? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, March 25, 2010

Mengenang malapetaka menimpa warga Deir Yassin

PAGI Jumaat 9 April 1948, di perkampungan Deir Yassin yang mempunyai 750 penduduk, berlaku tragedi membabitkan pembunuhan seramai 254 rakyat Palestin termasuk orang tua, wanita dan 52 kanak-kanak oleh pengganas Yahudi. Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Dalam serangan itu, wanita hamil dibelah perutnya dan dikeluarkan janin serta bayi hidup-hidup dari rahim ibunya. Sementara 52 kanak-kanak disiksa di depan ibu bapa mereka, lalu mereka dibunuh dan dipenggal kepalanya.

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan: “Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh.

“Tentera itu mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang sudah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu.”

Daripada 144 rumah di perkampungan Deir Yassin, 10 buah diletupkan. Perkuburan Deir Yassin disodok dan seperti beratus perkampungan Palestin lain, Deir Yassin dihapuskan dari peta muka bumi ini.
Menjelang September, pendatang Yahudi Ortodoks dari Poland, Romania, dan Slovakia ditempatkan di situ, walaupun menerima bantahan daripada Martin Buber, Cecil Roth dan ketua Yahudi lain yang mahu kawasan pembunuhan beramai-ramai itu dikekalkan tandus.

Pusat perkampungan itu dinamakan Givat Shaul Bet. Apabila Baitulmaqdis berkembang, tanah Deir Yassin menjadi sebahagian dari bandar Baitulmaqdis dan sekarang ini dikenali sebagai kawasan di antara Givat Shaul penempatan Har Nof di lereng sebelah barat gunung.

Disebabkan itu, 9 April sentiasa dikenang dan penceritaan peristiwa berlaku terus diulang bukan kerana bilangan dibunuh atau kekejaman dilakukan tetapi itulah permulaan kepada penghapusan penduduk 400 perkampungan, bandar Arab dan pengusiran 700,000 penduduk Palestin sebagai ruang pendatang Yahudi di seluruh dunia.

Sempena memperingati tragedi nakbah atau malapetaka kepada rakyat Palestin itu, Friends of Deir Yassin (FDY) (dulunya Deir Yassin Remembered Malaysia) dengan kerjasama Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) menganjurkan ceramah umum mengenai konflik yang belum berakhir itu.

Wartawan koresponden Asia Barat untuk akhbar The Independent yang memenangi pelbagai anugerah dan penulis buku terkenal, Dr Robert Fisk, akan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sindrom Penafian: Laporan dari Asia Barat’.

Pengerusi Jawatankuasa Malaysia bagi Mengingati Deir Yassin, Hishamudin Ubaidulla, berkata ceramah umum yang akan diadakan 4 April ini di IAIS bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap konflik berterusan dilalui rakyat Palestin hingga hari ini.

Katanya, apa yang berlaku di luar sana bukan masalah antara rakyat Palestin dengan Israel atau masalah umat Islam tetapi ia adalah pencabulan hak asasi manusia yang memerlukan perhatian semua penduduk dunia.

“Apa yang berlaku di Palestin antara rakyat negara itu dengan Israel adalah masalah komuniti global.

Ini bukan persoalan agama seperti tanggapan sesetengah pihak dan umat Islam sendiri tetapi dasar penjajahan baru yang perlu difahami dengan mendalam.

“Bagi bukan Islam pula, diharap tidak melihat ini isu orang Islam kerana ia isu hak asasi manusia yang turut menuntut perhatian mereka. Jadi apa yang berlaku sepatutnya menjadi perbualan supaya sesuatu dapat dilakukan bagi mengubah keadaan,” katanya pada sidang media di IAIS, semalam. Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IAIS, Prof Datuk Dr Osman Bakar.

Beliau berkata, mengingati apa yang berlaku dan memahami kronologi konflik Palestin dan Israel melalui sumber maklumat yang pelbagai dapat membantu masyarakat negara ini merasai penderitaan dilalui rakyat Palestin yang terus melalui episod duka dalam hidup mereka.

Pendedahan terhadap apa yang berlaku serta perkembangan semasa di kawasan bergolak itu juga diharap dapat menukar persepsi masyarakat global terhadap orang Yahudi terutama yang mengakui serta membantah tindakan keganasan sesama manusia oleh pemimpin negara mereka.

Hishamudin berkata, selain kesedaran mengenai penderitaan serta kekejaman berlaku di Palestin, maklumat tepat termasuk laporan media dapat membantu masyarakat dunia menyedari keperluan membantu mencari keadilan untuk rakyat di sana.

Katanya, sejak dianjurkan pada 2002, ceramah umum tragedi Deir Yassin berjaya meningkatkan kesedaran mengenai peristiwa dianggap sebagai malapetaka untuk rakyat Palestin di kalangan masyarakat negara ini.

“Ternyata pengalaman dikongsi mereka yang melihat sendiri atau turut melalui peristiwa berdepan kekejaman tentera Israel. Diharap apa yang bakal dikongsi Dr Fisk nanti memberi satu persepsi berlainan.

“Diharap nanti apabila rakyat Malaysia membicarakan soal ini daripada perspektif orang yang faham apa sebenarnya berlaku bukan hanya baca tajuk berita dan berkata, ada satu lagi malapetaka dialami Islam di Palestin tetapi kabur hakikat sebenar terjadi,” katanya.

0 comments: