? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, January 12, 2010

Sotong Tangan Lapan, Abi Tangan Dua

“Kenapa abi pening?” tanya Saiful Islam.

“Kerja banyak tak siap. Tak cukup tangan,” saya mengeluh.

“Kenapa tak cukup tangan? Kan abi ada dua tangan,” katanya lagi.

“Itu la, Yop. Kalau boleh biar ada lapan tangan macam sotong” saya menambah.

“Sotong boleh buat banyak kerjalah ye? Sebab dia ada lapan tangan” tanya Saiful Islam lagi.

TIDAK CUKUP TANGAN

Menggunakan peribahasa di dalam perbualan, bererti memasukkan unsur analogi dan perbandingan ke dalam pemikiran. Ia mampu merangsang otak kiri dan otak kanan dalam proses berfikir. Sebab itu kekayaan peribahasa Melayu sering menjadi tanggapan saya tentang kebijaksanaan orang Melayu dalam fikir dan budaya mereka.

Menggunakan peribahasa untuk mendidik anak-anak berfikir, memang bagus. Seboleh-bolehnya biarlah kita mendahului apa yang Aznil Nawawi lakukan dalam rancangan Macam-macam Aznil di segmen Cili Padi yang lebih menjurus kepada hedonisma.

“Yop rasa macam mana? Kalau sotong banyak tangan dan boleh buat banyak kerja, kenapa Allah tak lantik sotong jadi Khalifah?” saya menyoal beliau.

Mahu menguji lima hari pembelajarannya di Khalifah Model School.

“Sebab sotong tu kan haiwan” jawab beliau.

“Apa salahnya haiwan jadi khalifah?” balas saya.

“Mana boleh. Haiwan tak boleh berfikir” bantah anak saya.

“Tak ada akal?” saya menawarkan perkataan.

“Haa, tak ada akal” agaknya dia teringat kembali cerita-cerita cikgu di sekolah.

“Maknanya, dua tangan abi lebih hebat daripada lapan tangan sotong sebab abi ada akal. Betul tak?” saya menambah.

“Abi Khalifah” katanya.

“Yop Little Khalifah” saya menyambung.

Kami menyudahkan perbualan.

KHALIFAH METHOD

Khalifah Method menerapkan kefahaman kepada anak-anak tentang sebab mengapa manusia mesti menjadi hebat.

Khalifah adalah wakil. Seperti duta. Kelayakan duta, beliau mestilah yang terbaik dalam serba serbinya. Menjadi Khalifah Allah bermaksud, mesti menjadi yang terbaik kerana kita adalah wakil kepada Tuhan yang Maha Hebat dan Maha Baik.

Antara kelebihan mengapa manusia dilantik menjadi Khalifah, ialah kerana kurniaan akal yang tidak dinikmati oleh makhluk sehebat gunung, atau yang tangannya banyak seperti sotong atau kakinya banyak seperti lipan.

Dengan akal, manusia mampu untuk pergi ke tahap yang tidak mampu dicapai oleh mana-mana makhluk Allah yang lain. Kesedaran diri sebagai Khalifah adalah motivasi terbaik bagi mendorong manusia meneroka keistimewaan diri masing-masing.

Cabarannya ialah, bagaimana konsep ini boleh diringkaskan ke pemikiran kanak-kanak di awal usia persekolahan? Ruang ini menjadi kembara saya dalam mencungkil kemahiran dakwah yang belum ada sebelum ini.

MUHASABAH SEMINGGU

Seminggu Saiful Islam bersekolah di Khalifah Model School, ada beberapa perkara yang berlaku pada minggu ini, menarik perhatian saya.

Pulang dari sekolah pada hari pertama Isnin lalu, beliau berkata, “seronoknya sekolah hari ini!”
Semasa kami berehat, tiba-tiba beliau berkata, “Yop rasa lepas ni Yop tak nak dah tengok Ultraman le. Lagi pun bosan.”
Sebelum makan, beliau menawarkan diri untuk membaca doa tanpa diminta.
Ketika bersolat, beliau menawarkan diri untuk membaca iqamah tanpa diminta.
Beliau berjaya mengurangkan marah dan gaduh bersama adik-adik.
Semoga perkembangan ini berterusan dan saya serta isteri juga terkesan dengan kemasukan Khalifah Method ke dalam keluarga kami, sedikit demi sedikit, perlahan-lahan. Ameen.



Malah kombinasi persekolahan Saiful Islam di Khalifah Method School bersama Naurah Sabihah di PASTI, suasana pembelajaran menjadi lebih baik di rumah, sesuatu yang kami cuba lakukan sebelum ini tetapi sering berpatah balik ke kotak satu dari semasa ke semasa.

Tiadalah hadiah paling berharga yang mampu diberikan oleh ibu dan bapa kepada anak-anak mereka melainkan peluang mendapat didikan agama yang membantu mereka untuk memilih menjadi soleh dan solehah, tanpa dipaksa-paksa.

Islam pilihan.

Bukan warisan.

0 comments: