjalani kehidupan. Kita mungkin boleh meneladani sejarah lalu bahawa dengan permusuhan antara sesama kita dalam pemikiran politik hanya melanjutkan pertentangan yang tidak kunjung padam.
Perseteruan antara pelbagai aliran pemikiran, misalnya kelompok yang berpegang kepada prinsip kedekatan dengan Nabi Muhammad SAW, telah menjadikan wujud sengketa yang hingga kini masih menjadi asas. Kelompok Syiah tetap menganggap bahawa fahaman mereka sahajalah yang terbaik dan menjadi pewaris Islam yang sebenar. Kelompok lain, termasuk Sunni adalah musuh yang perlu dihapuskan.
Hakikat dendam yang masih membara terus menjadi masalah dalam penyatuan Islam sehingga melahirkan konflik berdarah. Di Iran, setiap tahun menjelang 10 Muharam akan ada puluhan orang Islam terkorban kerana puak yang satu lagi menganggap sikap melampau kelompok Syiah telah menyebabkan imej Islam tercemar.
Dr. Johan Effendi, dalam satu tulisannya pernah melukiskan keluhan seorang rakannya mengenai masalah yang dihadapi oleh umat Islam: "Tuhan kita tetap satu, Nabi kita Muhammad SAW juga satu, Kitab Suci kita pun satu, tetapi kita tidak pernah satu dalam segala hal. Kita terpecah-pecah dalam berbagai fikrah politik dan mazhab fikih dengan tingkat fanatisme yang tidak masuk akal. Akibatnya, kita mudah dikalahkan oleh golongan lain yang lebih kecil tetapi terurus lebih baik. Jadilah kita umat dengan pengakuan masa lalu yang jaya, tetapi menemukan diri dalam sudut masa kini yang miskin." (Menemukan Makna Hidup, 2001: 101-102)
Keluhan itu memang ada kebenarannya. Apabila kita merenung ke dalam kancah politik tanah air, kita akan menemukan banyak sebab yang melatari kepada perpecahan dalam masyarakat kita sendiri, yakni Melayu-Islam. Latar belakang politik yang berbeza menjadikan orang Melayu berada dalam persimpangan dan terjerut dalam kemelut pelbagai perspektif kehidupan.
Perpecahan orang Melayu atas makna kepelbagaian pendapat turut melebarkan jurang sosial, politik, ekonomi dan hubungan sesama Islam. Orang Melayu, dalam keadaan apa sekalipun di Malaysia tidak dapat dipisahkan dengan Islam, tetapi oleh kerana terus berperang dengan perbezaan pendapat dan cita-cita politik, ada yang sanggup melabelkan kelompok yang berbeza itu sebagai musuh dan lebih dahsyat lagi "halal dibunuh."
Persoalannya, musuh sebenar yang ada dalam diri umat Islam ialah dirinya sendiri. Kerana terlalu taksub dengan fahaman tertentu, sedangkan fahaman tersebut telah tersasar jauh dari jalan agama, masih terus dilihat betul dan benar. Kalau boleh, apa yang ditafsirkan oleh pemimpin mereka yang dipanggil "guru", akan terus dianggap benar dan tidak ada salah semuanya.
Apabila seorang yang diiktiraf sebagai "guru" menganjurkan majlis membaca doa beramai-ramai melaknat seseorang, maka cadangan tersebut dianggap wajar dan sepatutnya dipatuhi. Guru yang diberikan kepercayaan itu seolah-olah melepasi tahap dirinya sebagai manusia biasa, kerana atas dasar kedalaman ilmunya, maka "guru" itu dilihat bersih, suci dan diselubungi tahap keimanan yang tinggi.
Islam tetap memberikan tempat kepada agama-agama lain kerana itulah "bagi mereka, dengan agama mereka" asalkan hak dan kedudukan Islam tidak diceroboh. Dalam peringatan itu, ada di antara umat Islam sendiri telah membuat tafsiran sendiri sehingga menyebabkan sesetengah orang Islam itu sebagai "kafir." Tetapi "kekafiran itu hanyalah berlandaskan fahaman politik" yang tidak menjelma dengan nama Islam secara jelas.
Perjuangan politik yang berteraskan bangsa, tetapi bangsa itu sebenarnya telah diikat kuat dengan Islam, "masih dipandang serong" dan "sebagai musuh yang perlu dihapuskan kerana tidak membawa ke syurga."
Munculnya pelbagai aliran pemikiran merupakan realiti daripada hukum kemajmukan. Hukum kemajmukan itu pula tidak bermakna sentiasa berada dalam konflik dan sengketa, walhal Allah SWT telah memberikan kita pengajaran tegas bahawa: "Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat. Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan," (Hud: 118-119).
Allah SWT juga berfirman: "Sekiranya Allah SWT menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja)," (Hud:48)
Umat Islam merupakan umat yang paling banyak memiliki nilai-nilai kemajmukan sama ada dalam bentuk etnik, bangsa, pemikiran politik (fundamentalisme, moderat, liberalisme, Ikhwanul-Muslimin, Jemaah Islamiah, Muhamadiyah, Ahmadiyah dan sebagainya), kelompok ilmu (tradisi, sekular, feminisme, hermenutiks, liberalisme dan sebagainya), aliran fahaman (Syiah, Sunni atau Wahabi), sektor , mazhab (Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi) dan gerakan.
Umat Islam tercermin dari pelbagai golongan, kelompok, dan aliran tersebut. Kemunculannya merupakan khazanah bagi perjalanan umat Islam, baik maju mahupun mundurnya ia. Sebahagian golongan, kelompok dan aliran ini secara sepintas lalu terlihat sebagai masalah sosial semata, namun dalam jangka masa panjang, ia berubah menjadi permasalahan politik.
Kita tidak perlu khuatir terhadap fenomena pelbagai golongan, mazhab, aliran, sektor, gerakan, mahupun parti. Kerana fenomena Islam ini sama halnya dengan pelbagai fenomena lain yang memiliki khazanah sejarah yang melimpah dan kekuatan gerakan yang besar di tengah-tengah masyarakat.
Oleh kerana agama Islam itu bersifat global, walaupun pada awalnya diturunkan kepada keturunan Arab melalui perantaraan bahasa Arab, namun Islam mudah diterima tanpa sempadan etnik dan negara. Perkembangan itulah yang menjadikan Islam sebagai agama yang paling dinamik dan cepat berkembang berbanding agama-agama lain. Malah jika dibandingkan dengan Kristian yang telah ratusan tahun lebih awal, Islam telah berupaya meyakinkan banyak pihak.
Dalam catatan sejarah agama-agama dalam kehidupan manusia, setiap agama yang pernah ada dalam peradaban manusia juga mengalami perpecahan disebabkan oleh perbezaan mazhab.
Dalam kemajmukan (dalam Islam dan di luar Islam), teladan yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW ketika mendirikan sebuah peradaban madani di Madinah sepatutnya menjadi pedoman hubungan sesama manusia. Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Madinah, Rasulullah SAW mengambil peluang memahami susunan demografi penduduk dari pelbagai perspektif, kerana itu adalah langkah pertama untuk membentuk persefahaman.
Langkah baginda mengenali mereka yang bukan Islam dan keturunan yang berlainan bukan bermakna Rasullullah SAW telah meletakkan asas kepada perjuangan fahaman pluralisme agama, tetapi ia sebagai langkah strategik dalam menjalinkan hubungan kerjasama dan teladan terhadap toleransi terhebat dalam sejarah peradaban melalui kelahiran Piagam Madinah.
Umat Islam dari kelompok Muhajirin dan Ansar dapat disatukan. Golongan bukan Islam menerima Islam sebagai suatu cara hidup, dan mereka tetap beroleh kebebasan untuk mengamalkan agama asal mereka.
Mereka tidak dicabar dan diasak untuk meninggalkan agama asal masing-masing, kerana Islam tidak memusuhi mereka selagi mereka memberikan kesetiaan dan patuh kepada kerukunan hidup bersama.
Apabila ada segelintir orang Yahudi mula mencabar Islam, akhirnya mereka diusir dari bumi Madinah. Pengusiran itu adalah jalan terakhir setelah tiada jalan lain yang mampu meredakan konflik. Sepanjang sejarah Islam, kerjasama baik antara Katholik Nestorian dengan Khalifah Abbasiah sepanjang satu abad (132-236H/750-850M) di Baghdad, membuktikan bahawa betapa sebuah kehidupan yang harmoni dalam kemajmukan budaya, agama dan keturunan dapat dipertahankan.
Semasa pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, kita diberikan gambaran bahawa usaha yang bersungguh-sungguh membentuk keadilan sosial telah menjayakan hakikat Islam sebagai sebuah agama perdamaian dan kesejahteraan. Sikap Khalifah yang sentiasa mengambil tahu dan turun ke pelosok negara bagi mendekati rakyat menjadi tonggak kekuatan Islam.
Namun, peniruan itu yang ingin dilakukan pada masa kini masih jauh dari perspektif asal, kerana tidak benar-benar membawa obor keadilan dan keprihatinan kepada rakyat, dan sentiasa bersama rakyat.
Apa yang berlaku, pemimpin tersebut hanya sekadar berazam, tetapi tidak melaksanakan apa yang dilakukan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz. Dia tidak turun padang bersama-sama dengan rakyat, bergelumang dengan keperitan hidup dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat secara menyeluruh dan khusus, tanpa mengambil peluang untuk menyalahkan sejarah sebagai faktor terlahirnya sesuatu bencana atau malapetaka sosial.
Apabila timbulnya sifat menyalahkan sesuatu, maka akan lahirlah suasana yang tidak tenteram kerana segala-galanya disandarkan kepada prasangka. Bahkan Allah berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengecam orang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentulah kamu merasa jijik kepadanya…" (al-Quran, 49:12).
Kemelut perbezaan dan pertentangan pemikiran di kalangan umat Islam jika dibiarkan berterusan akan merugikan umat Islam itu sendiri. Jika selama ini kita mungkin menyalahkan sejarah atas timbulnya permasalahan ini, maka pada hari ini berilah peluang kepada sejarah untuk menyatakan kebenarannya bahawa tiada untungnya melanjutkan persengketaan aliran pemikiran.
Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Friday, December 24, 2010
Pelbagai aliran, Islam tetap satu
Posted by Allahyarham achit at 12:39 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment