? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Monday, March 29, 2010

Apakah saya seorang bapa yang menghiburkan?

Bagaimanakah perasaan anak-anak setiap kali mereka melihat muka saya?

Pulang dari kerja.

Bangun setiap pagi.

Adakah saya bapa yang menyumbang ceria dan bahagia anak-anak?

Atau saya bapa yang merunsingkan?

Menakutkan?

Menggerunkan?

Membosankan?

Terima kasih kepada percutian ke Melaka baru-baru ini.

Tiada ASTRO, tiada taman tema. Tiada sumber-sumber kegembiraan yang lain. Hanya saya sebagai bapa. Menguji kebapaan saya. Adakah saya mampu menjadikan kehidupan anak saya gembira. Atau saya tempang dan memerlukan bantuan ASTRO, taman tema dan permainan untuk menggembirakan anak-anak.

Antara rumah, tangga dan manusia, manakah penentu bahagia? Kalau tangga penentu bahagia, bahagia belakalah orang Melaka. Tangga rumah besar belaka!

Kesimpulannya…

Saya masih bapa yang boleh menceriakan anak-anak.

Mereka bersedia untuk diceriakan oleh bapa mereka.

Mereka sentiasa menanti-nanti untuk diceriakan oleh bapa mereka.

Hanya saya sahaja… yang perlu lebih ceria.

Jangan kerja dan kepenatannya menghilangkan keceriaan itu.

Jangan masalah dan komplikasinya memudarkan kegembiraan itu.

Andai tidak mampu ceria kerana memang ceria…

Sekurang-kuranglah belajarlah untuk ceria kerana mahu menceriakan insan-insan tersayang.

Itu adalah sebahagian definisi erti hidup pada ‘memberi’.

Ceria bukan kerana ceria.

Tetapi ceria untuk menceriakan.

Menceriakan anak-anak.

Menceriakan isteri.

Pasti nanti, ceria juga diri ini akhirnya.

Senyum….

Cara pengurusan masa pengukur martabat manusia

Tugas perlu disiapkan ikut tempoh ditetapkan elak kerja bertangguh, tak sistematik

BIJAK pandai ada mengatakan, masa itu emas. Sejak zaman dulu manusia mengakui emas begitu berharga dan bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan turut menjadi kebanggaan. Melihat mahalnya nilai emas di pasaran dan sukar pula untuk memperolehnya tanpa ikhtiar serta usaha, maka nilaiannya disandarkan kepada masa. Walaupun emas tetap mahalnya, namun jika dibandingkan dengan masa, nilainya tidak sama. Emas dan masa sama berharga serta tidak ternilai tetapi masa tidak dapat disamakan dengan harta benda dan wang ringgit kerana masa tidak boleh ditukar ganti, dibeli dan dikembalikan jika ia sudah berlalu. Hukama mengibaratkan masa sebagai pedang.

Jika manusia tidak berusaha untuk mendahului masa dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat pada setiap masa, maka masa pasti akan mendahului menyebabkan manusia mengalami kerugian membiarkan masa berlalu tanpa diisi perkara bermanfaat.

Masa cukup berharga kepada manusia. Bagi mereka yang mempunyai kerjaya, masa memainkan peranan penting kerana setiap saat dilalui, akan ada tugasan serta urusan harus diselesaikan.

Majikan akan menilai keberkesanan tugasan pekerja dengan memperuntukkan tempoh waktu tertentu untuk menyiapkan tugasan.
Jika tugasan disiapkan pada tempoh ditetapkan, maka pekerja sebeginilah yang benar-benar memahami dan menghayati pentingnya mengikut ketetapan masa kerana setiap detik masa berlalu, tidak akan dapat diulang kembali.

Islam mengajar cara menjaga dan mengurus masa dengan baik serta berkesan antaranya ialah membuat perancangan teliti. Setiap pekerjaan sudah pasti akan dilaksanakan mengikut masa tertentu. Justeru, penjadualan penting bagi mengelakkan berlakunya pembaziran masa.

Kerja perlu disiapkan mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelak kerja bertangguh dan tidak sistematik.

Nabi Allah Ibrahim menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seharian untuk bermunajat (berzikir) kepada Allah, bermuhasabah diri, berfikir mengenai ciptaan Allah serta memenuhi keperluan hidup seperti makan dan minum.

Umat Islam yang sentiasa inginkan kemajuan untuk diri, masyarakat, bangsa dan negara hendaklah menjadi orang yang sentiasa menepati masa untuk mengelak hal negatif berpunca daripada kecuaian menepati masa. Kata-kata hikmat: “Jangan tangguh kerja hari ini sehingga hari esok”.

Jangan membazir masa kerana orang yang benar-benar menghargai masa akan sentiasa memenuhkan harinya melakukan perkara bermanfaat serta mengelak terjebak dalam aktiviti negatif yang merugikan.

Menjaga kualiti masa juga antara cara mengendalikan masa dengan berkesan. Kualiti masa bagi seseorang tentunya berbeza namun Islam menyusunnya mengikut batas tertentu yang pasti sesuai dan perlu diambil perhatian semua umat muslimin.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati.”

Berdasarkan hadis itu, manusia dituntut berlumba meningkatkan kualiti dan produktiviti. Firman Allah dalam surah al-Maidah yang bermaksud: “Hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan.”

Selain itu hendaklah istiqamah dalam melakukan pekerjaan. Kekuatan untuk mengekalkan semangat dan usaha untuk beristiqamah apabila diberi tugasan akan lahir dengan sendiri dalam diri apabila seseorang itu menganggap apa yang dilakukan adalah ibadat kepada Allah.

Setiap pekerjaan atau tugasan dilakukan tidak semuanya akan menghasilkan kejayaan seperti diharapkan, namun Islam menuntut supaya sentiasa menjadikan masa silam sebagai guru dan pengalaman untuk menilai kembali kekuatan serta persediaan menghadapi tugasan.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya telah berlaku sunnah Allah sebelum dari kamu, kerana itu berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Rasul-Nya.” – (Surah al-Imran, ayat 137)

Martabat manusia dinilai melalui cara mereka memenuhi masa seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang panjang umurnya dan baik pula pekerjaannya, manakala sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya tetapi buruk pula amalannya.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah al-Asr)

Golongan manusia yang tidak akan rugi ini adalah yang melakukan kerja dan tugasan hidup menepati kehendak syariat. Oleh itu, orang beriman dan beramal salih akan berusaha memenuhi masa melakukan pekerjaan bermanfaat demi mendapat keredaan Allah.

Manusia yang untung ini juga akan sentiasa memohon kepada Allah untuk menguatkan semangat menghadapi kehidupan serta berusaha membantu saudara mereka dengan memberi pesanan berguna untuk sentiasa patuh kepada suruhan Allah.

Orang yang sentiasa dalam keuntungan ialah:


Orang yang beriman dengan mengikrarkan lidahnya dan membenarkan hatinya bahawa semua ajaran dibawa junjungan Rasulullah adalah benar belaka.


Dia juga membuat kebajikan yang mendatangkan manfaat kepada umum serta membawa orang lain ke arah jalan diredai.


Sentiasa berpesan dengan kebenaran, berpegang kepada ajaran al-Quran yang menjadi asas kepada sebarang tindakan orang mukmin dan sunnah Rasulullah yang menjadi penerang kepada ketetapan kalamullah.


Orang beriman juga berpesan supaya dirinya dan orang lain sentiasa teguh hati dan bersabar dalam hidup kerana orang kurang sabarnya akan mudah dihasut syaitan yang membawa manusia ke jalan kesesatan.

Bacaan al-Quran qari kecil

SESUNGGUHNYA nasihat ini amat berguna kepada setiap daripada kita yang pada hakikatnya sentiasa menerima ujian Allah SWT, sama ada secara kita sedar ataupun tidak, kecuali bagi mereka yang sentiasa muhasabah diri.

Kitab suci al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin, sama ada di kala senang mahupun di waktu susah, di saat gembira ataupun ketika dirundung duka.

Hakikatnya, membaca al-Quran, sama ada kita mengetahui maksudnya ataupun tidak, adalah termasuk dalam ibadah, amal soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi yang melakukannya; memberi cahaya ke dalam hati yang membacanya sehingga terang benderang, juga memberi cahaya kepada keluarga dan rumah tangga tempat al-Quran itu dibacakan.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Kepada kaum yang suka berjemaah di rumah-rumah ibadat, membaca al-Quran secara bergiliran dan mengajarkannya terhadap sesama, akan turunlah kepadanya ketenangan dan ketenteraman, akan terlimpah kepadanya rahmat dan mereka akan dijaga oleh malaikat, juga Allah akan selalu mengingati mereka. (riwayat Muslim).

Justeru, bukan sahaja membaca al-Quran yang menjadi ibadah dan amal yang mendatangkan pahala dan rahmat, tetapi mendengarkannya juga besar manfaatnya.

Surah al-A'raaf ayat 204 menjelaskan tentang pahala orang yang sekadar mendengarkan bacaan al-Quran yang bermaksud: Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikanlah tenang, agar kamu mendapat rahmat.

Ini kerana, mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberi kepada orang yang mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik.

Demikianlah besarnya mukjizat al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan dibaca dan didengari. Sehinggakan semakin kerap orang membaca dan mendengarkannya, semakin terpikat hatinya kepada al-Quran.

Apatah lagi apabila al-Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu, ia akan lebih memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarkannya dan bertambah kukuh imannya.

Bagaimana keadaan orang mukmin tatkala mendengarkan bacaan al-Quran itu digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allah lah mereka bertawakal. (al-Anfaal: 2)

Diriwayatkan pada suatu malam, Nabi Muhammad SAW mendengarkan Abu Musa Al-Asy'ari membaca al-Quran sampai jauh malam. Setibanya baginda di rumah, baginda ditanya oleh Aisyah r.a., apa sebabnya baginda pulang sehingga lewat malam. Rasulullah menjawab, bahawa baginda terpikat oleh kemerduan Abu Musa Al-Asy'ari membaca al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud a.s.

Malah di dalam riwayat, banyak sekali disasterakan, betapa pengaruh bacaan al-Quran pada zaman Rasulullah terhadap hati orang-orang kafir yang setelah mendengarkan bacaan al-Quran itu.

Tidak sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Nabi SAW serta pengikut-pengikutnya, berbalik menjadi lunak dan mahu mengikuti ajaran Islam.

Inteam Records Sdn. Bhd. sekali lagi meluaskan pasaran album-album yang bercorak kerohanian dengan menerbitkan sebuah album kompilasi bacaan al-Quran yang bertajuk, Kompilasi Qari Kecil.

Album ini menggabungkan tiga qari yang cukup terkenal dengan kelunakan suara ketika mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Qari-qari kecil yang dimaksudkan itu ialah Muhammad Ahmad Zahid, Mahmud Abdullah al- Muslim dan Amir Rafi Nordin.

Muhammad merupakan johan hafazan 30 juzuk peringkat kebangsaan pada tahun 2009. Dalam album ini beliau mengalunkan surah as-Sajdah dan al-Mulk secara murattal (hafalan).

Amir Rafi pula ialah johan tilawah al-Quran sekolah-sekolah peringkat kebangsaan pada tahun 2006 dan 2007.

Dalam album ini beliau mengalunkan surah al-Fatihah, surah al-Baqarah ayat 62-67 dan surah al-Mukminun ayat 1-17 secara bertarannum.

Seorang lagi qari kecil yang terlibat dalam album ini ialah Muslim. Beliau ialah qari kecil dari Mesir. Dalam album ini beliau mengalunkan surah al-Muzammil dan surah al-Insaan secara murattal.

Sebuah lagi album terbitan Inteam Records Sdn. Bhd. berjudul Qari Emas-Bacaan Al-Quran Bertarannum yang disampaikan oleh peserta program Mari Bertarannum yang turut menjadi salah seorang peserta program Kalamullah, iaitu Muhammad Thaqif Fajuri, 13.

Album ini mengandungi lima trek iaitu; 01. Qasidah Penerang Hati, 02. Surah al-Baqarah ayat 262-266 (Bayati, Hijjaz, Nahwand, Rast, Sikah), 03. Surah Ali Imran ayat 33-39 (Bayati, Hijjaz, Nahwand, Rast, Sikah), 04. Surah al-Mu'minun ayat 51-65 (Bayati, Sikah, Nahwand, Rast), 05. Surah al-Furqan ayat 61-77 (Bayati, Hijjaz, Nahwand, Rast, Sikah).

Kedua-dua album ini telah berada di pasaran dan dijual pada harga RM19.90 dalam bentuk cakera padat (CD).

Belian secara on-line boleh dibuat dengan melayari www.inteammobile.com. Jangan ketinggalan untuk mendapatkannya dan selamat mendengar!

MENANAM TULANG AKIKAH

Soalan 2:

Adakah wajib tulang binatang yang diakikahkan ditanam semuanya atau terserah kepada yang berakikah atau ada di antara tulang-tulang yang boleh tidak ditanam?

Jawapan:

Tiada tuntutan terhadap tulang-tulang itu bahawa ia 'wajib' ditanam daripada nas syarie. Malahan ibadah akikah itu sendiri hukumnya sunat muakkad.

Cuma terdapat beberapa hadis melarang memecahkan tulang haiwan sembelihan aqiqah. Sunnah mengajar kita memotongnya mengikut sendi-sendi haiwan tersebut seperti hadis daripada Saidatina 'Aisyah r. a. yang bermaksud: "Yang paling afdal bagi anak lelaki (diakikahkan dengan) dua ekor kambing biri-biri yang setara keadaannya dan bagi anak perempuan (diakikahkan dengan) seekor kambing biri-biri. Dipotong pada sendi-sendi anggota (haiwan tersebut) dan jangan dipecah-pecahkan tulangnya".

Hatta ketika makan seperti satu hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, iaitu ketika Fatimah binti Muhammad r.a. mengadakan akikah anaknya, maka Rasulullah bersabda: "Makan dan jamulah seleramu tetapi janganlah kamu memecahkan tulangnya."

Menyusu anak lebih 2 tahun

Soalan:

APAKAH hukum menyusukan anak lebih daripada dua tahun, apakah ada dalil atau hadis yang mengatakan bahawa tidak boleh menyusukan anak melebihi dua tahun?

Adakah menyusukan anak lebih daripada 2 tahun mendatangkan penyakit bagi anak yang disusukan itu kerana susu itu akan bertukar menjadi darah setelah anak lebih dari dua tahun?

Jawapan:

Menyusukan anak lebih daripada dua tahun adalah harus terutamanya untuk maslahat si anak. Tiada nas atau hukum fikah mengharamkannya.

Cuma sesetengah ulama berpendapat ia akan melemahkan bayi kerana setiap yang disyorkan oleh Allah seperti tempoh menyusu dua tahun itu pasti ada hikmahnya kerana Allah Maha Tahu sebagai Pencipta manusia.

Penyusuan badan adalah hak anak dalam Islam, sudah tentulah ia yang terbaik dan ini telah terbukti benar melalui kajian saintifik kini.

Tiada pula sumber ditemui mengatakan ia bertukar menjadi darah selepas dua tahun. Jiran saya seorang jururawat menyusukan anaknya sehingga tiga setengah tahun.

Dia berbuat demikian setelah bertanyakan doktor yang membenarkannya berbuat demikian selama anak itu masih ingin menyusu tetapi bukan sebagai makanan utama selepas dua tahun.

Namun kebanyakan ulama berpendapat patut dihentikan selepas dua setengah tahun kerana susu itu tidak lagi berfungsi sebagai pembekal nutrien untuk membesar kepada bayi.

Juga untuk memberi peluang kepada ibu mengandung lagi kerana penyusuan badan biasanya membantut proses mengandung secara alami.

Kedudukan nabi di sisi Islam

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SESUNGGUHNYA Allah SWT telah memuliakan Islam dan menjadikan umatnya sebagai sebaik-baik umat. Nabinya adalah sebaik-baik nabi dan risalah dakwah yang disampaikan oleh baginda adalah sebaik-baik risalah.

Di antara ciri-ciri keistimewaan Islam adalah ia merupakan agama yang memelihara dan sentiasa sensitif terhadap perkara-perkara yang suci di sisi agama.

Barangkali pada kaca mata musuh Islam ia merupakan suatu ketaksuban terhadap sebuah pegangan atau anutan. Namun, di sisi Islam itu merupakan intipati keutuhan agama yang kekal diamalkan sejak lebih 1,400 tahun lalu.

Al-Quran merakamkan fakta sejarah umat-umat terdahulu yang begitu mudah menyelewengkan agama dan kitab yang diturunkan ke atas nabi-nabi mereka.

Kalam-kalam para paderi dan rahib mereka dicampuradukkan dengan wahyu hingga hilang ketulenan dan lenyap kecantikan agama yang mereka anuti.

Semua ini berlaku kerana masyarakat dahulu terutama kaum Yahudi tidak mengiktikad bahawa nabi dan rasul yang diutuskan kepada mereka adalah golongan maksum yang terpelihara daripada kesalahan dan dosa baik kecil mahupun besar.

Maka tidak hairan sekiranya mereka tanpa segan silu memfitnah Maryam a.s sebagai perempuan jalang dan anaknya Nabi Isa sebagai anak luar nikah.

Mereka mempersenda, memperlekeh dan merendah-rendahkan kedudukan nabi mereka sendiri. Lebih dahsyat lagi mereka mencaci, menghina, mendustai dan membunuh nabi-nabi yang diutuskan ke atas mereka.

Begitulah rosak dan binasanya akidah umat-umat terdahulu kerana mereka tidak mengakui kedudukan nabi-nabi mereka serta kitab yang diturunkan. Mereka juga tidak menganggap nabi dan wahyu sebagai suatu amanat suci.

Maka Allah SWT membinasakan kaum Yahudi dengan pelbagai azab seksaan kerana keingkaran mereka mengakui kedudukan Nabi di sisi agama.

Masyarakat Barat dan nabi

Meneliti kehidupan dan pegangan masyarakat barat, kita akan mendapati bahawa unsur-unsur ini masih kuat melekat dalam tradisi kehidupan mereka. Apatah lagi setelah mereka melakukan pemisahan antara agama dan kehidupan (sekularisme).

Masyarakat Barat mengakui mereka penganut Kristian dan pengikut Nabi Isa a.s yang dianggap sebagai tuhan. Pengakuan itu hanya di bibir semata-semata kerana apabila kita bertanya apakah itu Kristian, siapakah yang Jesus , apakah risalah yang dibawa olehnya dan siapakah yang menurunkan wahyu ke atasnya, mereka akan menggelengkan kepala.

Mungkin mereka mengakui beriman dan percaya dengan tuhan. Tetapi mereka sedikitpun tidak memahami erti iman dan percaya kepada tuhan itu. Keadaan itu sama dengan dakwaan kaum musyrikin yang dirakamkan di dalam al-Quran bermaksud: Apabila engkau bertanya kepada mereka siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi? Mereka menjawab: Allah. (al-Ankabut: 61)

Sedangkan kaum musyrikin tidak mengetahui siapakah Allah dan menyebut nama-Nya tanpa mengenali dan mengiktikadkan kewujudan-Nya. Jika mereka mengiktikadkan kewujudan Allah dan mengakui kekuasaan-Nya, nescaya mereka akan meninggalkan amalan penyembahan berhala.

Pemikiran masyarakat Barat ini diwarisi zaman berzaman semenjak ia dicetuskan oleh Yahudi Bani Israel.

Doktrin ini telah melahirkan ramai golongan yang tidak mempercayai kewujudan Allah serta kemaksuman para nabi dan rasul.

Ia turut meresap dalam pemikiran masyarakat Islam yang lemah asas dan pegangan akidahnya sehingga tidak lagi memandang dengan pandangan yang tinggi perkara-perkara suci di sisi Islam seperti Allah, rasul, kitab-kitab dan para malaikat.

Mengutamakan akal

Para orientalis bersama misi mereka sedaya upaya mengajak manusia menyanjung kehebatan akal dalam menyelesaikan semua perkara.

Ini termasuk permasalahan akidah, syariah dan perkara-perkara yang suci di sisi Islam. Semua ini turut dibahas dan diolah dengan kebijaksanaan akal.

Hasilnya lahirlah golongan manusia yang mengukur perkara-perkara bersangkut paut dengan akidah umat Islam berdasarkan kupasan akal.

Semua ini mendedahkan mereka kepada gejala memperlekehkan al-Quran dan mencalarkan keperibadian nabi, sahabat, ahli keluarga dan isteri-isteri baginda.

Larangan menghina nabi

Islam adalah agama yang sempurna. Hampir semua permasalahan yang berlaku di dunia ini ada jawapan dan penyelesaian daripada al-Quran dan hadis.

Memandangkan keimanan kepada nabi dan rasul adalah rukun iman, maka Islam memperuntukkan bab berkaitan hukum khusus bagi mereka yang menghina dan mencerca nabi.

Ini kerana menghina para nabi dan rasul menjurus kepada usaha menghancurkan Islam dari asas atau akar umbinya.

Apabila nabi dan rasul sewenang-wenangnya dihina tanpa ada sebarang hukuman yang tegas, maka kesinambungannya ialah manusia terjerumus ke dalam jurang menghina Islam, syariat dan hukum-hakamnya.

Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Sesungguhnya orang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa hina. (al-Ahzab: 57)

Firman Allah SWT yang maksud-Nya: Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, maka Sesungguhnya adalah baginya neraka jahanam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang dahsyat. (al-Taubah: 63)

Ayat ini menyatakan ancaman bagi sesiapa yang menentang Allah dan rasul. Menghina dan mencerca nabi adalah penentangan terhadap rasul kerana merendah-rendahkan keperibadian insan maksum yang diamanahkan menyampaikan risalah Ilahi.

Para salafussoleh mengambil pendirian yang tegas dalam permasalahan ini. Diriwayatkan oleh Ibnu Munzir di dalam kitab al Awsot bahawa dikatakan kepada Ibnu Umar r.a: "Sesungguhnya seorang lelaki telah mencaci Nabi SAW, maka Ibnu Umar berkata: Jikalau aku dengari, nescaya aku bunuh dia. Tidaklah kami mahu berbaik-baik dengan orang yang mencaci nabi."

Diriwayatkan bahawa Gabenor Kufah pada zaman Khilafah Umar ibn Abdul Aziz r.a ingin menjatuhi hukuman bunuh kepada seorang yang menghina beliau (khalifah). Maka dia menulis surat kepada Umar ibn Abdul Aziz r.a meminta pendapat mengenai hukuman itu sama ada ia wajar dijalankan atau tidak.

Maka Khalifah Umar ibn Abdul Aziz r.a membalas suratnya di antara kandungan surat tersebut berbunyi: "Sesungguhnya tidak halal perbuatan membunuh seorang muslim yang mencaci orang lain melainkan bagi seorang lelaki yang mencaci Nabi SAW."

Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada al Sya'bi daripada Ali r.a berkata: "Sesungguhnya seorang wanita Yahudi mencaci Nabi SAW dan menghinanya, lalu seorang lelaki mencekik wanita itu sehingga mati. Maka Rasulullah SAW menghalalkan darah wanita itu."

Hukum menghina nabi

l Al Qadhi Iyadh al Maliki menyatakan di dalam al Syifa: "Ijmak ulama menyatakan bahawa dihukum bunuh orang-orang Islam yang mengurangkan dan merendah-rendahkan kedudukan Nabi SAW dan mencacinya".

l Abu Bakar ibn Munzir al Syafii berkata: "Telah bersepakat keseluruhan ahli ilmu bahawa sesiapa yang menghina Nabi SAW akan dibunuh. Di antara mereka menyatakan sedemikian ialah Malik ibn Anas, Imam Laith, Imam Ahmad dan Ishaq; dan ini adalah pendapat mazhab Syafii".

l Berkata Muhammad Ibnu Suhnun: "Ulama telah berijmak bahawa orang yang mencaci Nabi SAW dan mengurangkan kedudukan baginda SAW adalah kafir, akan dibalas dengan azab Allah dan hukumannya di sisi Islam ialah bunuh."

l Berkata Abu Sulaiman al Khattabi: "Tidak saya ketahui seorang pun dari kaum muslimin yang berselisih pendapat tentang hukum wajib dibunuh orang yang mencaci Nabi SAW apabila dia adalah seorang muslim".

l Ishaq ibn Rohuyah berkata: "Kaum muslimin telah berijmak bahawa sesiapa yang mencaci Allah atau mencaci rasul-Nya, atau menolak sesuatu daripada ayat-ayat Allah, atau membunuh seorang dari Nabi Allah adalah kafir dengan perbuatannya itu sekalipun dia memperakui setiap ayat yang diturunkan oleh Allah."

Nabi dan masyarakat Melayu Islam


Betapa besarnya kurniaan dan rahmat Allah ke atas umat Melayu di nusantara ini tatkala mereka dipilih untuk menyahut risalah Penghulu Segala Rasul SAW.

Malaysia amat bernasib baik kerana menikmati keamanan, kemakmuran dan masyarakat yang bersatu padu. Allah SWT memelihara umat Melayu Islam ini kerana mereka sentiasa meletakkan nabi SAW pada kedudukan yang tinggi dan martabat yang selayaknya sebagai seorang kekasih Allah.

Nabi SAW dipuji, disebut-sebut, diketengahkan keistimewaannya dan diulang-ulang sirah kehidupannya saban waktu.

Inilah sebenarnya rahsia keamanan negara kita di mana dalam pada kita mengamalkan perintah Allah dan rasul, kita tidak meminggirkan perasaan kasih dan cinta kepada Baginda SAW kerana ia adalah sebesar-besar tanda keimanan kepada Allah SWT.

Umat Islam di Malaysia akan bersama dalam satu usaha mempertahankan nabi SAW, memelihara maruah dan kedudukannya dari ditohmah oleh musuh-musuh agama.

Moga-moga golongan inilah yang sentiasa kekal pada setiap zaman berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sentiasalah ada sekelompok manusia dari kalangan umatku yang zahir di atas jalan kebenaran sehingga datangnya perintah Allah (hari kiamat)."

Salma isteri Hamzah

SALMA binti Umais bin Ma'd l-Khats'amiyah merupakan adik-beradik dengan Asma binti Umais. Salma telah berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Hamzah bin Abdul Muttalib. Hamzah adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Dia juga merupakan seorang pahlawan Islam yang digelar sebagai "Singa Allah".

Salma mempunyai hubungan rapat dengan Nabi Muhammad. Dia mendapat penghormatan dari Nabi Muhammad. Salma termasuk antara wanita yang awal memeluk agama Islam.

Pada peringkat awalnya, dia turut menerima siksaan dari kafir Quraisy. Begitu juga dengan saudara kandungnya iaitu Asma binti Umais. Akhirnya Asma dan suaminya Jaafar berhijrah ke Habsyah.

Hamzah sebelum menjadi orang Islam adalah seorang individu yang berani. Ramai yang takut dengan keberaniannya.

Berita keislaman Hamzah diketahui oleh masyarakat Arab. Mereka heboh memperkatakan Hamzah sudah memeluk Islam.

"Hamzah sudah menerima agama Islam. Dia sudah menjadi pengikut Muhammad," kata seorang lelaki Quraisy Mekah.

"Benarkah apa yang awak katakan," tanya lelaki muda yang lain pula.

"Ya. Sesiapa menghina Muhammad akan ditentang. Hamzah telah beri amaran keras kepada sesiapa yang mengganggu anak saudaranya itu akan menerima padahnya," kata lelaki Quraisy itu lagi.

"Nampaknya Hamzah susah pasti melindungi Muhammad dan orang Islam yang lain. Muhammad akan menjadi semakin kuat. Kita sudah tidak boleh menyiksa dan menyakiti Muhammad," kata lelaki muda pula.

Mereka berbual panjang dan memikirkan keadaan mereka selepas Hamzah memeluk Islam. Orang kafir Quraisy menjadi bimbang apabila Hamzah memeluk Islam.

Selepas Salma dan suaminya memeluk agama Islam, mereka telah berhijrah ke Madinah. Perang Badar menyaksikan kehebatan Hamzah melawan musuh. Tentera Islam mencapai kemenangan dalam perang Badar. Namun pada perang Uhud, Hamzah tewas apabila ditikam oleh Wahsyi.

Ada laporan mengatakan bahawa Nabi Muhammad mencari-cari Hamzah selepas peperangan Uhud tamat. Orang ramai berkumpul berhampiran Nabi Muhammad.

Lalu, Nabi Muhammad bertanya kepada mereka, "Siapakah diantara kamu yang tahu dimankaha Hamzah sekarang?"

Lalu, seorang lelaki pun berkata, "Tadi saya lihat Hamzah menuju ke arah pohon saya. Di situ dia berperang. Pada masa itu dia ada mengatakan bahawa dia adalah Singa Allah."

Nabi Muhammad bergegas ke tempat yang dicertakan oleh lelaki itu. Nabi Muhammad melihat mayat Hamzah terbaring di atas tanah. Mayat Hamzah habis dicincang oleh manusia yang kejam dan zalim. Nabi Muhammad tidak dapat menahan kesedihannya lalu menangis.

Kemudian, Nabi Muhammad berkata, "Hamzah adalah penghulu bagi semua orang yang mati syahid di jalan Allah pada hari kiamat kelak."

Peristiwa tikaman Hamzah oleh Wahsyi bermula apabila Wahsyi ditawarkan untuk mendapat kebebasan sebagai hamba daripada tuannya iaitu Jubair bin Muth'im. Jubair adalah bapa saudara Thu'aimah bin Adiy yang telah mati terbunuh semasa perang Badar. Kekejaman orang Quraisy semakin menjadi-jadi apabila jantung Hamzah dirobek dan diratah oleh seorang wanita yang bernama Hindun binti Utbah. Kematian Hamzah sangat menyedihkan. Jenazahnya dikebumikan di Uhud.

Salma menerima berita kematian suaminya dengan reda. Salma meneruskan kehidupan dengan banyak beramal. Selepas itu datang seorang lelaki bernama Syaddad bin Hadi al-Laithi melamarnya. Hasil perkahwinan itu lahir seorang anak lelaki bernama Abdullah.

Nabi Muhammad menghormati Salma. Selepas kematian suami pertamanya iaitu Hamzah, anak perempuannya yang bernama Umarah dibawa dan dijaga oleh ibu saudaranya iaitu Asma binti Umais. Asma menjaga Umarah dengan baik.

Umarah semakin meningkat dewasa. Sudah tiba masanya Umarah mendirikan rumah tangga. Perkara ini telah diajukan kepada Nabi Muhammad.

"Saya rasa elok Umarah berkahwin. Dia sudah menjadi anak gadis yang cantik. Sudah tentu ada lelaki yang meminati dirinya," kata ibu saudaranya.

Umarah tersipu-sipu malu mendengar khabar, dia akan berkahwin tidak lama lagi. Nabi Muhammad pun berkata, "Umarah adalah anak saudara sesusuan saya."

Nabi Muhammad telah mengaturkan perkahwinan itu. Umarah telah berkahwin dengan Salamah bin Abu Salamah. Majlis perkahwinan berjalan dengan rapi.

Semasa majlis akad nikah berlangsung Nabi Muhammad bertanya kepada Umarah, "Adakah Salamah menjadi pilihan hati dan sesuai untuk awak?"

Umarah tersenyum sipu. Salma beruntung kerana menjadi salah seorang ibu saudara Nabi Muhammad. Salma merupakan seorang ibu yang baik dan penyabar. Dia juga seorang wanita yang tabah dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang muslimah.

Thursday, March 25, 2010

Ambil peduli keadaan sekeliling

SIKAP peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang berlaku serta memberi tindak balas terhadap hal-hal yang berlaku di sekeliling kita. Rasa peduli adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup bermasyarakat.

Mengambil tahu masalah secara positif menggalakkan remaja menjadi seseorang yang prihatin terhadap keperluan dan masalah orang lain, berusaha untuk bantu-membantu dalam menyelesaikan masalah, serta mendidik remaja supaya dapat merenung hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu kejadian.

Hikmah rasa peduli

Rasa peduli sememangnya amat penting diamalkan oleh remaja dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Ia bermula dengan isteri atau suami dan anak-anak, anggota keluarga dan akhirnya kepada masyarakat.

Bayangkan sekiranya remaja berada di tempat kerja, rasa peduli amat dituntut. Sebagai pekerja kita berada dalam suatu suasana muafakat, kerjasama dan saling berinteraksi.

Apabila ada orang yang miskin dan susah memerlukan bantuan, rasa peduli akan menerbitkan perasaan untuk membantu sedaya mampu.

Apabila mendengar kesakitan orang lain terhadap kesempitan yang dihadapi, rasa peduli akan mendorong remaja turut sama merasai atau berkongsi keperitan yang dialami.

Ada orang yang zaman kanak-kanak dan remajanya tidak seindah seperti golongan seusianya. Ada yang hidup mewah dan keperluan zahir dijaga, tetapi keperluan kasih sayang tidak dipenuhi.

Ada yang hidup miskin dan tidak berkemampuan, tetapi dilimpahi dengan didikan agama dan kasih sayang daripada ibu bapa dan penjaga. Namun yang lebih menyedihkan sekiranya miskin harta dan kasih sayang.

Keperluan anak-anak yang tidak seimbang seperti ini harus diambil peduli dan dibantu supaya tidak tercicir serba serbi dalam arus dunia yang semakin pantas dan mencengkam.

Intimnya kaitan rasa peduli dengan remaja bertujuan mendidik mereka bahawa hidup ini memerlukan orang lain dan keperluan untuk berhubung serta berinteraksi.

Sebahagian remaja kadang-kadang sudah terdidik dengan sifat bersendiri, tidak peduli orang lain, hilang hormat kepada ibu bapa dan orang tua, hilang adab kepada jiran dan orang lain.

Sikap sebegini tidak menyumbang ke arah pembinaan masyarakat. Bayangkan kalau di peringkat remaja lagi sudah ada sikap individualistik. Pasti akan terbawa-bawa hingga dewasa.

Rasa peduli mestilah dalam batas pengertian yang mendalam, keinsafan yang tinggi bahawa sebagai hamba Allah kita memerlukan bantuan, sumbangan dan derma dalam keadaan-keadaan tertentu.

Bayangkan sekiranya kita ditimpa bencana, kesusahan dan kepayahan hidup pasti kita memikirkan bantuan dan pertolongan orang lain. Sekiranya rasa peduli itu subur pada diri remaja ia menjadi asas membina sikap tidak sombong dan tidak angkuh dengan apa yang ada pada dirinya.

Sekiranya rasa peduli itu teguh pada remaja, apabila dewasa ilmu yang ada dapat digunakan untuk menyumbang terhadap orang lain. Kepakaran yang ada memudahkan pihak yang memerlukan, banyak membantu kerja-kerja sukarela. Amalan begini boleh memupuk rasa muhibbah dan kemanusiaan tinggi sesama manusia.

Ambil peduli, bukan 'menyibuk'

Malangnya apa yang terjadi dalam masyarakat hari ini adalah kita terlalu takut atau sememangnya tidak peduli akan masalah dan isu-isu yang berlaku di sekeliling kita.

Peristiwa penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi, jenayah, kes-kes dadah dan rogol yang menjadi-jadi sewajarnya membangkitkan perasaan peduli terhadap suasana sekeliling.

Frasa 'jangan menjaga tepi kain orang' tidak harus dianggap pengabaian terus terhadap hal-hal yang terjadi di luar lingkungan urusan kita.

Orang tua-tua dahulu mentafsir pepatah tersebut sebagai jangan 'menyibuk' hal orang lain atau masuk campur hal orang lain dengan tujuan tidak baik.

Ia bukanlah bermaksud untuk tidak ambil tahu langsung terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita, tetapi tidak masuk campur secara berlebih-lebih supaya tidak timbul perkara yang kurang menyenangkan kemudian hari.

Rasa peduli mestilah berasaskan sifat ikhlas dan tulus supaya sikap ambil tahu kita adalah pancaran suci jiwa untuk membantu dan menolong di mana yang perlu.

Di sini perlunya rasa peduli yang positif supaya kita terus maju dan membangun. Ada juga rasa peduli terhadap perbuatan buruk seseorang yang menyebabkan timbul umpatan, keji-mengeji dan dan fitnah memfitnah.

Memang benar apabila rasa peduli itu terbentuk secara negatif, ia melahirkan sikap negatif pula. Umpatan, kejian, dan fitnah memfitnah bukanlah cara yang diajar oleh Islam untuk memanjangkan rasa peduli terhadap orang lain. Islam melarang kita mengaibkan orang lain dan diumpamakan sebagai meratah daging saudara sendiri.

Apa yang terjadi baru-baru ini terhadap golongan kanak-kanak sememangnya amat kita kesali. Bukan sahaja perbuatan suspek dan sekutunya dibenci, malah sikap penduduk sekeliling yang tidak peka dan tidak prihatin amatlah dikesali.

Tentunya kita tidak dapat membayangkan keadaan masyarakat di masa akan datang sekiranya terus dengan sikap tidak peduli atau takut bertindak menentang kekejaman di hadapan mata.

Menolong orang yang dalam kesusahan adalah suatu yang digalakkan dalam Islam, apatah lagi sekiranya ia berlaku di hadapan mata sendiri.

Pernah penulis mendengar cerita seorang pengacara di televisyen tentang pengalamannya diketuk pintu dan diperiksa oleh pihak polis di luar negara pada tengah malam kerana hanya anaknya menangis kuat dan lama.

Setelah itu baru diketahui bahawa jiran-jiran sekeliling telah melaporkan kejadian itu kerana khuatir sesuatu yang buruk telah berlaku kepada anaknya itu kerana mendengar tangisan luar biasa anak pengacara tersebut di tengah-tengah malam.

Selepas diperiksa bahawa anak itu dalam keadaan baik, maka barulah pihak polis pulang dan jiran-jiran dapat tidur dengan lena tanpa memikirkan sesuatu yang buruk telah terjadi pada kanak-kanak itu.

Barangkali sesetengah orang akan membayangkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang melampau dan terlebih-lebih. Tetapi ada baiknya kita mencontohi kisah dan sikap kepedulian jiran-jiran terhadap keadaan sekeliling kerana keprihatinan dan kepedulian terhadap sesuatu hal bukan sahaja mampu menyelamatkan keadaan, malah juga nyawa.

Justeru, remaja harus ingat bahawa umat Islam adalah bersaudara. Perumpamaan kasih sayang seorang mukmin umpama tubuh; jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka tubuh yang lainnya turut berasa sakit. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Mengambil tahu dan mempunyai rasa peduli terhadap orang lain adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam.

Kesimpulan

Sikap peduli sangat penting untuk dipupuk dan diamalkan sedari kecil. Kanak-kanak diajar untuk menghormati orang lain, peka terhadap perasaan sendiri dan orang lain serta dididik dengan sikap menginsafi keadaan orang lain yang dalam kesusahan.

Zaman remaja pula diperkukuhkan dengan sikap suka menolong dan ringan tangan untuk membantu ibu bapa dan orang sekeliling yang memerlukan. Apabila didikan-didikan ini dibajai dengan baik, remaja akan menginsafi bahawa mereka akan tua suatu hari nanti dan memerlukan bantuan orang lain pula.

Sekiranya remaja sudah terbina dengan asas peduli yang baik, dengan sendirinya akan lahir masyarakat yang terbina dengan sifat kasih sayang dan tolong menolong ke arah kebajikan dan kebaikan bersama.

Tim Winter ulama kulit putih


Kaum kulit putih khususnya dari Eropah yang musyrik sering berbangga dengan darah Anglo Saxon yang mengalir dalam tubuh mereka.

Namun, bagi Tim Winter atau nama sebenarnya Timothy John Winter yang berketurunan Anglo Saxon tanpa segan mengakui bahawa beliau sebenarnya berketurunan Anglo-Muslim. Ia kesan secara langsung sebaik sahaja beliau memeluk Islam sekitar tahun 1970-an dahulu.

Anglo Muslim?

Perkara ini sebenarnya tidak pelik kerana jika kita kembali ke abad ke-18, di sekitar England telah wujud kelompok masyarakat yang dikenali sebagai Anglo Muslim atau Anglo-Mohammedan.

Jumlah mereka semakin berkembang dan kini dianggar terdapat lebih 100,000 warga kulit putih United Kingdom (UK) yang beragama Islam sama ada secara keturunan mahupun mualaf.

Jika dikaji semula sejarah, Islam bukanlah suatu agama yang baru bagi kalangan kaum kulit putih. Mungkin kebanyakan nenek moyang mereka dahulu beragama Islam.

Sekalipun tidak beragama Islam, Kristian yang mereka anuti cukup berbeza daripada aspek ibadat, amalan dan ajaran.

Sebagaimana yang diakui sendiri oleh Tim, datuknya merupakan dari generasi terakhir keturunan keluarga beliau yang mengakui kebenaran Kristian.

"Datuk saya tidak pernah menyentuh holy water sehingga ke akhir hayatnya," katanya.

Beliau kini ialah ulama Islam kulit putih yang sangat terkenal.

"Mengimbau zaman di mana anak-anak muda duduk semeja sambil minum kopi dan masing-masing berbicara mengenai apakah makna hidup, mengenalpasti di manakah sebenarnya kita berada dan ke arah manakah haluan hidup ini.

"Semua itu kononnya terjawab apabila ramai kalangan rakan memilih cara hidup hippie malah ramai juga yang terus menetap di India yang kononnya menjanjikan hidup penuh dengan adat ketimuran, eksotik dan kelas pertengahan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak seperti rakan-rakannya itu tetapi lebih memilih untuk ke Asia Barat atau lebih tepat, Islam.

"Saya memilih sesuatu yang secara radikal berbeza berbanding agama tradisi bangsa India atau Zen Buddha.

"Saya tidak memerlukan agama yang ganjil atau eksotik dan saya juga tidak bertujuan untuk mencari alternatif identiti yang baru untuk diri sendiri," katanya.

Apa yang pasti, Tim tidak lagi mengunjungi gereja kerana tidak dapat menerima konsep-konsep yang diketengahkan.

Ditanya adakah semua konsep itu tidak munasabah untuk diterima apatah lagi tanpa banyak soal, beliau menjawab: "Catatan mengenai Nabi Isa a.s boleh dilihat dari dua bentuk. Iaitu sebagaimana baginda diceritakan dalam sejarah dan kisah-kisah baginda dalam perjanjian baru.

"Tetapi adakah Nabi Isa yang diceritakan oleh kedua-dua sumber itu adalah dari individu yang sama?

"Ini kerana daripada kedua-duanya tidak ada yang sama dan berbeza-beza.

Tambahan pula, beliau tidak mempunyai kapasiti yang cukup kuat untuk mempunyai kepercayaan terhadap doktrin-doktrin yang abstrak.

"Sejauh pemahaman saya, Nabi Isa secara ultimatumnya guru kepada bangsa Yahudi yang membawakan mesej yang besar dari Injil Hebrews bahawa manusia boleh diterima di sisi tuhan atas kekuasaan tuhan yang mempunyai kuasa untuk mengampun," katanya.

Tuhan bagi Tim sedia untuk mengampun dan memberkati hidup hamba-hamba tanpa sebarang masalah, jauh sekali hasil daripada pengorbanan mana-mana pihak.

"Bagi saya itu darjah monoteisme paling tinggi bagi tuhan dan saya dapati ia menjadi ajaran utama dalam Islam," katanya.

Antara punca lain yang menarik Tim kepada Islam tidak sahaja isi kandungan al-Quran tetapi tentulah juga alunan bacaan ayat-ayat suci itu yang beliau sifatkan bagaikan daya tarikan sekuat magnet kepadanya untuk mendekati dan seterusnya mencintai Islam.

"Pernah semasa berada di Kaherah Mesir, saya sempat mengira sebanyak 38 kedai secara serentak memasang rakaman bacaan al-Quran di sana-sini, sepanjang hari.

"Pertama kali mengalami suasana seperti itu, dengan alunan bacaan al-Quran pelbagai jenis lagu itu menjadikan ia 'muzik' kegemaran saya.

"Malah saya tidak ragu-ragu mengatakan bahawa ia merupakan suatu seni Islam yang sangat hebat," katanya.

Namun pada asasnya Tim memeluk Islam selepas mengkaji dan membuat perbandingan pelbagai falsafah dan teologi agama dan beliau tidak menemui suatu agama yang amalannya begitu sempurna, selain Islam.

Berdasarkan kepada pengetahuan yang ada tidk sesuai lagi jika meletakkan Tim atau nama Islamnya Dr. Abdul Hakim Murad sebagai saudara Muslim. Sebab, pengetahuannya mengenai Islam persis beliau dilahirkan dan dibesarkan secara Islam, terlalu luas dan amat mendalam.

Lahir pada tahun 1960, beliau memegang ijazah kelas pertama dalam bahasa Arab dari Universiti Cambridge pada tahun 1983.

Atas minat dan cinta beliau terhadap Islam, Tim atau Abdul Hakim menyambung pengajian mengenai Islam di Universiti al Azhar, Mesir.

Beliau pulang semula ke England pada 1989 untuk menyambung pengajian di Universiti London bagi pengajian Turki dan Parsi.

Kini beliau merupakan pensyarah di Shaykh Zayed Pengajian Islam di Fakulti Diviniti Universiti Cambridge, juga merupakan Pengarah Pengajian Teologi di Kolej Wolfson dan baru-baru ini menerima ijazah kedoktoran dari Universiti Oxford.

Apabila menyebut beliau berketurunan Anglo Saxon, sesuai dengan itu juga Abdul Hakim adalah Pengarah Pertubuhan yang dikenali The Anglo Muslim Fellowship untuk Eropah Timur dan memegang pelbagai lagi jawatan dalam dunia akademik dan pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan Islam.

Sudah tentunya, Abdul Hakim memberi sumbangan yang sangat besar dalam dunia Islam dengan menulis buku-buku, jurnal, artikel, syarahan, panel forum dalam pelbagai topik yang sangat menyentuh mengenai dunia dan ilmu-ilmu Islam.

Yang menarik, beliau antara bangsa kulit putih pertama menterjemahkan kitab-kitab muktabar ke bahasa Inggeris seperti, The Remembrance of Death and the Afterlife (Cambridge 1989) oleh Imam Al Ghazali.

Hikmah yang sangat besar apabila Tim memeluk Islam ialah kemampuan beliau berdakwah menyebarkan Islam terutamanya pada mereka yang sebangsa dengannya.

Usaha dakwahnya menjadi lebih berkesan kerana beliau begitu memahami soal bahasa dan budaya bangsanya sendiri.

Hujah-hujah yang padat dan bernas sentiasa diberikan dalam konteks hubungan Islam dan Barat (Kristian), dakwah, aliran-aliran seperti wahabi, sunni, syiah dan politik.

Begitu tertarik apabila dalam satu artikel, Abdul Hakim menulis mengenai beberapa kelemahan umat Islam yang agak unik.

"Sehingga ke abad 18, ramai ulama percaya bahawa dunia penerbitan membabitkan percetakan adalah haram hukumnya.

"Ini apabila mereka percaya teks-teks yang melibatkan agama Islam adalah terlalu suci untuk dicetak dan diulang cetak berkali-kali.

"Bagi mereka jika hendak ditulis mestilah ditulis tangan dengan perlahan-lahan dan penuh dengan rasa kecintaan dengan tulisan-tulisan berseni kaligrafi atau khat dan dibukukan dengan penuh seni, juga secara tangan," katanya.

Begitu juga dengan kejatuhan kerajaan atau empayar Islam Uthmaniah di awal abad ke-19 yang menyebabkan banyak wilayah Islam jatuh ke tangan asing terutamanya Rusia.

Ramai pakar sejarah mengakui kemenangan di pihak Rusia itu berpunca pihak musuh mempunyai disiplin yang tinggi dan lebih-lebih lagi peralatan ketenteraan yang moden dan terkini untuk zaman itu.

Sedangkan di pihak Islam, mereka percaya kepada kemenangan boleh dicapai hanya melalui 'keimanan' tanpa perlu mengubah strategi perang yang ada.

"Mereka juga percaya jika dibekalkan senjata seperti senapang, iaitu tembakan ke arah musuh dari jarak jauh dianggap seperti tindakan seorang pengecut berbanding berlawan dengan pedang sambil merenung mata musuh barulah dianggap sebagai pahlawan sejati," kata beliau.

Sebenarnya membaca mengenai Dr. Abdul Murad, banyak ilmu yang boleh dipelajari dan diambil pengajaran.

Namun jika berpeluang mendengar sendiri syarahan dan menyaksikan kehadirannya adalah lebih baik.

Justeru itu, berita baiknya beliau akan hadir ke negara ini pada 27 hingga 29 Mac ini yang dibawa khas oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui sayap, Islam Outreach mereka.

Bertempat di Dewan Auditorium Dewan Jubli Perak, Shah Alam, Selangor, Dr. Abdul Hakim Murad akan menyampaikan syarahan pada 27 Mac ini.

Hubungi talian 0342569822 untuk maklumat lanjut program ini. Jangan lepaskan peluang terbaik ini!

Asiyah permaisuri Firaun

PERMAISURI Asiyah ialah isteri kepada Firaun. Beliau dikahwini oleh Firaun sejak kecil lagi, iaitu ketika berusia 12 tahun. Ketika Firaun sedang hebat melancarkan pembunuhan anak lelaki Bani Israel beramai-ramai, permaisuri Asiyahlah yang menyambut Nabi Musa ketika dihanyutkan di Sungai Nil dan menahan niat Firaun untuk membunuh baginda.

Nabi Musa diambil sebagai anak angkat oleh permaisuri Asiyah dan Firaun sendiri. Permaisuri Asiyah telah menerima ajaran Nabi Musa dan beriman kepada Allah SWT. Akan tetapi permaisuri Asiyah menyembunyikan keimanannya daripada pengetahuan suaminya Firaun.

Lama kelamaan, Firaun mengetahui juga bahawa permaisurinya telah menerima ajaran Nabi Musa dan beriman kepada Allah SWT. Firaun menjadi murka terhadap Permaisuri Asiyah.

Lalu Firaun pun pergi menemui ibu Permaisuri Asiyah dan menceritakan bahawa isterinya itu telah menderhakainya. Mendengar akan berita itu, ibu Permaisuri Asiyah datang menemuinya,

"Wahai anakku, ikut sahajalah kehendak Firaun itu," kata ibunya.

"Aku tidak akan sekali-kali kufur terhadap Allah SWT," jawab Permaisuri Asiyah.

Permaisuri Asiyah tetap dengan keputusannya iaitu mahu beriman kepada Allah SWT. Pujukan ibunya itu tidak berhasil. Firaun sangat marah, lalu diperintahkan para pegawainya menyalib Permaisuri Asiyah di tengah-tengah kota Misra. Firaun mahu penduduknya melihat bahawa dia sanggup menghukum sesiapa sahaja yang menderhakainya walaupun permaisurinya sendiri.

Permaisuri Asiyah digantung di atas palang dengan dipaku tangan dan kakinya. Alangkah terseksanya Permaisuri Asiyah ketika itu, namun Permaisuri Asiyah tetap bersabar dan tetap dengan pendiriannya mahu beriman kepada Allah SWT.

Firaun tidak boleh menahan sabar, lalu diperintahkan para pegawainya menambahkan seksaan ke atas Permaisuri Asiyah. Permaisuri Asiyah dipaksa memakan roti barli yang masin dan dikoyakkan kulit kakinya.

Nabi Musa juga menyaksikan penderitaan yang ditanggung oleh Permaisuri Asiyah, lalu Nabi Musa berdoa kepada Allah SWT agar Permaisuri Asiyah diberi rahmat oleh-Nya. Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Musa dengan mengarak awan agar melindungi Permaisuri Asiyah daripada panas matahari.

Dalam kezaliman Firaun, permaisuri Asiyah berdoa: "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah disisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku daripada kaum yang sangat zalim." Demikianlah doa yang hebat daripada seorang wanita bergelar permaisuri. Biarpun beliau mampu untuk kembali kepada agama Firaun dan menikmati kemewahan di istana, beliau menganggap bahawa kemewahan itu bersifat rapuh dan hanya untuk sementara. Cintanya kepada Allah jauh lebih kuat serta memohon syurga di sisi Tuhan Yang Maha Kekal.

Permaisuri Asiyah diseksa oleh Firaun sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir. Firaun telah memerintahkan para pengawalnya supaya melontarkan sebiji batu yang besar bagi mengakhiri hidup permaisuri Asiyah. Akan tetapi, Allah SWT telah mencabut roh permaisuri Asiyah sebelum batu itu mengenainya.

lPetikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

منخاري فرمات يغ هيلغ

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
ساي برفسان كفد ديري ساي دان سيدغ جمعة سكلين، ماريله سام۲ كيت برتقوى كفد الله سبحانه وتعالى دغن سبنر بنر تقوى، برسوغضوه-سوغضوه ملقساناكن سضالا فرينتهث دان منجاوهي سضالا لارغنث. سسوغضوهث اورغ يغ فاليغ باءيق دسيسي الله سبحانه وتعالى اياله اورغ يغ فاليغ برتقوى. تاجوق خطبة كيت فد هاري اين اياله : "منخاري فرمات يغ هيلغ".

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
الله سبحانه وتعالى مغوتوسكن إسلام كفد جونجوغن بسر نبي محمد صلى الله عليه وسلم دالم كادأن مندافت تنتاغن مشاركت . كتيك فرمولأن إسلام دمكه، بيلغن فغيكوت امت سديكيت ترديري درفد اهلي كلوارض تردكت دغن رسول الله دان دري كالغن همبا سرتا اورغ ميسكين. مريك دتينداس دان دفرلاكوكن سفرتي مأنسي يغ تيدق فوثا نيلاي دان هرض ديري. بركت كسوغضوهن رسول الله صلى الله عليه وسلم، فارا صحابة دان ضينراسي اول إسلام دالم مثيباركن ريساله توحيد، مك إسلام تله بركمبغ كسلوروه فلوسوق عالم دان منجادي فناور سرتا فنجان دالم ممبينا كتامادونن، يغ مان رحمة، حكمه، دان منفعاتث دافت دراساءي اوليه سلوروه اومت مأنسي. اين سباضايمان فرمان الله سبحانه وتعالى دالم سورة الأنبياء ايات 107:

مقصودث: "دان تيادله كامي مغوتوسكن كامو، ملاءينكن اونتوق منجادي رحمة باضي سكالين عالم."

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
سجاره منخاتتكن بهاوا إسلام تله منخافاي زمان كضميلغن دزمان فمرينتاهن خلفاء الرشيدين دمدينه، زمان فمرينتاهن عماوي ددمشيق دان زمان كراجاءن عباسيه دبغداد. كراجاءن۲ اين منجالنكن داسر فرلواسن كواس دان مثيباركن إسلام سهيغض دافت مغواساءي ساتو فرتيض دنيا يغ مليفوتي سمننجوغ تانه عرب، فرسي، سبهاضين ايمفاير روم، أفريك اوتارا، سفنثول(Sepanyol) ، فرانخيس دان توركي.
مالغث كضميلغن إسلام اين تيدق دافت برتاهن، كران اومت إسلام فد كتيك ايت دلندا مسئله دالمن دان تكنن دري لوار، فمرينتاهن يغ تيدق خكف، مابوق دغن كميواهن دان هيدوف دغن كسرونوقكن، لوفا ديري درفد مغيغاتي الله سبحانه وتعالى. نضارا۲ يغ دكواساءي فد كتيك ايت ساتو دمي ساتو ترلفس دري فغواساءن كراجاءن إسلام. كراجاءن إسلام يغ تراخير دباوه سيستم خليفة اداله كراجاءن عثمانيّه دتوركي. اين دضمبركن اوليه رسول الله صلى الله عليه وسلم دالم حديث يغ دروايتكن اوليه مسلم:

مفهومث: "دري ابو هريرة رضي الله عنه بركات، رسول الله صلى الله عليه وسلم برسبدا: إسلام مولا ترسبار دالم كادأن كسوكاران (اسيغ). دان اي اكن كمبالي اسيغ فولا. مك برونتوغله اورغ۲ يغ أسيغ (اورغ إسلام يغ مغهادفي كسوكاران اين )".

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
كيت مراسا امت سديه سكالي، كران كضميلغن إسلام يغ كيت بغضا-بغضاكن هاث تيغضل دالم ليفتن سجاره. سواتو ماس يغ كيت كتاهوءي سباضاي زمان كضلافن بارت، اداله زمان بغكيتث كماجوان علمو دان كتامادونن إسلام يغ برفقسيكن القرءان دان السنّه دسبله تيمور ياءيت سوقتو فمرينتاهن كراجاءن عباسيه يغ دفيمفين اوليه باريسن خليفه يغ برويبوا. نام إسلام فد ماس ايت هاروم سلوروه عالم. برباضاي فنروكاءن علمو بارو يغ دفلوفوري اوليه فارا علماء، فارا سرجان اتاو علموان إسلام فد كتيك ايت، انتاراث بيدغ فروبتن دفلوفوري اوليه ابن روشد، بيدغ فسيكولوضي دان ايموسي دأساسكن اوليه ابن سينا، علمو استرونومي دفلوفوري اوليه الخواريزمي دان برباضاي لاضي خابغ فنروكاءن علمو يغ ماسيه بلوم دكاجي اوليه اورغ۲ بارت. برباضاي اينوؤاسي بارو يغ دتروكاءي اوليه اومت إسلام ماس ايت. جوسترو، تربوقتي كفد دنيا بهاوا إسلام يغ دباوا اوليه رسول الله صلى الله عليه وسلم اداله اضام اونيؤرسل، تونجغ دان اكرث اداله دالم بنتوق هوبوغن دغن الله سبحانه وتعالى، مانكالا داهن دان رنتيغث اداله منخاكوفي إسفيك كهيدوفن برمشاركت، برموعامله دان برنضارا.

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
كضميلغن دان كتامادونن إسلام يغ سلالو كيت خريتاكن كفد انق خوخو كيت، كيني هاث تيغضل دالم ليفتن سجاره. كضميلغن دان كتامادونن ايت تله هيلغ دسببكن كألفاءن اومت إسلام ايت سنديري. دغن هاث برخريتا سهاج، اي تيدق اكن دافت مغوبه اف٢ فكتا سجاره لمفاو ترسبوت، ملاءينكن كيت سنديري بروسها منخاري حق۲ اومت إسلام يغ تله هيلغ اتاو ترلفس دري ضغضمن تاغن اومت إسلام سواتو كتيك دهولو. انتارا لغكه۲ يغ سهاروسث كيت لاكوكن اياله:

1) كيت هندقله كمبالي كفد اجران إسلام يغ سبنر. دالم ماس يغ سام كيت تانمكن كيقينن كيت كفد الله سبحانه وتعالى دان ممفرتاهنكن حق إسلام. مك باروله كيت دافت ممبينا سمولا كقواتن يغ الله سبحانه وتعالى كورنياكن كفد ضينراسي تردهولو، يغ سغضوف برجواغ دمي كاسيه دان خينتا مريك ترهادف الله سبحانه وتعالى دان رسولث، مغاتسي خينتا دان كفنتيغن كفد ديري مريك سنديري، كلوارض دان هرتا بندا.
2) كيت هندقله منجاديكن اضيندا فغواساءن علمو سباضاي ترس اتاو تونجغ كماجوان ساءين س دان تيكنولوضي دالم ممبينا كتامادونن بارو يغ ممفوثاءي ايدينتيتي، جاتي ديري دان أخوان ترسنديري.
3) سإيريغ دغن كماجوان منوجو كخمرلغن، كيت تيدق دافت لاري دري ممفركاسكن اسفيك فمباغونن انسان دان جاتي ديري. كران اف ضونا نضارا كيت ماجو، تتافي مشاركت اتاو رعيتث هيدوف دالم كتقوتن كران باثق برلاكوث كيس۲ جنايه، ضجالا سوسيال، كرونتوهن اخلاق دان سباضايث.
4) جاغن كيت خفت مراسا فواس دغن اف يغ تله كيت خافاي، كران ايندك-س اتاو فنندا ارس سواتو تاهف كماجوان ايت اكن سنتياس بروبه فد ستياف ماس. جوسترو، كيت مستي مليفتضندقن اوسها كيت اونتوق منخافاي كسواتو تاهف يغ لبيه تيغضي.
5) كونسيف تَعَاوُنْ ياءيت برتولوغ بنتو دالم مماجوكن ساودارا۲ ساضام . تيدق كيراله اف بنتوق دان بيدغ، أومفامث فرتوكرن تيكنولوضي ماكنن دان فرتانين، فركوغسين تيكنولوضي معلومت، فرتوكرن تناض كفاكرن دان بركماهيرن تيغضي دالم ايندوستري جنترا برت دان سباضايث. اين سموا دافت ممبنتو دان سوفاي أخوّة إسلاميه ايت اكن منجادي لبيه كوكوه دمي منجاض حق۲ دان كفنتيغن إسلام ايت سنديري.
6) كيت اومت إسلام هندقله ملتقكن كيقينن يغ سفنوهث دان كبرضنتوغن كيت كفد الله سبحانه وتعالى، تيدق فد يغ لاين. كران هيدوف دان ماتي كيت هاث اونتوق منخاري كريضاءن الله سمات-مات.

سيدغ جمعة يغ درحمتي الله،
منبر ايغين برفسان كفد سموا بهاوا اينله بوتير۲ فرمات يغ كيت مستي خاري، دان مستي كيت كوتيف كمبالي دري ضغضمن فيهق۲ يغ تله مرمفسث دري ضينراسي اول إسلام يغ تله مغهنخوركن خدمت دان بقتي مريك ترهادف إسلام دان اومتث. رسول الله صلى الله عليه وسلم دالم حديث يغ دروايتكن اوليه التِّرمذى درفد ابو هريرة رضي الله عنه:

مفهومث: "كات۲ حكمة ايت تله هيلغ (ترلفس) دري اورغ موءمن، مك دمان سهاج كامو دافتيث، مك كامو لبيه لايق مميليقيث".


مقصودث: "هاي اورغ يغ برايمان! جاضله ديريمو. اورغ يغ سست تيدق اكن منداتغكن مضرة كفدامو افابيلا كامو تله مندافت فتونجوق. كفد الله له تمفت كمباليمو سمواث، مك اي اكن منرغكن كفدامو اف يغ كامو لاكوكن.(سورة المائدة ;105)"

Nikmat syurga tiada bandingan

Setelah Allah SWT menerangkan perbuatan para pendusta, berikutnya Dia menerangkan pula dengan lebih lanjut kemenangan yang diperolehi oleh orang yang bertaqwa, iaitu syurga yang digambarkan kewujudan dan isinya. Dia menerangkan bahawa syurga tidak lain adalah kurnia Allah SWT.

Perkara ini merupakan pendorong hasrat yang tinggi dan mengajak mereka agar lebih bersungguh dalam melakukan amal kebajikan dan menambahkan kedudukan yang dekat kepada Allah SWT dan ketaatan kepada-Nya.

Ayat ini juga merupakan gambaran penderitaan bagi orang yang tersesat lagi pendusta.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.

Ibn Abbas dan al-Dahhak berkata: Iaitu, dalam keadaan suci sedangkan Mujahid dan Qatadah berkata: Mereka selamat dari api neraka.

Firman Allah SWT: (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur. Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya.

Inilah sebahagian kenikmatan syurga dengan makanan dan bidadari. Al-Maraghi berkata: Bernikmatan dengan bidadari menggambarkan kesenangan seseorang di dunia yang memperoleh kelazatan walaupun kita tidak mengetahui hakikatnya di akhirat kelak dan kita wajib beriman dengannya.

Jelas kenikmatan di sana melebihi kelazatan yang terdapat di dunia. Ini merupakan bentuk kesenangan di hari akhirat.

Firman Allah SWT: Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Ibn Abbas berkata: Ia terisi penuh dan berturut-turut dan Ikrimah berkata: Ia menjadi jernih.

Firman Allah SWT: Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta.

Ibn Kathir berkata: Dalam syurga tiada perkataan yang tidak bermanfaat, malahan pula dusta dan dosa. Syurga merupakan tempat yang terjamin keselamatannya penuh dengan nikmat yang tidak terkira.

Firman Allah SWT: Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya).

Syed Qutb berkata: Kita dapat melihat keindahan pengungkapan dan irama dalam pembahagian di antara jaza' (balasan) dan ata' (kurnia).

Keindahan itu dapat dilihat lebih kurang pada semua bunyi di akhir ayat. Inilah ciri yang nyata dalam keindahan seluruh juzuk ini.

Firman Allah SWT: Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata dengannya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu).

Ibn Kathir berkata: Allah SWT menjelaskan berkenaan dengan Keagungan dan Kemuliaan-Nya. Dialah Rabb yang hakiki sama ada di bumi atau di langit dan semua makhluk tidak mampu berbicara kecuali dengan izin-Nya.

Firman Allah SWT: (Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.

Ulama tafsir khilaf berkenaan dengan maksud roh di sini antaranya:

lRoh-roh manusia seperti riwayat al-Aufi dari Ibn Abbas.

l Anak cucu Adam AS seperti pendapat al-Hasan dan Qatadah.

lSalah satu daripada makhluk Allah dalam bentuk seperti manusia tetapi bukan malaikat dan manusia. Keadaan mereka juga makan dan minum. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid, Abu Salih dan al-A'mash.

lIaitu Jibril a.s seperti pendapat Sya'bi, Said bin Jubair dan al-Dahak.

lPara malaikat yang mulia dan hampir dengan Allah SWT seperti kata Muqatil.

lIaitu al-Quran. Inilah pendapat Ibn Zaid.

lSalah satu malaikat dengan ukuran sebesar seluruh makhluk.

Ibn Kathir mentarjihkan pendapat kedua iaitu: Anak cucu Adam AS.

Firman Allah SWT: Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya, maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!

Hari Kiamat pasti berlaku dan hendaklah seseorang itu beramal soleh dan dapat mendekatkan kepada Allah SWT dengan memperolehi kemuliaan dan pahala, di samping itu dapat menjauhkan dari seksaan azab neraka.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), Iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau Aku menjadi tanah (supaya Aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)".

Ibn Kathir berkata: Pada hari itu orang kafir berangan-angan dengan menyatakan jika mereka dijadikan sebagai tanah dan bukannya makhluk yang wujud di muka bumi.

Ini kerana setelah diperlihatkan kepada mereka azab dari Allah SWT dan perbuatan buruk mereka yang telah dicatatkan oleh malaikat yang mulia.

Penutup

Alhamdulillah, selesailah sudah surah al-Naba' yang mengandungi kandungan rukun iman berkaitan hari akhirat.

Di samping itu, dijelaskan perihal natijah golongan yang derhaka dengan sepedih-pedih balasan. Semoga Allah SWT memelihara kita semua daripada seksaan-Nya.

Begitu juga digambarkan dengan terang sifat yang diperolehi dan diraih oleh penghuni syurga dengan pelbagai kenikmatan. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita keredaan-Nya dan syurga-Nya.

Mengenang malapetaka menimpa warga Deir Yassin

PAGI Jumaat 9 April 1948, di perkampungan Deir Yassin yang mempunyai 750 penduduk, berlaku tragedi membabitkan pembunuhan seramai 254 rakyat Palestin termasuk orang tua, wanita dan 52 kanak-kanak oleh pengganas Yahudi. Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Dalam serangan itu, wanita hamil dibelah perutnya dan dikeluarkan janin serta bayi hidup-hidup dari rahim ibunya. Sementara 52 kanak-kanak disiksa di depan ibu bapa mereka, lalu mereka dibunuh dan dipenggal kepalanya.

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan: “Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh.

“Tentera itu mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang sudah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu.”

Daripada 144 rumah di perkampungan Deir Yassin, 10 buah diletupkan. Perkuburan Deir Yassin disodok dan seperti beratus perkampungan Palestin lain, Deir Yassin dihapuskan dari peta muka bumi ini.
Menjelang September, pendatang Yahudi Ortodoks dari Poland, Romania, dan Slovakia ditempatkan di situ, walaupun menerima bantahan daripada Martin Buber, Cecil Roth dan ketua Yahudi lain yang mahu kawasan pembunuhan beramai-ramai itu dikekalkan tandus.

Pusat perkampungan itu dinamakan Givat Shaul Bet. Apabila Baitulmaqdis berkembang, tanah Deir Yassin menjadi sebahagian dari bandar Baitulmaqdis dan sekarang ini dikenali sebagai kawasan di antara Givat Shaul penempatan Har Nof di lereng sebelah barat gunung.

Disebabkan itu, 9 April sentiasa dikenang dan penceritaan peristiwa berlaku terus diulang bukan kerana bilangan dibunuh atau kekejaman dilakukan tetapi itulah permulaan kepada penghapusan penduduk 400 perkampungan, bandar Arab dan pengusiran 700,000 penduduk Palestin sebagai ruang pendatang Yahudi di seluruh dunia.

Sempena memperingati tragedi nakbah atau malapetaka kepada rakyat Palestin itu, Friends of Deir Yassin (FDY) (dulunya Deir Yassin Remembered Malaysia) dengan kerjasama Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) menganjurkan ceramah umum mengenai konflik yang belum berakhir itu.

Wartawan koresponden Asia Barat untuk akhbar The Independent yang memenangi pelbagai anugerah dan penulis buku terkenal, Dr Robert Fisk, akan menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sindrom Penafian: Laporan dari Asia Barat’.

Pengerusi Jawatankuasa Malaysia bagi Mengingati Deir Yassin, Hishamudin Ubaidulla, berkata ceramah umum yang akan diadakan 4 April ini di IAIS bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap konflik berterusan dilalui rakyat Palestin hingga hari ini.

Katanya, apa yang berlaku di luar sana bukan masalah antara rakyat Palestin dengan Israel atau masalah umat Islam tetapi ia adalah pencabulan hak asasi manusia yang memerlukan perhatian semua penduduk dunia.

“Apa yang berlaku di Palestin antara rakyat negara itu dengan Israel adalah masalah komuniti global.

Ini bukan persoalan agama seperti tanggapan sesetengah pihak dan umat Islam sendiri tetapi dasar penjajahan baru yang perlu difahami dengan mendalam.

“Bagi bukan Islam pula, diharap tidak melihat ini isu orang Islam kerana ia isu hak asasi manusia yang turut menuntut perhatian mereka. Jadi apa yang berlaku sepatutnya menjadi perbualan supaya sesuatu dapat dilakukan bagi mengubah keadaan,” katanya pada sidang media di IAIS, semalam. Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IAIS, Prof Datuk Dr Osman Bakar.

Beliau berkata, mengingati apa yang berlaku dan memahami kronologi konflik Palestin dan Israel melalui sumber maklumat yang pelbagai dapat membantu masyarakat negara ini merasai penderitaan dilalui rakyat Palestin yang terus melalui episod duka dalam hidup mereka.

Pendedahan terhadap apa yang berlaku serta perkembangan semasa di kawasan bergolak itu juga diharap dapat menukar persepsi masyarakat global terhadap orang Yahudi terutama yang mengakui serta membantah tindakan keganasan sesama manusia oleh pemimpin negara mereka.

Hishamudin berkata, selain kesedaran mengenai penderitaan serta kekejaman berlaku di Palestin, maklumat tepat termasuk laporan media dapat membantu masyarakat dunia menyedari keperluan membantu mencari keadilan untuk rakyat di sana.

Katanya, sejak dianjurkan pada 2002, ceramah umum tragedi Deir Yassin berjaya meningkatkan kesedaran mengenai peristiwa dianggap sebagai malapetaka untuk rakyat Palestin di kalangan masyarakat negara ini.

“Ternyata pengalaman dikongsi mereka yang melihat sendiri atau turut melalui peristiwa berdepan kekejaman tentera Israel. Diharap apa yang bakal dikongsi Dr Fisk nanti memberi satu persepsi berlainan.

“Diharap nanti apabila rakyat Malaysia membicarakan soal ini daripada perspektif orang yang faham apa sebenarnya berlaku bukan hanya baca tajuk berita dan berkata, ada satu lagi malapetaka dialami Islam di Palestin tetapi kabur hakikat sebenar terjadi,” katanya.

Tuesday, March 23, 2010

Jangan abai hak Rasulullah

SUDAH menjadi agenda terpenting dalam setiap majlis Maulid Nabi SAW, ucapan selawat dan memuji Baginda dialunkan dan dikumandangkan. Selain mendapatkan pahala dan keberkatan, majlis ini juga berperanan mendekatkan umat Islam kepada nabi mereka dalam rangka mengingatkan umat Islam tentang ketinggian dan keluhuran agama Islam yang dibawa Baginda SAW.

Namun, dalam kerancakan penganjuran maulid, dalam keindahan suasana keistimewaan dan ketinggian Rasulullah SAW dihayati dan dimartabatkan, ada terdengar suara-suara sumbang yang menempelak majlis seperti ini kerana dikatakan mengandungi unsur ghuluw (pelampauan) dalam memuji Baginda SAW.

Setakat manakah kebenaran dakwaan mereka ini? Jika memuji Nabi SAW dikatakan boleh membawa kepada perbuatan menyamatarafkan kedudukan Baginda SAW dengan Allah SWT, bagaimanakah pula dengan pujian dan sanjungan tinggi menjulang yang diberikan kepada manusia-manusia lain yang jauh lebih rendah kedudukannya daripada Nabi Muhammad?

Pada minggu lepas, kita telah membicarakan bahawa Baginda SAW juga adalah seorang insan ciptaan Allah, tetapi berbeza daripada manusia lain dengan dikurniakan pelbagai keistimewaan tertentu oleh Allah.

Justeru, memandang Baginda sebagai seorang manusia semestinya disertai dengan pandangan istimewa sesuai dengan kedudukan Baginda yang telah dimartabat dan dijulang oleh Allah dan bukannya menurut pandangan mereka yang terkesan dengan fahaman Jahiliah.

Jika kita tidak menyingkap ayat-ayat al-Quran dan hadis yang sarat membicarakan perkara ini pun, akal yang sejahtera sudah boleh menerima dan mudah untuk memahaminya.

Seseorang yang ditugaskan membawa suatu risalah yang agung daripada Tuhan Yang Maha Agung sudah tentu mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus bagi memastikan risalah agung itu dapat disampaikan dengan sempurna.

Salah faham makna ta'zhim dan ibadah

Masalah ini hanya terjadi apabila seseorang itu tidak dapat memahami dengan jelas tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan).

Mereka juga tidak dapat membezakan antara dua kedudukan iaitu kedudukan Allah dan makhluk di mana setiap kedudukan mempunyai hak-haknya yang khusus.

Oleh itu, mereka mencampuradukkan di antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta'zhim yang dilakukan merupakan suatu penyembahan kepada yang diagungkan. Rentetan itu, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Maulana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri; semuanya dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti ini merupakan suatu kejahilan dan kesilapan, bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.

Sujud para malaikat kepada Nabi Adam

Kita sedia maklum, Nabi Adam as merupakan insan dan hamba Allah yang soleh dan pertama daripada jenis manusia. Allah SWT telah memerintahkan para malaikat supaya sujud kepadanya sebagai memuliakan dan membesarkan ilmunya dan sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam as menjadi Nabi daripada sekalian makhluk-Nya. Ini dijelaskan dalam surah al-Isra' ayat 61 hingga 62. Begitu juga dalam surah (Saad ayat 76 dan surah al-Hijr ayat 30 hingga 31.

Dari ayat-ayat ini kita melihat, para malaikat turut mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, cuma Iblis bersikap takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah. Alasan yang dikemukakan, ia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah, sehingga ia enggan memuliakan Adam a.s dan tidak mahu sujud kepadanya.

Iblis adalah makhluk pertama yang bersikap takbur dan tidak mahu mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT. Lantaran itu, ia diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah kerana sikap sombong dan takbur terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur iblis itu merupakan suatu kesombongan terhadap Allah kerana sujud itu sebenarnya kepada Allah; sebagai menurut perintah-Nya. Ini menjelaskan kepada kita perintah sujud tersebut adalah sebagai suatu penghormatan kepada Nabi Adam dan bukannya suatu penyembahan.

Hak-hak Rasulullah

Adapun hak Nabi SAW supaya diagungkan dan dimuliakan adalah sebagaimana perintah Allah SWT dalam al-Quran: Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kamu kuatkan agamanya dan memuliakannya. (al Fath: 8-9)

Dalam ayat lain, disebutkan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya. (al-Hujurat: 1)

Allah juga berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara cakap kamu melebihi suara cakap Nabi SAW. (al Hujurat: 2)

Dalam ayat yang lain pula disebut: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu sama seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (al-Nur: 63)

Umat Islam dilarang mendahului Nabi Muhammad SAW dalam berkata-kata ketika berada di hadapan Baginda. Bahkan, mendahului percakapan Nabi SAW dianggap sebagai akhlak atau adab yang buruk.

Kita juga dilarang mendahului Baginda atau tergesa-gesa menghukum suatu perkara sebelum Baginda menentukan hukumannya, ataupun berfatwa tentang apa sahaja perkara; baik berkaitan dengan peperangan, mahupun hal-hal lain yang berkaitan dengan urusan agama kecuali dengan perintahnya. Kemudian Allah menasihatkan dan memperingatkan umat Islam agar tidak menyalahi perintah tersebut, sebagaimana menurut surah al-Hujurat ayat 1 tadi.

Al Sulami ra. berkata tentang maksud ayat ini, "Maksudnya adalah bertakwalah kamu kepada Allah dengan tidak meremehkan atau mengabaikan hak-hak Nabi Muhammad SAW dan mensia-siakan kehormatannya, kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar segala perkataan kamu dan Maha Mengetahui segala perbuatan kamu".

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT melarang umat Islam daripada meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW dan mengeraskan suara kepada Baginda SAW seperti percakapan sesama rakan biasa. Menurut pendapat yang lain, maksudnya Allah SWT melarang umat Islam memanggil Baginda SAW seperti panggilan sesama mereka dengan menyebut namanya sahaja. Tetapi hendaklah mengagungkan, menghormati dan memanggil Baginda SAW dengan semulia-mulia panggilan; yang disukainya, seperti panggilan, "Wahai Rasulullah!" dan "Wahai Nabi Allah!"

Allah juga memperingatkan orang yang bersikap biadap terhadap Rasulullah SAW dengan ancaman akan dihapuskan amalan mereka jika mereka melakukan perbuatan yang tidak sopan terhadap Rasulullah SAW. Bahkan, Allah mencela mereka dengan menganggap mereka sebagai orang yang bodoh dan menyifatkan mereka sebagai orang yang tidak berakal.

Perintah dan peringatan Allah di atas ini jelas menunjukkan ketinggian Baginda SAW di sisi-Nya yang wajib kita muliakan dan besarkan sepanjang masa.

Tidak timbul dalam menyempurnakan hak dan adab terhadap Baginda SAW, soal penyembahan Nabi Muhammad SAW selagi seseorang itu mengetahui yang mana menjadi hak Allah dan yang mana menjadi hak Rasulullah SAW. Perbincangan selanjutnya akan menyusul minggu hadapan.

Rasulullah SAW di mata sahabat

PADA minggu sebelum ini, kami membicarakan serba ringkas mengenai tuntutan memuliakan Rasulullah SAW dan perbezaan di antara maksud menyembah dan membesarkan Rasulullah SAW.

Menyambung tajuk tersebut, pada kali ini kami tidak berhasrat untuk mengemukakan dalil-dalil selanjutnya. Melihat kepada ruangan yang agak terhad kami ingin mengajak pembaca melihat bagaimana kuat dan tingginya kecenderungan para sahabat memuliakan dan mengagungkan Rasulullah SAW.

Ini adalah jalan yang paling mudah untuk kita melihat dan mengetahui cara yang sepatutnya kita menyanjung Rasulullah SAW dan bagaimana seharusnya kita meletakkan pandangan dan ikatan hati kita terhadap Baginda SAW.

Kelebihan para sahabat

Al-Quran dan hadis telah mencatatkan para sahabat ialah insan-insan agung dan jaguh-jaguh yang menjuarai keseluruhan gelaran terhebat dalam segenap aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Mereka adalah para penghulu yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam ibadah dan pendekatan diri kepada Allah. Mereka juga adalah sahabat-sahabat yang menjuarai gelaran tertinggi dalam persahabatan dan menjaga etika persahabatan dengan Rasulullah SAW.

Sehingga mereka merangkul gelaran pejuang terhandal dan terkuat mempertahankan Rasulullah SAW dan agama yang dibawa oleh Baginda SAW.

Apa yang jelas, sehebat mana pun manusia yang datang selepas para sahabat, tiada seorang pun yang dapat menandingi ketinggian dan ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka.

Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya seseorang kamu membelanjakan emas setinggi gunung Uhud pun, nescaya tidak akan mencapai satu gantang seseorang daripada mereka, apatah lagi setengah daripadanya".

Keghairahan para sahabat memuji Nabi SAW


Mereka juga adalah insan yang paling kuat memuji dan mengagungkan Rasulullah SAW sehinggakan dilihat Nabi SAW sentiasa menjadi keutamaan mereka yang lebih utama daripada diri dan nyawa mereka sendiri.

Nama Rasulullah SAW sentiasa meniti di bibir mereka, wajah Nabi SAW sentiasa bertakhta di hati mereka dan keindahan Rasulullah SAW sentiasa menambat hati mereka.

Tidak ada dalam Islam tegahan daripada memuji baginda SAW. Yang ada hanya tegahan menyamatarafkan baginda SAW dengan manusia yang lain dan tegahan daripada menyamatarafkan baginda SAW dengan Allah atau menyatakan baginda SAW adalah anak tuhan seperti yang dipercayai oleh penganut ajaran Kristian.

Sirah para sahabat dipenuhi dengan kata-kata pujian dan sanjungan mereka terhadap Rasulullah SAW. Bagaimana mungkin seorang insan yang dimuliakan oleh Allah dengan sifat-sifat keistimewaan dan dinobatkan dengan ketinggian kesempurnaannya tidak menarik hati manusia untuk menyayangi dan melantunkan kata-kata pujian memujinya.

Jika Heraclius seorang raja dari bangsa Eropah yang duduk di singgahsana yang indah dan memiliki kedudukan di sisi rakyatnya terlontar di lidahnya kata pujian terhadap baginda SAW apabila mengetahui sifat-sifat Nabi SAW, bagaimana pula hati seorang Muslim yang disuluhi cahaya kebenaran dan keimanan?

Abu Sufyan pernah mengaku secara jujur rasa kagumnya melihat kecintaan para sahabat terhadap Nabi SAW dengan berkata: "Aku tidak pernah melihat dari kalangan manusia seseorang yang mencintai seseorang seperti kecintaan sahabat-sahabat Muhammad terhadap Muhammad".

Amru ibn al 'As r.a pernah berkata: Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah SAW. Tidak ada seorang pun yang lebih agung pada pandanganku daripadanya. Aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan sifat-sifatnya, kerana terlalu mengagungkannya. Seandainya aku diminta untuk menggambarkan peribadi Baginda SAW, pasti aku tidak akan mampu kerana aku tidak mampu memenuhi pandangan mataku dengan kehebatannya. (riwayat Muslim)

Mereka terlalu mengagungkan Rasulullah SAW dan menjaga peradaban dan tingkah laku terhadap baginda SAW sama ada ketika Rasulullah berada di hadapan mereka atau tidak.

Imam Tirmizi r.a meriwayatkan hadis daripada Anas r.a: Bahawa Rasulullah SAW pernah menemui para sahabatnya daripada golongan Ansar dan Muhajirin ketika mereka sedang duduk. Di antara mereka terdapat Abu Bakar dan Umar ibn al Khattab. Tidak seorang pun di antara mereka yang mengangkat pandangan kepada Rasulullah SAW kecuali Abu Bakar dan Umar al Khattab. Kedua-duanya memandang baginda SAW dan Nabi SAW memandang mereka berdua. Mereka berdua tersenyum kepada baginda SAW, dan baginda juga tersenyum kepada mereka berdua".

Usamah ibn Syarik r.a berkata: "Aku mendatangi Rasulullah SAW ketika para sahabat berada di sekeliling baginda SAW. Aku lihat seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka".

Apabila Nabi Muhammad SAW berbicara, maka mereka yang duduk bersamanya akan menundukkan kepala mereka, seakan-akan terdapat burung di atas kepala mereka.

'Urwah ibn Mas'ud pernah menyaksikan betapa besar penghormatan dan pengagungan para sahabat r.a terhadap Rasulullah SAW ketika dia diutuskan oleh kaum Quraisy kepada Rasulullah SAW pada Tahun Perjanjian Hudaibiah.

Menurut Urwah, jika Nabi SAW berwuduk, air wuduknya menjadi rebutan para sahabat hingga mereka hampir berbunuh-bunuhan kerananya. Tidaklah baginda SAW berludah dan berkahak, melainkan mereka menadahnya dengan telapak tangan mereka, lalu menggosok-gosokkannya ke muka dan badan mereka.

Tiada sehelai rambut baginda SAW yang jatuh ke tanah, kecuali mereka berebut-rebut mengambilnya. Apabila baginda mengeluarkan suatu perintah, mereka segera melakukannya.

Apabila baginda berbicara, mereka merendahkan suara di hadapannya. Mereka tidak menajamkan pandangan mereka kepada baginda SAW kerana membesarkannya.

Ketika kembali kepada kaum Quraisy yang mengutusnya, 'Urwah ibn Mas'ud berkata: "Wahai bangsa Quraisy! Sesungguhnya aku pernah menemui Kisra (Raja Farsi) dalam kerajaannya dan aku juga pernah menemui Qaisar (Raja Rom) di dalam kerajaannya. Aku juga pernah melihat Najasyi (Raja Habsyah) di dalam kerajaannya. Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak pernah melihat seorang raja pada suatu kaum seperti Muhammad SAW dengan para sahabatnya".

Dalam riwayat yang lain, dia berkata: "Tidak pernah sekali pun aku melihat seorang raja yang diagungkan oleh rakyatnya, sebagaimana Nabi Muhammad SAW diagungkan oleh para sahabatnya. Sesungguhnya, aku telah melihat suatu kaum yang tidak akan menyerahkannya (Muhammad SAW) kepada musuh-musuhnya untuk selama-lamanya".

Lihatlah bagaimana para sahabat begitu mengagungkan Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai kebesaran. Mereka tidak pernah dikatakan musyrik atau kafir kerana menyanjung baginda SAW. Mereka telah menjaga hak ketuhanan dan kerasulan dengan sempurna.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah sirah para sahabat yang menjadi ikutan atau amalan jahiliah yang kita amalkan?

Menyempitkan perbicaraan mengenai perkara yang luas ini hanya akan menjauhkan umat manusia daripada Nabi SAW dan dari menghayati keindahan Islam itu sendiri.

Ini secara tidak langsung akan menjauhkan umat Islam dari roh Islam yang sebenar kerana Rasulullah SAW adalah lambang dan simbol kepada roh Islam yang sejati.

Ketandusan roh Islam dalam jiwa umat Islam akan melahirkan umat Islam yang lemah, lesu dan mudah diperkotak-katikkan oleh agenda musuh-musuh Islam.

Elak fanatik mazhab

Siapakah role model yang mempunyai pendekatan toleransi dalam isu khilafiah fiqh di nusantara ini?

ANZARUDDIN: Bagi menangani situasi perpecahan yang semakin meruncing dalam kalangan umat Islam, setiap individu Muslim terutamanya yang tinggal di nusantara sangat berhajat kepada peribadi yang dapat dijadikan role model.

Tidak syak lagi dalam hal ini Rasulullah SAW ialah model terbaik yang sepatutnya dicontohi. Namun mungkin ada pihak tertentu yang mempersoalkan bagaimana seseorang individu Muslim yang hidup di zaman moden ini dapat meneladani secara keseluruhan peribadi Rasulullah yang mendapat bimbingan terus dari wahyu.

Demikian juga dengan para sahabat yang adakalanya dianggap mustahil dicontohi kehidupan mereka atas alasan mereka adalah generasi terpilih yang dididik secara langsung oleh Nabi lebih daripada 1,400 tahun yang lalu.

Justeru saya berpendapat mengapa tidak dikemukakan contoh di kalangan ilmuwan atau pendakwah berbangsa Melayu sendiri yang lahir dan hidup di zaman yang belum begitu jauh dari zaman kita sekarang.

Tokoh yang saya maksudkan itu ialah Buya Hamka, seorang tokoh pendakwah kelahiran Alam Melayu yang wajar diteladani peribadinya kerana telah berjaya membawa kesatuan kepada umat Melayu melalui pendekatan dakwahnya yang berprinsip.

Nama sebenar beliau ialah Dr. Abd. Malik bin Sheikh Abd. Karim bin Sheikh Muhammad Amrullah. Dilahirkan di desa Tanah Sirah, Sungai Batang, Maninjau, Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia pada 16 Februari 1908 @ 13 Muharam 1362 Hijrah. Beliau meninggal dunia pada usia 73 tahun.

Bagaimana pendirian yang dipegang oleh Buya Hamka dalam permasalahan fiqh?

ANZARUDDIN: Antara resipi kejayaan dakwah Buya Hamka adalah pendekatan bertoleransi yang beliau amalkan ketika berinteraksi dengan persoalan-persoalan khilafiah dalam fiqh.

Contoh yang pertama berlaku ketika Buya Hamka dipertanggungjawabkan sebagai imam dan khatib di Masjid al-Azhar, Kebayoran, Jakarta Selatan.

Pada suatu hari seorang tokoh Nahdhatul Ulama (NU) Kiai Abdullah Syafie datang untuk solat Jumaat di sana. Sebaik sahaja Buya melihat kedatangan tokoh ulama Betawi, beliau meminta Kiai Abdullah menaiki mimbar menggantikannya sebagai khatib.

Buya juga meminta supaya azan dikumandangkan sebanyak dua kali sebagai menghormati kebiasaan yang diamalkan di masjid-masjid yang dikuasai oleh NU yang berpegang dengan mazhab al-Syafie.

Jadi bukan hanya mimbar Jumaat yang diserahkan, bahkan azan pun ditambah menjadi dua kali, semata-mata kerana Buya Hamka menghormati pendapat sahabatnya.

Inilah contoh dua orang tokoh ulama sejati yang ilmunya mendalam dan wawasannya luas. Siapa yang tidak mengenali Buya Hamka, pengarang kitab Tafsir al-Azhar yang hebat.

Demikian juga siapa yang tidak mengenali Kiai Abdullah Syafi'i, salah seorang pengasas dan pemimpin Perguruan Asy-Syafi'eyah, yang mana secara umumnya para kiai (ulama) Betawi masa kini adalah bekas murid-murid beliau.

Pada sekitar tahun 1970-an pula, Buya Hamka berkunjung ke Kota Banjarmasin. Pengurus Masjid Jamek Banjarmasin meminta tokoh Muhammadiyah itu menyampaikan khutbah Jumaat. Bagaimana reaksi yang ditunjukkan oleh bekas ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) pusat yang pertama itu?

Beliau terlebih dahulu bertanya kepada pengurus masjid, adakah khatib di situ mesti memegang tongkat? Secara serentak, para jemaah menjawab, "Ya".

Buya Hamka bertanya lagi: "Apakah khatibnya memakai jubah dan serban?" Para jemaah menjawab, "Ya".

Beliau bertanya demikian supaya dapat melakukan adaptasi bagi menyesuaikan dirinya dengan kebiasaan komuniti yang akan dihadapinya. Hal ini perlu dilakukan kerana beliau akan solat di Masjid yang majoriti ahli jemaah dari kalangan NU.

Akhirnya, Buya Hamka muncul sebagai khatib dengan penampilan yang sesuai dengan kebiasaan di Masjid Jamek tersebut. Masyarakat terpukau mendengar khutbah Buya Hamka.

Begitu juga setiap kali hendak mengimami solat subuh. Beliau akan bertanya terlebih dahulu kepada para jemaah, sama ada mereka memilih untuk berqunut atau tidak. Apabila majoriti para jemaah memilih untuk berqunut, maka tokoh Muhammadiyah ini akan mengimami solat subuh tersebut dengan qunut.

Buya Hamka memang tergolong dalam tokoh pimpinan Muhammadiyah yang terkenal sebagai anti qunut.

Walaubagaimanapun hubungan baiknya dengan Kiai Abdullah Syafi'i menyebabkan dia memilih untuk berqunut sebagai menghormati pendapat tokoh ulama itu yang menyatakan bahawa hukum qunut subuh adalah sunat muakkad.

Bagaimana pula ketegasan beliau dalam bab akidah yang telah disepakati?

ANZARUDDIN: Walaupun Buya Hamka terkenal sebagai seorang ilmuwan yang penyabar dan memiliki peribadi yang lembut, beliau adalah seorang ulama yang gigih dan bersikap tegas dalam mempertahankan kebenaran. Hal ini dapat dilihat terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan akidah.

Sebagai contoh, Buya Hamka mengkritik keras Gabenor H. Ali Sadikin (Pemerintah Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta di sekitar tahun 1970-an) yang mencadangkan agar jenazah warga kota Jakarta dibakar sahaja disebabkan oleh kawasan perkuburan awam yang semakin terbatas.

Hamka lantang menegaskan bahawa Islam tidak pernah membenarkan jenazah umat Islam diperlakukan dengan cara yang demikian.

Beliau menegur Gabenor Ali walaupun antara beliau dan gabenor itu sudah terjalin hubungan yang erat sejak sekian lama.

Buktinya, Buya Hamka sendiri yang telah membimbing Gabenor itu secara khusus ketika menunaikan haji.

Hamka juga mengkritik hebat cadangan mengadakan perayaan Krismas dan Aidilfitri bersama, kerana pernah secara kebetulan kedua-dua perayaan itu jatuh pada tarikh yang berdekatan antara satu sama lain.

Dalam salah satu tulisannya yang berjudul Toleransi, Sekularisme, atau Sinkretisme, Hamka menyebut bahawa tradisi kongsi raya (merayakan hari-hari perayaan agama yang berbeza secara bersama) sebenarnya tidak dapat menyuburkan toleransi beragama.

Sebaliknya, menurut beliau, apa yang akan disuburkan ialah sifat hipokrit (kemunafikan).

Pendirian tegas Buya Hamka mengenai krismas dan aidilfitri itu seterusnya menjadi fatwa MUI yang diketuai oleh beliau.

Menurutnya, hukum merayakan krismas dan aidilfitri secara bersama adalah haram. Kerajaan Indonesia melalui Menteri Agama, Alamsyah Ratuprawiranegara meminta MUI menarik-balik fatwa tentang haramnya umat Islam terlibat dalam sambutan kongsi raya (merayakan krismas bersama-sama dengan para penganut Kristian).

Pada bulan Mei 1981, Hamka memilih meletakkan jawatan sebagai Ketua MUI kerana merasakan nasihatnya tidak lagi dipedulikan oleh kerajaan Indonesia.

Pendirian Hamka yang tegas dalam mempertahan-kan akidah sangat jauh berbeza dengan para pendokong faham pluralisme agama.

Beliau tidak ragu-ragu melepaskan kedudukannya demi sesuatu yang diyakininya benar. Tiga bulan kemudian, iaitu pada 24 Julai 1981, Hamka pulang ke rahmatullah.

Apakah kesan kepada masyarakat awam Islam akibat seriusnya fanatik mazhab ini?

ANZARUDDIN: Salah satu perkembangan yang menyedihkan dalam masyarakat Islam nusantara dewasa ini ialah makin kuatnya kecenderungan meninggalkan akhlak ketika menghadapi perbezaan dalam persoalan fiqh.

Seriusnya sikap fanatik mazhab ini sampai ke peringkat di mana seseorang itu sanggup menuduh sesat kepada sesiapa sahaja yang melakukan amalan yang berbeza dengannya.

Sifat taksub di kalangan pengikut mazhab cukup membimbangkan kerana mereka nampaknya lebih mengutamakan qaul mazhab daripada nas-nas yang sahih. Apa yang sepatutnya menjadi pegangan adalah al-Quran dan al-sunnah.

Gamatnya pertelagahan di kalangan para pendokong mazhab yang berbeza menyebabkan umat Islam mengabaikan tanggungjawab menyelesaikan pelbagai masalah lain yang melanda diri mereka.

Sayangnya kerana banyak tenaga umat Islam telah dihabiskan untuk berpolemik dan bercakaran sesama sendiri. Andainya umat Islam tidak dilalaikan dengan isu perbezaan fiqh, tentunya mereka lebih dapat menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lebih besar termasuk pencerobohan Yahudi di bumi Palestin, sikap diskriminasi golongan Kristian di Amerika, pembunuhan umat Islam di Afghanistan dan sebagainya.

Lalu, apakah jalan keluar bagi konflik fanatik mazhab ini?

ANZARUDDIN: Jalan keluar dari belitan konflik fanatik mazhab yang melanda kini sebenarnya dirumus dalam ungkapan keramat al-'Allamah al-Sayyid Muhammad Rasyid Redha: "Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berlapang dadalah dalam hal-hal yang diperselisihkan".

Pendekatan dakwah yang dibawa oleh al-Sayyid Rasyid Redha inilah sebenarnya yang telah diadaptasi oleh Buya Hamka dalam konteks alam Melayu.

Buya Hamka telah menyerap semangat dan pemikiran al-Sayyid Rasyid Redha dan pendahulunya iaitu al-Sheikh Jamaluddin al-Afghani dan al-Sheikh Muhammad Abduh yang banyak membicarakan tentang cara-cara mengatasi kelemahan dan kemunduran umat Islam

Memang sukar mencari para pendakwah yang memiliki kefahaman fiqh yang mendalam dan akhlak yang terpuji di zaman moden ini. Namun kedua-dua aspek yang dimiliki oleh Buya Hamka itu berjaya menjadikan dakwahnya lebih dapat diterima oleh masyarakat Indonesia di zamannya.

Dalam situasi sekarang yang agak gawat dengan perbalahan umat dan gersang dari nilai-nilai akhlak, tokoh berjiwa besar dan berakhlak tinggi seperti beliau memang amat diperlukan terutamanya di nusantara.

Buya Hamka bukan hanya pandai berkata-kata, malah berjaya memberikan contoh ketegasan sikap dan keindahan perilaku.

Justeru menjadi tanggungjawab kita menghidupkan kembali dan menyebarluaskan pendekatan dakwah Buya Hamka. Sikap dan pendekatannya yang mesra menyebabkan beliau sentiasa berada di tengah-tengah antara dua titik ekstrem.

Walaupun ada pihak yang menganggapnya sebagai lemah, tetapi sebenarnya itulah strategi beliau sehingga boleh diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam pelbagai situasi.

Alangkah indah dan hebatnya apabila Islam ditampilkan dengan penuh kasih sayang dan kedamaian. Sesiapapun yang mengaku beriman sepatutnya mendahulukan akhlak seperti bertoleransi dan saling hormat menghormati dalam beragama.

Mungkin boleh kita simpulkan bahawa lebih baik bagi seseorang Muslim itu berakhlak mulia meskipun kurang banyak ibadahnya, daripada banyak ibadahnya tetapi kasar dan buruk akhlaknya.

Jadi, apakah tindakan yang perlu diambil untuk menjernihkan kembali 'krisis' fanatik mazhab yang berlaku?

ANZARUDDIN: Dalam usaha mengembalikan sinar kegemilangan fiqh Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan.

Sejarah telah membuktikan bagaimana Buya Hamka berjaya mengembalikan budaya tasamuh (toleransi) dalam kalangan umat Islam.

Sikap tasamuh merupakan resipi penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi sahabat serta tabien dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.

Ia termasuk sikap berlapang dada dalam menerima pandangan yang berbeza, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain serta tidak fanatik kepada pandangan sendiri.

Dalam kata lain, mengembalikan semula pendekatan dakwah Hamka iaitu mendahulukan persoalan akhlak berbanding fiqh, memang sangat diperlukan bagi meredakan pelbagai konflik dalaman yang sedang membelenggu umat Islam dewasa ini.

Sebenarnya pendekatan yang digunapakai oleh Buya Hamka adalah manifestasi akhlak dalam perbezaan pendapat yang telah diwarisi sejak zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi.

Sebab itulah jika kita menelusuri sejarah, kita akan dapati bahawasanya para imam mazhab juga turut berselisih pendapat dalam pelbagai persoalan namun mereka tidak pernah cuba memonopoli kebenaran.

Dengan kata lain, walaupun mereka berbeza pendapat dalam banyak perkara cabang, mereka tidak pernah berpecah-belah. Hati mereka tetap bersatu di bawah payung ukhuwah. Maknanya, mereka berbeza tetapi tetap saling menghormati dan bertoleransi.

Ummu Ma'bad pintar berfikir

NAMA sebenar Ummu Ma'bad ialah Atikah binti Khalid bin Munqiz. Dia merupakan seorang saudara perempuan kepada seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Hubaisy bin Khalid.

Ummu Ma'bad ialah seorang wanita yang baik, murah hati dan pandai berkata-kata. Namanya mula terkenal apabila Nabi Muhammad singgah di rumah sebagai tetamunya.

Peristiwa itu bermula apabila Nabi Muhammad ingin berhijrah ke Madinah. Segala persiapan berhijrah telah disiapkan. Nabi Muhamad dan Abu Bakar telah memilih seorang lelaki yang pandai selok-belok jalan ke Madinah. Lelaki itu bernama Abdullah bin Uraiqith al-Laitsi.

Sementara itu, Abu Bakar pula menyediakan dua ekor binatang sebagai kenderaan mereka ke Madinah. Sebentar kemudian datang Asma binti Abu Bakar menemui ayahnya.

"Ayah, saya ada bawa makanan untuk ayah dan Nabi Muhammad. Makanlah makanan ini supaya lebih bertenaga," kata Asma sambil menghulurkan makanan itu kepada ayahnya.

"Terima kasih," ucap ayahnya.

Makanan yang dibawa oleh Asma itu diikat pada ikatan pinggangnya. Ikatan itu dibelah menjadi dua bahagian. Bermula pada hari itu Asma digelar wanita yang mempunyai dua ikat pinggang.

Cerdas dan pintar

Abu Bakar dan Nabi Muhammad segera memulakan perjalanan ke Madinah. Selain daripada mereka terdapat seorang hamba milik Abu Bakar yang bernama Amir bin Fuhairah di bawa bersama.

"Kita sudah semakin jauh. Elok kita berhenti berehat dahulu," kata Abu Bakar.

"Baik, saya setuju," jawab Nabi Muhammad.

Mereka berhenti di tempat yang mempunyai rumah. Di situ mereka berehat dan mendapatkan bekalan makanan dan minuman. Akhirnya mereka terjumpa sebuah rumah milik Ummu Ma'bad.

Beliau tinggal di padang pasir. Tempat itu terletak di sebuah desa yang berhampiran dengan kota Mekah. Tempat itu diberi nama Qudaid.

Ummu Ma'bad adalah seorang wanita yang baik. Dia juga seorang yang suka bersedekah. Ini terbukti apabila dia sering memberi makan dan minum kepada sesiapa yang singgah di rumahnya.

Pada tahun itu daerah tempat tinggal Ummu Ma'bad mengalami musim kemarau yang teruk. Penduduk di situ sudah tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup. Mereka terpaksa menahan kelaparan.

Semasa di rumah Ummu Ma'bad, dengan izin Allah rombongan Nabi Muhmmad telah dapat minum susu kambing. Mereka sudah tidak lapar dan dahaga. Mereka kembali bertenaga. Ummu Ma'bad sempat masuk Islam sebelum Nabi Muhammad meninggalkan rumahnya.

Tiba-tiba datang sekumpulan orang kafir Quraisy melintasi rumah Ummu Ma'bad. Mereka adalah sekumpulan pemuda Quraisy yang telah diarah oleh pembesar kafir Quraisy untuk menangkap Nabi Muhammad.

"Saudari, kami ingin bertanya kepada awak. Adakah awak melihat dua orang lelaki dengan rombongannya melintasi kawasan rumah awak ini?" kata ketua pemuda Quraisy itu.

"Kami telah diarahkan oleh pembesar Quraisy Mekah untuk menangkap Nabi Muhammad dan rombongannya. Nabi Muhammad telah membuat kekacauan kepada kami," kata seorang pemuda Quraisy yang lain.

"Benarkah mereka ingin menangkap Nabi Muhammad. Saya mesti selamatkan Nabi Muhammad. Sekarang saya sudah menjadi orang Islam. Saya mesti bantu orang Islam daripada disiksa oleh kafir Quraisy," bisik Ummu Ma'bad sendirian.

Ummu Ma'bad dengan beraninya berkata kepada pemuda Quraisy itu, "Saya tidak melihat sesiapa pun yang melintasi kawasan rumah saya ini kecuali awak semua. Saya juga tidak pernah kenal dan dengar nama orang yang awak sebut-sebutkan tadi".

"Ke mana pula Nabi Muhammad dan rombongannya pergi? Ini adalah tempat yang patut dilaluinya sebelum dia lari ke Madinah. Tidak ada jalan lain lagi yang boleh dilaluinya," kata ketua pemuda Quraisy itu.

Kumpulan pemuda Quraisy menjadi bertambah bingung. Mereka tidak tahu kemana arah dan jalan yang digunakan oleh Nabi Muhammad dan rombongannya. Akhirnya mereka mencari rombongan Nabi Muhammad ke arah yang lain.

"Syukur alhamdulillah mereka tidak syak kepada saya. Saya adalah pengikut Nabi Muhammad," bisik Ummu Ma'bad sendirian.

Ummu Ma'bad seorang yang cerdas dan pintar. Beliau hidup sehingga zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab.

Habibah mengembalikan mas kahwinnya

HABIBAH binti Sahak bin Tsalabah al-Anshariyah merupakan wanita yang banyak memberi sumbangan kepada Islam. Ibunya bernama Amrah binti Masud. Habibah mempunyai seorang adik-beradik perempuan yang bernama Rughainah binti Sahal.

Habibah merupakan seorang pelapor hadis. Dia melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Dia sering ke rumah Nabi Muhammad untuk mempelajari dan menimba ilmu pengetahuan Islam. Isteri-isteri Nabi Muhammad sudah kenal rapat dengan Habibah kerana dia juga sering melawat isteri-isteri Nabi Muhammad.

Penah dilaporkan, Nabi Muhammad pernah jatuh hati terhadap Habibah. Nabi Muhammad berhajat untuk melamar Habibah. Tetapi Nabi Muhammad bimbang akan timbul perasaan cemburu di kalangan kaum Ansar. Nabi Muhammad ingin menjaga hubungan baik di antara orang Muhajirin dan Ansar.

Akhirnya, Habibah berkahwin dengan Sabit bin Qais. Sabit adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Perkahwinan mereka tidak bahagia. Habibah berasa tidak bahagia dan tenang untuk hidup bersama Sabit lagi. Peristiwa ini menyebabkan Habibah terpaksa berjumpa dengan Nabi Muhammad.

'Baik saya pergi memberitahu masalah saya ini kepada Nabi Muhammad," bisik Habibah seorang diri.

Habibah bergegas berjumpa dengan Nabi Muhammad. "Wahai tuan, saya datang berjumpa tuan kerana saya ingin mencerita masalah yang sedang saya hadapi ini."

"Apakah masalah yang sedang awak hadapi?" tanya Nabi Muhammad.

"Sabit bin Qais adalah suami saya. Saya tidak berniat memburuk-buruk akhlak dan agamanya. Tetapi saya sudah tidak tahan hidup dengannya kerana dia tidak menunaikan hak terhadap isteri dan keluarganya.

Nabi Muhammad mendengar kata-kata Habibah lalu bertanya, "Sekiranya awak ingin berpisah dengannya, sanggupkah awak mengembalikan mas kahwin yang diberikan oleh Sabit kepada awak?"

Habibah terus menjawab tanpa menunggu masa yang panjang, "Ya, saya bersedia untuk memulangkan kebun yang diberikannya sebagai mas kahwin kepada saya."

Habibah terus pulang dan berjumpa dengan Sabit bagi memulangkan kebun milik suaminya itu. Selepas itu berlakulah perpisahan di antara Habibah dan suaminya. Habibah meneruskan kehidupan dengan beramal ibadah kepada Allah. Akhirnya datang seorang lelaki bernama Ubay bin Kaab melamarnya. Ubay lebih dikenali dengan gelaran Abu al-Mundzir. Dia adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang turut menghimpun al-Quran pada zaman Nabi Muhammad.

Abu al-Mundzir adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang banyak ilmu pengetahuannya. Dia juga kuat beramal. Sehingga pada suatu hari Nabi Muhammad telah berkata kepada Abu al-Mundzir, "Wahai Abu al-Mundzir, Sesungguhnya Allah telah menyuruh saya membaca al-Quran untuk awak."

Lalu Abu al-Mundzir bertanya kepada Nabi Muhammad, "Benarkah Allah telah menyebut nama saya kepada tuan?"

"Ya, wahai Abu al-Mundzir," jawab Nabi Muhamad

Abu al-Mundzir menangis kerana berasa terlalu gembira dengan berita yang didengarnya itu. Dia berasa sangat bertuah kerana menjadi sahabat Nabi Muhammad.

Habibah dan Abu al-Mundzir hidup sebagai sepasang suami isteri yang bahagia. Suaminya merupakan seorang pelapor hadis. Suaminya banyak melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Dia melaporkan sebanyak 164 buah hadis. Suaminya meninggal dunia pada tahun 30 Hijrah.

Habibah juga tidak ketinggalan dalam melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Dia sering kali pergi ke rumah Nabi Muhammad bagi mempelajari ilmu agama Islam. Dia juga sering melawat isteri-isteri Nabi Muhammad sehingga mereka kenal rapat dengan Habibah.

Antara hadis yang terkenal dilaporkan oleh Habibah ialah tentang faedah yang didapati oleh ibu bapa yang mempunyai anak yang meninggal semasa kecil dan masih belum baligh.

Pada suatu hari, Habibah datang ke rumah Nabi Muhammad. Pada masa itu Nabi Muhammad baru saja sampai di rumahnya. Habibah sedang berbual dengan isteri Nabi Muhammad. Kemudian Habibah mendengar beberapa ilmu agama Islam yang baru dipelajarinya pada hari itu daripada Nabi Muhammad

Nabi Muhammad pun berkata, "Apabila terdapat di antara sepasang suami isteri yang kematian tiga orang anaknya semasa masih kecil dan masih belum baligh, anak-anak tersebut akan berdiri betul-betul dihadapan pintu syurga."

Habibah mendengar dengan penuh teruja. Dia memasangkan telinga dan menguatkan daya ingatannya untuk mempelajari ilmu itu.

"Kemudian kami akan mengatakan kepada anak-anak kecil itu, silakan masuk ke dalam syurga. Mereka lantas menjawab, kami tidak akan masuk ke syurga selagi kedua-dua ibu bapa kami ikut masuk ke syurga bersama-sama kami," jelas Nabi Muhammad panjang lebar.

Habibah binti Sahal seorang wanita yang banyak menyumbang kepada sejaranh Islam. Dia terus hidup sehingga zaman Khalifah ar-Rasyidin. Namun begitu tarikh sebenar kematiannya tidak dinyatakan secara terperinci dalam catatan sejarah Islam.