Wali tidak laksana amanah untuk mendidik, ketepikan peluang remaja jadi insan cemerlang
APABILA diminta menulis isu perkahwinan remaja bawah umur yang hangat diperkatakan minggu ini, penulis bertanya kepada diri – dari sudut pandang mana harus dikupas isu ini agar dapat ia diperhalusi dan membuahkan satu kesimpulan yang rasional dan mantap?
Secara spontan, emosi keibuan penulis merintih kesedihan membaca laporan akhbar mengenai perkahwinan remaja berusia 11 tahun yang dikahwinkan bapanya dengan lelaki berumur 41 tahun. Apakah sebenarnya motif dan alasan yang mendorong seorang bapa bersetuju mengahwinkan anak yang masih kecil itu kepada lelaki asing yang dikatakan baru saja dikenalinya?
Bagaimanakah pula perasaan si ibu melepaskan anak gadisnya mengikut ‘suami’ yang 30 tahun lebih tua dan sudah beristeri pula? Tindakan ibu bapa remaja itu membuat laporan polis dan permohonan mufarakah untuk membatalkan perkahwinan itu memberikan gambaran kekesalan yang menghantui mereka. Namun, bagaimanakah kesudahan nasib si anak malang itu?
Minda waras tidak dapat tidak, pasti bertanya – “apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini?” Kurang adil untuk masyarakat membuat spekulasi dan tanggapan negatif terhadap keluarga terbabit.
Biarlah saluran perundangan yang sudah mempunyai ketetapan khusus mengenai aspek ini digunakan sepenuhnya demi mendapatkan keadilan bagi remaja yang menjadi amanah ibu bapa mereka. Banyak ulasan dan kupasan mengenai aspek perundangan berkaitan isu ini dibincangkan dan saya tidak berhajat menghurai dari sudut pandang yang sama.
Isu pokok dalam perkara ini adalah kesejahteraan dan kebajikan remaja perempuan di bawah usia 16 tahun. Secara umumnya, ibu bapa serta penjaga bertanggungjawab memastikan remaja ini diberikan sepenuh peluang untuk mencapai potensi diri semaksimum mungkin dan dididik agar mampu menjadi insan yang cemerlang.
Namun hakikatnya, remaja perempuan pada peringkat usia ini begitu terdedah kepada eksploitasi dan penganiayaan. Dalam konteks global, banyak isu yang menyelubungi kehidupan remaja perempuan atau girl child terutama di negara yang masih membangun. Penganiayaan dan pencerobohan terhadap hak asasi mereka berlaku melalui perkahwinan paksa, pemerdagangan dan pelacuran, keciciran sekolah, buta huruf, buruh kanak-kanak, keganasan seksual dan sumbang mahram, kehamilan, kematian ibu ketika mengandung, pengguguran dan mutilasi alat sulit wanita menjadi isu utama yang mendapat perhatian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Perkahwinan paksa bagi remaja bawah umur dikenal pasti penyebab utama keciciran golongan ini daripada peluang pendidikan, di samping terdedah kepada komplikasi kesihatan jika mereka hamil dan melahirkan anak pada waktu usia muda.
Keputusan mengahwinkan remaja di bawah umur dibuat wali atau penjaga yang diharapkan melindungi gadis daripada penganiayaan. Malang sekali jika wali menggunakan alasan berunsurkan ekonomi atau disandarkan kepada ajaran agama yang dikatakan menggalakkan tradisi itu.
Lebih malang jika perkara ini dijadikan amalan khusus untuk membuktikan kesetiaan si bapa kepada ‘tuan guru’ atau ketua pemimpin kelompok yang diikutinya. Ibu dan remaja bawah umur itu pula tidak berani membantah keputusan si bapa yang merupakan wali mujbir, lantaran bimbang dianggap tidak taat dan patuh.
Tidak hairanlah jika kedengaran suara lantang di kalangan aktivis hak asasi wanita yang menuntut institusi wali atau penjaga dimansuhkan. Golongan ini melihat dengan peruntukan mendapatkan keizinan wali dalam perkahwinan wanita, maka mereka tidak mem-punyai kebebasan memilih pasangan hidup. Selama itu jugalah, wanita menghadapi kemungkinan dipaksa walinya untuk berkahwin dengan lelaki yang tidak disukainya atau dihalang dari mengahwini lelaki dicintainya!
Apa yang penting, sejauh manakah wali menyedari peranan dan tanggungjawab mereka dalam melindungi dan membela masa depan wanita yang berada dalam tanggungan mereka? Penyataan mengenai konsep qawwama seperti ditulis dalam Surah An-Nisa ayat ke-34 mesti diperhalusi dan diperjelaskan.
Mafhumnya: “Lelaki ialah qawwama (pelindung, penjaga, pembela dan pemelihara) bagi wanita kerana Allah SWT melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka memberikan nafkah dan hartanya”.
Kelebihan yang dimaksudkan, bukan keistimewaan dan kekuasaan terhadap wanita, membolehkan lelaki melakukan apa saja yang dikehendaki terhadap mereka. Jelas qawwama bukan ‘sulthah’ atau kekuasaan, namun lebih kepada kewajipan menjaga kebajikan wanita yang akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak.
Adakah itu pula menandakan wanita sentiasa lemah, tiada berupaya membuat keputusan terbaik untuk dirinya dan sentiasa perlu dipimpin dan dibimbing? Tentu sekali tidak! Ketentuan Allah menjamin keseimbangan dan keharmonian hidup bersama, saling lengkap-melengkapi.
Lelaki tidak perlu tercari-cari contoh teladan melihat bagaimana qawwama dipraktikkan. Rasulullah ialah contoh terbaik seperti dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan isteri Baginda Aisyah r.a: “Yang terbaik antara kamu ialah yang terbaik terhadap ahlinya (isteri dan keluarga) dan aku ialah yang terbaik terhadap ahliku.”
Dalam konteks perkahwinan remaja di bawah umur, Rasulullah mengahwini Aisyah pada usianya yang amat muda, sesetengah riwayat mengatakan usia Aisyah sekitar enam hingga tujuh tahun ketika dikahwinkan ayahnya Saidina Abu Bakar kepada Rasulullah.
Aisyah dibawa tinggal bersama Rasul selepas berusia sembilan tahun dan menjadi balu pada berusia 18 tahun. Namun sehingga kini, nama Saidatina Aisyah harum sebagai cendekiawan Islam yang cerdas pintar dan hebat, hasil didikan dan bimbingan suaminya, Muhammad.
Alangkah bahagianya hidup setiap remaja perempuan dan wanita di dunia ini jika semua lelaki benar-benar menghayati teladan yang ditonjolkan Rasulullah dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.
Penulis adalah Naib Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Profesor Madya dan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Thursday, March 18, 2010
Nikah bawah umur cabul hak anak majukan diri
Posted by Allahyarham achit at 12:11 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment