Kenangan itu adakalanya mengundang senyuman.
Terkenang biri-biri menyagat badan di tembok kegatalan.
Hidung dicucuk bau hamis kencing keldai di lorong ke kedai roti.
Sesekali diganggu anak Arab yang comot penuh debu.
“Anta Kuri? Anta Yabani? Anta Shini?” tanya mereka.
Adakalanya berbunyi comel. Sesekali mahu juga disiku dahi.
Tetapi di celah-celah keindahan itu, ada segumpal perasaan yang sulit diungkapkan oleh kata-kata. Kenangan yang mengundang senyuman itu, berubah pula menjadi beban. Seperti dada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang tepu dan membuak rasa disentuh wahyu, secebis beban itu turut kurasa tatkala menerima Mu’tah sebagai universiti perjuangan tempat Allah mengajarku erti kehidupan.
Aku pernah menangis di sisi Maqam Abdullah bin Rawahah r.a. Menangis kerana pernah lemah jiwa dibantai ujian kehidupan, sedangkan aku saban masa berjiran dengan Sahabat itu. Tangisanku adalah tangisan untuk bangkit daripada kelemahan. Aku jatuh, tetapi aku mahu jatuh ke hadapan.
Di celah rimbunan pohon rendang di sisi Maqam Jaafar bin Abi Thalib r.a., aku pernah menjerit di dalam sepi. Menjerit kerana mahu langit terbuka di Bumi Isra’ menghantar doaku agar didengar oleh-Nya. Tetapi jeritan itu hanya terungkap di dalam sepi kerana aku tahu dalam sepi itu Allah lebih dekat denganku berbanding urat di tengkuk menanggung nafas.
Maqam Zaid bin Harithah r.a. juga pernah membuka pintunya untuk aku menumpang menung merenung diri. Aku termenung memikirkan aturan Allah yang menghantar aku ke tempat yang paling menguji seluruh sendi dan urat tubuhku, tetapi dalam kepahitan itu aku tidak pernah luput sumber semangat juang, dek tiga Sahabat Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang kurasakan bagai menanti ketibaan generasi pengganti.
Semua itu menghiris hati, setiap saat aku menoleh kembali ke sekolah jihadku di bumi Mu’tah.
Lalu kepulanganku ke Medan Syuhada’ pada musafirku di Safar penuh makna ini, adalah untuk membantuku melepaskan rindu. Bukan sahaja melepaskan rindu, malah melepaskan Urdun daripada beban kenangan itu.
Salam perpisahan…
Tuesday, February 16, 2010
Urdun Kulepaskan Dalam Kedamaian
Posted by Allahyarham achit at 7:46 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment