? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Monday, March 29, 2010

Kedudukan nabi di sisi Islam

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SESUNGGUHNYA Allah SWT telah memuliakan Islam dan menjadikan umatnya sebagai sebaik-baik umat. Nabinya adalah sebaik-baik nabi dan risalah dakwah yang disampaikan oleh baginda adalah sebaik-baik risalah.

Di antara ciri-ciri keistimewaan Islam adalah ia merupakan agama yang memelihara dan sentiasa sensitif terhadap perkara-perkara yang suci di sisi agama.

Barangkali pada kaca mata musuh Islam ia merupakan suatu ketaksuban terhadap sebuah pegangan atau anutan. Namun, di sisi Islam itu merupakan intipati keutuhan agama yang kekal diamalkan sejak lebih 1,400 tahun lalu.

Al-Quran merakamkan fakta sejarah umat-umat terdahulu yang begitu mudah menyelewengkan agama dan kitab yang diturunkan ke atas nabi-nabi mereka.

Kalam-kalam para paderi dan rahib mereka dicampuradukkan dengan wahyu hingga hilang ketulenan dan lenyap kecantikan agama yang mereka anuti.

Semua ini berlaku kerana masyarakat dahulu terutama kaum Yahudi tidak mengiktikad bahawa nabi dan rasul yang diutuskan kepada mereka adalah golongan maksum yang terpelihara daripada kesalahan dan dosa baik kecil mahupun besar.

Maka tidak hairan sekiranya mereka tanpa segan silu memfitnah Maryam a.s sebagai perempuan jalang dan anaknya Nabi Isa sebagai anak luar nikah.

Mereka mempersenda, memperlekeh dan merendah-rendahkan kedudukan nabi mereka sendiri. Lebih dahsyat lagi mereka mencaci, menghina, mendustai dan membunuh nabi-nabi yang diutuskan ke atas mereka.

Begitulah rosak dan binasanya akidah umat-umat terdahulu kerana mereka tidak mengakui kedudukan nabi-nabi mereka serta kitab yang diturunkan. Mereka juga tidak menganggap nabi dan wahyu sebagai suatu amanat suci.

Maka Allah SWT membinasakan kaum Yahudi dengan pelbagai azab seksaan kerana keingkaran mereka mengakui kedudukan Nabi di sisi agama.

Masyarakat Barat dan nabi

Meneliti kehidupan dan pegangan masyarakat barat, kita akan mendapati bahawa unsur-unsur ini masih kuat melekat dalam tradisi kehidupan mereka. Apatah lagi setelah mereka melakukan pemisahan antara agama dan kehidupan (sekularisme).

Masyarakat Barat mengakui mereka penganut Kristian dan pengikut Nabi Isa a.s yang dianggap sebagai tuhan. Pengakuan itu hanya di bibir semata-semata kerana apabila kita bertanya apakah itu Kristian, siapakah yang Jesus , apakah risalah yang dibawa olehnya dan siapakah yang menurunkan wahyu ke atasnya, mereka akan menggelengkan kepala.

Mungkin mereka mengakui beriman dan percaya dengan tuhan. Tetapi mereka sedikitpun tidak memahami erti iman dan percaya kepada tuhan itu. Keadaan itu sama dengan dakwaan kaum musyrikin yang dirakamkan di dalam al-Quran bermaksud: Apabila engkau bertanya kepada mereka siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi? Mereka menjawab: Allah. (al-Ankabut: 61)

Sedangkan kaum musyrikin tidak mengetahui siapakah Allah dan menyebut nama-Nya tanpa mengenali dan mengiktikadkan kewujudan-Nya. Jika mereka mengiktikadkan kewujudan Allah dan mengakui kekuasaan-Nya, nescaya mereka akan meninggalkan amalan penyembahan berhala.

Pemikiran masyarakat Barat ini diwarisi zaman berzaman semenjak ia dicetuskan oleh Yahudi Bani Israel.

Doktrin ini telah melahirkan ramai golongan yang tidak mempercayai kewujudan Allah serta kemaksuman para nabi dan rasul.

Ia turut meresap dalam pemikiran masyarakat Islam yang lemah asas dan pegangan akidahnya sehingga tidak lagi memandang dengan pandangan yang tinggi perkara-perkara suci di sisi Islam seperti Allah, rasul, kitab-kitab dan para malaikat.

Mengutamakan akal

Para orientalis bersama misi mereka sedaya upaya mengajak manusia menyanjung kehebatan akal dalam menyelesaikan semua perkara.

Ini termasuk permasalahan akidah, syariah dan perkara-perkara yang suci di sisi Islam. Semua ini turut dibahas dan diolah dengan kebijaksanaan akal.

Hasilnya lahirlah golongan manusia yang mengukur perkara-perkara bersangkut paut dengan akidah umat Islam berdasarkan kupasan akal.

Semua ini mendedahkan mereka kepada gejala memperlekehkan al-Quran dan mencalarkan keperibadian nabi, sahabat, ahli keluarga dan isteri-isteri baginda.

Larangan menghina nabi

Islam adalah agama yang sempurna. Hampir semua permasalahan yang berlaku di dunia ini ada jawapan dan penyelesaian daripada al-Quran dan hadis.

Memandangkan keimanan kepada nabi dan rasul adalah rukun iman, maka Islam memperuntukkan bab berkaitan hukum khusus bagi mereka yang menghina dan mencerca nabi.

Ini kerana menghina para nabi dan rasul menjurus kepada usaha menghancurkan Islam dari asas atau akar umbinya.

Apabila nabi dan rasul sewenang-wenangnya dihina tanpa ada sebarang hukuman yang tegas, maka kesinambungannya ialah manusia terjerumus ke dalam jurang menghina Islam, syariat dan hukum-hakamnya.

Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Sesungguhnya orang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa hina. (al-Ahzab: 57)

Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, maka Sesungguhnya adalah baginya neraka jahanam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang dahsyat. (al-Taubah: 63)

Ayat ini menyatakan ancaman bagi sesiapa yang menentang Allah dan rasul. Menghina dan mencerca nabi adalah penentangan terhadap rasul kerana merendah-rendahkan keperibadian insan maksum yang diamanahkan menyampaikan risalah Ilahi.

Para salafussoleh mengambil pendirian yang tegas dalam permasalahan ini. Diriwayatkan oleh Ibnu Munzir di dalam kitab al Awsot bahawa dikatakan kepada Ibnu Umar r.a: "Sesungguhnya seorang lelaki telah mencaci Nabi SAW, maka Ibnu Umar berkata: Jikalau aku dengari, nescaya aku bunuh dia. Tidaklah kami mahu berbaik-baik dengan orang yang mencaci nabi."

Diriwayatkan bahawa Gabenor Kufah pada zaman Khilafah Umar ibn Abdul Aziz r.a ingin menjatuhi hukuman bunuh kepada seorang yang menghina beliau (khalifah). Maka dia menulis surat kepada Umar ibn Abdul Aziz r.a meminta pendapat mengenai hukuman itu sama ada ia wajar dijalankan atau tidak.

Maka Khalifah Umar ibn Abdul Aziz r.a membalas suratnya di antara kandungan surat tersebut berbunyi: "Sesungguhnya tidak halal perbuatan membunuh seorang muslim yang mencaci orang lain melainkan bagi seorang lelaki yang mencaci Nabi SAW."

Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada al Sya'bi daripada Ali r.a berkata: "Sesungguhnya seorang wanita Yahudi mencaci Nabi SAW dan menghinanya, lalu seorang lelaki mencekik wanita itu sehingga mati. Maka Rasulullah SAW menghalalkan darah wanita itu."

Hukum menghina nabi

l Al Qadhi Iyadh al Maliki menyatakan di dalam al Syifa: "Ijmak ulama menyatakan bahawa dihukum bunuh orang-orang Islam yang mengurangkan dan merendah-rendahkan kedudukan Nabi SAW dan mencacinya".

l Abu Bakar ibn Munzir al Syafii berkata: "Telah bersepakat keseluruhan ahli ilmu bahawa sesiapa yang menghina Nabi SAW akan dibunuh. Di antara mereka menyatakan sedemikian ialah Malik ibn Anas, Imam Laith, Imam Ahmad dan Ishaq; dan ini adalah pendapat mazhab Syafii".

l Berkata Muhammad Ibnu Suhnun: "Ulama telah berijmak bahawa orang yang mencaci Nabi SAW dan mengurangkan kedudukan baginda SAW adalah kafir, akan dibalas dengan azab Allah dan hukumannya di sisi Islam ialah bunuh."

l Berkata Abu Sulaiman al Khattabi: "Tidak saya ketahui seorang pun dari kaum muslimin yang berselisih pendapat tentang hukum wajib dibunuh orang yang mencaci Nabi SAW apabila dia adalah seorang muslim".

l Ishaq ibn Rohuyah berkata: "Kaum muslimin telah berijmak bahawa sesiapa yang mencaci Allah atau mencaci rasul-Nya, atau menolak sesuatu daripada ayat-ayat Allah, atau membunuh seorang dari Nabi Allah adalah kafir dengan perbuatannya itu sekalipun dia memperakui setiap ayat yang diturunkan oleh Allah."

Nabi dan masyarakat Melayu Islam


Betapa besarnya kurniaan dan rahmat Allah ke atas umat Melayu di nusantara ini tatkala mereka dipilih untuk menyahut risalah Penghulu Segala Rasul SAW.

Malaysia amat bernasib baik kerana menikmati keamanan, kemakmuran dan masyarakat yang bersatu padu. Allah SWT memelihara umat Melayu Islam ini kerana mereka sentiasa meletakkan nabi SAW pada kedudukan yang tinggi dan martabat yang selayaknya sebagai seorang kekasih Allah.

Nabi SAW dipuji, disebut-sebut, diketengahkan keistimewaannya dan diulang-ulang sirah kehidupannya saban waktu.

Inilah sebenarnya rahsia keamanan negara kita di mana dalam pada kita mengamalkan perintah Allah dan rasul, kita tidak meminggirkan perasaan kasih dan cinta kepada Baginda SAW kerana ia adalah sebesar-besar tanda keimanan kepada Allah SWT.

Umat Islam di Malaysia akan bersama dalam satu usaha mempertahankan nabi SAW, memelihara maruah dan kedudukannya dari ditohmah oleh musuh-musuh agama.

Moga-moga golongan inilah yang sentiasa kekal pada setiap zaman berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sentiasalah ada sekelompok manusia dari kalangan umatku yang zahir di atas jalan kebenaran sehingga datangnya perintah Allah (hari kiamat)."

0 comments: