DI Nusantara, kita telah lama mengenali kitab Furu' al-Masa'il karangan Sheikh Daud Fathani kerana ia menjadi kitab mentelaah di masjid dan surau suatu ketika dulu.
Kitab ini memaparkan masalah-masalah fikah dalam mazhab Syafie termasuk masalah furu'iyyah (cabang) yang kadang-kadang tidak terjangkau oleh pemikiran manusia.
Hari ini, anak-anak remaja kita tidak tahu tempat khusus untuk merujuk kepada permasalahan yang mereka hadapi. Lebih-lebih lagi permasalahan sulit yang memalukan.
Anak lelaki dan perempuan berhadapan dengan masalah baligh, air mani, air mazi, hukum onani, mimpi basah, istinjak, istibrak, khatan, mandi wajib, pergaulan dengan perempuan seperti bersentuh kulit, berpegang tangan, bercium, berpeluk, berkhalwat, mukadimah zina, jimak, hubungan sejenis (homoseksual), liwat, pornografi, gay, pondan dan sebagainya.
Anak perempuan pula, berhadapan dengan masalah tambahan yang khusus berkaitan kaum wanita seperti haid, istihadhah, wiladah, hukum perempuan berkhatan, tabarruj, aurat perempuan, fesyen, pergaulan sosial, cara beriadah, hubungan sejenis (lesbian), tomboy, 'penkid', kehamilan, menopaus dan sebagainya.
Anak-anak malu bertanya kepada ibu bapa mereka. Malah tidak kurang juga ibu bapa yang tidak ada pengetahuan untuk menjawab dan menangani permasalahan anak-anak mereka. Di sekolah pula, kurikulum tidak menyediakan input untuk subjek yang disebutkan secara sempurna.
Oleh itu anak-anak akan berpaling kepada rakan sebaya mereka untuk bertanya dan mencari rujukan. Ini adalah kerana kawan-kawan mereka ini mudah memahami bahasa, masalah dan situasi mereka. Tetapi apakah kawan-kawan ini dapat menyelesaikan masalah mereka? Mungkin kawan-kawan ini juga menghadapi persoalan sama yang tidak berjawab.
Secara senyap-senyap anak-anak akan merujuk kepada Internet. Maka terdedahlah mereka kepada bahan lucah dan pornografi yang melampau.
Sumber sebegini tidak langsung memberi jalan penyelesaian dan pendidikan yang terarah tetapi lebih kepada mencari nilai komersial, keuntungan material yang diprovokasi oleh budaya Barat yang sudah pastinya bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Sesungguhnya Islam menyediakan jalan penyelesaian kepada semua masalah. Tetapi di mana sumbernya?
Pendedahan kandungan kitab Furu' al-Masa'il ini mampu memberi penyelesaian kepada sebahagian permasalahan tersebut.
Cuma bagaimana kitab-kitab agama yang nampak begitu suci dan berautoriti ini boleh dicapai oleh anak-anak remaja dengan mudah dan santai? Inilah yang cuba dihidangkan dalam penerbitan kitab Furu' al-Masa'il oleh Telaga Biru Sdn. Bhd. ini supaya menarik minat anak-anak remaja untuk membaca dan menjadikan ia sebagai bahan rujukan.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md. Hashim Yahaya dalam kata-kata aluannya pada buku ini mencadangkan kitab ini dibacakan pada setiap selepas solat berjemaah atau sebelum tidur malam.
"Biarlah sedikit demi sedikit asalkan istiqamah. Bacalah secara berjemaah dalam kumpulan. Yang paling berilmu di kalangan anda mengetuai pembacaan. Pembacaan juga boleh dibuat bergilir-gilir.
"Baca dalam program usrah, halaqah atau tazkirah. Bahagian yang tidak difahami bertanyalah kepada guru atau ibu bapa," katanya.
Pendekatan dan format yang digunakan oleh syarikat penerbitan Telaga Biru amat menarik, sekali gus mampu untuk menarik remaja dan orang dewasa memiliki dan membaca kitab ini.
Ditambah dengan komitmen Datuk Abu Hasan Din al-hafiz dalam usaha penerangan terhadap isi asal kitab ini yang sukar difahami, kini kitab ini sudah bertukar menjadi sebuah penerbitan semasa. Dalam lain-lain perkataan "kitab" sudah beralih menjadi "buku".
Saturday, December 11, 2010
Furu' Al-Masa'il rungkai masalah ummah
Posted by Allahyarham achit at 5:04 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment