? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, January 21, 2010

Jangan, Monyet. Jangan!


“Alhamdulillah. Pokok pisang aku sudah mula berputik,” kata si kura-kura.

Tidak sia-sia usahanya berbakti kepada tanah.

Biar pun diketawakan orang kerana masih mahu menanam pisang ketika yang sedia di kedai boleh dibeli pada bila-bila masa, kura-kura yakin memakan hasil usaha tangan sendiri, kepuasannya tidak sama. Lagi pun sambil bertani badan pun sihat, cengkerang bersinar.

Lambat pun tidak mengapa.

Asalkan setiap hari ada pertambahan dan peningkatan.

Setiap hari sentiasa lebih baik daripada semalam.

“Elok aku maklumkan kepada si monyet. Dia itu peminat pisang. Tentu seronok monyet makan pisang bersama-sama aku nanti” kata si kura-kura semasa terpandang monyet yang seperti kebingungan di kaki pokok.

Bingung melihat hutan ditarah orang.

Kura-kura pula memang begitu. Gembira sendirian tidak bermakna bagi dirinya. Kalau mahu gembira, elok dikongsi bersama. Kalau mahu berjaya, elok diajak bersama. Lebih bererti. Lebih memberi kepuasan hati.

“Monyet oh monyet, marilah ke sini” panggil si kura-kura.

Si monyet menoleh.

Acuh tidak acuh melayan seruan kura-kura.

“Marilah ke mari, sahabatku” jerit si kura-kura.

Panjang tengkuknya mahukan diri dilihat oleh sang monyet.

“Apa pulalah kisahnya dengan si kura-kura lembab itu? Menyusahkan aku sahaja!” kata si monyet di dalam hati.

Beliau bukannya suka sangat dengan kura-kura. Lembab. Semua benda, tidak ada yang boleh dibuat pantas. Semuanya setapak demi setapak.

Berbeza dengan dirinya. Laju bergayut dan berhayun, melompat dari satu dahan ke satu dahan.

Hanya kura-kura sahaja yang sering menyapa mesra.

“Ya, aku datanglah ini” kata monyet.

Ekornya mencacak.

“Ada apa?” tanya si monyet kepada sang kura-kura.

“Lihatlah pokok pisang aku ini. Sudah mula berputik. Melihatkan buahnya, aku terkenangkan engkau. Bukankah engkau peminat pisang nombor satu Malaya?” gurau si kura-kura.

Si monyet tersengih.

“Pandai juga orang tua ini melawak” gerutu hatinya menatap wajah kedut si kura-kura.

Tiba-tiba ada suara kedua menyapa kata hati sang monyet.

“Buat apa aku buang masa menunggu pisang itu di laman kura-kura. Nanti apabila buah itu masak, entah-entah dia lupakan aku. Makan seorang diri. Siapa yang rugi? Akuuu, juga yang rugi!” bisik-bisik di hati sang monyet.

“Kenapa monyet?” kura-kura kehairan melihat sang monyet termenung, tersenyum dan tersengih sendirian.

“Apa kata kita bahagikan dua pokok ini supaya hasilnya lebih banyak. Kenapa harus menolak kemungkinan pisang berbuah dua kali?” cadang si monyet.

“Tapi monyet…” kura-kura terkejut mendengar cadangan sahabat baiknya itu.

“Tak perlu bertapi-tapi. Kita kerat dua pokok ini. Engkau tidak boleh memanjat, jadi engkau ambil pangkal pokok ini. Biar aku uruskan bahagian atasnya yang tinggi!” kata si monyet.

“Eh, jangan monyet. Jangan…” belum sempat kura-kura menahan hasrat sang monyet, pokok pisang itu telah ditebang di tengah-tengahnya.

Monyet dengan penuh rasa tamak membawa lari bahagian atas pokok pisang yang sudah berputik itu kerana terlalu terliur mimpikan pisang. Pantas meninggalkan kura-kura menangis, si monyet segera menanam pucuk pisang itu ke tanah untuk cepat menikmati hasil yang lazat itu nanti.

Kura-kura menggelengkan kepala.

Sedih dan simpati melihat gelagat ketamakan kawannya.

“Bukannya seperti kera mendapat bunga, putik pisang pun boleh jadi!” keluh sang kura-kura sambil termenung di bawah pokok pisang yang sudah hilang rendang dan rimbunnya.

SELEPAS BEBERAPA KETIKA…

Monyet terkejut!

Putik pisang tidak menjadi pisang yang kuning emas dan ranum.

Satu demi satu putik pisang itu layu gugur ke tanah. Tandan semakin kontang tidak berbuah. Malah daun juga layu dan kecut menghampar tanah.

“Kurang ajar, apakah pokokku disihirkan oleh si kura-kura?” gertak sang monyet menahan marah.

Beliau yang berang segera menuju ke tempat sang kura-kura.

“Ehh, sudah berputik baru?” monyet terkejut melihat pokok pisang kura-kura.

Si kura-kura hanya termenung. Tidak betah melayan kerenah sang monyet lagi.

Dendam kesumat di hati sang monyet tidak pernah hilang. Ketamakan menjadikannya kawan yang membelakangkan kawan.

“Arghh, aku tidak kisah. Aku tetap mahu menuntut rugi!” monyet mengangkat sang kura-kura.

“Eh, kau nak buat apa dengan aku?” kura-kura panik.

Sang monyet mencampakkan kura-kura itu ke tali air.

“Padan muka engkau! Berambus kau dari hidupku!” kata sang monyet penuh dendam.

Puas hati sang monyet. Si lembab sudah tiada. Sudah lemas di tali air!

Kura-kura itu dengan tenang berenang ke tebing sana.

Monyet mungkin akan merasa setandan pisang hasil titik peluh sang kura-kura. Tetapi itu sahajalah pisang yang bakal dimakannya kerana sampai kura-kura dibuang pergi, monyet tidak pernah tahu mengapa bahagiannya kecut dan mengapa bahagian sang kura-kura tidak pernah berhenti berbunga, berputik dan berbuah.



MAZHAB MONYET

Demikianlah mazhab monyet yang segalanya mahu segera tanpa ingin lebih berusaha, tanpa mahu mengikut tatacara semai dan tuai. Ia diambil sebagai contoh oleh polisi-polisi penerapan nilai murni yang cuba diimplementasi di tengah-tengah masyarakat tanpa melihat akar umbi kepada nilai-nilai tersebut.

Nilai yang membentuk akhlak mulia, sekali lagi bukanlah buah yang terjadi tanpa pokok. Ia memerlukan tangkai untuk berpaut, dahan untuk bertahan, batang untuk menjulang, dan akar untuk menerima bekalan mineral penyambung nyawa. Pokok itu tiada cara lain untuk tumbuh. Justeru mahukan sebuah masyarakat yang bersih, cekap, amanah, berprestasi dan menghayati suruhan-suruhan baik sebuah agama, hanyalah angan-angan kosong.

Telus kerana etika kerja.

Telus kerana budaya persekitaran

Telus kerana tulus kepada Allah di jalan agama.

Hanya yang berputik di pohon agama, terus kekal merentas masa.

Dari jauh kura-kura memerhati gelagat sahabat di seberang sana.

“Jangan, monyet. Jangan!” jeritan sang kura-kura makin tenggelam ditelan senja.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

0 comments: